Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

“Gunakanlah Masa Kamu dengan Sebaik-Baiknya”

“Gunakanlah Masa Kamu dengan Sebaik-Baiknya”

“Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”​—EF. 5:15, 16.

LAGU 8 Yehuwa Pelindungku

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah kita meluangkan masa bersama Yehuwa?

 KITA suka meluangkan masa bersama orang tersayang. Misalnya, suami isteri suka meluangkan masa bersama-sama. Orang muda suka menghabiskan masa bersama kawan baik mereka. Kita pula menikmati masa kita dapat bergaul dengan rakan seiman kita. Yang terpenting, kita suka meluangkan masa bersama Tuhan kita. Kita meluangkan masa bersama Yehuwa dengan berdoa, membaca Bible, dan dengan merenungkan tujuan-Nya dan sifat-sifat baik-Nya. Ya, masa yang kita luangkan bersama Yehuwa memang sangat berharga!​—Mzm. 139:17.

2. Apakah cabaran yang kita hadapi?

2 Kita memang sangat suka meluangkan masa bersama Yehuwa, tetapi kita juga menghadapi cabaran untuk melakukannya. Hidup kita sangat sibuk kerana kita perlu bekerja, menjaga keluarga, dan mengurus tanggungjawab lain yang penting. Hal-hal ini mungkin mengambil begitu banyak masa kita sehingga kita berasa susah untuk menjadualkan masa bagi kegiatan rohani seperti berdoa, mengkaji Bible, atau membuat perenungan.

3. Apakah hal lain yang dapat mencuri masa kita?

3 Terdapat satu lagi hal yang dapat mencuri masa kita. Jika kita tidak berhati-hati, kegiatan yang tidak salah pun dapat merampas masa yang dapat kita gunakan untuk menghampiri Yehuwa. Sebagai contoh, kita semua memerlukan rekreasi. Namun, jika kita meluangkan terlalu banyak masa untuk berekreasi, rekreasi yang sihat pun boleh mencuri masa yang sepatutnya digunakan untuk hal rohani. Maka, ingatlah bahawa rekreasi bukanlah hal yang terpenting dalam hidup.​—Ams. 25:27; 1 Tim. 4:8.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sebabnya kita perlu menetapkan keutamaan yang betul. Kita juga akan membincangkan bagaimana kita dapat menggunakan masa kita bersama Yehuwa dengan sebaik-baiknya, dan manfaat yang akan kita raih jika kita berbuat demikian.

BUATLAH KEPUTUSAN YANG BIJAK DAN TETAPKAN KEUTAMAAN YANG BETUL

5. Bagaimanakah nasihat di Efesus 5:15-17 dapat membantu orang muda untuk memilih haluan hidup yang terbaik?

5 Pilih haluan hidup yang terbaik. Orang muda sering tertanya-tanya bagaimana mereka harus menggunakan kehidupan mereka. Guru di sekolah dan ahli keluarga yang tidak seiman mungkin menggalakkan mereka untuk mengejar pendidikan tinggi supaya mendapat kerja yang bergaji tinggi. Pendidikan sebegini biasanya memakan banyak masa. Ibu bapa mereka yang merupakan Saksi dan saudara saudari di sidang pula mungkin menggalakkan orang muda untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Jadi, bagaimanakah orang muda yang mengasihi Yehuwa dapat membuat keputusan yang terbaik? Mereka boleh membaca dan merenungkan Efesus 5:15-17. (Baca.) Selepas membaca ayat-ayat itu, orang muda boleh menanya diri, “Apakah ‘kehendak Yehuwa’? Keputusan apakah yang akan menyenangkan hati-Nya? Haluan manakah yang akan membolehkan saya menggunakan masa saya dengan sebaik-baiknya?” Ingatlah, “kita hidup pada hari-hari yang jahat,” dan sistem dunia yang dikuasai Syaitan akan berakhir tidak lama lagi. Maka, adalah bijak jika kita menggunakan kehidupan kita untuk melakukan hal-hal yang menggembirakan Yehuwa.

6. Apakah pilihan Maria, dan mengapakah pilihan itu bijak?

6 Tetapkan keutamaan yang betul. Untuk menggunakan masa kita dengan sebaik-baiknya, kita mungkin perlu membuat pilihan antara dua kegiatan yang tidak salah. Fikirkan apa yang berlaku semasa Yesus melawat Maria dan Marta. Marta sangat gembira kerana Yesus datang ke rumahnya, maka dia cuba menyediakan banyak makanan. Maria pula mengambil kesempatan itu untuk duduk berhampiran Yesus dan mendengar ajarannya. Apa yang dilakukan oleh Marta itu memang tidak salah, tetapi Yesus mengatakan bahawa Maria telah “memilih perkara yang terbaik.” (Luk. 10:38-42) Pada kemudian hari, Maria mungkin tidak ingat makanan yang dihidangkan pada hari itu, tetapi dia pasti ingat apa yang dipelajarinya daripada Yesus. Sebagaimana Maria menghargai masanya bersama Yesus, kita juga menghargai masa kita bersama Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat menggunakan masa itu dengan sebaik-baiknya?

GUNAKAN MASA ANDA BERSAMA YEHUWA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA

7. Mengapakah doa, mengkaji Bible, dan perenungan sangat penting?

7 Ingatlah bahawa doa, mengkaji Bible, dan perenungan, ialah sebahagian daripada ibadat kita. Semasa kita berdoa, kita sedang berkomunikasi dengan Bapa kita di syurga yang sangat mengasihi kita. (Mzm. 5:7) Semasa kita mengkaji Bible, kita sedang menimba “pengetahuan tentang Tuhan,” Sumber segala kebijaksanaan. (Ams. 2:1-5) Semasa kita membuat perenungan, kita sedang memikirkan sifat Yehuwa yang menakjubkan, tujuan-Nya bagi semua ciptaan-Nya, dan peranan kita dalam tujuan-Nya. Inilah cara yang terbaik untuk menggunakan masa kita! Namun, apakah yang dapat membantu kita untuk melakukan hal-hal ini?

Dapatkah anda mencari tempat yang sunyi untuk membuat pembelajaran peribadi? (Lihat perenggan 8-9)

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yesus menggunakan masanya semasa di padang belantara?

8 Seboleh-bolehnya, pilihlah tempat yang sunyi. Perhatikan contoh Yesus. Sebelum dia memulakan kerja penyebarannya di bumi, dia menghabiskan masa selama 40 hari di padang belantara. (Luk. 4:1, 2) Di tempat yang sunyi itu, Yesus dapat berdoa kepada Bapanya dan merenungkan kehendak Yehuwa baginya. Hal ini telah membantu Yesus bersedia untuk ujian yang bakal dihadapinya. Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Yesus? Jika keluarga anda besar, rumah anda mungkin tiada tempat yang sunyi. Jika begitu, carilah tempat yang sunyi di luar rumah. Itulah yang dilakukan oleh Julie semasa dia ingin meluangkan lebih banyak masa dalam doanya. Dia dan suaminya tinggal dalam sebuah apartmen yang kecil di Perancis, jadi adalah susah baginya untuk mendapat waktu bersendirian. Julie berkata, “Saya akan bersiar-siar di taman setiap hari. Dengan itu, saya ada masa untuk bersendirian, berfokus, dan bercakap dengan Yehuwa.”

9. Walaupun Yesus begitu sibuk, bagaimanakah dia menunjukkan bahawa dia menghargai hubungannya dengan Yehuwa?

9 Yesus sangat sibuk. Semasa dia menginjil di bumi, tidak kira ke mana dia pergi, dia dikerumuni ramai orang, dan mereka semua ingin meluangkan masa bersamanya. Pernah sekali, “semua penduduk kota berkumpul di pintu rumah” agar dapat melihatnya. Biarpun Yesus begitu sibuk, dia masih meluangkan masa untuk berdoa kepada Bapanya. Sebelum matahari terbit, dia “pergi ke suatu tempat yang sunyi” supaya dia dapat bersendirian dan berdoa.​—Mrk. 1:32-35.

10-11. Menurut Matius 26:40, 41, apakah nasihat yang diberikan Yesus kepada murid-muridnya di Taman Getsemani? Namun, apakah yang berlaku?

10 Pada malam terakhirnya di bumi, semasa kerja penyebarannya sudah selesai, sekali lagi Yesus mencari tempat yang sunyi untuk membuat perenungan dan berdoa. Maka dia pergi ke Taman Getsemani. (Mat. 26:36) Pada masa itu, Yesus telah memberi murid-muridnya nasihat yang penting tentang doa.

11 Semasa Yesus dan murid-muridnya tiba di Taman Getsemani, hari sudah larut malam. Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah,” lalu dia pergi berdoa seorang diri. (Mat. 26:37-39) Tetapi semasa dia berdoa, mereka tertidur pula. Apabila Yesus kembali dan mendapati mereka sedang tidur, dia menggesa mereka, “Teruslah berjaga-jaga dan berdoa.” (Baca Matius 26:40, 41.) Yesus tahu mereka sangat tertekan dan penat, jadi dia mengaku bahawa tubuh memang lemah. Selepas itu, Yesus pergi untuk berdoa sebanyak dua kali lagi, tetapi setiap kali dia kembali, dia nampak murid-muridnya tertidur.​—Mat. 26:42-45.

Dapatkah anda memilih masa yang sesuai untuk berdoa, contohnya semasa anda tidak terlalu penat? (Lihat perenggan 12)

12. Apakah yang dapat kita lakukan jika kita terlalu stres atau penat untuk berdoa?

12 Pilihlah masa yang sesuai. Ada kalanya, kita mungkin terlalu stres atau penat untuk berdoa. Jika itulah cabaran yang anda hadapi, janganlah risau, kerana ramai orang juga menghadapinya. Jadi, apakah yang dapat membantu anda? Sesetengah orang yang mempunyai kebiasaan untuk berdoa pada waktu malam mendapati bahawa mereka dapat lebih berfokus jika mereka berdoa lebih awal, iaitu semasa mereka tidak begitu penat. Yang lain pula mendapati bahawa mereka dapat lebih memberikan tumpuan jika mereka berdoa dalam posisi yang tertentu, seperti duduk atau berlutut. Bagaimana pula jika anda berasa terlalu khuatir atau tawar hati sehingga tidak dapat berdoa? Beritahulah perasaan anda kepada Yehuwa, dan yakinlah bahawa Bapa kita yang berbelas kasihan memahami apa yang anda rasakan.​—Mzm. 139:4.

Dapatkah anda mengelak daripada membaca atau membalas mesej dan e-mel semasa perjumpaan? (Lihat perenggan 13-14)

13. Bagaimanakah alat elektronik mungkin mengganggu masa kita bersama Yehuwa?

13 Jangan membiarkan tumpuan anda diganggu semasa anda mengkaji Bible. Selain berdoa, kita juga dapat mengeratkan hubungan kita dengan Yehuwa dengan mengkaji Bible dan menghadiri perjumpaan. Bagaimanakah anda dapat menggunakan masa untuk pembelajaran dan perjumpaan dengan sebaik-baiknya? Tanyalah diri, “Apakah yang sering mengganggu tumpuan saya semasa saya menghadiri perjumpaan atau mengkaji Bible?” Adakah panggilan telefon, e-mel, atau SMS pada fon atau alat elektronik sering mengganggu perhatian anda? Alat-alat ini memang berguna, dan berbilion-bilion orang memiliki alat sebegini. Namun, menurut sesetengah penyelidik, apabila kita perlu berfokus, sekadar meletakkan fon berdekatan kita pun dapat mengganggu tumpuan kita. Seorang profesor psikologi berkata, “Jika fon anda bersama anda, anda mungkin tertanya-tanya apa yang orang lain sedang buat. Akibatnya, fikiran anda akan melayang dan anda tidak dapat bertumpu kepada tugas anda.” Sebelum sesi perhimpunan dan konvensyen bermula, biasanya kita akan diingatkan untuk memastikan agar alat elektronik kita tidak mengganggu orang lain. Jika demikian, dapatkah kita melakukan hal yang sama supaya alat elektronik kita tidak mengganggu masa kita bersama Yehuwa?

14. Menurut Filipi 4:6, 7, bagaimanakah Yehuwa membantu kita agar dapat berfokus?

14 Mintalah bantuan Yehuwa agar dapat berfokus. Jika anda mendapati bahawa anda cenderung berkhayal semasa membuat pembelajaran peribadi atau semasa menghadiri perjumpaan, mintalah bantuan Yehuwa agar dapat berfokus. Memang tidak mudah untuk bertumpu kepada hal rohani, terutamanya semasa anda dibebani rasa khuatir. Namun hal-hal rohani sangat penting. Maka berdoalah dan mintalah kesejahteraan daripada Tuhan yang bukan sahaja akan menjaga hati anda, tetapi juga “fikiran” anda.​—Baca Filipi 4:6, 7.

MELUANGKAN MASA BERSAMA YEHUWA MEMBAWA MANFAAT

15. Apakah salah satu manfaat yang akan anda raih jika anda meluangkan masa bersama Yehuwa?

15 Jika anda meluangkan masa untuk bercakap kepada Yehuwa, mendengar firman Yehuwa, dan berfikir tentang Yehuwa, anda akan meraih banyak manfaat. Pertama, anda akan membuat keputusan yang lebih bijak. Bible menyatakan bahawa “orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.” (Ams. 13:20) Jadi, jika anda meluangkan masa bersama Yehuwa, Sumber segala kebijaksanaan, anda akan menjadi lebih bijak. Anda akan lebih memahami cara untuk menyenangkan hati-Nya dan mengelak daripada membuat keputusan yang akan membuat-Nya sedih.

16. Jika kita meluangkan masa bersama Yehuwa, bagaimanakah hal itu akan membantu kita semasa kita mengajar orang?

16 Kedua, anda akan menjadi guru yang lebih mahir. Sebagai guru Bible, salah satu matlamat utama kita ialah membantu pelajar kita untuk menghampiri Yehuwa. Apabila kita semakin kerap berdoa kepada Yehuwa dan belajar tentang-Nya, kita akan semakin mengasihi-Nya, dan kita akan menjadi semakin mahir mengajar pelajar kita untuk mengasihi Yehuwa. Fikirkan contoh Yesus. Dia menggambarkan Yehuwa sebagai Bapa yang begitu prihatin dan penyayang sehingga murid-muridnya terdorong untuk mengasihi Yehuwa.​—Yoh. 17:25, 26.

17. Mengapakah doa dan pembelajaran peribadi dapat menguatkan iman kita?

17 Ketiga, iman anda akan menjadi lebih kuat. Setiap kali anda melihat bagaimana Yehuwa menjawab doa anda untuk meminta bimbingan, kelegaan, atau sokongan daripada-Nya, iman anda akan menjadi semakin kuat. (1 Yoh. 5:15) Apakah hal lain yang dapat menguatkan iman anda? Bible menyatakan, “Orang hanya dapat beriman selepas mendengar perkhabaran itu.” (Rm. 10:17) Jadi, untuk menguatkan iman anda, anda perlu membuat pembelajaran peribadi. Namun, sekadar menimba pengetahuan tidak mencukupi. Apakah hal lain yang perlu kita lakukan?

18. Mengapakah kita perlu membuat perenungan? Jelaskan.

18 Kita perlu merenungkan apa yang sudah kita pelajari. Perhatikan pengalaman penulis Mazmur 77. Dia berasa risau dan tertekan kerana berfikir bahawa dia dan orang Israel lain telah kehilangan perkenan Tuhan. Hal ini menyebabkannya tidak dapat tidur pada waktu malam. (Ayat 2-8) Apakah yang dilakukannya? Dia memberitahu Yehuwa, “Aku akan merenungkan perbuatan-Mu, dan aku akan merenungkan segala yang telah Engkau lakukan.” (Ayat 12) Sudah tentu, penulis mazmur itu mengetahui hal-hal yang pernah dilakukan oleh Yehuwa untuk umat-Nya pada masa lalu. Namun, dia masih tertanya-tanya, “Adakah Tuhan sudah lupa untuk menunjukkan perkenan-Nya? Atau adakah Dia murka sehingga Dia tidak lagi menunjukkan belas kasihan?” (Ayat 9) Meskipun begitu, dia merenungkan perbuatan Yehuwa dan bagaimana Yehuwa telah menunjukkan belas kasihan-Nya pada masa lalu. (Ayat 11) Apakah hasilnya? Penulis mazmur itu diyakinkan bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan umat-Nya. (Ayat 15) Begitu juga, jika anda merenungkan apa yang telah Yehuwa lakukan untuk umat-Nya dan untuk anda secara peribadi, iman anda akan dikuatkan.

19. Jika kita meluangkan masa bersama Yehuwa, apakah manfaat lain yang akan kita raih?

19 Keempat, dan yang terpenting, kasih anda terhadap Yehuwa akan semakin bertambah. Kasih merupakan sifat utama yang mendorong anda untuk mentaati Yehuwa, membuat pengorbanan untuk menyenangkan hati-Nya, dan bertabah menghadapi apa jua cubaan. (Mat. 22:37-39; 1 Kor. 13:4, 7; 1 Yoh. 5:3) Tiada apa-apa yang lebih bernilai daripada memiliki persahabatan yang erat dengan Yehuwa!—Mzm. 63:1-8.

20. Apakah yang ingin anda lakukan supaya dapat menggunakan masa anda bersama Yehuwa dengan sebaik-baiknya?

20 Ingatlah bahawa doa, mengkaji Bible, dan membuat perenungan ialah sebahagian daripada ibadat kita. Jadi, seperti Yesus, carilah tempat yang sunyi untuk meluangkan masa bersama Yehuwa. Jangan membiarkan tumpuan anda diganggu semasa melakukan kegiatan rohani, dan mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat berfokus. Jika anda menggunakan masa anda sekarang dengan sebaik-baiknya, Yehuwa akan mengurniai kehidupan kekal di dunia baharu Tuhan.​—Mrk. 4:24.

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

^ Yehuwa ialah Sahabat terbaik kita. Kita menghargai persahabatan kita dengan-Nya, dan kita mahu lebih mengenali-Nya. Sepertimana kita memerlukan masa untuk mengenali seseorang, kita juga memerlukan masa untuk menjalin persahabatan dengan Yehuwa. Namun, kehidupan kita memang sibuk. Jadi, bagaimanakah kita dapat meluangkan masa untuk menghampiri Bapa kita yang di syurga? Apakah manfaatnya jika kita berbuat demikian?