Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 3

Yehuwa Membantu Anda Berjaya

Yehuwa Membantu Anda Berjaya

“Yehuwa menyertai Yusuf, dan Yehuwa memberinya kejayaan dalam segala yang dilakukannya.”​—KEJ. 39:3.

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

PENGENALAN a

1-2. (a) Mengapakah kita tidak berasa hairan semasa ditimpa kesusahan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

 SEBAGAI umat Yehuwa, kita tidak berasa terkejut semasa menghadapi cabaran. Kita tahu Bible telah menyatakan bahawa “kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk memasuki Kerajaan Tuhan.” (Kis. 14:22) Kita juga tahu bahawa sesetengah masalah kita tidak akan hilang sehingga dunia baharu tiba. Pada masa itu, “kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​—Why. 21:4.

2 Yehuwa tidak melindungi kita daripada cabaran, tetapi Dia akan membantu kita menghadapinya dengan tabah. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Rasul Paulus kepada orang Kristian di Roma. Setelah menyebut beberapa cabaran yang dihadapinya dan saudara-saudaranya, dia menulis, “Kita akan mendapat kemenangan yang mutlak melalui dia yang mengasihi kita.” (Rm. 8:35-37) Maksudnya, Yehuwa dapat membantu anda berjaya bahkan semasa anda sedang menghadapi kesusahan. Mari kita lihat bagaimana Yehuwa membantu Yusuf berjaya dan bagaimana Dia juga dapat membantu anda.

SEMASA KEADAAN TIBA-TIBA BERUBAH

3. Bagaimanakah kehidupan Yusuf tiba-tiba berubah?

3 Yakub sangat menyayangi anaknya Yusuf. (Kej. 37:3, 4) Setelah melihat hal itu, abang-abang Yusuf sangat cemburu terhadapnya. Oleh itu, mereka menjual Yusuf kepada sekumpulan pedagang Midian. Kemudian, Yusuf dibawa ratusan kilometer ke Mesir dan dijual lagi kepada Potifar, ketua pengawal istana Firaun. Dalam masa yang singkat, kehidupan Yusuf telah berubah. Dahulunya Yusuf anak kesayangan bapanya. Tetapi sekarang, dia menjadi seorang hamba di Mesir.​—Kej. 39:1.

4. Apakah cabaran yang mungkin kita hadapi?

4 Bible menyatakan bahawa perkara buruk “menimpa semua orang.” (Pkh. 9:11) Ada kalanya kita menghadapi kesusahan yang “biasa dialami oleh manusia.” (1 Kor. 10:13) Kita juga mungkin menderita kerana kita ialah pengikut Yesus. Misalnya, kita mungkin diejek, ditentang, atau bahkan dianiaya kerana kepercayaan kita. (2 Tim. 3:12) Tidak kira apa cubaan yang anda hadapi, Yehuwa dapat membantu anda berjaya. Perhatikan bagaimana Dia membantu Yusuf.

Yehuwa membantu Yusuf berjaya bahkan semasa Yusuf dijual sebagai hamba Potifar (Lihat perenggan 5)

5. Setelah melihat apa yang dilakukan oleh Yusuf, apakah yang disedari oleh Potifar? (Kejadian 39:2-6)

5 Baca Kejadian 39:2-6. Potifar melihat bahawa Yusuf seorang lelaki muda yang sangat cekap dan rajin. Dia juga tahu bahawa Yusuf berjaya kerana “Yehuwa memberinya kejayaan dalam segala yang dilakukannya.” b Akhirnya Potifar menjadikan Yusuf sebagai pembantu peribadinya. Dia juga melantik Yusuf untuk mengurus seluruh rumah tangganya. Setelah berbuat demikian, Potifar menjadi lebih makmur.

6. Apakah perasaan Yusuf terhadap situasi yang dihadapinya?

6 Cuba bayangkan perasaan Yusuf. Apakah yang paling diingininya? Adakah dia mahu diperhatikan oleh Potifar dan dipujinya? Tidak. Kemungkinan besar Yusuf mahu dibebaskan dan kembali kepada bapanya. Biarpun dia dihormati dalam rumah tangga Potifar, Yusuf masih hamba kepada seorang tuan yang tidak menyembah Yehuwa. Namun, Yehuwa tidak menggerakkan Potifar untuk membebaskan Yusuf, dan keadaan Yusuf bakal menjadi lebih teruk lagi.

JIKA SITUASI BERTAMBAH BURUK

7. Bagaimanakah situasi Yusuf bertambah buruk? (Kejadian 39:14, 15)

7 Kejadian bab 39 memberitahu kita bahawa isteri Potifar tertarik dengan Yusuf dan berkali-kali menggoda Yusuf untuk menidurinya. Namun Yusuf menolak godaannya. Akhirnya, isteri Potifar begitu marah sehingga menuduh Yusuf cuba merogolnya. (Baca Kejadian 39:14, 15.) Apabila Potifar mendengar hal itu, dia memenjarakan Yusuf, dan Yusuf dikurung selama bertahun-tahun. (Kej. 39:19, 20) Apakah keadaan di penjara pada masa itu? Perkataan Ibrani bagi “penjara” yang digunakan oleh Yusuf juga boleh bermaksud “lubang.” Nampaknya, Yusuf telah dikurung di tempat yang gelap dan dia mungkin berasa hilang harapan. (Kej. 40:15) Nampaknya buat suatu jangka masa, kaki Yusuf bahkan diikat dengan rantai, dan lehernya dibelenggu dengan rantai besi. (Mzm. 105:17, 18) Sememangnya, situasi Yusuf telah bertambah buruk. Pada mulanya dia merupakan hamba yang dipercayai, tetapi sekarang dia dipenjarakan.

8. Biarpun cubaan yang kita hadapi menjadi semakin teruk, kita dapat yakin akan hal apa?

8 Pernahkah anda mengalami situasi yang makin lama makin teruk biarpun anda telah berdoa dengan bersungguh-sungguh? Hal itu mungkin berlaku kerana Yehuwa tidak berjanji untuk melindungi kita daripada semua cubaan dalam dunia Syaitan. (1 Yoh. 5:19) Namun, anda dapat yakin akan hal ini: Yehuwa sedar akan apa yang sedang anda lalui, dan Dia sangat mengambil berat tentang anda. (Mat. 10:29-31; 1 Ptr. 5:6, 7) Lagipun Dia telah berjanji, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibr. 13:5) Jadi biarpun anda rasa buntu, Yehuwa dapat membantu anda menghadapi cubaan dengan tabah. Mari kita lihat bagaimana Yehuwa telah membantu Yusuf.

Yehuwa menyertai Yusuf bahkan semasa Yusuf dipenjarakan. Hasilnya dia dilantik untuk menjaga tahanan lain (Lihat perenggan 9)

9. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa menyertai Yusuf semasa dia dipenjarakan? (Kejadian 39:21-23)

9 Baca Kejadian 39:21-23. Bahkan semasa Yusuf dipenjarakan, Yehuwa membantunya berjaya. Bagaimana? Sebagaimana Yusuf telah dipercayai dan dihormati oleh Potifar, dia juga dipercayai dan dihormati oleh ketua penjara. Tidak lama selepas Yusuf dipenjarakan, ketua penjara telah melantiknya untuk mengurus semua tahanan di dalam penjara. Bible menyatakan bahawa “ketua penjara itu langsung tidak risau tentang hal-hal yang dipercayakan kepada Yusuf.” Ya, walaupun Yusuf dipenjarakan, dia dapat melakukan kerja yang bermakna. Hal yang sungguh luar biasa! Bayangkan: Yusuf seorang tahanan yang dituduh cuba merogol isteri seorang pegawai istana, tetapi dia telah diberi tanggungjawab yang begitu istimewa. Bagaimana mungkin hal itu berlaku? Kejadian 39:23 memberitahu kita, “Yehuwa menyertai Yusuf dan Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.”

10. Jelaskan mengapa Yusuf tidak berasa bahawa dia berjaya dalam segala pekerjaannya.

10 Mari kita lihat situasi Yusuf daripada sudut pandangannya. Selepas dituduh dan dipenjarakan, adakah Yusuf berasa bahawa dia berjaya dalam segala pekerjaannya? Sebenarnya apakah yang Yusuf mahukan? Dia bukannya mahu menyenangkan hati ketua penjara. Yusuf mahu dibebaskan dan ingin namanya dibersihkan. Dia bahkan meminta seorang tahanan yang bakal dibebaskan untuk memberitahu Firaun tentang situasinya dan memohon agar Firaun membebaskannya dari penjara. (Kej. 40:14) Sedihnya, lelaki itu lupa tentang Yusuf. Akibatnya Yusuf meringkuk dalam penjara untuk dua tahun lagi. (Kej. 40:23; 41:1, 14) Namun Yehuwa telah membantu Yusuf berjaya. Mari kita lihat bagaimana.

11. Apakah kebolehan istimewa yang diberikan kepada Yusuf? Bagaimanakah Yusuf menggunakan kebolehan itu untuk melaksanakan tujuan Yehuwa?

11 Semasa Yusuf dipenjarakan, Yehuwa memberi Firaun dua mimpi buruk. Firaun sangat terdesak dan ingin mengetahui maksud mimpinya itu. Apabila Firaun mendapat tahu bahawa Yusuf mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mimpi, dia memanggil Yusuf untuk menghadapnya. Dengan bantuan Yehuwa, Yusuf menjelaskan mimpi-mimpi itu dan memberi Firaun nasihat yang berguna. Firaun sangat kagum dan sedar bahawa Yehuwa menyertai Yusuf. Jadi, dia melantik Yusuf untuk menjadi pengurus makanan di seluruh Mesir. (Kej. 41:38, 41-44) Beberapa lama kemudian, kebuluran yang dahsyat berlaku di Mesir dan di Kanaan, iaitu tempat tinggal keluarga Yusuf. Ketika itu, Yusuf menggunakan kebolehannya untuk menyelamatkan keluarganya dan garis keturunan Mesias.

12. Bagaimanakah Yehuwa membantu Yusuf berjaya?

12 Fikirkan peristiwa-peristiwa luar biasa yang berlaku dalam kehidupan Yusuf. Semasa Yusuf menjadi seorang hamba, siapakah yang menggerakkan Potifar untuk memperhatikannya? Semasa Yusuf dipenjarakan, siapakah yang menggerakkan ketua penjara untuk melayannya dengan baik? Siapakah yang memberi Firaun mimpi buruk dan memberi Yusuf kebolehan untuk menjelaskan mimpi-mimpi itu? Siapakah yang menggerakkan Firaun untuk melantik Yusuf sebagai pengurus makanan di Mesir? (Kej. 45:5) Jelaslah, Yehuwa yang membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya. Walaupun abang-abang Yusuf melayannya dengan kejam, Yehuwa telah mengubah situasi Yusuf dan menggunakannya untuk melaksanakan kehendak-Nya.

CARA YEHUWA MEMBUAT ANDA BERJAYA

13. Adakah Yehuwa akan bertindak untuk menyelamatkan kita daripada setiap situasi buruk dalam hidup kita? Jelaskan.

13 Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah Yusuf? Adakah Yehuwa akan bertindak untuk menyelamatkan kita daripada setiap cabaran yang kita hadapi? Adakah Dia akan masuk campur dalam hidup kita dan memastikan hal buruk yang berlaku akan mempunyai kesudahan yang baik? Tidak. Bible tidak menyokong pandangan itu. (Pkh. 8:9; 9:11) Namun kita tahu akan hal ini: Cubaan yang kita hadapi tidak akan terlepas daripada perhatian Yehuwa, dan Dia pasti akan mendengar seruan kita untuk meminta bantuan-Nya. (Mzm. 34:15; 55:22; Yes. 59:1) Selain itu, Yehuwa pasti membantu kita untuk menghadapi cubaan dengan tabah. Bagaimana?

14. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita pada masa kesusahan?

14 Salah satu cara Yehuwa membantu kita adalah dengan memberi kita galakan dan kelegaan tepat pada masanya. (2 Kor. 1:3, 4) Itulah pengalaman Eziz, seorang saudara di Turkmenistan yang dipenjarakan selama dua tahun kerana kepercayaannya. Dia berkata, “Pada pagi kes saya dibicarakan, seorang saudara menunjukkan Yesaya 30:15 kepada saya. Ayat itu kata, ‘Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.’ Ayat ini membantu saya tetap tenang dan bergantung pada Yehuwa dalam segala-galanya. Dengan renungkan ayat ini, saya telah dikuatkan sepanjang masa saya dipenjarakan.” Pernahkah anda mengalami situasi yang serupa, di mana Yehuwa menggalakkan dan melegakan anda pada saat anda paling memerlukannya?

15-16. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Tori?

15 Sering kali, kita hanya akan sedar bagaimana Yehuwa telah membantu kita setelah masalah kita berlalu. Itulah pengalaman Saudari Tori. Anak lelakinya Mason, bergelut dengan penyakit kanser selama enam tahun sehingga dia meninggal. Kita dapat bayangkan betapa sedihnya Tori. Dia berkata, “Sebagai seorang ibu, inilah pengalaman yang paling menyayat hati.” Dia menambah, “Saya pasti ibu bapa lain juga setuju bahawa melihat anak sendiri menderita lebih sengsara daripada diri kita sendiri yang menderita.”

16 Mengenang kembali masa yang susah itu, Saudari Tori dapat melihat bagaimana Yehuwa telah membantunya. Dia berkata, “Sepanjang masa anak lelaki saya sakit, Yehuwa telah membantu saya. Sebagai contoh, biarpun semasa Mason terlalu sakit dan tidak dapat menerima pelawat, ada saudara saudari yang sanggup memandu selama dua jam ke hospital. Di ruang menunggu hospital selalu ada orang yang sedia untuk memberi saya sokongan yang diperlukan. Selain itu, keperluan kami sentiasa dijaga. Bahkan pada masa yang paling teruk, kami tidak pernah kekurangan apa-apa.” Ya, Yehuwa telah memberi Saudari Tori apa yang dia perlukan untuk terus bertabah dan Dia juga melakukan hal yang sama untuk Mason.​—Lihat kotak “ Yehuwa Telah Menyediakan Apa yang Kami Perlukan Tepat pada Masanya.”

HITUNGLAH BERKAT ANDA

17-18. Semasa ditimpa kesusahan, apakah yang dapat membantu kita untuk menyedari dan menghargai bantuan Yehuwa? (Mazmur 40:5)

17 Baca Mazmur 40:5. Matlamat seorang pendaki gunung adalah untuk sampai ke puncak gunung. Namun sepanjang perjalanan, terdapat beberapa tempat persinggahan di mana dia dapat menikmati pemandangannya. Begitu juga, sepanjang masa anda bergelut dengan masalah, berhentilah sejenak dari masa ke masa dan fikirkan bagaimana Yehuwa sedang membantu anda berjaya. Pada akhir setiap hari, tanyalah diri, “Bagaimanakah Yehuwa telah memberkati saya hari ini? Walaupun cubaan saya belum berakhir, bagaimanakah Yehuwa sedang membantu saya untuk bertabah?” Cuba mengenal pasti sekurang-kurangnya satu cara Yehuwa telah membantu anda berjaya.

18 Semasa menghadapi masalah, anda mungkin berdoa supaya masalah itu berakhir. Hal itu tidak salah. (Flp. 4:6) Namun ingatlah bahawa Yehuwa telah berjanji untuk menguatkan kita dan membantu kita untuk bertahan. Jadi kita perlu peka terhadap bagaimana Yehuwa sedang membantu kita. Oleh itu, bersyukurlah selalu atas sokongan Yehuwa. Dengan itu, anda akan melihat bagaimana Yehuwa membantu anda berjaya bahkan pada masa yang mencabar sebagaimana Dia telah membantu Yusuf.​—Kej. 41:51, 52.

LAGU 32 Berpihak kepada Yehuwa!

a Semasa kita ditimpa kesusahan, kita mungkin tidak berfikir bahawa kita ialah orang yang berjaya. Kita mungkin berfikir bahawa kita hanya akan dianggap berjaya selepas masalah kita berakhir. Namun daripada kisah hidup Yusuf, kita belajar sesuatu yang penting, iaitu Yehuwa dapat membantu kita berjaya bahkan semasa kita menghadapi cubaan. Rencana ini akan menjelaskan bagaimana Yehuwa membantu kita.

b Bible hanya menggunakan beberapa ayat untuk menggambarkan perubahan dalam kehidupan Yusuf sebagai hamba, tetapi peristiwa-peristiwa ini mungkin berlaku dalam beberapa tahun.