Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Belajarlah daripada Hamba Yehuwa yang Setia

Belajarlah daripada Hamba Yehuwa yang Setia

‘Ya Yehuwa, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu.’—MZM. 18:26.

LAGU: 63, 43

1, 2. Bagaimanakah Daud menunjukkan bahawa dia setia kepada Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

SAUL dan 3,000 askarnya sedang memburu Daud di padang belantara Yehuda. Pada satu malam, Daud dan pengikutnya menjumpai tempat perkhemahan Saul dan askarnya. Mereka semua tidur, maka Daud dan Abisai berjalan dengan berhati-hati lalu menjumpai Saul. Abisai berkata kepada Daud, “Benarkanlah saya menancapkan tombaknya sendiri ke badannya sehingga tembus ke tanah. Saya akan membunuh dia dengan sekali tikaman saja, tidak usah sampai dua kali!” Tetapi Daud melarangnya dan berkata, ‘Janganlah kau apa-apakan baginda! Tentu Yehuwa akan menghukum orang yang berbuat jahat kepada raja yang dipilih-Nya.’ Kemudian Daud berkata lagi bahawa dia tidak akan mencederakan raja yang dipilih Yehuwa.—1 Sam. 26:8-12.

2 Daud tahu apa yang perlu dilakukan untuk setia kepada Yehuwa. Dia tahu bahawa dia harus menghormati Saul dan tidak mencederakannya. Mengapa? Kerana Tuhan telah memilih Saul sebagai raja Israel. Seperti pada masa lampau, Yehuwa juga ingin semua hamba-Nya hari ini setia kepada-Nya dan menghormati orang yang berkuasa.—Baca Mazmur 18:26.

3. Bagaimanakah Abisai menunjukkan kesetiaan kepada Daud?

3 Abisai menghormati Daud kerana Tuhan melantik Daud sebagai raja. Namun, Daud melakukan dosa serius selepas menjadi raja. Dia berzina dengan isteri Uria dan menyuruh Yoab untuk memastikan agar Uria terbunuh dalam pertempuran. (2 Sam. 11:2-4, 14, 15; 1 Taw. 2:16) Oleh kerana Yoab dan Abisai ialah adik-beradik, Abisai mungkin tahu perbuatan Daud. Tetapi, dia tetap menghormati Daud sebagai raja yang dilantik Tuhan. Walaupun Abisai ialah ketua tentera dan dapat menggunakan kuasanya untuk menjadikan dirinya raja, dia tidak melakukan hal itu. Sebaliknya, dia membantu dan melindungi Daud.—2 Sam. 10:10; 20:6; 21:15-17.

4. (a) Bagaimanakah Daud menyediakan teladan yang baik melalui kesetiaannya kepada Tuhan? (b) Apakah teladan lain yang akan kita bincangkan?

4 Daud setia kepada Yehuwa sepanjang hayatnya. Sewaktu muda, dia membunuh Goliat yang menghina Yehuwa dan orang Israel. (1 Sam. 17:23, 26, 48-51) Semasa Daud menjadi raja, Yehuwa mengutus nabi Natan untuk menegurnya kerana dia berdosa. Daud segera mengakui dosanya lalu bertaubat. (2 Sam. 12:1-5, 13) Sewaktu tua, dia memberikan banyak sumbangan untuk membina Rumah Yehuwa. (1 Taw. 29:1-5) Walaupun Daud melakukan dosa serius, dia setia kepada Tuhan. (Mzm. 51:6, 12; 86:2) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan teladan Daud dan beberapa orang yang hidup sezamannya. Kita akan belajar cara untuk setia kepada Yehuwa dan sifat yang diperlukan untuk setia.

ADAKAH ANDA AKAN SETIA KEPADA YEHUWA?

5. Apakah pengajarannya daripada kesilapan Abisai?

5 Apabila Abisai ingin membunuh Saul, dia ingin menunjukkan kesetiaannya kepada Daud. Namun Daud tahu bahawa adalah salah untuk mencederakan ‘raja yang dipilih Tuhan.’ Maka Daud tidak membenarkan Abisai membunuh Saul. (1 Sam. 26:8-11) Hal ini menunjukkan pengajaran yang penting: Kita mungkin setia kepada beberapa pihak. Tetapi dalam sesetengah situasi, kita harus memilih pihak mana yang perlu diutamakan. Kita boleh melakukan hal ini dengan mempertimbangkan prinsip Bible.

6. Walaupun kita ingin setia kepada sahabat dan keluarga, mengapakah kita harus berwaspada?

6 Kita ingin setia kepada orang yang dikasihi, seperti sahabat atau keluarga. Namun, kita tidak sempurna dan hati kita licik. (Yer. 17:9) Maka apabila orang yang dikasihi berdosa dan meninggalkan kebenaran, kita perlu ingat bahawa kesetiaan kepada Yehuwa harus diutamakan.—Baca Matius 22:37.

7. Bagaimanakah seorang saudari menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa dalam situasi yang mencabar?

7 Anda boleh menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa walaupun ahli keluarga anda disingkirkan. Contohnya, ibu Anne [1] yang telah disingkirkan, menelefon Anne dan memberitahu bahawa dia ingin melawatnya. Ibu Anne berkata bahawa dia tidak bahagia kerana ahli keluarga enggan bercakap kepadanya. Anne berasa sedih dan berjanji untuk menulis surat kepada ibunya. Sebelum menulis surat, Anne merenungkan prinsip Bible. (1 Kor. 5:11; 2 Yoh. 9-11) Dalam surat itu, Anne menjelaskan dengan baik bahawa ibunya telah memutuskan hubungan dengan keluarga kerana dia sendiri enggan bertaubat. Anne memberitahu ibunya bahawa satu-satunya cara untuk gembira adalah dengan kembali kepada Yehuwa.—Yak. 4:8.

8. Apakah sifat-sifat yang membantu kita setia kepada Yehuwa?

8 Hamba Yehuwa yang setia pada zaman Daud juga bersifat rendah hati, baik hati, dan berani. Marilah kita lihat bagaimana sifat-sifat ini membantu kita untuk setia kepada Yehuwa.

KITA HARUS BERSIFAT RENDAH HATI

9. Mengapakah Abner ingin membunuh Daud?

9 Anak Saul, iaitu Yonatan, dan ketua tentera Israel, iaitu Abner, melihat Daud membawa kepala Goliat kepada Raja Saul. Yonatan menjadi sahabat Daud dan setia kepadanya. (1 Sam. 17:57–18:3) Abner pula sebaliknya. Dia bahkan membantu Saul yang ingin membunuh Daud. (1 Sam. 26:1-5; Mzm. 54:5) Yonatan dan Abner tahu bahawa Tuhan ingin Daud menjadi raja Israel yang seterusnya. Namun selepas Saul meninggal, Abner tidak menyokong Daud. Sebaliknya, dia ingin menjadikan anak Saul, iaitu Isyboset, sebagai raja. Kemudian, Abner melakukan hubungan seks dengan seorang isteri Raja Saul, mungkin kerana dia ingin menjadi raja. (2 Sam. 2:8-10; 3:6-11) Mengapakah Yonatan dan Abner memiliki pandangan yang berbeza terhadap Daud? Kerana Abner tidak seperti Yonatan yang rendah hati dan setia kepada Yehuwa.

10. Mengapakah Absalom tidak setia kepada Tuhan?

10 Anak Raja Daud, iaitu Absalom, tidak rendah hati dan tidak setia kepada Tuhan. Dia ingin menjadi raja. Oleh itu, dia “menyediakan sebuah kereta kuda dan beberapa ekor kuda untuk dirinya, dan juga lima puluh orang pengiring peribadi.” (2 Sam. 15:1) Absalom juga mengambil hati orang Israel supaya mereka setia kepadanya. Dia bahkan cuba membunuh bapanya, walaupun dia tahu bahawa Yehuwa telah menjadikan bapanya sebagai raja Israel.—2 Sam. 15:13, 14; 17:1-4.

11. Apakah yang kita pelajari daripada Abner, Absalom, dan Barukh?

11 Orang yang tidak rendah hati dan menginginkan lebih banyak kuasa akan berasa susah untuk setia kepada Tuhan. Sudah tentu, kita mengasihi Yehuwa dan tidak mahu menjadi seperti Abner dan Absalom yang jahat dan mementingkan diri. Maka, kita harus berwaspada agar tidak mengejar kekayaan atau pekerjaan yang membuat kita masyhur. Hal ini boleh menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. Buat suatu jangka masa, Barukh, iaitu setiausaha Yeremia, menginginkan sesuatu yang tidak dimilikinya. Oleh itu, dia tidak lagi menyembah Yehuwa dengan sukacita. Maka Yehuwa berkata kepadanya, ‘Aku, Yehuwa, sedang merobohkan apa yang telah Aku bina; Aku sedang mencabut apa yang telah Aku tanam. Aku akan melakukan perkara itu kepada seluruh bumi ini. Adakah engkau ingin diistimewakan? Jangan.’ (Yer. 45:4, 5) Barukh mendengarkan Yehuwa. Kita juga harus mendengarkan Yehuwa kerana dunia ini akan dimusnahkan tidak lama lagi.

12. Jelaskan mengapa kita tidak dapat setia kepada Tuhan jika kita mementingkan diri.

12 Kesetiaan Daniel, seorang saudara dari Mexico, telah diuji. Dia ingin mengahwini seorang gadis yang bukan penyembah Yehuwa. Daniel berkata, “Setelah menjadi perintis, saya masih menulis surat kepadanya.” Kemudian, dia sedar bahawa dia mementingkan diri. Dia tidak setia kepada Yehuwa dan dia perlu bersifat rendah hati. Maka dia memberitahu seorang penatua yang berpengalaman tentang gadis itu. Daniel menjelaskan, “Dia membantu saya untuk memahami bahawa jika saya ingin setia kepada Tuhan, saya perlu berhenti menulis surat kepada gadis itu. Selepas banyak berdoa dan mencurahkan air mata, saya berhenti menulis surat kepadanya. Tidak lama kemudian, sukacita saya dalam aktiviti penyebaran semakin bertambah.” Kini, Daniel mempunyai seorang isteri yang mengasihi Yehuwa dan dia berkhidmat sebagai seorang penyelia litar.

KESETIAAN KEPADA TUHAN MEMBANTU KITA MENUNJUKKAN KEBAIKAN HATI

Jika rakan seiman melakukan dosa serius, adakah anda akan membantu dia untuk mendapatkan bantuan rohani? (Lihat perenggan 14)

13. Bagaimanakah Natan setia kepada Tuhan dan Daud walaupun Daud berdosa?

13 Jika kita setia kepada Yehuwa, kita juga dapat setia kepada orang lain dan membantu mereka. Nabi Natan setia kepada Yehuwa dan Daud. Setelah Daud berzina dan membunuh, Yehuwa mengutus Natan untuk menegur Daud. Natan menunjukkan keberanian dengan mentaati Yehuwa. Namun, dia bertindak dengan bijak dan bercakap dalam cara yang lembut kepada Daud. Dia ingin membantu Daud sedar betapa serius dosanya. Maka, dia menceritakan kisah tentang seorang lelaki kaya yang mengambil biri-biri seorang lelaki miskin. Apabila Daud mendengar hal ini, dia berasa marah terhadap lelaki kaya itu. Kemudian, Natan berkata, “Tuanku adalah orang itu!” Daud sedar bahawa dia telah berdosa terhadap Yehuwa.—2 Sam. 12:1-7, 13.

14. Bagaimanakah anda dapat setia kepada Yehuwa serta sahabat dan saudara-mara?

14 Apabila kesetiaan kita diuji, kita harus menunjukkan kebaikan hati. Contohnya, anda mungkin ada bukti bahawa seorang rakan seiman melakukan dosa serius. Anda ingin setia kepadanya, terutamanya jika dia ialah sahabat karib atau keluarga anda. Tetapi, anda tahu bahawa kesetiaan kepada Yehuwa lebih penting. Seperti Natan, anda boleh mentaati Yehuwa dan menunjukkan kebaikan hati kepada rakan itu. Mintalah dia berjumpa dengan penatua secepat mungkin. Jika tidak, anda patut memberitahu penatua. Dengan demikian, anda menunjukkan kesetiaan kepada Yehuwa dan kebaikan hati kepada rakan itu. Penatua akan menegurnya dengan lembut dan berusaha memulihkan hubungannya dengan Yehuwa.—Baca Imamat 5:1; Galatia 6:1.

KITA PERLU KEBERANIAN UNTUK SETIA KEPADA TUHAN

15, 16. Mengapakah Husai perlu berani untuk setia kepada Yehuwa?

15 Husai ialah sahabat Raja Daud. Apabila rakyat ingin menjadikan Absalom raja, Husai perlu berani untuk setia kepada Daud dan Tuhan. Dia tahu bahawa Absalom datang ke Yerusalem bersama askarnya dan Daud telah melarikan diri. (2 Sam. 15:13; 16:15) Apakah yang dilakukan oleh Husai? Adakah dia meninggalkan Daud dan menyokong Absalom? Tidak. Walaupun Daud sudah tua dan banyak orang ingin membunuhnya, Husai tetap setia kepada Daud kerana dialah raja pilihan Tuhan. Maka Husai pergi ke Gunung Zaitun untuk berjumpa Daud.—2 Sam. 15:30, 32.

16 Daud meminta Husai untuk kembali ke Yerusalem dan berpura-pura menjadi sahabat Absalom. Daud ingin Absalom mendengar nasihat Husai dan bukannya Ahitofel. Dengan berani, Husai membahayakan nyawanya supaya dapat setia kepada Yehuwa dan mentaati arahan Daud. Seperti yang didoakan Daud, Absalom mendengar nasihat Husai.—2 Sam. 15:31; 17:14.

17. Mengapakah keberanian diperlukan jika kita ingin setia?

17 Kita perlu berani untuk setia kepada Yehuwa. Kita perlu mentaati Yehuwa walaupun menghadapi tekanan daripada ahli keluarga, rakan sekerja, atau pihak berkuasa. Contohnya, Taro dari Jepun selalu berusaha menyenangkan hati ibu bapa kerana dia mengasihi dan setia kepada mereka. Tetapi apabila dia belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa, ibu bapanya ingin dia berhenti. Taro berasa sedih dan susah untuk memberitahu mereka bahawa dia ingin pergi ke perjumpaan. Taro berkata, “Mereka sangat marah. Selama bertahun-tahun saya dilarang melawat mereka. Saya berdoa meminta keberanian untuk berpendirian teguh. Sekarang kami berbaik semula, dan saya dapat melawat mereka.”—Baca Amsal 29:25.

18. Bagaimanakah rencana ini telah membantu anda?

18 Seperti Daud, Yonatan, Natan, dan Husai, semoga kita meraih sukacita kerana setia kepada Yehuwa. Kita tidak ingin menjadi seperti Abner dan Absalom yang tidak setia. Walaupun kita tidak sempurna, marilah kita tunjukkan bahawa kesetiaan kepada Yehuwa ialah perkara utama dalam kehidupan kita.

^ [1] (perenggan 7) Sesetengah nama telah diubah.