Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Orang yang Baik Akan Bersukacita kerana Yehuwa’

‘Orang yang Baik Akan Bersukacita kerana Yehuwa’

DIANA sudah berumur lebih daripada 80 tahun. Suaminya menghidap penyakit Alzheimer dan tinggal di pusat jagaan selama beberapa tahun sebelum meninggal. Diana juga kehilangan dua orang anak lelakinya dan pernah melawan kanser payudara. Namun, semasa Diana menghadiri perjumpaan atau menginjil, ahli sidangnya mendapati bahawa dia sentiasa bersukacita.

John telah membuat kerja lawatan untuk lebih daripada 43 tahun. Dia mencintai khidmat itu, tetapi dia terpaksa berhenti kerana perlu menjaga saudara-mara yang sakit. Kini, dia berkhidmat dalam sebuah sidang. Apabila orang yang kenal John dahulu bertemu dengannya di perhimpunan atau konvensyen, mereka berasa bahawa dia tidak berubah. Sukacita masih terpancar di wajahnya.

Mengapakah Diana dan John dapat bersukacita? Bagaimanakah orang yang menderita secara emosi dan fizikal dapat bersukacita? Bagaimanakah seseorang dapat bersukacita jika dia tidak dapat meneruskan tugas yang digemarinya? Bible menjelaskan, ‘Orang yang baik akan bersukacita kerana Yehuwa.’ (Mzm. 64:10) Kita akan memahami kebenaran ini dengan lebih baik jika kita mengenal pasti hal yang dapat menghasilkan sukacita yang kekal dan sukacita yang sementara.

SUKACITA YANG SEMENTARA

Sesetengah peristiwa memang menggembirakan. Fikirkan pasangan yang dilamun cinta dan akan berkahwin, orang yang bakal menjadi ibu bapa, atau mereka yang diberi tugas rohani baharu. Hal-hal sebegini membawa sukacita kerana merupakan kurniaan Yehuwa. Dialah yang mengasaskan perkahwinan, membolehkan manusia melahirkan anak, dan memberi kita tugas melalui sidang Kristian.​—Kej. 2:18, 22; Mzm. 127:3; 1 Tim. 3:1.

Namun, sukacita yang diperoleh daripada hal sebegini mungkin tidak kekal. Pasangan hidup mungkin menjadi tidak setia atau meninggal. (Yeh. 24:18; Hos. 3:1) Terdapat anak yang mengingkari ibu bapa dan Tuhan, dan bahkan disingkirkan. Anak-anak Samuel tidak menyembah Yehuwa dengan cara yang betul, dan keluarga Daud telah dirundung masalah kerana dosanya. (1 Sam. 8:1-3; 2 Sam. 12:11) Kejadian sebegini tidak membawa sukacita, malah amat menyedihkan.

Begitu juga, kita mungkin perlu menghentikan tugas rohani kerana masalah kesihatan, tanggungjawab keluarga, atau perubahan dalam organisasi. Ramai orang yang mengalami hal ini mengakui bahawa mereka merindui sukacita yang diraih daripada tugas mereka dahulu.

Jelaslah, sukacita yang diperoleh daripada sumber sedemikian tidak berkekalan. Jadi, dapatkah kita menemui sukacita yang kekal, yang tidak berubah bahkan pada waktu kesusahan? Ya, kerana Samuel, Daud, dan orang lain, telah tetap bersukacita semasa dilanda cubaan.

SUKACITA YANG BERKEKALAN

Yesus memahami erti sebenar sukacita. Sebelum dia datang ke bumi, kehidupannya sempurna, dan dia “sentiasa bergembira di hadirat [Yehuwa].” (Ams. 8:30) Namun, semasa di bumi, dia pernah menghadapi dugaan yang berat. Meskipun begitu, Yesus bersukacita kerana dia melakukan kehendak Bapanya. (Yoh. 4:34) Bagaimana pula dengan waktu sebelum kematiannya? “Disebabkan sukacita yang ada di hadapannya, dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan.” (Ibr. 12:2) Marilah kita meneliti dua perkara yang disebut Yesus tentang sukacita yang sejati.

Pernah sekali, 70 orang murid Yesus kembali kepadanya setelah menjalankan kerja penyebaran. Mereka bersukacita kerana berjaya melakukan mukjizat dan bahkan mengusir roh jahat. Tetapi Yesus berkata, “Janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu. Sebaliknya, bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.” (Luk. 10:1-9, 17, 20) Ya, mendapat perkenan Yehuwa lebih penting daripada diberi apa-apa tugas istimewa, dan akan membawa sukacita yang jauh lebih besar.

Pada masa yang lain, semasa Yesus berucap kepada orang ramai, seorang wanita Yahudi amat kagum dengan ajarannya dan berkata bahawa ibu Yesus pasti sangat gembira. Namun, Yesus membetulkan pandangannya dengan berkata, “Tidak. Sebaliknya, berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!” (Luk. 11:27, 28) Anak-anak yang membanggakan ibu bapa memang membawa sukacita, tetapi mentaati Yehuwa dan memelihara hubungan yang baik dengan-Nya akan membawa sukacita yang berkekalan.

Sesungguhnya, kesedaran bahawa Yehuwa berkenan kepada kita ialah kunci kepada sukacita yang mendalam. Kesedaran ini tidak berubah biarpun kita menderita akibat cubaan. Apabila seseorang tetap tabah dan setia kepada Yehuwa meskipun dicubai, kemenangan yang diraihnya akan menghasilkan sukacita. (Rm. 5:3-5) Tambahan lagi, Yehuwa memberikan kuasa suci-Nya kepada orang yang percaya kepada-Nya, dan sukacita merupakan satu aspek buah kuasa suci. (Gal. 5:22) Itulah sebabnya Mazmur 64:10 menyatakan, ‘Orang yang baik akan bersukacita kerana Yehuwa.’

Apakah yang membantu John agar tetap bersukacita?

Kini, kita dapat faham sebabnya Diana dan John dapat tetap bersukacita di bawah keadaan yang mencabar. Diana berkata, “Saya berlindung kepada Yehuwa sebagaimana seorang anak meminta perlindungan ibu bapanya.” Bagaimanakah dia merasai perkenan Tuhan? “Dia memberi saya keupayaan untuk menginjil dengan tetap dan dengan wajah yang tersenyum.” John menjelaskan apa yang membantunya tetap aktif dalam kerja penyebaran dan bersukacita selepas berhenti membuat kerja lawatan: “Semasa saya mula mengajar dalam Sekolah Latihan Pengorganisasian pada tahun 1998, saya membuat lebih banyak pembelajaran peribadi berbanding dahulu.” Mengenai dirinya dan isterinya, John berkata, “Selama ini, kami sentiasa rela melakukan apa sahaja tugas yang diberikan Yehuwa. Oleh itu, adalah lebih mudah bagi kami untuk menyesuaikan diri dengan perubahan situasi. Kami tidak menyesalinya.”

Ramai orang telah menyaksikan betapa benarnya kata-kata di Mazmur 64:10. Misalnya, satu pasangan yang telah berkhidmat di Bethel Amerika Syarikat untuk lebih daripada 30 tahun telah ditugaskan sebagai perintis khas. Mereka mengaku, “Kamu memang akan sedih setelah kehilangan sesuatu yang dicintai. Tetapi kamu tidak boleh bersedih selamanya.” Mereka segera menginjil bersama sidang baharu. Pasangan itu juga berkata, “Kami berdoa tentang hal-hal yang spesifik, dan kami digalakkan dan bersukacita semasa melihat doa kami dijawab. Tidak lama selepas kami berpindah, ahli sidang yang lain juga mula merintis, dan kami mendapat dua orang pelajar Bible yang membuat kemajuan.”

“BERSUKACITALAH SELAMA-LAMANYA”

Sudah tentu, tidak selalu mudah untuk bersukacita, dan emosi kita ada naik turunnya. Namun, melalui kata-kata di Mazmur 64:10, Yehuwa meneguhkan hati kita. Semasa tawar hati, yakinlah bahawa tidak kira apa perubahan yang kita lalui, jika kita tetap setia, kita ialah “orang yang baik” dan akan ‘bersukacita kerana Yehuwa.’ Bukan itu sahaja, kita dapat menantikan ketibaan “langit baharu dan bumi baharu” yang dijanjikan Yehuwa. Pada masa itu, semua penyembah Tuhan akan menjadi sempurna. Mereka akan ‘bergirang dan bersukacita selama-lamanya’ kerana segala perbuatan-Nya.​—Yes. 65:17, 18.

Bayangkan keadaannya: Menikmati kesihatan yang sempurna dan berasa bertenaga setiap hari. Apa sahaja duka dan lara pada masa lampau tidak akan menghantui kita lagi. Yehuwa menjamin, “Perkara-perkara yang lama tidak akan terlintas dalam fikiran lagi, dan tidak akan dikenang sama sekali.” Semasa pembangkitan, jutaan orang akan bertemu semula dengan orang tersayang yang telah meninggal. Seperti ibu bapa kepada gadis yang dibangkitkan Yesus, mereka mungkin “tidak dapat mengawal perasaan kerana mereka terlalu gembira.” (Mrk. 5:42) Akhirnya, kata-kata yang berbunyi: ‘Orang yang baik akan bersukacita kerana Yehuwa’ akan berlaku di bumi dengan sepenuhnya dan untuk selama-lamanya.