Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KHAZANAH ROHANI KITA

Kereta Bunyi Dikenali Jutaan Orang

Kereta Bunyi Dikenali Jutaan Orang

“Sebuah kereta bunyi digunakan dalam khidmat kepada Tuhan di Brazil. Kereta itu dikenali jutaan orang sebagai ‘kereta bunyi Watch Tower.’”—Nathaniel A. Yuille, tahun 1938.

KEMAJUAN kerja penyebaran di Brazil agak perlahan pada awal tahun 1930-an. Pada tahun 1935, Nathaniel dan Maud Yuille yang merupakan perintis menulis surat kepada Joseph F. Rutherford, iaitu saudara yang memimpin kerja penyebaran, dan mengatakan bahawa mereka “sudi berkhidmat di mana sahaja.”

Nathaniel, seorang jurutera awam yang bersara, berumur 62 tahun. Dia pernah menjadi pengarah aktiviti penyebaran bagi sidang Saksi-Saksi Yehuwa di San Francisco, California, A.S. Di sana, dia mengaturkan kerja penyebaran dan menggunakan alat bunyi untuk menyebarkan berita baik. Pengalaman dan semangat rela berkorban telah membantunya dalam tugas baru. Dia dilantik sebagai pembantu cawangan di Brazil!

Pada tahun 1936, Nathaniel dan Maud, tiba di Brazil bersama Antonio P. Andrade, yang merupakan perintis dan jurubahasa. Mereka membawa 35 peti nyanyi dan sebuah kereta bunyi. Brazil, iaitu negara kelima terbesar di dunia, hanya mempunyai 60 orang penyiar! Namun, alat bunyi ini mencapai jutaan orang hanya dalam beberapa tahun.

Sebulan selepas Nathaniel dan Maud tiba, pejabat cawangan mengaturkan konvensyen yang pertama di São Paulo, Brazil. Semasa konvensyen ini, aturan dibuat untuk menjalankan kerja penyebaran. Nampaknya Maud memandu kereta bunyi itu. Kereta itu mengumumkan ceramah yang akan disampaikan. Hasilnya, 110 orang hadir konvensyen itu! Program konvensyen mendorong para penyiar untuk meningkatkan aktiviti penyebaran. Mereka belajar cara menginjil dengan menggunakan bahan bacaan, kad mesej Bible, serta rakaman peti nyanyi dalam bahasa Inggeris, Jerman, Hungary, Poland, Sepanyol, dan Portugis.

Di Brazil, jutaan orang mendengar berita Kerajaan Tuhan melalui kereta bunyi

Pada tahun 1937, tiga konvensyen sebegini telah diadakan di São Paulo, Rio de Janeiro, dan Curitiba. Konvensyen ini banyak membantu kerja penyebaran. Kereta bunyi dipandu sambil hadirin konvensyen menginjil dari rumah ke rumah. José Maglovsky menulis, “Kami meletakkan bahan bacaan pada rak, dan menyiarkan ceramah mesej Bible melalui kereta bunyi. Jika orang keluar dari rumah untuk melihat apa berlaku, kami bercakap dengan mereka.”

Banyak orang beriadah berdekatan sungai, di situlah acara pembaptisan diadakan. Itu merupakan peluang baik untuk menyebarkan berita baik dengan menggunakan kereta bunyi! Ceramah pembaptisan Saudara Rutherford dapat didengari melalui pembesar suara. Banyak orang mengelilingi kereta itu untuk mendengar ceramah yang diterjemahkan dalam bahasa Portugis. Kemudian, calon pembaptisan menikmati lagu teokratik yang dirakamkan dalam bahasa Poland. Saudara saudari turut bernyanyi dalam pelbagai bahasa. Buku Tahunan 1938 melaporkan, “Peristiwa ini mengingatkan kita tentang Pentakosta di mana setiap orang memahami bahasa ibunda mereka.”

Selepas konvensyen itu, setiap Ahad, tidak kira hujan atau panas, kereta bunyi akan menyiarkan rakaman ceramah Bible di taman, kawasan perumahan, dan kilang di São Paulo serta pekan yang berdekatan. Kereta bunyi juga memainkan program bulanan bagi 3,000 pesakit kusta yang tinggal 97 km di barat laut São Paulo. Tidak lama kemudian, sebuah sidang telah dibentuk. Walaupun mereka menghidapi penyakit kusta, para penyiar mendapat keizinan untuk melawat mereka dan mengongsi mesej Bible yang melegakan.

Rakaman berita Kerajaan Tuhan dalam bahasa Portugis akhirnya tiba pada tahun 1938. Sewaktu perayaan memperingati orang mati, kereta bunyi dipandu ke kawasan perkuburan untuk memainkan ceramah yang bertajuk “Di Manakah Orang Mati?,” “Yehuwa,” dan “Kekayaan.” Ceramah itu didengari lebih daripada 40,000 orang!

Pemimpin gereja marah kerana kebenaran Bible diumumkan. Mereka memaksa pihak berkuasa untuk menghentikan kereta bunyi. Saudari Yuille menceritakan kisah seorang paderi yang menghasut sekumpulan orang mengerumuni kereta bunyi. Namun, datuk bandar dan polis yang tiba mendengar seluruh program yang disiarkan. Datuk bandar juga menerima bahan bacaan Bible. Rusuhan tidak berlaku pada hari itu. Walaupun ditentang, laporan dalam Buku Tahunan 1940 mengenai Brazil menyatakan bahawa tahun 1939 merupakan masa yang terbaik untuk menyebarkan nama Tuhan.

Ketibaan “kereta bunyi Watch Tower” merupakan titik bersejarah dalam aktiviti penyebaran di Brazil. Jutaan orang mendengar berita Kerajaan Tuhan melalui kereta bunyi. Walaupun kereta itu dijual pada tahun 1941, ribuan Saksi-Saksi Yehuwa terus menyebarkan berita baik di negara Brazil yang luas.—Dari khazanah rohani kita di Brazil.