Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

Mengapakah Kita Menghadiri Peringatan?

Mengapakah Kita Menghadiri Peringatan?

“Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”​—LUK. 22:19.

LAGU 20 Engkau Mengurniakan Anak-Mu yang Tersayang

PENGENALAN *

1-2. (a) Bilakah kita akan lebih teringat orang tersayang kita yang telah meninggal? (b) Pada malam sebelum Yesus dibunuh, apakah yang dilakukannya?

 WALAUPUN orang tersayang kita sudah lama meninggal, kita masih ingat akan mereka. Kita akan lebih teringat tentang mereka terutamanya semasa ulang tahun kematian mereka.

2 Setiap tahun, kita dan jutaan orang di serata bumi menyambut ulang tahun kematian seorang yang amat kita kasihi, iaitu Yesus Kristus. (1 Ptr. 1:8) Kita akan mengenang Yesus Kristus yang telah mengorbankan nyawanya sebagai tebusan untuk membebaskan kita daripada dosa dan kematian. (Mat. 20:28) Sebenarnya, Yesus juga mahu para pengikutnya mengenang kematiannya. Jadi, pada malam sebelum dia dibunuh, dia telah memperkenalkan satu perjamuan yang istimewa dan memberikan perintah ini: “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” *​—Luk. 22:19.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Sebilangan kecil orang yang menghadiri Peringatan kematian Kristus ialah kaum terurap yang memiliki harapan untuk hidup di syurga. Namun, terdapat juga jutaan orang yang memiliki harapan untuk hidup di bumi hadir semasa Peringatan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kedua-dua kumpulan ini sangat ingin menghadiri Peringatan setiap tahun. Kita juga akan membincangkan manfaatnya menghadiri Peringatan. Sekarang, mari kita melihat sebab-sebabnya kaum terurap menghadiri Peringatan.

SEBAB KAUM TERURAP MENGHADIRI PERINGATAN

4. Mengapakah kaum terurap makan roti dan minum wain semasa Peringatan?

4 Setiap tahun, kaum terurap akan menghadiri Peringatan untuk makan roti dan minum wain. Mengapakah mereka melakukan hal itu? Untuk menjawab soalan ini, mari kita perhatikan apa yang terjadi pada malam sebelum kematian Yesus. Selepas jamuan Paska, Yesus telah memperkenalkan satu perjamuan yang dikenali sebagai Perjamuan Malam Tuan. Semasa perjamuan itu, dia mengedarkan roti dan wain kepada 11 orang rasulnya yang setia dan memberitahu mereka untuk makan dan minum. Yesus juga memberitahu mereka tentang dua perjanjian, iaitu perjanjian baharu dan perjanjian Kerajaan. * (Luk. 22:19, 20, 28-30) Perjanjian-perjanjian ini telah membuka jalan bagi para rasul dan sebilangan kecil orang untuk menjadi raja dan imam di syurga. (Why. 5:10; 14:1) Hanya kaum terurap yang berada di bumi yang akan makan roti dan minum wain semasa Peringatan, kerana merekalah yang tergolong dalam dua perjanjian ini.

5. Apakah yang diketahui oleh kaum terurap tentang harapan mereka di syurga?

5 Satu lagi sebab mengapa kaum terurap menghadiri Peringatan ialah mereka berpeluang untuk memikirkan harapan mereka. Yehuwa telah memberi mereka harapan yang begitu menakjubkan, iaitu peluang untuk menikmati kehidupan yang tidak dapat musnah dan yang tidak dapat mati di syurga. Mereka juga dapat memerintah bersama Yesus Kristus dan kaum terurap yang lain, dan yang paling istimewa, mereka dapat melihat Yehuwa! (1 Kor. 15:51-53; 1 Yoh. 3:2) Mereka tahu bahawa peluang untuk tinggal di syurga merupakan satu jemputan yang sangat istimewa. Namun, mereka juga tahu bahawa agar dapat tinggal di syurga, mereka perlu tetap setia sampai mati. (2 Tim. 4:7, 8) Ya, kaum terurap pasti sangat bersukacita semasa memikirkan harapan mereka di syurga. (Tit. 2:13) Bagaimana pula dengan “biri-biri lain”? (Yoh. 10:16) Apakah sebabnya mereka menghadiri Peringatan?

SEBAB BIRI-BIRI LAIN MENGHADIRI PERINGATAN

6. Mengapakah biri-biri lain menghadiri Peringatan setiap tahun?

6 Biri-biri lain tidak akan makan roti dan minum wain semasa Peringatan. Jadi, mengapakah mereka masih menghadirinya? Seperti para tetamu yang berasa gembira semasa menghadiri majlis perkahwinan, biri-biri lain juga berasa gembira semasa menghadiri sambutan Peringatan. Pada tahun 1938, mereka yang memiliki harapan untuk tinggal di bumi dijemput buat kali pertama untuk menghadiri Peringatan. Majalah The Watchtower, terbitan 1 Mac 1938 menyatakan, “Memang sesuai untuk [biri-biri lain] hadir pada perjumpaan sebegini dan memerhatikan apa yang berlaku. . . . Itulah masa yang menggembirakan bagi mereka.”

7. Mengapakah biri-biri lain menanti-nantikan untuk mendengar ceramah Peringatan?

7 Biri-biri lain juga berpeluang untuk memikirkan harapan mereka semasa Peringatan. Mereka menanti-nantikan untuk mendengar ceramah Peringatan yang akan membincangkan apa yang akan dilakukan oleh Kristus dan 144,000 kaum terurap semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Di bawah pimpinan Raja Yesus Kristus, kaum terurap akan mengubah bumi menjadi sebuah firdaus dan membantu manusia menjadi sempurna. Jutaan orang yang tidak makan roti dan minum wain semasa Peringatan pasti berasa kagum semasa membayangkan nubuat-nubuat Bible yang terdapat di Yesaya 35:5, 6; 65:21-23; dan Wahyu 21:3, 4 menjadi kenyataan pada masa depan. Apabila mereka membayangkan diri mereka bersama dengan orang tersayang di dunia baharu, hal ini pasti menguatkan harapan mereka dan tekad mereka untuk terus menyembah Yehuwa.​—Mat. 24:13; Gal. 6:9.

8. Apakah satu lagi sebab biri-biri lain menghadiri Peringatan?

8 Selain itu, biri-biri lain menghadiri Peringatan kerana mereka ingin menunjukkan kasih dan sokongan mereka kepada kaum terurap. Bible menubuatkan bahawa kaum terurap dan biri-biri lain akan bekerjasama dengan erat. Bagaimana? Mari kita bincang beberapa contoh.

9. Menurut nubuat di Zakharia 8:23, apakah perasaan biri-biri lain terhadap kaum terurap?

9 Baca Zakharia 8:23. Nubuat ini menggambarkan perasaan biri-biri lain terhadap kaum terurap. Ungkapan “seorang Yahudi” dan “kamu” merujuk kepada kumpulan orang yang sama, iaitu kaum terurap yang masih berada di bumi. (Rm. 2:28, 29) Ungkapan “10 orang daripada semua bangsa dan bahasa” pula merujuk kepada biri-biri lain. Mereka akan ‘memegang erat’ atau menyokong kaum terurap dengan setia dalam ibadat sejati. Jadi, semasa biri-biri lain menghadiri Peringatan, mereka menunjukkan bahawa mereka menyokong kaum terurap dengan setia.

10. Agar nubuat di Yehezkiel 37:15-19, 24, 25 menjadi kenyataan, apakah yang telah dilakukan oleh Yehuwa?

10 Baca Yehezkiel 37:15-19, 24, 25. Agar nubuat ini menjadi kenyataan, Yehuwa memastikan kaum terurap dan biri-biri lain bekerjasama dengan erat. Nubuat ini menyebut tentang dua batang kayu. Mereka yang memiliki harapan di syurga adalah seperti kayu “untuk Yehuda” (semua raja Israel berasal daripada suku ini), dan mereka yang memiliki harapan di bumi pula adalah seperti kayu ‘untuk Efraim.’ * Yehuwa akan menyatukan dua kumpulan ini “menjadi satu.” Hal ini bermaksud bahawa mereka akan berkhidmat di bawah satu Raja, iaitu Kristus Yesus. Setiap tahun, kaum terurap dan biri-biri lain menghadiri Peringatan bukan sebagai dua kumpulan, tetapi sebagai “satu kawanan di bawah satu gembala.”​—Yoh. 10:16.

11. Bagaimanakah “biri-biri” yang disebut di Matius 25:31-36, 40 menunjukkan bahawa mereka menyokong kaum terurap yang masih hidup di bumi?

11 Baca Matius 25:31-36, 40. “Biri-biri” dalam perumpamaan ini merujuk kepada biri-biri lain yang hidup pada hari-hari terakhir yang memiliki harapan untuk hidup di bumi. Mereka dengan setia menyokong kaum terurap yang masih hidup di bumi dengan membantu mereka dalam kerja penyebaran sedunia.​—Mat. 24:14; 28:19, 20.

12-13. Apakah cara lain biri-biri lain menyokong kaum terurap?

12 Beberapa minggu sebelum Peringatan setiap tahun, biri-biri lain akan menyokong kaum terurap dengan menyertai kempen sedunia untuk menjemput orang menyertai Peringatan. (Lihat kotak “ Adakah Anda Sudah Merancang untuk Musim Peringatan?”) Mereka juga membuat aturan yang diperlukan agar Peringatan dapat diadakan meskipun tiada kaum terurap dalam sesebuah sidang. Biri-biri lain tentu sangat teruja kerana dapat menyokong kaum terurap dalam cara sebegini. Mereka tahu bahawa dalam pandangan Yesus, apa sahaja yang dilakukan mereka untuk kaum terurap juga dilakukan untuknya.​—Mat. 25:37-40.

13 Tidak kira apa harapan kita, apakah sebab-sebab lain kita menghadiri Peringatan?

SEBAB KITA SEMUA MENGHADIRI PERINGATAN

14. Bagaimanakah Yehuwa dan Yesus menunjukkan kasih kepada kita?

14 Kita menghargai kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus kepada kita. Yehuwa telah menunjukkan kasih-Nya dalam pelbagai cara. Namun, kasih teragung yang ditunjukkan oleh Yehuwa adalah dengan mengutus Anak kesayangan-Nya untuk menderita dan mati demi kita. (Yoh. 3:16) Yesus juga menunjukkan kasih yang mendalam kerana dia sudi mengorbankan nyawanya untuk kita. (Yoh. 15:13) Kita memang tidak dapat membalas kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus. Namun, kita dapat menunjukkan penghargaan melalui cara hidup kita setiap hari. (Kol. 3:15) Apabila kita menghadiri Peringatan, kita juga dapat mengingati kasih yang ditunjukkan oleh mereka dan menunjukkan kasih kita kepada mereka.

15. Mengapakah kaum terurap dan biri-biri lain sangat menghargai korban tebusan?

15 Kita sangat menghargai korban tebusan. (Mat. 20:28) Korban tebusan sangat berharga bagi kaum terurap kerana korban tebusan membolehkan mereka memiliki harapan yang menakjubkan. Oleh sebab mereka beriman kepada korban tebusan, mereka mendapat perkenan Yehuwa dan dapat menjadi anak-anak angkat-Nya. (Rm. 5:1; 8:15-17, 23) Biri-biri lain juga sangat menghargai korban tebusan. Oleh sebab mereka beriman terhadap korban tebusan, mereka juga mendapat perkenan Tuhan, dapat menjalankan khidmat suci kepada-Nya, dan berpeluang untuk “selamat mengharungi kesengsaraan besar.” (Why. 7:13-15) Salah satu cara kaum terurap dan biri-biri lain menunjukkan bahawa mereka menghargai korban tebusan adalah dengan menghadiri Peringatan setiap tahun.

16. Apakah sebab lain kita menghadiri Peringatan?

16 Sebab lain kita menghadiri Peringatan adalah kerana kita ingin mentaati Yesus. Tidak kira apa harapan kita untuk masa depan, setiap seorang daripada kita ingin mentaati perintah yang diberikan oleh Yesus pada malam dia memperkenalkan Perjamuan Malam Tuan: “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”​—1 Kor. 11:23, 24.

MANFAAT MENGHADIRI PERINGATAN

17. Bagaimanakah Peringatan membantu kita menghampiri Yehuwa?

17 Kita dapat menghampiri Yehuwa. (Yak. 4:8) Seperti yang telah kita pelajari, sambutan Peringatan memberi kita peluang untuk memikirkan harapan yang telah diberikan oleh Yehuwa dan merenungkan kasih yang mendalam yang telah ditunjukkan-Nya kepada kita. (Yer. 29:11; 1 Yoh. 4:8-10) Apabila kita merenungkan harapan kita dan kasih setia Tuhan, kita akan lebih mengasihi Yehuwa dan menjadi lebih erat dengan-Nya.​—Rm. 8:38, 39.

18. Semasa merenungkan teladan Yesus, hal itu mendorong kita untuk melakukan apa?

18 Kita didorong untuk meniru teladan Yesus. (1 Ptr. 2:21) Beberapa minggu sebelum Peringatan, kita akan membaca kisah Bible tentang minggu terakhir kehidupan Yesus di bumi, kematiannya, dan pembangkitannya. Pada malam Peringatan, kita akan mendengar ceramah yang mengingatkan kita tentang kasih Yesus terhadap kita. (Ef. 5:2; 1 Yoh. 3:16) Apabila kita membaca dan merenungkan teladan Yesus yang sudi berkorban, kita akan didorong untuk “terus hidup mengikut jejaknya.”​—1 Yoh. 2:6.

19. Bagaimanakah kita dapat tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan?

19 Kita ingin tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan. (Yud. 20, 21) Untuk berbuat demikian, kita perlu mentaati-Nya, menyucikan nama-Nya, dan menyenangkan hati-Nya. (Ams. 27:11; Mat. 6:9; 1 Yoh. 5:3) Apabila kita menghadiri Peringatan, hal ini dapat mendorong kita untuk hidup setiap hari dalam cara yang diperkenankan-Nya. Kita seolah-olah berkata kepada Yehuwa, “Saya ingin tetap berada di bawah naungan kasih-Mu untuk selama-lamanya!”

20. Apakah sebab-sebab yang baik kita menghadiri Peringatan?

20 Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup selama-lamanya di bumi ataupun di syurga, kita semua memiliki sebab-sebab yang baik untuk menghadiri Peringatan. Semasa kita berkumpul setiap tahun pada hari Peringatan, kita akan berpeluang mengingati seorang yang kita sayangi, iaitu Yesus Kristus. Yang paling penting, kita dapat mengingati kasih Yehuwa yang terbesar, iaitu memberikan Anak-Nya sebagai korban tebusan. Pada tahun ini, Peringatan akan diadakan pada Jumaat, 15 April 2022, selepas matahari terbenam. Oleh sebab kita mengasihi Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus, kita tidak mahu membiarkan apa-apa pun untuk menghalang kita daripada menghadiri Peringatan.

LAGU 16 Pujilah Yehuwa dan Anak yang Diurapi-Nya

^ Tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga ataupun di bumi firdaus, kita sangat menanti-nantikan masanya untuk menghadiri Peringatan setiap tahun. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sebab-sebab dan manfaatnya kerana menghadiri Peringatan.

^ Ungkapan ini juga diterjemahkan sebagai ‘Lakukanlah ini sebagai peringatan kepadaku’ (Alkitab Versi Borneo).

^ Untuk maklumat lanjut tentang perjanjian baharu dan perjanjian Kerajaan, lihat rencana “Kamu akan Menjadi Kerajaan Imam” dalam Menara Pengawal, terbitan 15 Oktober 2014, ms. 15-17.

^ Untuk maklumat lanjut bagi nubuat tentang dua batang kayu yang terdapat di Yehezkiel bab 37, lihat buku Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!, ms. 130-135, per. 3-17.