Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda, Anda Dapat Menikmati Kehidupan yang Memuaskan

Kaum Muda, Anda Dapat Menikmati Kehidupan yang Memuaskan

“Engkau menunjukkan jalan kehidupan kepadaku.”​—MZM. 16:11.

LAGU: 133, 89

1, 2. Bagaimanakah pengalaman Tony menunjukkan bahawa perubahan dalam kehidupan tidak mustahil?

TONY membesar tanpa jagaan bapa. Semasa di sekolah menengah, dia tidak suka belajar dan hampir meninggalkan sekolah. Dia akan menghabiskan hujung minggunya bersama kawan atau menonton wayang. Tony bukannya orang yang ganas atau penagih dadah, tetapi hidupnya tiada tujuan, dan dia meragui kewujudan Tuhan. Suatu hari, dia bertemu dengan dua orang Saksi. Setelah membincangkan soalan dan keraguannya, mereka memberinya dua naskhah brosur: Asal Usul Kehidupan—​Lima Soalan yang Patut Ditanya * dan Adakah Kehidupan Diciptakan?

2 Apabila pasangan itu melawat Tony lagi, sikapnya sudah berubah. Dua brosur itu telah dibacanya berulang kali sehingga berkedut-kedut. “Tuhan pasti wujud,” kata Tony. Dia mula belajar Bible, dan pandangannya terhadap kehidupan beransur-ansur berubah. Selain itu, Tony telah menjadi salah seorang pelajar cemerlang di sekolahnya. Pengetuanya berasa kagum dan berkata kepadanya, “Kamu sudah membuat kemajuan besar dalam sikap dan keputusan sekolah. Adakah itu kerana kamu bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa?” Tony menjawab “ya” dan memberikan kesaksian yang baik. Dia telah menghabiskan pelajaran sekolah menengah, dan kini dia seorang perintis dan pembantu sidang. Tony gembira kerana dia mempunyai Bapa yang penyayang, Yehuwa.​—Mzm. 68:5.

TAATILAH YEHUWA, DAN ANDA AKAN BERJAYA

3. Apakah nasihat Yehuwa kepada orang muda?

3 Pengalaman Tony mengingatkan kita bahawa Yehuwa prihatin terhadap kaum muda. Dia ingin anda menikmati kehidupan yang puas dan berjaya, maka Dia menasihati anda, “Ingatlah akan Pencipta Agungmu semasa kamu masih muda.” (Pkh. 12:1) Dalam dunia sekarang, hal itu tidak mudah, tetapi tidak mustahil. Tuhan dapat membantu anda, bukan sahaja untuk berjaya semasa muda, tetapi juga seumur hidup anda. Untuk memahami hal itu, marilah kita mengkaji bagaimana orang Israel menduduki Tanah yang Dijanjikan, dan kisah Daud dan Goliat.

4, 5. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara orang Israel menakluki Kanaan dan daripada cara Daud mengalahkan Goliat? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Semasa orang Israel mendekati Tanah yang Dijanjikan, Tuhan tidak menyuruh mereka belajar berperang. (Ul. 28:1, 2) Sebaliknya, Dia menyuruh mereka mentaati-Nya dan percaya kepada-Nya. (Yos. 1:7-9) Dari sudut pandangan manusia, nasihat itu tidak masuk akal. Namun, itulah nasihat yang terbaik, kerana Yehuwa telah membantu umat-Nya mengalahkan bangsa Kanaan satu demi satu. (Yos. 24:11-13) Untuk mentaati Tuhan, kita perlu beriman, tetapi iman itu sentiasa membawa kejayaan. Hal itu benar, baik dahulu mahupun sekarang.

5 Goliat ialah seorang pahlawan yang gagah. Tingginya 2.9 meter, dan dia dilengkapi senjata. (1 Sam. 17:4-7) Daud pula hanya mempunyai ali-ali dan iman kepada Yehuwa. Bagi orang yang tidak beriman, Daud memang bodoh. Tetapi hakikatnya, Goliatlah orang yang bodoh.​—1 Sam. 17:48-51.

6. Apakah yang akan kita bincangkan dengan lebih teliti?

6 Rencana sebelumnya membincangkan empat perkara yang membawa kebahagiaan dan kejayaan: Menjaga keperluan rohani sendiri, bersahabat dengan orang yang mengasihi Tuhan, menetapkan matlamat yang bermakna, dan menghargai kebebasan yang dikurniai Tuhan. Sekarang, mari kita membincangkan empat hal itu dengan lebih teliti menurut prinsip-prinsip di Mazmur 16.

PUASKAN KEPERLUAN ROHANI ANDA

7. (a) Gambarkan seorang yang berfikiran rohani. (b) Apakah ‘warisan’ Daud? Bagaimanakah ‘warisan’ itu mempengaruhinya?

7 Orang yang berfikiran rohani beriman kepada Tuhan dan memiliki fikiran-Nya. Dia bergantung pada bimbingan Tuhan dan bertekad untuk mentaati-Nya. (1 Kor. 2:12, 13) Daud merupakan orang sedemikian. Dia bernyanyi, “Ya Yehuwa, Engkaulah warisanku, dan Engkau sahajalah yang aku perlukan; Engkaulah yang mengisi cawanku.” (Mzm. 16:5) Daud menghargai ‘warisannya,’ iaitu hubungannya yang erat dengan Yehuwa, dan dia berlindung kepada-Nya. (Mzm. 16:1) Hasilnya, Daud menulis, “Aku benar-benar bergembira.” Ya, tiada apa-apa yang dapat membuat Daud begitu gembira kecuali persahabatannya dengan Tuhan.​—Baca Mazmur 16:9, 11.

8. Apakah sesetengah perkara yang dapat menyumbang kepada kehidupan yang benar-benar memuaskan?

8 Sukacita yang dirasai Daud tidak dapat dikecap oleh orang yang sibuk mengejar keseronokan dan kekayaan. (1 Tim. 6:9, 10) Seorang saudara di Kanada berkata, “Kepuasan sejati tidak terhasil daripada apa yang kita peroleh, tetapi daripada apa yang kita berikan kepada Sumber segala kurniaan yang baik, Tuhan Yehuwa.” (Yak. 1:17) Dengan membina iman terhadap Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya, hidup anda akan puas dan bermakna. Bagaimanakah iman anda dapat bertumbuh? Anda perlu meluangkan masa bersama Yehuwa dengan membaca Firman-Nya, meneliti ciptaan-Nya, dan merenungkan sifat-sifat-Nya, termasuk kasih-Nya untuk anda.​—Rm. 1:20; 5:8.

9. Bagaimanakah anda dapat meniru Daud dan membiarkan Firman Tuhan membentuk anda?

9 Kasih Tuhan terhadap kita ada kalanya dinyatakan melalui teguran-Nya. Daud menghargai teguran sebegini. Dia berkata, “Ya Yehuwa, aku akan memuji-Mu, kerana Engkau menasihati aku; pada waktu malam, fikiranku yang terpendam membimbing aku.” (Mzm. 16:7) Ya, Daud merenungkan fikiran Tuhan, menyebatikannya dengan fikiran sendiri, dan rela dibentuk olehnya. Apabila anda berbuat demikian, kasih anda untuk Tuhan dan keinginan anda untuk menggembirakan-Nya akan bertambah. Anda juga akan menjadi orang Kristian yang lebih matang. Seorang saudari yang bernama Christin berkata, “Semasa saya membuat penyelidikan dan perenungan, saya rasa bahawa Yehuwa telah menuliskan maklumat itu khususnya untuk saya!”

10. Menurut Yesaya 26:3, apakah kelebihan memiliki pandangan rohani?

10 Apabila anda berpandangan rohani, Tuhan akan mengurniai anda pengetahuan dan pemahaman yang dalam, supaya anda memiliki pandangan Tuhan terhadap dunia ini dan masa depannya. Mengapa? Kerana Yehuwa ingin anda menetapkan keutamaan yang betul, membuat keputusan yang bijak, dan menantikan masa depan dengan yakin. (Baca Yesaya 26:3.) Joshua dari Amerika Syarikat berkata, “Jika kamu tetap menghampiri Yehuwa, kamu akan sentiasa mempunyai pandangan yang wajar.” Tidakkah hal itu membawa kepuasan yang besar?

MENDAPAT SAHABAT SEJATI

11. Menurut Daud, apakah rahsia untuk mendapat sahabat sejati?

11 Baca Mazmur 16:3. Daud tahu rahsia untuk mendapat sahabat sejati. Dia suka bergaul bersama orang yang mencintai Yehuwa. Mereka dipanggil ‘hamba-hamba-Nya yang suci’ kerana tetap murni dan bersih secara moral. Seorang lagi pemazmur juga berasa begitu dalam soal memilih kawan. Dia menulis, “Aku bersahabat dengan semua orang yang takut akan-Mu, dan dengan semua orang yang mengikut perintah-Mu.” (Mzm. 119:63) Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, anda dapat menemui ramai sahabat baik antara orang yang mengasihi dan mentaati Yehuwa, termasuk mereka daripada pelbagai lapisan umur.

12. Mengapakah Daud dan Yonatan dapat menjadi sahabat yang begitu akrab?

12 Daud tidak mengehadkan persahabatannya kepada mereka yang sebaya dengannya. Dia mempunyai seorang sahabat “yang mulia,” iaitu Yonatan. Dalam Bible, persahabatan mereka merupakan antara hubungan yang paling akrab. Namun, tahukah anda bahawa Yonatan sebenarnya hampir 30 tahun lebih tua daripada Daud? Apakah asas persahabatan mereka? Iman kepada Tuhan, hormat yang dalam terhadap satu sama lain, dan penghargaan untuk keberanian satu sama lain semasa melawan musuh Tuhan.​—1 Sam. 13:3; 14:13; 17:48-50; 18:1.

13. Bagaimanakah anda dapat meluaskan lingkungan sahabat anda? Berikan contoh.

13 Seperti Daud dan Yonatan, kita suka bersahabat dengan orang yang mengasihi Yehuwa dan beriman kepada-Nya. Kiera, yang telah lama menyembah Yehuwa, berkata, “Saya bersahabat dengan orang di serata dunia, daripada pelbagai latar dan budaya.” Apabila anda berbuat demikian, anda akan melihat bagaimana Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya menyatupadukan kita.

MENETAPKAN MATLAMAT YANG BERMAKNA

14. (a) Bagaimanakah anda dapat menetapkan matlamat yang bermakna? (b) Apakah perasaan sesetengah orang muda tentang matlamat rohani?

14 Baca Mazmur 16:8. Khidmat kepada Tuhan merupakan pusat kehidupan Daud. Anda juga dapat hidup dengan puas jika anda mendahulukan khidmat Yehuwa dan sentiasa memikirkan kehendak-Nya. Seorang saudara bernama Steven berkata, “Saya berasa puas apabila saya berusaha mencapai matlamat, berjaya melakukannya, dan melihat kembali kemajuan saya.” Seorang saudara muda dari Jerman, yang kini berkhidmat di luar negara, berkata, “Bila tua nanti, saya tidak mahu mendapati seluruh hidup saya digunakan untuk mengejar kepentingan sendiri.” Adakah anda juga berasa begitu? Jika ya, gunakanlah kemahiran dan bakat anda untuk memuliakan Tuhan dan membantu orang. (Gal. 6:10) Tetapkan matlamat rohani, dan mintalah bantuan Yehuwa untuk mencapainya. Dia suka mengabulkan doa sedemikian.​—1 Yoh. 3:22; 5:14, 15.

15. Apakah matlamat yang dapat anda tetapkan? (Lihat kotak “ Beberapa Matlamat yang Praktikal.”)

15 Apakah matlamat yang dapat anda tetapkan? Anda boleh berusaha memberikan komen dengan kata-kata sendiri semasa perjumpaan, menjadi perintis, berkhidmat di Bethel, atau mempelajari bahasa baharu supaya dapat menginjil dalam bahasa asing. Barak, seorang pekhidmat sepenuh masa yang muda, berkata, “Tiada aktiviti lain yang dapat membuat saya bangun setiap hari dengan perasaan puas kerana dapat menggunakan semua tenaga saya bagi Yehuwa.”

HARGAI KEBEBASAN YANG DIKURNIAI TUHAN

16. Apakah perasaan Daud terhadap piawaian Yehuwa? Mengapa?

16 Baca Mazmur 16:2, 4. Rencana sebelumnya menunjukkan bahawa hukum dan prinsip Tuhan dapat membebaskan kita, kerana kita diajar untuk mencintai kebaikan dan membenci kejahatan. (Amo. 5:15) Daud berkata bahawa Yehuwa ialah “Sumber segala kebaikan.” Kebaikan merangkumi akhlak atau kelakuan yang terpuji. Daud berusaha keras untuk meniru kebaikan Tuhan dan mencintai apa yang dicintai-Nya. Daud juga membenci apa yang dibenci Yehuwa, termasuk penyembahan berhala, iaitu amalan yang merosakkan manusia dan merampas kemuliaan yang sepatutnya milik Yehuwa.​—Yes. 2:8, 9; Why. 4:11.

17, 18. (a) Apakah yang diperhatikan Daud tentang akibat mengikut ibadat palsu? (b) Apakah yang menyebabkan orang zaman ini “menambahkan kesusahan mereka sendiri”?

17 Pada zaman Bible, ibadat palsu sering melibatkan perbuatan seks yang menjijikkan. (Hos. 4:13, 14) Ibadat sebegitu digemari ramai kerana memuaskan keinginan berdosa. Namun, adakah penganutnya bahagia? Tidak! Sebaliknya, “orang yang suka menyembah tuhan-tuhan lain menambahkan kesusahan mereka sendiri,” kata Daud. Mereka juga menyebabkan ramai kanak-kanak menderita. (Yes. 57:5) Perbuatan kejam mereka dibenci Yehuwa! (Yer. 7:31) Seandainya anda hidup pada zaman itu, anda pasti bersyukur jika ibu bapa anda menyembah Yehuwa.

18 Banyak ibadat palsu sekarang dikatakan “bebas” kerana menerima perbuatan seks yang tidak bermoral dan bahkan hubungan sejenis. Namun, kebebasan itu sering “menambahkan kesusahan,” seperti yang berlaku pada zaman Bible. (1 Kor. 6:18, 19) Anda mungkin memerhatikan hakikat itu juga. Maka, anak-anak muda, patuhilah Bapa anda yang di syurga. Percayalah bahawa ketaatan kepada-Nya pasti membawa manfaat. Yakinkanlah diri anda bahawa keseronokan daripada perbuatan salah hanyalah sementara dan langsung tidak berbaloi berbanding dengan masalah yang disebabkannya. (Gal. 6:8) Joshua yang disebut tadi berkata, “Kita boleh guna kebebasan dengan sesuka hati, tetapi menyalahgunakannya tidak akan membawa kepuasan.”

19, 20. Apakah berkat yang menantikan orang muda yang beriman kepada Yehuwa dan mentaati-Nya?

19 Yesus berkata, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.” (Yoh. 8:31, 32) Kebenaran membebaskan kita daripada agama palsu, kepercayaan karut, dan menjadikan kita bijak. Bukan itu sahaja, kita berpeluang diberi “kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:21) Jika anda ‘sentiasa mematuhi ajaran Kristus,’ anda dapat merasai kebebasan itu sekarang. Dengan itu, anda akan “mengetahui kebenaran,” bukan hanya dengan mempelajarinya, tetapi juga dengan mengamalkannya.

20 Kaum muda, hargailah kebebasan yang dikurniai Tuhan. Gunakannya dengan bijak, supaya anda dapat menyediakan asas yang baik untuk masa depan. Seorang saudara muda berkata, “Menggunakan kebebasan dengan bijak semasa muda dapat membantu kamu semasa kamu perlu membuat keputusan besar, seperti memilih pekerjaan atau memutuskan sama ada untuk berkahwin atau membujang buat seketika.”

21. Bagaimanakah anda dapat terus mengikut haluan yang menuju “kehidupan yang sejati”?

21 Dalam dunia lama ini, kehidupan yang dianggap baik pun singkat dan tidak menentu. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. (Yak. 4:13, 14) Maka, bertindaklah dengan bijak dan teruslah menempuh haluan yang menuju “kehidupan yang sejati,” iaitu kehidupan kekal. (1 Tim. 6:19) Tuhan tidak memaksa kita untuk mengikut haluan itu. Maka, pilihlah untuk menjadikan Yehuwa ‘warisan’ kita. Hargailah segala kurniaan-Nya. (Mzm. 103:5) Percayalah bahawa Dia pasti memberi anda ‘sukacita yang melimpah’ dan ‘kegembiraan yang kekal abadi.’​—Mzm. 16:11.

^ per. 1 Terdapat dalam bahasa Indonesia.