RENCANA PEMBELAJARAN 3
Apa yang Dapat Kita Pelajari daripada Air Mata Yesus
“Yesus mula menangis.”—YOH. 11:35.
LAGU 17 “Aku Rela”
PENGENALAN *
1-3. Apakah sesetengah hal yang menyebabkan kita menangis?
BILAKAH kali terakhir anda menangis? Ada kalanya, kita menangis kerana gembira. Namun biasanya, kita menangis kerana sedih. Sebagai contoh, kita menangis semasa orang tersayang kita meninggal. Lorilei, seorang saudari di Amerika Syarikat, menulis, “Ada masanya, perasaan pilu kerana kehilangan anak perempuan saya begitu menyakitkan sehingga saya rasa tiada apa-apa yang dapat melegakan saya. Pada saat itu, saya tertanya-tanya sama ada hati saya yang hancur ini dapat diubati.” *
2 Kita mungkin menangis kerana sebab yang lain. Hiromi, seorang perintis di Jepun, berkata, “Dari masa ke masa, saya rasa tawar hati kerana sambutan dingin di kawasan penyebaran saya. Ada kalanya, saya menitiskan air mata sambil meminta bantuan Yehuwa untuk menemui orang yang mencari kebenaran.”
3 Pernahkah anda mengalami perasaan seperti dua orang saudari yang disebut tadi? Ramai daripada kita mungkin menjawab, “Ya.” (1 Ptr. 5:9) Kita mahu ‘berkhidmat kepada Yehuwa dengan gembira,’ tetapi pada masa sekarang, kita mungkin menyembah-Nya sambil menangis kerana sedih, rasa tawar hati, atau kerana kita menghadapi cabaran yang menguji kesetiaan kita kepada Tuhan. (Mzm. 6:6; 100:2) Apakah yang dapat kita lakukan pada waktu sedemikian?
4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
4 Ada kalanya, Yesus juga mengalami hal-hal yang membuatnya menangis. (Yoh. 11:35; Luk. 19:41; 22:44; Ibr. 5:7) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga peristiwa semasa Yesus menangis dan melihat apa yang dapat kita pelajari daripada air matanya. Kita juga akan membincangkan teladan Yesus dan beberapa cara praktikal yang dapat membantu kita mengatasi cabaran yang menyebabkan kita menangis.
YESUS MENANGIS KERANA MENGAMBIL BERAT TERHADAP SAHABATNYA
5. Apakah yang kita pelajari tentang Yesus daripada catatan di Yohanes 11:32-36?
5 Pada musim sejuk tahun 32 M, kawan baik Yesus, iaitu Lazarus, jatuh sakit dan meninggal. (Yoh. 11:3, 14) Semasa Lazarus mati, dua orang kakaknya, iaitu Maria dan Marta, sangat sedih dan hancur hati. Yesus amat mengasihi keluarga mereka. Jadi, selepas Lazarus meninggal, Yesus pergi ke Betania, iaitu tempat tinggal Maria dan Marta. Semasa Marta mendengar bahawa Yesus dalam perjalanan ke situ, dia bergegas keluar untuk berjumpa dengan Yesus. Hati Marta tentu berasa amat sebak semasa dia berkata, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati.” (Yoh. 11:21) Tidak lama kemudian, semasa Yesus melihat Maria dan orang lain menangis, “Yesus mula menangis.”—Baca Yohanes 11:32-36.
6. Mengapakah Yesus menangis semasa Lazarus mati?
6 Mengapakah Yesus menangis pada masa itu? Buku “Pemahaman” menyatakan, “Kematian sahabatnya, Lazarus, dan kesedihan yang dirasai dua orang kakak Lazarus menyebabkan Yesus ‘berasa sangat susah hati dan mula menangis.’” * Yesus mungkin terfikir tentang penderitaan yang perlu dilalui oleh Lazarus akibat penyakitnya, dan membayangkan perasaan Lazarus semasa dia tahu bahawa dia tidak akan hidup lama lagi. Yesus juga menangis semasa melihat betapa sedihnya Maria dan Marta atas kematian adik mereka. Jika sahabat atau ahli keluarga anda telah meninggal, anda pasti dapat memahami perasaan Maria dan Marta. Perhatikan tiga pengajaran yang dapat anda pelajari daripada peristiwa ini.
7. Setelah mengetahui bahawa Yesus menangis untuk sahabatnya, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?
7 Yehuwa memahami perasaan anda. Yesus merupakan “gambaran tepat” bagi Bapanya. (Ibr. 1:3) Jadi semasa Yesus menangis, dia sebenarnya mencerminkan perasaan Yehuwa. (Yoh. 14:9) Oleh itu, jika anda sedang bersedih atas kematian orang yang tersayang, yakinlah bahawa Yehuwa melihat kesedihan anda. Bukan itu sahaja, Dia merasai keperitan anda dan ingin mengubati hati anda yang hancur.—Mzm. 34:18; 147:3.
8. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yesus pasti membangkitkan orang tersayang kita?
8 Yesus ingin membangkitkan orang tersayang anda. Sebelum Yesus menitiskan air mata, Yesus memberitahu Marta, “Adik kamu akan hidup semula.” Marta percaya kepada Yesus. (Yoh. 11:23-27) Sebagai penyembah Yehuwa yang setia, Marta tentu tahu tentang pembangkitan yang dilakukan oleh Nabi Elia dan Elisa ratusan tahun yang lalu. (1 Raj. 17:17-24; 2 Raj. 4:32-37) Marta juga pernah mendengar tentang pembangkitan yang dilakukan oleh Yesus. (Luk. 7:11-15; 8:41, 42, 49-56) Yesus telah menangis semasa melegakan sahabat-sahabatnya yang berkabung. Air matanya membuktikan bahawa dia sangat ingin membangkitkan orang mati. Maka, percayalah bahawa anda akan berjumpa semula dengan orang tersayang anda yang sudah meninggal!
9. Seperti Yesus, bagaimanakah anda dapat memberikan sokongan kepada orang yang bersedih? Berikan contoh.
9 Anda dapat memberikan sokongan kepada orang yang bersedih. Yesus bukan sahaja menangis bersama Marta dan Maria, tetapi dia juga mendengar luahan mereka dan menenangkan hati mereka. Kita dapat melakukan hal yang sama untuk orang yang berkabung. Danny, seorang penatua di Australia, berkata, “Selepas isteri saya meninggal, saya memerlukan sokongan. Beberapa orang saudara dan isteri mereka memberitahu saya bahawa saya boleh meluahkan isi hati saya kepada mereka pada bila-bila masa. Mereka memasang telinga semasa saya bercakap, dan bila saya menangis, mereka tidak menganggap hal itu memalukan. Semasa saya tidak mampu melakukan hal-hal seperti mencuci kereta, membeli barang keperluan, dan memasak, mereka juga membantu saya. Selain itu, mereka sering berdoa bersama saya. Mereka sesungguhnya sahabat sejati dan saudara saudari ‘yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.’”—Ams. 17:17.
YESUS MENANGIS KERANA MENGAMBIL BERAT TERHADAP ORANG LAIN
10. Gambarkan peristiwa yang tercatat di Lukas 19:36-40.
10 Yesus tiba di Yerusalem pada 9 Nisan 33 M. Semasa dia menghampiri kota itu, orang ramai berkumpul dan membentangkan jubah luar mereka di atas jalan untuk mengakui Yesus sebagai Raja. Peristiwa itu tentu sangat menggembirakan. (Baca Lukas 19:36-40.) Namun, apa yang berlaku seterusnya pasti membuat murid-murid Yesus terkejut. “Semasa [Yesus] menghampiri Yerusalem, dia melihat kota itu dan menangis.” Sambil menitiskan air mata, Yesus menubuatkan bahawa penduduk Yerusalem bakal ditimpa malapetaka.—Luk. 19:41-44.
11. Mengapakah Yesus menangis untuk penduduk Yerusalem?
11 Yesus berasa sangat sedih kerana dia tahu bahawa meskipun dia disambut dengan hangat, kebanyakan orang Yahudi telah menolak berita tentang Kerajaan Tuhan. Akibat sikap mereka, Yerusalem akan dibinasakan dan orang Yahudi yang terselamat akan ditawan. (Luk. 21:20-24) Tepat seperti yang dikatakan Yesus, kebanyakan orang enggan menerimanya. Bagaimana pula dengan orang di kawasan penyebaran anda? Adakah sedikit orang sahaja yang sudi mempelajari kebenaran? Jika ya, apakah yang dapat anda pelajari daripada air mata Yesus? Perhatikan tiga pengajaran berikut.
12. Setelah mengetahui bahawa Yesus menangis untuk orang lain, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?
12 Yehuwa mengambil berat terhadap orang. Air mata Yesus mengingatkan kita bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap orang. “Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Hari ini, kita dapat menunjukkan kasih kita kepada orang lain dengan terus berusaha untuk mengajar mereka berita baik tentang Kerajaan Tuhan.—Mat. 22:39.
13-14. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia mengasihani orang? Bagaimanakah kita dapat meniru sifatnya?
13 Yesus menginjil dengan bersungguh-sungguh. Yesus menunjukkan kasihnya kepada orang lain dengan mengajar mereka pada setiap kesempatan. (Luk. 19:47, 48) Mengapakah Yesus berbuat demikian? Dia mengasihani mereka. Kadangkala, ada begitu ramai orang ingin mendengar ajaran Yesus sehingga dia dan murid-muridnya “langsung tidak ada masa untuk makan.” (Mrk. 3:20) Yesus juga sudi untuk mengajar pada waktu malam kerana masa itu lebih sesuai untuk salah seorang pendengarnya. (Yoh. 3:1, 2) Kebanyakan orang yang mendengar ajaran Yesus tidak menjadi pengikutnya, tetapi Yesus telah memberikan kesaksian yang menyeluruh kepada mereka. Hari ini, kita juga mahu memberikan peluang kepada semua orang untuk mendengar berita baik. (Kis. 10:42) Untuk melakukan hal ini, kita mungkin perlu mengubah cara kita menginjil.
14 Sudi membuat perubahan yang diperlukan. Jika kita tidak sudi mengubah masa kita menginjil, kita mungkin tidak dapat berjumpa dengan orang yang berminat untuk mendengar berita baik. Seorang perintis yang bernama Matilda berkata, “Saya dan suami saya cuba menginjil pada masa yang berlainan. Pada awal pagi, kami menginjil di kawasan perniagaan. Pada waktu tengah hari, semasa banyak orang keluar, kami menginjil dengan menggunakan rak kesaksian awam. Kami juga mendapati bahawa kami dapat berjumpa dengan lebih banyak orang di rumah mereka pada lewat petang.” Ingatlah, kita tidak hanya sudi menginjil pada masa yang senang bagi kita, tetapi juga pada masa yang membolehkan kita untuk berjumpa dengan orang. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa akan sangat gembira.
YESUS MENANGIS KERANA DIA MEMENTINGKAN NAMA BAPANYA
15. Menurut Lukas 22:39-44, apakah yang berlaku pada malam sebelum Yesus dibunuh?
15 Pada malam 14 Nisan 33 M, Yesus pergi ke Taman Getsemani dan mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. (Baca Lukas 22:39-44.) Pada masa itu, Yesus telah “memohon . . . dengan seruan dan tangisan.” (Ibr. 5:7) Apakah yang Yesus doakan pada malam sebelum kematiannya? Dia berdoa meminta kekuatan untuk tetap setia kepada Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya. Yehuwa telah mendengar doa Anak-Nya yang sungguh-sungguh dan menghantar satu malaikat untuk menguatkannya.
16. Mengapakah Yesus sangat susah hati semasa dia berdoa di Taman Getsemani?
16 Semasa berdoa di Taman Getsemani, Yesus begitu susah hati sehingga menangis. Mengapa? Dia tahu bahawa dia akan dipandang sebagai seseorang yang menghina nama Tuhan. Dia juga sedar bahawa dia memikul tanggungjawab yang sangat berat, iaitu menyucikan nama Bapanya. Jika anda menghadapi cabaran besar yang menguji kesetiaan anda kepada Yehuwa, apakah yang dapat anda pelajari daripada air mata Yesus? Perhatikan tiga lagi pengajaran.
17. Setelah mengetahui bahawa Yehuwa menjawab doa Yesus, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?
17 Yehuwa mendengar rayuan anda. Mengapakah Yehuwa mendengar rayuan Yesus? Kerana hal terpenting bagi Yesus ialah dia ingin tetap setia kepada Bapanya dan menyucikan nama Bapanya. Jika kita menganggap kesetiaan kepada Yehuwa dan penyucian nama-Nya sebagai hal yang terpenting dalam hidup kita, Yehuwa pasti akan menjawab doa kita semasa kita meminta pertolongan daripada-Nya.—Mzm. 145:18, 19.
18. Mengapakah Yesus adalah seperti seorang sahabat yang memahami perasaan kita?
18 Yesus memahami perasaan kita. Semasa kita berasa susah hati, kita bersyukur jika mempunyai kawan yang dapat memahami perasaan kita dan bahkan pernah melalui cabaran yang kita hadapi. Yesus merupakan kawan sedemikian. Yesus sendiri pernah berasa lemah dan memerlukan bantuan. Dia memahami kelemahan kita dan pasti memberikan sokongan “semasa kita memerlukan bantuan.” (Ibr. 4:15, 16) Sebagaimana Yesus sudi menerima bantuan daripada malaikat di Taman Getsemani, kita juga harus sudi menerima apa sahaja bantuan yang diberikan Yehuwa, sama ada melalui bahan bacaan, video, ceramah, para penatua, atau sahabat yang matang.
19. Bagaimanakah kita dapat memperoleh kekuatan? Berikan contoh.
19 Yehuwa akan mengurniai anda “kesejahteraan daripada Tuhan.” Bagaimanakah Yehuwa menguatkan kita? Semasa kita berdoa, kita akan menerima “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Flp. 4:6, 7) Kesejahteraan ini dapat menenangkan hati dan fikiran kita. Inilah yang dialami seorang saudari yang bernama Luz. Dia berkata, “Saya selalu berasa sunyi. Ada kalanya, perasaan ini buat saya fikir bahawa Yehuwa tidak mengasihi saya. Apabila hal itu berlaku, saya segera mencurahkan isi hati kepada Yehuwa. Doa membantu saya mengawal perasaan saya.” Pengalaman sebegini menunjukkan bahawa doa dapat menenangkan kita.
20. Apakah yang telah kita pelajari daripada air mata Yesus?
20 Kita telah mempelajari banyak hal yang praktikal dan melegakan daripada air mata Yesus. Sebagai contoh, kita perlu memberikan sokongan kepada sahabat kita yang bersedih dan percaya bahawa Yehuwa dan Yesus akan memberikan sokongan semasa kita kehilangan orang tersayang. Kita juga terdorong untuk menunjukkan belas kasihan semasa menginjil dan mengajar kerana Yehuwa dan Yesus pun menunjukkan sifat ini. Selain itu, kita dilegakan setelah belajar bahawa Yehuwa dan Anak-Nya menyelami perasaan kita, memahami kelemahan kita, dan ingin membantu kita agar tetap tabah. Semoga kita terus menerapkan apa yang kita pelajari daripada air mata Yesus sehingga tiba masanya Yehuwa menunaikan janji-Nya untuk “menyapu semua air mata [kita]”!—Why. 21:4.
LAGU 120 Tirulah Sifat Kristus yang Lemah Lembut
^ Bible menyatakan bahawa Yesus ada kalanya menangis. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga peristiwa semasa Yesus menangis dan pengajarannya bagi kita.
^ Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.
^ Lihat buku “Pemahaman” bahasa Indonesia Jilid 2, ms. 1265.
^ KETERANGAN GAMBAR: Yesus tergerak untuk melegakan Maria dan Marta. Kita juga dapat melakukan hal yang sama bagi mereka yang telah kehilangan orang tersayang.
^ KETERANGAN GAMBAR: Yesus sudi mengajar Nikodemus pada waktu malam. Kita juga harus sudi mengadakan pembelajaran Bible pada masa yang sesuai bagi pelajar kita.
^ KETERANGAN GAMBAR: Yesus berdoa meminta kekuatan agar dapat tetap setia kepada Yehuwa. Kita juga harus melakukan hal yang sama semasa berada di bawah cubaan.