Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 1

Yakinlah bahawa Firman Tuhan ialah Kebenaran

Yakinlah bahawa Firman Tuhan ialah Kebenaran

AYAT TAHUNAN 2023: “Segala firman-Mu benar.”​—MZM. 119:160.

LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai

PENGENALAN a

1. Mengapakah ramai orang hari ini tidak mempercayai Bible?

 RAMAI orang hari ini tidak tahu siapa yang boleh mereka percayai. Mereka ragu-ragu jika orang yang mereka sanjung, seperti ahli politik, ahli sains, atau ahli niaga, benar-benar mengambil berat terhadap mereka. Selain itu, mereka tidak menghormati para pemimpin agama Kristian yang sepatutnya mewakili Tuhan dan Firman-Nya. Maka tidak hairanlah mereka juga tidak mempercayai Bible.

2. Selaras dengan Mazmur 119:160, kita harus yakin akan apa?

2 Sebagai hamba Yehuwa, kita yakin bahawa Yehuwa ialah “sumber kebenaran” dan Dia sentiasa mahukan apa yang terbaik bagi kita. (Mzm. 31:5; Yes. 48:17) Kita juga tahu kita dapat mempercayai apa yang terkandung dalam Bible kerana “segala [firman Tuhan] benar.” (Baca Mazmur 119:160.) Kita setuju dengan seorang pakar Bible yang menulis, “Tuhan tidak mungkin berbohong dan kata-kata-Nya pasti menjadi kenyataan. Maka umat Tuhan dapat mempercayai apa yang dikatakan oleh Tuhan.”

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain memiliki keyakinan yang sama terhadap Firman Tuhan seperti kita? Mari kita membincangkan tiga sebab mengapa kita mempercayai Bible: (1) Kandungan Bible tidak berubah, (2) nubuat Bible telah menjadi kenyataan, dan (3) Bible dapat mengubah hidup orang.

KANDUNGAN BIBLE TIDAK BERUBAH

4. Mengapakah sesetengah orang berfikir bahawa kandungan Bible sudah diubah?

4 Tuhan Yehuwa menggunakan kira-kira 40 orang lelaki yang setia untuk menulis buku-buku Bible. Namun, naskhah asal yang ditulis oleh mereka sudah tidak wujud. Bible yang kita ada sekarang sudah disalin berkali-kali. Maka, sesetengah orang tertanya-tanya jika apa yang kita baca dalam Bible sekarang adalah sama dengan apa yang ditulis pada asalnya. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa kandungan Bible tidak diubah?

Para penyalin Kitab Ibrani melakukan kerja mereka dengan sangat teliti untuk memastikan Firman Tuhan disalin dengan tepat (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah Kitab Ibrani disalin? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

5 Yehuwa mahu Firman-Nya terpelihara. Maka Dia mengarahkan agar Firman-Nya disalin. Dia mengarahkan raja-raja Israel untuk menyalin Hukum Musa, dan Dia melantik orang Lewi untuk mengajarkan Hukum-Nya kepada orang Israel. (Ul. 17:18; 31:24-26; Neh. 8:7) Selepas orang Israel tidak lagi menjadi tawanan di Babilon, sekumpulan penyalin Hukum Tuhan mula membuat banyak salinan Kitab Ibrani. (Ezr. 7:6, nota kaki) Mereka bukan sahaja mengira perkataan yang disalin, tetapi juga mengira setiap huruf dengan teliti untuk memastikan apa yang disalin adalah tepat. Biarpun begitu, kadangkala terdapat kesilapan kecil yang muncul dalam teks Bible yang disalin. Namun, oleh sebab banyak salinan teks Bible yang sama telah dibuat, kesilapan yang muncul dapat dikenal pasti dengan senang sekali. Bagaimana?

6. Bagaimanakah kesalahan dalam salinan Bible dapat dikenal pasti?

6 Para pakar Bible zaman moden mempunyai cara yang berkesan untuk mengenal pasti kesalahan yang muncul dalam salinan Bible. Fikirkan contoh ini: Katakan 100 orang ditugaskan untuk menyalin teks yang panjangnya satu muka surat. Jika salah seorang daripada mereka melakukan kesilapan kecil, bagaimanakah kita dapat mengenal pasti kesilapan itu? Kita boleh membandingkan salinannya dengan salinan orang lain. Begitu juga, untuk mengenal pasti kesalahan dalam satu salinan Bible, pakar Bible hanya perlu membandingkannya dengan salinan-salinan lain.

7. Seberapa tepatkah naskhah Bible yang disalin?

7 Para penyalin Bible berusaha keras untuk memastikan salinan mereka adalah tepat. Perhatikan contoh ini: Naskhah lengkap Kitab Ibrani yang tertua disalin sekitar 1008 atau 1009 M dan dipanggil Kodeks Leningrad. Baru-baru ini, sebilangan naskhah Bible dan cebisan naskhah Bible ditemui. Naskhah-naskhah itu adalah kira-kira 1,000 tahun lebih tua daripada Kodeks Leningrad. Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa teks Kodeks Leningrad akan sangat berbeza daripada naskhah-naskhah itu kerana sudah disalin berulang kali dalam jangka masa lebih daripada 1,000 tahun. Namun, para cendekiawan yang membandingkan Kodeks Leningrad dengan naskhah-naskhah itu mendapati bahawa kandungan atau mesejnya masih sama, dan cuma ada sedikit perbezaan dalam perkataan.

8. Apakah perbezaan antara salinan Kitab Yunani Kristian dengan salinan teks kuno lain yang sezaman dengannya?

8 Seperti penyalin Kitab Ibrani, orang Kristian abad pertama juga membuat banyak salinan Kitab Yunani. Mereka menyalin semua 27 buah buku dalam Kitab Yunani dengan teliti dan menggunakannya dalam perjumpaan atau kerja penyebaran. Selepas membandingkan salinan Kitab Yunani dengan salinan teks kuno lain yang sezaman dengannya, seorang pakar menyatakan, “Secara umum, terdapat lebih banyak [salinan Kitab Yunani] daripada salinan teks lain, . . . dan salinan Kitab Yunani jauh lebih lengkap.” Buku Anatomy of the New Testament menyatakan, “Apabila kita membaca [Kitab Yunani] moden yang diterjemahkan dengan baik, kita dapat yakin mesejnya adalah sama dengan apa yang ditulis pada asalnya.”

9. Bagaimanakah Yesaya 40:8 menggambarkan mesej Bible?

9 Selama ratusan tahun, banyak penyalin Bible bekerja keras untuk menghasilkan salinan Bible yang tepat. Itulah sebabnya kita dapat membaca dan mengkaji Bible hari ini dengan penuh keyakinan bahawa kandungannya tepat. b Sudah tentu, Yehuwalah yang memastikan agar Firman-Nya terpelihara dengan tepat. (Baca Yesaya 40:8.) Namun, sesetengah orang mungkin berkata bahawa biarpun mesej Bible tidak berubah, hal itu tidak membuktikan bahawa Bible diilhami oleh Tuhan. Maka sekarang, mari kita membincangkan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa Bible diilhami oleh Tuhan.

NUBUAT BIBLE PASTI MENJADI KENYATAAN

Kiri: C. Sappa/​DeAgostini/​Getty Images; kanan: Image © Homo Cosmicos/​Shutterstock

Nubuat Bible telah menjadi kenyataan pada masa dahulu dan masa sekarang (Lihat perenggan 10-11) d

10. Bagaimanakah nubuat Bible yang menjadi kenyataan membuktikan bahawa kata-kata di 2 Petrus 1:21 memang benar? Berikan contoh. (Lihat gambar.)

10 Bible mengandungi banyak nubuat yang menjadi kenyataan. Sesetengah nubuat menjadi kenyataan ratusan tahun selepas ditulis. Catatan sejarah membuktikan bahawa nubuat-nubuat Bible telah menjadi kenyataan. Hal ini tidak menghairankan kerana kita tahu bahawa semua nubuat Bible berasal daripada Yehuwa. (Baca 2 Petrus 1:21.) Sebagai contoh, fikirkan nubuat tentang kejatuhan kota Babilon. Pada abad kelapan SM, Tuhan mengilhami Nabi Yesaya untuk menulis bahawa kuasa dunia Babilon akan dikalahkan. Yesaya bahkan menulis bahawa orang yang akan menakluki Babilon bernama Kores, dan menjelaskan secara terperinci bagaimana dia akan menawan kota itu. (Yes. 44:27–45:2) Yesaya juga menubuatkan bahawa kota Babilon akan dibinasakan dan akhirnya menjadi tempat terbiar. (Yes. 13:19, 20) Adakah semua nubuat itu menjadi kenyataan? Ya. Pada tahun 539 SM, Babilon telah ditawan oleh kuasa Media dan Persia. Kini, kota yang agung itu hanya tinggal reruntuhan.​—Lihat video Bible Menubuatkan Kejatuhan Babilon dalam edisi digital buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, pelajaran 03 poin 5.

11. Jelaskan bagaimana Daniel 2:41-43 menjadi kenyataan pada hari ini.

11 Nubuat Bible bukan hanya menjadi kenyataan pada masa lalu. Hari ini pun, nubuat Bible sedang menjadi kenyataan. Sebagai contoh, mari kita lihat nubuat Daniel tentang Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. (Baca Daniel 2:41-43.) Nubuat itu jelas menunjukkan bahawa sebahagian daripada kuasa dunia itu “kuat seperti besi,” tetapi sebahagian lagi lemah seperti “tanah liat.” Hal ini terbukti benar. Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika menunjukkan kekuatan seperti besi semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Mereka juga terus mempunyai kuasa tentera yang besar. Namun, kuasa dunia itu sering dilemahkan oleh rakyatnya yang suka memberontak untuk menuntut hak mereka melalui kesatuan buruh, gerakan hak sivil, dan gerakan lain. Seorang pakar dalam politik dunia baru-baru ini menyatakan, “Tiada negara demokratik yang lebih berpecah belah dari segi politik daripada Amerika Syarikat hari ini.” Britain pula berpecah belah akibat pandangan yang bertentangan tentang ikatan mereka dengan negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Semua perpecahan ini membuat Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika lemah dan tidak dapat bertindak dengan efektif.

12. Nubuat Bible yang menjadi kenyataan meyakinkan kita tentang hal apa?

12 Banyak nubuat Bible yang sudah menjadi kenyataan menguatkan keyakinan kita bahawa janji-janji Tuhan tentang masa depan juga pasti ditunaikan. Kita tentu berasa seperti pemazmur yang berdoa kepada Yehuwa, “Aku amat menginginkan penyelamatan daripada-Mu, kerana aku percaya kepada firman-Mu.” (Mzm. 119:81) Melalui Bible, Yehuwa memberi kita “harapan dan masa depan yang baik.” (Yer. 29:11) Harapan masa depan kita tidak bergantung pada usaha manusia, tetapi pada janji-janji Yehuwa. Maka, semoga kita terus membina keyakinan kita terhadap Firman Tuhan dengan rajin mengkaji nubuat Bible.

NASIHAT BIBLE MEMBANTU JUTAAN ORANG

13. Menurut Mazmur 119:66, 138, apakah satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa Bible dapat dipercayai?

13 Satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa Bible dapat dipercayai ialah orang yang mengikut nasihatnya selalu meraih manfaat. (Baca Mazmur 119:66, 138.) Sebagai contoh, suami isteri yang hampir bercerai kini hidup bahagia. Anak-anak mereka juga berasa bahagia dan selamat kerana dibesarkan dalam keluarga Kristian yang penyayang.​—Ef. 5:22-29.

14. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana Bible mempunyai kuasa untuk mengubah hidup orang.

14 Dengan menerapkan nasihat Bible yang bijak, bahkan penjenayah yang sangat bahaya juga telah mengubah hidup mereka. Mari kita lihat bagaimana nasihat Bible telah membantu seorang banduan yang bernama Jack. c Dia penjenayah yang sangat ganas. Dia juga salah seorang penjenayah paling bahaya yang akan dikenakan hukuman mati. Tetapi pada suatu hari, Jack menyertai pembelajaran Bible yang diadakan di penjara. Kebaikan hati yang ditunjukkan oleh saudara yang memimpin pembelajaran Bible sangat menyentuh hati Jack. Maka dia pun mula belajar Bible. Apabila dia menerapkan kebenaran Bible dalam kehidupannya, sikap dan kelakuannya mula berubah. Jack telah memenuhi syarat untuk menjadi penyiar, dan kemudian dia dibaptis. Jack menginjil dengan bersemangat kepada banduan lain tentang Kerajaan Tuhan dan telah membantu sekurang-kurangnya empat orang banduan untuk menerima kebenaran. Apabila hari dia dihukum mati tiba, Jack ialah lelaki yang berbeza. Salah seorang peguamnya berkata, “Jack bukan lelaki yang saya kenal 20 tahun dahulu. Ajaran Saksi-Saksi Yehuwa telah mengubah hidupnya.” Walaupun Jack dihukum mati, contohnya menunjukkan bahawa Firman Tuhan dapat dipercayai dan mempunyai kuasa untuk mengubah hidup orang.​—Yes. 11:6-9.

Nasihat Bible telah mengubah hidup banyak orang daripada pelbagai latar belakang (Lihat perenggan 15) e

15. Bagaimanakah umat Yehuwa berbeza daripada orang lain kerana hidup menurut kebenaran Bible? (Lihat gambar.)

15 Oleh sebab umat Yehuwa hidup menurut kebenaran Bible, mereka hidup bersatu. (Yoh. 13:35; 1 Kor. 1:10) Hal ini membuat mereka sangat berbeza daripada orang di dunia yang berpecah belah kerana soal politik, kaum, dan kedudukan. Perpaduan umat Tuhan telah menyentuh hati seorang pemuda dari Afrika yang bernama Jean. Semasa perang saudara tercetus di negaranya, dia menjadi askar tetapi kemudiannya melarikan diri ke negara jiran. Di situ dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Jean berkata, “Saya belajar bahawa penganut agama yang benar tidak akan terlibat dalam politik dan tidak berpecah belah. Sebaliknya mereka saling mengasihi.” Dia menambah, “Sebelum ini saya membaktikan hidup kepada negara dan menggunakan hidup saya untuk mempertahankan negara. Tetapi selepas saya belajar kebenaran Bible, saya terdorong untuk membaktikan kehidupan saya kepada Yehuwa.” Jean membuat perubahan besar selepas belajar Bible. Kini dia tidak melawan orang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi dia mengongsi mesej kedamaian daripada Bible dengan sesiapa sahaja yang dijumpainya. Setelah melihat bagaimana nasihat Bible dapat membantu orang daripada pelbagai latar belakang, tidakkah kita bertambah yakin bahawa Firman Tuhan dapat dipercayai?

TERUS MEMPERCAYAI FIRMAN TUHAN

16. Mengapakah penting untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Firman Tuhan?

16 Apabila keadaan dunia ini menjadi semakin teruk, keyakinan kita terhadap Firman Tuhan akan diuji. Orang mungkin cuba membuat kita ragu-ragu terhadap kebenaran Firman Tuhan atau membuat kita fikir bahawa Yehuwa tidak menggunakan hamba yang setia untuk membimbing umat-Nya hari ini. Namun, jika kita yakin bahawa Firman Tuhan sentiasa benar, kita dapat melindungi iman kita. Kita akan “berazam untuk mengikut [peraturan Yehuwa] pada setiap waktu dan mematuhinya sehingga akhir [hayat kita].” (Mzm. 119:112) Kita juga “tidak akan berasa malu” untuk memberitahu orang lain tentang kebenaran dan menggalakkan mereka untuk hidup selaras dengan nasihat Bible. (Mzm. 119:46) Selain itu, kita dapat bertabah menghadapi cabaran yang paling susah, termasuk penganiayaan, “dengan sabar dan sukacita.”​—Kol. 1:11; Mzm. 119:143, 157.

17. Ayat tahunan kita mengingatkan kita tentang apa?

17 Alangkah bersyukurnya kita kerana Yehuwa telah menyingkapkan kebenaran kepada kita! Kebenaran memberi kita kestabilan dan memberi kita tujuan hidup yang jelas dalam dunia yang kacau-bilau ini. Kebenaran juga memberi kita harapan untuk masa depan yang cerah di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan. Semoga ayat tahunan 2023 membantu kita untuk sentiasa yakin bahawa segala Firman Tuhan adalah benar!​—Mzm. 119:160.

LAGU 94 Bersyukur atas Kurniaan Firman Tuhan

a Ayat tahunan 2023 ialah, “Segala firman-Mu benar.” (Mzm. 119:160) Anda pasti setuju dengan kata-kata itu. Namun, banyak orang hari ini tidak percaya bahawa Bible ialah kebenaran dan dapat memberikan bimbingan yang baik. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji tiga bukti yang dapat kita gunakan untuk meyakinkan orang yang berhati jujur bahawa Bible dan nasihat Yehuwa dapat dipercayai.

b Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana kandungan Bible dipelihara, layari jw.org/ms dan taip “Sejarah dan Bible” dalam kotak carian.

c Sesetengah nama telah diubah.

d KETERANGAN GAMBAR: Tepat seperti yang dinubuatkan, kota Babilon yang agung kini hanya tinggal reruntuhan.

e KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula​—Selepas belajar cara untuk hidup damai daripada Bible, seorang lelaki muda tidak lagi berperang. Dia mula membantu orang lain untuk hidup damai juga.