Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 1

“Orang yang Mencari Yehuwa Tidak Akan Kekurangan Apa-Apa yang Baik”

“Orang yang Mencari Yehuwa Tidak Akan Kekurangan Apa-Apa yang Baik”

AYAT TAHUNAN 2022: “Orang yang mencari Yehuwa tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.”​—MZM. 34:10.

LAGU 4 “Yehuwa, Engkaulah Gembalaku”

PENGENALAN *

Daud berasa bahawa dia ‘tidak kekurangan apa-apa yang baik,’ bahkan semasa dia hidup susah (Lihat perenggan 1-3) *

1. Apakah masalah yang dihadapi oleh Daud?

 DAUD sedang melarikan diri daripada Raja Saul yang ingin membunuhnya. Apabila Daud memerlukan makanan, dia berhenti di kota Nob dan meminta lima ketul roti. (1 Sam. 21:1, 3) Kemudian, dia dan pengikutnya terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua. (1 Sam. 22:1) Mengapakah Daud menghadapi semua masalah ini?

2. Bagaimanakah tindakan Saul membahayakan dirinya? (1 Samuel 23:16, 17)

2 Saul sudah tahu bahawa oleh sebab dia mengingkari Yehuwa, Yehuwa telah menolaknya sebagai raja Israel dan memilih Daud sebagai penggantinya. (Baca 1 Samuel 23:16, 17.) Meskipun begitu, dia berasa sangat cemburu terhadap Daud kerana Daud disukai ramai dan mendapat banyak kemenangan dalam peperangan. Memandangkan Saul masih merupakan raja Israel, dia memiliki angkatan tentera yang besar dan ramai penyokong. Oleh itu, Daud perlu melarikan diri untuk menyelamatkan nyawanya. Adakah Saul berfikir bahawa dia dapat menggagalkan tujuan Tuhan untuk melantik Daud sebagai raja? (Yes. 55:11) Bible tidak memberitahu kita jawapannya. Namun ada satu hal yang kita pasti: Tindakan Saul sangat berbahaya kerana orang yang melawan Tuhan selalu dikalahkan!

3. Apakah perasaan Daud semasa menghadapi masalah?

3 Daud seorang yang rendah hati. Dia tidak pernah terfikir untuk menjadi raja Israel, tetapi Yehuwa telah melantiknya sebagai raja. (1 Sam. 16:1, 12, 13) Walaupun begitu, Saul menganggap Daud sebagai musuh ketat. Tetapi Daud tidak menyalahkan Yehuwa atas masalah yang dihadapinya, dan dia tidak merungut kerana dia kekurangan makanan dan terpaksa bersembunyi di dalam gua. Sebenarnya, semasa dia berada di dalam gua, dia mungkin telah menggubah lagu pujian yang mengandungi ayat tema kita: “Orang yang mencari Yehuwa tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.”​—Mzm. 34:10.

4. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan? Mengapakah soalan-soalan itu penting?

4 Hari ini, ramai daripada umat Yehuwa kekurangan makanan dan keperluan hidup yang lain, terutamanya pada masa pandemik baru-baru ini. * Apabila “kesengsaraan besar” semakin dekat, hidup kita akan semakin susah. (Mat. 24:21) Oleh itu, mari kita menjawab empat soalan berikut: Dari segi apakah Daud ‘tidak kekurangan apa-apa yang baik’? Mengapakah kita mesti belajar untuk berpuas hati? Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan menjaga kita? Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk menghadapi cabaran pada masa depan?

“AKU TIDAK AKAN KEKURANGAN APA-APA”

5-6. Bagaimanakah Mazmur 23:1-6 membantu kita memahami apa yang dimaksudkan oleh Daud semasa dia berkata para hamba Tuhan “tidak akan kekurangan apa-apa yang baik”?

5 Apakah yang dimaksudkan oleh Daud semasa dia berkata bahawa para hamba Yehuwa “tidak akan kekurangan apa-apa yang baik”? Daud pernah menggunakan ungkapan yang hampir sama di Mazmur 23. Jadi, dengan mengkaji mazmur itu, kita dapat mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Daud. (Baca Mazmur 23:1-6.) Di awal mazmur itu, Daud berkata, “Ya Yehuwa, Engkaulah Gembalaku. Aku tidak akan kekurangan apa-apa.” Kemudian, Daud menyebut hal-hal yang benar-benar bernilai, iaitu berkat rohani yang dinikmatinya kerana dia menerima Yehuwa sebagai Gembalanya. Sebagai contoh, Yehuwa memimpinnya “ke haluan yang benar,” dan Dia menyokong Daud dengan setia pada masa yang senang dan susah. Daud sedar bahawa biarpun dia hidup di “padang rumput” Yehuwa, kehidupannya tidak bebas daripada masalah. Ada masanya dia akan menjadi tawar hati, ditentang musuh, dan berasa seolah-olah dia sedang berjalan “di lembah yang gelap-gelita.” Namun, Daud “tidak berasa takut,” kerana Yehuwa ialah Gembalanya.

6 Jadi, dari segi apakah Daud ‘tidak kekurangan apa-apa yang baik’? Dari segi rohani, dia tidak kekurangan apa-apa. Sukacitanya tidak bergantung pada harta benda. Daud berpuas hati dengan apa yang disediakan oleh Yehuwa. Bagi Daud, yang paling penting ialah berkat dan perlindungan daripada Tuhan.

7. Menurut Lukas 21:20-24, apakah cabaran yang dihadapi oleh orang Kristian di Yudea pada abad pertama?

7 Kata-kata Daud mengajar kita pentingnya memiliki pandangan yang betul terhadap harta benda. Kita memang boleh menikmati harta yang kita miliki, tetapi janganlah kita menjadikan harta benda tumpuan utama hidup kita. Itulah kebenaran penting yang perlu dipelajari oleh orang Kristian di Yudea pada abad pertama. (Baca Lukas 21:20-24.) Yesus telah memberitahu mereka bahawa akan tiba masanya kota Yerusalem “dikepung oleh tentera.” Apabila hal itu berlaku, mereka harus “melarikan diri ke kawasan pergunungan” agar terselamat. Namun untuk berbuat demikian, mereka perlu membuat pengorbanan yang besar. Majalah Menara Pengawal beberapa tahun lalu menyatakan, “Mereka perlu meninggalkan ladang dan rumah, dan mereka bahkan tidak pulang ke rumah untuk mengambil harta mereka. Mereka yakin bahawa Yehuwa akan melindungi dan menyokong mereka. Jadi, biarpun ada hal-hal lain yang nampaknya penting, mereka tetap mendahulukan ibadat kepada Yehuwa.”

8. Apakah pengajaran penting yang kita pelajari daripada orang Kristian abad pertama di Yudea?

8 Apakah pengajaran penting yang kita pelajari daripada orang Kristian abad pertama di Yudea? Menara Pengawal yang disebut tadi menyatakan, “Pada masa hadapan, kita akan mengalami ujian. Ujian ini akan menunjukkan sama ada kita lebih mementingkan harta benda atau penyelamatan yang menantikan orang yang setia kepada Tuhan. Semasa akhir tiba, kita mungkin akan hidup susah dan perlu membuat pengorbanan. Namun, kita perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan, seperti yang dilakukan oleh orang Kristian abad pertama di Yudea.” *

9. Apakah galakan yang anda peroleh daripada nasihat Paulus dalam buku Ibrani?

9 Bayangkan betapa susahnya bagi orang Kristian di Yudea untuk meninggalkan hampir semua harta mereka dan memulakan kehidupan baharu. Mereka perlu beriman bahawa Yehuwa pasti akan menjaga keperluan asas mereka. Sebenarnya, lima tahun sebelum tentera Roma mengepung Yerusalem, Rasul Paulus telah memberi mereka nasihat yang dapat menguatkan iman mereka. Dalam buku Ibrani, dia menulis, “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki, kerana Tuhan telah berfirman, ‘Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.’ Oleh itu, dengan penuh keberanian kita dapat berkata, ‘Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?’” (Ibr. 13:5, 6) Orang Kristian yang mendengar nasihat Paulus pasti berasa lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan yang lebih sederhana selepas mereka melarikan diri. Mereka yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan mereka. Nasihat Paulus juga meyakinkan kita bahawa Yehuwa pasti menjaga keperluan kita.

“KITA AKAN BERPUAS HATI”

10. Apakah pengajaran penting yang dikongsi oleh Paulus dengan kita?

10 Paulus telah menasihati Timotius, “Jika kita mempunyai makanan dan pakaian, kita akan berpuas hati.” (1 Tim. 6:8) Nasihat itu juga sesuai untuk kita. Namun, adakah Paulus bermaksud kita tidak boleh menikmati makanan yang sedap, tinggal di tempat yang selesa, dan membeli pakaian baharu dari masa ke masa? Tidak. Paulus ingin menasihati kita agar berpuas hati dengan apa sahaja harta yang kita miliki. (Flp. 4:12) Itulah pengajaran penting yang ingin dikongsi oleh Paulus. Harta milik kita yang paling bernilai ialah hubungan kita dengan Yehuwa, bukannya harta benda yang kita miliki.​—Hab. 3:17, 18.

Orang Israel “tidak kekurangan apa-apa pun” selama 40 tahun di padang belantara. Dapatkah kita berpuas hati dengan apa yang kita miliki sekarang? (Lihat perenggan 11) *

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Musa kepada orang Israel?

11 Pandangan kita tentang apa yang kita perlukan mungkin berbeza dengan pandangan Yehuwa. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Musa kepada orang Israel selepas mereka mengembara di padang belantara selama 40 tahun. Dia berkata, “Yehuwa, Tuhan kamu, sudah memberkati kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Dia telah memelihara kamu semasa kamu mengembara di padang belantara yang luas itu selama 40 tahun. Yehuwa telah menyertai kamu sehingga kamu tidak kekurangan apa-apa pun.” (Ul. 2:7) Selama 40 tahun itu, Yehuwa telah menyediakan manna untuk orang Israel. Pakaian mereka juga tidak menjadi usang sejak mereka meninggalkan Mesir. (Ul. 8:3, 4) Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa pemberian Yehuwa itu tidak cukup. Namun, Musa mengingatkan orang Israel bahawa mereka sebenarnya tidak kekurangan apa-apa pun. Jika kita menghargai bahkan pemberian kecil daripada Yehuwa, menganggapnya sebagai berkat, dan mengucapkan syukur, kita menunjukkan bahawa kita berpuas hati dengan apa yang kita miliki, dan Yehuwa tentu akan berasa sangat gembira.

YAKINLAH BAHAWA YEHUWA AKAN MENJAGA ANDA

12. Bagaimanakah Daud menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa dan bukannya pada dirinya sendiri?

12 Daud tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang setia, yang mengambil berat terhadap orang yang mengasihi-Nya. Semasa Daud menggubah Mazmur 34, nyawanya terancam. Tetapi, dia memiliki iman yang begitu kuat sehingga dia seolah-olah dapat melihat ‘malaikat Yehuwa berkhemah di sekelilingnya.’ (Mzm. 34:7, nota kaki) Barangkali, Daud menyamakan malaikat Yehuwa dengan askar yang berkhemah di medan perang, yang sentiasa berjaga-jaga terhadap musuh. Sebenarnya, Daud pun seorang askar yang perkasa, dan Yehuwa sudah berjanji bahawa dia akan menjadi raja. Meskipun begitu, Daud tidak berfikir bahawa dia mampu mengalahkan musuhnya kerana dia mahir menghumban batu dan menggunakan pedang. (1 Sam. 16:13; 24:12) Sebaliknya, dia percaya kepada Tuhan dan yakin bahawa “malaikat Yehuwa melindungi orang yang takut akan Tuhan.” Sudah tentu, kita tidak berharap Yehuwa akan melakukan mukjizat untuk melindungi kita pada zaman ini. Namun, kita yakin bahawa sesiapa yang bergantung pada Yehuwa tidak akan dilanda kecelakaan yang kekal.

Sewaktu kesengsaraan besar, Gog dari Magog mungkin menyerang kita semasa kita berada di rumah. Namun, kita dapat berasa lega kerana Yesus dan malaikatnya nampak apa yang berlaku dan akan bertindak untuk menyelamatkan kita (Lihat perenggan 13)

13. Semasa Gog dari Magog menyerang kita, mengapakah kita nampaknya tidak mampu mempertahankan diri? Namun, mengapakah kita tidak perlu takut? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

13 Tidak lama lagi, keyakinan kita terhadap kebolehan Yehuwa untuk melindungi kita akan diuji. Semasa Gog dari Magog, iaitu persekutuan bangsa-bangsa, menyerang umat Tuhan, kita mungkin rasa nyawa kita dalam bahaya. Pada masa itu, kita perlu yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa mampu dan pasti menyelamatkan kita. Umat Yehuwa tidak bersenjata dan tidak dilatih untuk berperang. Jadi bangsa-bangsa akan berfikir bahawa mereka dapat melenyapkan kita dengan mudah, kerana kita nampaknya seperti biri-biri yang lemah, yang tidak mampu mempertahankan diri. (Yeh. 38:10-12) Namun, bangsa-bangsa yang tidak beriman tidak dapat melihat apa yang dapat kita lihat dengan mata iman kita: Angkatan tentera malaikat yang berkhemah di sekeliling umat Tuhan. Apabila para malaikat bertindak untuk menyelamatkan kita, bangsa-bangsa pasti sangat terkejut!​—Why. 19:11, 14, 15.

BERSEDIA SEKARANG UNTUK MENGHADAPI MASA DEPAN

14. Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk menghadapi masa depan?

14 Bagaimanakah kita dapat bersedia sekarang untuk menghadapi masa depan? Kita perlu mempunyai pandangan yang betul terhadap harta benda, kerana suatu hari nanti, kita perlu meninggalkan harta kita. Kita juga perlu berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan menjadikan hubungan kita dengan Yehuwa sebagai sumber sukacita kita. Apabila kita semakin mengenali Tuhan kita, kita akan semakin yakin bahawa Dia mampu melindungi kita daripada serangan Gog dari Magog.

15. Bagaimanakah pengalaman Daud semasa dia masih muda meyakinkannya bahawa Yehuwa pasti membantunya?

15 Apa lagi yang dapat membantu kita bersedia untuk menghadapi cubaan? Perhatikan apa yang telah membantu Daud. Dia berkata, “Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!” (Mzm. 34:8) Kata-kata itu menjelaskan mengapa Daud yakin bahawa dia dapat bersandar pada Yehuwa. Sejak muda lagi, Daud bergantung pada Yehuwa, dan dia tidak pernah dikecewakan. Sebagai contoh, semasa berdepan dengan Goliat yang besar dan kuat, Daud berkata, “Pada hari ini juga, Yehuwa akan menyerahkan kamu ke dalam tanganku.” (1 Sam. 17:46) Kemudian, semasa Daud berkhidmat kepada Raja Saul, Saul cuba berkali-kali untuk membunuhnya. Namun, “Yehuwa . . . menyertai Daud.” (1 Sam. 18:12) Oleh sebab Daud pernah merasai bantuan Yehuwa, dia yakin bahawa Yehuwa pasti membantunya pada masa yang akan datang.

16. Bagaimanakah kita dapat “merasakan” kebaikan Yehuwa? Berikan contoh.

16 Apabila kita selalu bergantung pada bimbingan Yehuwa sekarang, kita akan semakin yakin bahawa Dia mampu menyelamatkan kita pada masa depan. Contohnya, kita perlu beriman dan sudi bergantung pada Yehuwa semasa meminta cuti daripada majikan untuk menghadiri perhimpunan atau konvensyen. Kita juga perlu beriman dan bergantung pada Yehuwa semasa meminta majikan kita mengubah jadual kerja kita supaya kita dapat menghadiri semua perjumpaan atau mempunyai lebih banyak masa untuk menginjil. Namun, katakan permintaan kita ditolak dan kita dipecat, adakah kita beriman bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita dan akan sentiasa menjaga keperluan asas kita? (Ibr. 13:5) Ramai saudara saudari yang berkhidmat sepenuh masa dapat menceritakan bagaimana Yehuwa telah membantu mereka tepat pada masanya. Ya, Yehuwa sememangnya Tuhan yang setia!

17. Apakah ayat tahunan 2022? Mengapakah ayat ini sesuai?

17 Jika Yehuwa berada di samping kita, kita tidak perlu takut apa yang akan berlaku pada masa depan. Tuhan kita tidak akan meninggalkan kita selagi kita mengutamakan kehendak-Nya dalam hidup kita. Badan Pimpinan ingin mengingatkan kita bahawa kita perlu bersedia sekarang untuk menghadapi cabaran pada masa depan dan percaya bahawa Yehuwa tidak akan mengabaikan kita. Maka, mereka memilih Mazmur 34:10 sebagai ayat tahunan 2022: “Orang yang mencari Yehuwa tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.”

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

^ Ayat tahunan bagi tahun 2022 diambil dari Mazmur 34:10: “Orang yang mencari Yehuwa tidak akan kekurangan apa-apa yang baik.” Ramai daripada hamba Yehuwa yang setia hanya memiliki sedikit wang atau harta. Jadi, mengapakah kita boleh mengatakan bahawa mereka ‘tidak kekurangan apa-apa yang baik’? Bagaimanakah makna ayat ini dapat membantu kita bersedia untuk menghadapi kesusahan pada masa depan?

^ Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan 15 September 2014.

^ KETERANGAN GAMBAR: Bahkan semasa Daud perlu melarikan diri daripada Raja Saul dan bersembunyi di dalam gua, dia menghargai pemberian Yehuwa.

^ KETERANGAN GAMBAR: Selepas orang Israel meninggalkan Mesir, Yehuwa memberi mereka manna dan memastikan pakaian mereka tidak menjadi usang.