Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 2

Belajar daripada Adik Lelaki Yesus

Belajar daripada Adik Lelaki Yesus

“Yakobus, yang menjadi hamba Tuhan dan hamba Tuan Yesus Kristus.”​—YAK. 1:1.

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

PENGENALAN *

1. Gambarkan keluarga Yakobus.

 YAKOBUS, iaitu adik lelaki Yesus, dibesarkan dalam keluarga yang teguh secara rohani. * Ibu bapanya, iaitu Yusuf dan Maria, sangat mengasihi Yehuwa dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. Yakobus juga menikmati satu lagi berkat istimewa: Abangnya ialah Mesias yang dijanjikan. Yakobus memang sangat beruntung kerana membesar dalam keluarga sebegini!

Yakobus membesar bersama-sama Yesus. Jadi, dia sangat mengenali abangnya (Lihat perenggan 2)

2. Mengapakah Yakobus mempunyai banyak sebab untuk berbangga dengan abangnya?

2 Yakobus mempunyai banyak sebab untuk berbangga dengan abangnya. (Mat. 13:55) Misalnya, semasa Yesus berusia 12 tahun, dia sudah begitu mengenali Ayat-Ayat Suci sehingga guru-guru agama di Yerusalem kagum dengan pengetahuannya. (Luk. 2:46, 47) Yakobus juga mungkin berpeluang bekerja bersama Yesus sebagai tukang kayu. Jika begitu, dia pasti sangat mengenali abangnya. Nathan H. Knorr sering berkata, “Kita akan sangat mengenali seseorang semasa kita bekerja bersamanya.” * Sudah tentu, Yakobus juga dapat melihat bagaimana “Yesus kian membesar dan kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.” (Luk. 2:52) Dengan adanya latar belakang sebegini, kita mungkin fikir Yakobus adalah antara orang pertama yang menjadi pengikut Yesus. Namun, hal itu tidak berlaku.

3. Adakah Yakobus menjadi pengikut Yesus semasa Yesus menginjil di bumi? Jelaskan.

3 Semasa Yesus menginjil di bumi, Yakobus tidak menjadi pengikutnya. (Yoh. 7:3-5) Barangkali, Yakobus ialah salah seorang daripada saudara-mara Yesus yang berfikir bahawa “dia sudah gila.” (Mrk. 3:21) Bible juga tidak menyatakan bahawa Yakobus berada bersama dengan ibunya Maria semasa Yesus dihukum mati pada tiang seksaan.​—Yoh. 19:25-27.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Pada kemudian hari, Yakobus telah beriman kepada Yesus dan menjadi orang Kristian yang dihormati dalam sidang. Dalam rencana ini, kita akan melihat dua pengajaran yang dapat kita belajar daripada Yakobus: (1) Mengapa kita mesti tetap rendah hati dan (2) bagaimana kita dapat menjadi guru yang mahir.

TETAP RENDAH HATI SEPERTI YAKOBUS

Semasa Yesus menampakkan diri kepada Yakobus, dia bersikap rendah hati dan mengaku bahawa Yesus ialah Mesias. Selepas itu, dia menjadi pengikut Kristus yang setia (Lihat perenggan 5-7)

5. Apakah reaksi Yakobus semasa Yesus dibangkitkan dan menampakkan diri kepadanya?

5 Bilakah Yakobus menjadi pengikut Yesus yang setia? Selepas Yesus dibangkitkan, “dia menampakkan diri kepada Yakobus, dan kemudian kepada semua rasul.” (1 Kor. 15:7) Pertemuan itu telah mengubah kehidupan Yakobus. Semasa para rasul berada dalam sebuah bilik di tingkat atas di Yerusalem dan menunggu kuasa suci Tuhan dicurahkan, Yakobus berada bersama mereka. (Kis. 1:13, 14) Kemudian, Yakobus diberi penghormatan untuk menjadi seorang ahli badan pimpinan abad pertama. (Kis. 15:6, 13-22; Gal. 2:9) Beberapa waktu sebelum tahun 62 M, dia diilhami untuk menulis sepucuk surat kepada orang Kristian terurap. Surat itu bermanfaat bagi kita semua, tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga ataupun di bumi. (Yak. 1:1) Menurut Josephus, seorang sejarawan abad pertama, Yakobus dihukum mati atas arahan Imam Agung Yahudi Ananias anak Hanas. Yakobus telah menyembah Yehuwa dengan setia sehingga akhir hayatnya di bumi.

6. Bagaimanakah Yakobus berbeza daripada pemimpin agama pada zamannya?

6 Yakobus ialah seorang yang rendah hati. Bagaimanakah kita tahu? Perhatikan perbezaan antara reaksi Yakobus dengan reaksi para pemimpin agama terhadap Yesus. Semasa Yakobus melihat bukti yang kukuh bahawa Yesus ialah Anak Tuhan, dia menerima bukti itu dengan rendah hati. Tetapi para ketua imam di Yerusalem pula sangat sombong. Sebagai contoh, mereka tidak dapat menafikan bahawa Yesus telah membangkitkan Lazarus. Namun, daripada mengaku bahawa Yesus diutus oleh Yehuwa, mereka bahkan ingin membunuh Yesus dan Lazarus. (Yoh. 11:53; 12:9-11) Kemudian, semasa Yesus dibangkitkan, mereka berkomplot untuk menyembunyikan hal itu daripada orang ramai. (Mat. 28:11-15) Sikap sombong para pemimpin agama telah menyebabkan mereka menolak Mesias.

7. Mengapakah kita harus mengelakkan sikap sombong?

7 Pengajarannya: Kita harus menjauhi sikap sombong dan sudi diajar. Sebagaimana penyakit dapat menjejaskan fungsi jantung, sikap sombong dapat membuat kita menjadi keras hati dan menghalang kita daripada mentaati Yehuwa. Orang Farisi menjadi begitu keras hati sehingga mereka menolak bukti yang kukuh bahawa Yesus ialah Anak Tuhan dan dibimbing oleh kuasa suci-Nya. (Yoh. 12:37-40) Sikap mereka sangat berbahaya kerana dapat menghalang mereka daripada menerima kehidupan kekal. (Mat. 23:13, 33) Jadi, amatlah penting untuk terus membiarkan Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya untuk membentuk keperibadian serta membimbing fikiran dan keputusan kita! (Yak. 3:17) Oleh sebab Yakobus bersikap rendah hati, dia sudi diajar oleh Yehuwa. Seperti yang akan kita lihat nanti, kerendahan hati Yakobus telah membantunya menjadi seorang guru yang mahir.

MENJADI GURU YANG MAHIR SEPERTI YAKOBUS

8. Bagaimanakah kita dapat menjadi guru yang mahir?

8 Yakobus tidak berpendidikan tinggi. Oleh itu, para pemimpin agama pada zamannya tentu menganggapnya sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan” seperti Rasul Petrus dan Yohanes. (Kis. 4:13) Namun, semasa kita membaca buku Yakobus, kita dapat lihat bahawa Yakobus sememangnya guru yang mahir. Seperti Yakobus, kita juga mungkin tidak berpendidikan tinggi. Namun, dengan adanya bantuan kuasa suci Yehuwa dan latihan daripada organisasi-Nya, kita juga dapat menjadi guru yang mahir. Sekarang, mari kita perhatikan beberapa cara Yakobus mengajar dan bagaimana kita dapat meniru teladannya.

9. Bagaimanakah Yakobus mengajar?

9 Yakobus tidak menggunakan perkataan yang susah atau penjelasan yang rumit. Hasilnya, orang yang membaca suratnya tahu apa yang perlu dilakukan dan cara untuk melakukannya. Sebagai contoh, perhatikan bagaimana Yakobus menggunakan cara yang mudah difahami untuk mengajar orang Kristian bahawa mereka harus rela dilayan dengan tidak adil dan tidak berdendam. Dia menulis, “Kita mengatakan bahawa orang yang menghadapi cubaan dengan tabah ialah orang yang bahagia. Kamu sudah mendengar tentang ketabahan Ayub dan bagaimana Yehuwa memberkatinya pada akhirnya. Dengan ini, kamu tahu bahawa Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.” (Yak. 5:11) Adakah anda perhatikan bagaimana Yakobus menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk mengajar rakan seimannya? Dia menggunakan Firman Tuhan untuk menjelaskan bahawa Yehuwa sentiasa memberkati orang yang setia kepada Yehuwa, seperti Ayub. Yakobus telah menyampaikan ajarannya dengan menggunakan kata-kata yang ringkas dan penjelasan yang masuk akal. Dengan itu, dia menghalakan perhatian kepada Yehuwa dan bukannya kepada dirinya sendiri.

10. Apakah salah satu cara kita dapat meniru cara Yakobus mengajar?

10 Pengajarannya: Pastikan ajaran anda ringkas dan berdasarkan Firman Tuhan. Matlamat kita bukanlah untuk membuat pelajar kita berasa kagum dengan pengetahuan kita. Sebaliknya, kita mahu membuat pelajar kita kagum dengan pengetahuan Yehuwa yang mendalam dan keprihatinan-Nya terhadap mereka. (Rm. 11:33) Kita dapat mencapai matlamat itu jika kita selalu mengajar berdasarkan Bible. Sebagai contoh, daripada memberitahu pelajar Bible kita apa yang akan kita buat jika kita berada dalam situasi mereka, kita seharusnya membantu mereka untuk berfikir tentang contoh Bible dan mengetahui fikiran dan perasaan Yehuwa. Dengan itu, mereka akan menerapkan apa yang dipelajari kerana ingin menyenangkan hati Yehuwa, bukannya kerana ingin menyenangkan hati kita.

11. Apakah cabaran yang dihadapi sesetengah orang Kristian pada zaman Yakobus? Apakah nasihat yang diberikan olehnya? (Yakobus 5:13-15)

11 Yakobus sedar akan cabaran yang dihadapi saudara saudarinya. Hal ini dapat dilihat dengan jelas daripada suratnya. Sebagai contoh, sesetengah orang Kristian lambat menerapkan nasihat. (Yak. 1:22) Yang lain pula berat sebelah terhadap orang miskin. (Yak. 2:1-3) Ada juga yang susah mengawal lidah mereka. (Yak. 3:8-10) Walaupun mereka ada masalah yang serius, Yakobus tidak putus asa terhadap mereka. Sebaliknya, dengan baik hati, dia memberi mereka nasihat yang terus terang tentang cara untuk mengatasinya. Dia juga menggalakkan orang yang lemah secara rohani untuk mendapatkan bantuan daripada para penatua.​—Baca Yakobus 5:13-15.

12. Bagaimanakah kita dapat tetap bersikap positif semasa membantu pelajar Bible kita?

12 Pengajarannya: Ketahuilah masalah yang dihadapi pelajar Bible, tetapi teruslah berpandangan positif terhadap mereka. Ramai pelajar Bible mungkin berasa susah untuk mengikut nasihat Bible. (Yak. 4:1-4) Mereka mungkin memerlukan masa untuk membuang tabiat yang buruk dan memupuk sifat-sifat Kristian. Seperti Yakobus, kita perlu berani untuk memberitahu pelajar Bible kita apa yang perlu mereka ubah. Kita juga perlu tetap bersikap positif dan percaya bahawa Yehuwa akan memimpin mereka yang rendah hati kepada-Nya dan akan memberi mereka kekuatan untuk membuat perubahan dalam kehidupan mereka.​—Yak. 4:10.

13. Menurut Yakobus 3:2, apakah yang diakui oleh Yakobus?

13 Yakobus mempunyai pandangan yang seimbang terhadap dirinya. Dia tidak berasa bahawa dia lebih istimewa daripada orang Kristian lain kerana dia ialah adik lelaki Yesus atau memikul tanggungjawab penting dalam sidang. Sebaliknya, dia menggelar rakan seimannya “saudara-saudaraku yang dikasihi.” (Yak. 1:16, 19; 2:5) Selain itu, Yakobus tidak membuat orang lain berasa bahawa dia sempurna. Sebaliknya, dengan menulis, “Kita semua sering berbuat silap,” dia mengaku bahawa dia pun tidak sempurna.​—Baca Yakobus 3:2.

14. Apakah kebaikannya jika kita mengaku bahawa kita pun pernah berbuat silap?

14 Pengajarannya: Ingatlah bahawa kita semua pun tidak sempurna. Kita tidak mahu berfikir bahawa kita lebih baik daripada pelajar Bible kita. Mengapa? Jika kita membuat pelajar kita berasa bahawa kita tidak pernah berbuat silap, dia mungkin akan menjadi tawar hati kerana berfikir bahawa piawaian Yehuwa mustahil untuk dicapai. Namun, jika kita memberitahunya bahawa kita pun berasa susah untuk mematuhi prinsip Bible, dan menjelaskan bagaimana Yehuwa telah membantu kita membuat perubahan dalam hidup, pelajar Bible kita akan sedar bahawa dia sebenarnya pun dapat melakukan apa yang dikehendaki Yehuwa.

Perumpamaan yang digunakan oleh Yakobus mudah difahami, jelas, dan berkesan (Lihat perenggan 15-16) *

15. Apakah ciri-ciri perumpamaan yang digunakan oleh Yakobus? (Yakobus 3:2-6, 10-12)

15 Yakobus menggunakan perumpamaan yang mencapai hati. Yakobus mahir menggunakan perumpamaan kerana dia dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Namun, dia juga mungkin telah belajar daripada perumpamaan yang digunakan oleh abangnya Yesus. Perumpamaan Yakobus mudah difahami, dan pengajarannya jelas.​—Baca Yakobus 3:2-6, 10-12.

16. Mengapakah kita harus menggunakan perumpamaan yang berkesan?

16 Pengajarannya: Gunakan perumpamaan yang berkesan. Jika anda berbuat demikian, anda bukan sahaja memberitahu pendengar anda suatu ajaran, tetapi anda juga seolah-olah melukis satu gambar dalam minda mereka. Gambar itu akan membantu mereka lebih mengingati ajaran penting dalam Bible. Yesus mahir menggunakan perumpamaan, dan Yakobus telah mengikut teladannya. Mari kita mengkaji salah satu perumpamaan Yakobus dan membincangkan mengapa perumpamaan ini sangat berkesan.

17. Mengapakah perumpamaan di Yakobus 1:22-25 sangat berkesan?

17 Baca Yakobus 1:22-25. Terdapat beberapa sebab mengapa perumpamaan Yakobus tentang cermin sangat berkesan. Pertama, Yakobus tahu secara spesifik isi penting yang ingin ditonjolkannya. Dia ingin mengajar pembacanya bahawa untuk meraih manfaat daripada Firman Tuhan, sekadar membacanya tidak cukup; mereka juga perlu melakukan apa yang difirmankan oleh Tuhan. Kedua, dia memilih perumpamaan yang mudah difahami, iaitu seseorang yang melihat wajahnya dalam cermin. Apakah pengajaran yang ingin disampaikannya? Jika seseorang melihat wajahnya dalam cermin dan mendapati ada sesuatu yang perlu diperbaiki, tetapi tidak melakukan apa-apa, orang itu memang bodoh. Begitu juga, jika kita membaca Firman Tuhan dan mendapati bahawa kita perlu mengubah keperibadian kita, tetapi tidak melakukan apa-apa, kita pun orang yang bodoh.

18. Apakah tiga perkara yang mesti kita lakukan semasa menggunakan perumpamaan?

18 Semasa menggunakan perumpamaan, anda dapat meniru teladan Yakobus dengan melakukan tiga perkara berikut: (1) Pastikan perumpamaan anda sesuai dengan isi yang anda sampaikan. (2) Pilih perumpamaan yang mudah difahami pendengar anda. (3) Pastikan pengajaran daripada perumpamaan anda jelas. Jika anda berasa susah untuk memikirkan perumpamaan sendiri, anda boleh mencari banyak perumpamaan di bawah tajuk “Perumpamaan” dalam buku “Indeks” bahasa Indonesia. Namun, ingatlah bahawa perumpamaan adalah seperti mikrofon yang akan menonjolkan isi yang anda sampaikan. Jika anda menggunakan terlalu banyak perumpamaan, pendengar anda akan keliru. Jadi, gunakanlah perumpamaan hanya semasa anda ingin menyampaikan isi-isi utama. Sudah tentu, sebab terpenting kita ingin meningkatkan kemahiran mengajar kita, bukanlah untuk menarik perhatian kepada diri sendiri, tetapi untuk membantu sebanyak orang yang mungkin untuk menyertai keluarga Yehuwa yang bahagia.

19. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita mengasihi saudara saudari kita?

19 Kita tidak berpeluang untuk membesar dengan Yesus seperti Yakobus, tetapi kita berpeluang menyembah Yehuwa bersama keluarga rohani yang besar. Kita menunjukkan bahawa kita mengasihi saudara saudari kita dengan bergaul bersama mereka, belajar daripada mereka, dan menginjil serta mengajar bersama-sama mereka. Apabila kita berusaha meniru teladan Yakobus dalam sikap dan kelakuan kita serta dalam cara kita mengajar, kita akan membawa kemuliaan kepada Yehuwa dan membantu orang yang berhati jujur menghampiri Bapa kita yang pengasih di syurga.

LAGU 114 Bersabarlah

^ Yakobus ialah adik lelaki Yesus dan mereka membesar dalam keluarga yang sama. Oleh itu, berbanding kebanyakan orang pada zamannya, Yakobus sangat mengenali Anak Tuhan yang sempurna. Yakobus kemudiannya telah mengambil pimpinan dalam sidang Kristian abad pertama. Dalam rencana ini, kita akan melihat apa yang dapat kita pelajari daripada kehidupan dan ajaran Yakobus.

^ Sebenarnya, Yakobus ialah adik tiri Yesus. Namun, dalam rencana ini, kita akan menggelarnya adik lelaki Yesus. Nampaknya, Yakobus ini ialah penulis buku Yakobus dalam Bible.

^ Nathan H. Knorr ialah seorang ahli Badan Pimpinan. Dia tetap setia sehingga akhir hayatnya di bumi pada tahun 1977.

^ KETERANGAN GAMBAR: Yakobus menggunakan contoh api untuk menjelaskan bahayanya menyalahgunakan lidah. Perumpamaan itu berkesan kerana mudah difahami.