Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 4

Yehuwa Memberkati Usaha Kita untuk Menghadiri Peringatan

Yehuwa Memberkati Usaha Kita untuk Menghadiri Peringatan

“Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”​—LUK. 22:19.

LAGU 19 Perjamuan Malam Tuan

PENGENALAN a

1-2. Mengapakah kita menghadiri sambutan Peringatan setiap tahun?

 HAMPIR 2,000 tahun yang lalu, Yesus telah mengorbankan nyawanya supaya kita dapat memperoleh kehidupan kekal. Pada malam sebelum kematiannya, Yesus menyuruh para pengikutnya untuk memperingati pengorbanannya menerusi satu upacara yang ringkas dengan menggunakan roti dan wain.​—1 Kor. 11:23-26.

2 Kita mematuhi perintah Yesus kerana kita sangat mengasihinya. (Yoh. 14:15) Setiap tahun, semasa musim Peringatan, kita menunjukkan penghargaan kita atas pengorbanannya dengan meluangkan masa untuk berdoa dan merenungkan erti kematiannya bagi kita. Selain itu, kita meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran dan menggalakkan sebanyak orang yang mungkin untuk menghadiri Peringatan bersama kita. Sudah tentu, kita bertekad untuk tidak membiarkan apa-apa pun menghalang kita daripada menghadiri Peringatan!

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga cara umat Yehuwa berusaha untuk memperingati kematian Yesus: (1) Dengan mengadakan Peringatan menurut cara yang diajarkan oleh Yesus, (2) dengan menjemput orang lain untuk menghadiri Peringatan, dan (3) dengan menghadiri Peringatan meskipun menghadapi cabaran yang besar.

MENGADAKAN PERINGATAN MENURUT CARA YANG DIAJARKAN YESUS

4. Apakah soalan-soalan yang dijawab semasa Peringatan setiap tahun, dan mengapakah soalan-soalan ini penting? (Lukas 22:19, 20)

4 Semasa Peringatan setiap tahun, kita akan mendengar ceramah Bible yang menjawab beberapa soalan. Contohnya, mengapakah manusia memerlukan tebusan? Bagaimanakah kematian satu orang dapat menghapuskan dosa jutaan orang? Apakah yang dilambangkan dengan roti dan wain? Siapakah yang akan makan roti dan minum wain? (Baca Lukas 22:19, 20.) Apakah berkat yang akan dinikmati mereka yang ada harapan untuk tinggal di bumi? (Yes. 35:5, 6; 65:17, 21-23) Soalan-soalan ini penting kerana jutaan orang di bumi tidak mengetahui jawapannya dan mereka tidak sedar betapa bernilainya pengorbanan Yesus. Mereka juga tidak menyambut Peringatan mengikut cara yang diajarkan Yesus. Mengapa?

5. Selepas kematian kebanyakan rasul, bagaimanakah orang mula menyambut Peringatan kematian Yesus?

5 Tidak lama selepas kematian kebanyakan rasul, orang Kristian palsu mula masuk ke dalam sidang Kristian. (Mat. 13:24-27, 37-39) Mereka “memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.” (Kis. 20:29, 30) Bible kata bahawa Yesus mati “sekali sahaja untuk selama-lamanya bagi menanggung dosa banyak orang.” Tetapi orang Kristian palsu pula mengajar bahawa korban tebusan Yesus harus diberikan berulang kali. (Ibr. 9:27, 28) Sedihnya, hari ini banyak orang yang berhati jujur masih mempercayai ajaran palsu ini. Mereka pergi ke gereja secara tetap untuk menyambut “Korban Misa,” dan ada yang bahkan pergi setiap hari. b Agama Kristian yang lain pula tidak begitu sering memperingati kematian Yesus. Tetapi ahli mereka tidak memahami mengapa Yesus telah mati bagi kita. Ada yang tertanya-tanya, “Dapatkah kematian Yesus menutupi dosa saya?” Mengapakah mereka tanya soalan itu? Kadangkala mereka telah dipengaruhi oleh orang yang meragui kuasa pengorbanan Yesus. Mereka tidak percaya bahawa korban Yesus dapat menutupi dosa kita. Jadi, bagaimanakah pengikut Yesus yang sejati dapat membantu orang untuk memahami erti korban Yesus dan cara yang betul untuk memperingati kematiannya?

6. Apakah kesimpulan yang dibuat oleh sekumpulan pelajar Bible pada tahun 1872?

6 Pada tahun 1870, sekumpulan pelajar Bible yang diketuai oleh Charles Taze Russell mula mengkaji Bible dengan teliti. Mereka ingin mengetahui kebenaran tentang nilai korban tebusan Yesus dan cara yang betul untuk memperingati kematiannya. Pada tahun 1872, setelah menyelidiki Bible, mereka menyimpulkan bahawa Yesus telah mengorbankan nyawanya sebagai tebusan bagi semua manusia. Selepas memahami kebenaran itu, mereka menyebarkannya menerusi buku, surat khabar, dan majalah. Tidak lama kemudian, seperti yang dilakukan oleh orang Kristian abad pertama, mereka mula menyambut Peringatan setahun sekali.

7. Apakah manfaat yang kita raih daripada hasil penyelidikan para pelajar Bible?

7 Hari ini kita meraih manfaat daripada hasil penyelidikan para pelajar Bible. Bagaimana? Yehuwa telah membantu kita memahami makna pengorbanan Yesus dan manfaatnya kepada semua manusia. (1 Yoh. 2:1, 2) Kita juga belajar bahawa Bible ada menyebut dua jenis harapan bagi manusia yang setia, iaitu sesetengah orang akan hidup kekal di syurga dan kebanyakan orang akan hidup kekal di bumi. Apabila kita memikirkan betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita dan manfaat korban tebusan bagi kita secara peribadi, kita akan semakin menghampiri Yehuwa. (1 Ptr. 3:18; 1 Yoh. 4:9) Seperti saudara saudari kita yang setia pada masa lalu, kita ingin menjemput orang lain untuk menyambut Peringatan bersama kita menurut cara yang diajarkan oleh Yesus.

MENJEMPUT ORANG MENGHADIRI PERINGATAN

Apakah yang dapat anda lakukan untuk menyokong kempen Peringatan dengan lebih giat? (Lihat perenggan 8-10) e

8. Apakah yang dilakukan oleh umat Yehuwa untuk menjemput orang lain menghadiri Peringatan? (Lihat gambar.)

8 Sejak dahulu lagi, umat Yehuwa menjemput orang lain untuk menghadiri Peringatan. Pada tahun 1881, saudara saudari di Amerika Syarikat dijemput untuk berkumpul di sebuah rumah di Allegheny, Pennsylvania, untuk menyambut Peringatan. Pada kemudian hari, setiap sidang mengadakan sambutan Peringatan masing-masing. Pada Mac 1940, para penyiar diberitahu bahawa mereka dapat menjemput sesiapa sahaja di kawasan penyebaran yang berminat. Pada tahun 1960, buat kali pertama, Bethel menyediakan jemputan bercetak. Sejak masa itu, berbilion-bilion surat jemputan Peringatan telah diedarkan. Mengapakah kita bekerja begitu keras untuk menjemput orang lain menghadiri Peringatan?

9-10. Siapakah yang meraih manfaat daripada usaha kita untuk menjemput orang menghadiri Peringatan? (Yohanes 3:16)

9 Usaha kita untuk menjemput orang menghadiri Peringatan membawa manfaat kepada orang yang menghadiri Peringatan buat kali pertama. Kita ingin mereka mempelajari kebenaran tentang apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus untuk kita semua. (Baca Yohanes 3:16.) Kita juga berharap agar apa yang mereka dengar dan lihat semasa menghadiri Peringatan akan mendorong mereka untuk belajar lebih banyak tentang Yehuwa dan menyembah-Nya. Siapakah lagi yang mendapat manfaat daripada usaha kita?

10 Kita juga ingin menjemput mereka yang sudah menjadi tidak aktif. Kita mahu mengingatkan mereka bahawa Yehuwa masih mengasihi mereka. Ramai antara mereka telah menghadiri Peringatan dan kita sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan mereka. Semasa Peringatan, mereka juga diingatkan tentang betapa gembiranya mereka semasa menyembah Yehuwa dahulu. Perhatikan contoh Monika. c Dia menjadi aktif semula semasa pandemik COVID-19. Setelah menghadiri Peringatan pada tahun 2021, dia berkata, “Peringatan ini sangat istimewa bagi saya. Buat kali pertama setelah menjadi tidak aktif selama 20 tahun, saya dapat memberikan kesaksian dan menjemput orang menghadiri Peringatan. Saya melakukannya dengan sepenuh hati kerana saya sangat menghargai apa yang telah Yehuwa dan Yesus lakukan untuk saya.” (Mzm. 103:1-4) Tidak kira apa reaksi orang, kita ingin rajin menjemput orang untuk menghadiri Peringatan kerana kita tahu Yehuwa menghargai usaha kita.

11. Bagaimanakah Yehuwa memberkati usaha kita untuk menjemput orang menghadiri Peringatan? (Hagai 2:7)

11 Sememangnya, Yehuwa telah memberkati usaha kita untuk menjemput orang menghadiri Peringatan. Pada tahun 2021, biarpun terdapat sekatan akibat pandemik COVID-19, kita mencatatkan jumlah hadirin sebanyak 21,367,603 orang. Angka itu ialah kira-kira 2.5 kali jumlah Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia. Namun bagi Yehuwa, nombor atau angka tidaklah penting. Yang penting ialah individu yang menghadiri Peringatan. (Luk. 15:7; 1 Tim. 2:3, 4) Kita berasa yakin bahawa Yehuwa menggunakan kempen jemputan ini untuk membantu kita mencari orang yang berhati jujur.​—Baca Hagai 2:7.

MENGHADIRI PERINGATAN BIARPUN MENGHADAPI CABARAN

Yehuwa memberkati usaha kita untuk menghadiri Peringatan (Lihat perenggan 12) f

12. Apakah sesetengah cabaran yang mungkin kita hadapi semasa ingin menghadiri Peringatan? (Lihat gambar.)

12 Yesus menubuatkan bahawa semasa hari-hari terakhir, kita akan menghadapi bermacam-macam cabaran seperti tentangan daripada keluarga, penganiayaan, peperangan, wabak penyakit, dan sebagainya. (Mat. 10:36; Mrk. 13:9; Luk. 21:10, 11) Ada kalanya, cabaran sebegini mungkin menghalang kita daripada memperingati kematian Yesus. Bagaimanakah saudara saudari kita mengatasi cabaran-cabaran ini, dan bagaimanakah Yehuwa telah membantu mereka?

13. Bagaimanakah Yehuwa memberkati keberanian Artem dan tekadnya untuk menyambut Peringatan walaupun dia dipenjarakan?

13 Dipenjarakan. Saudara saudari kita yang dipenjarakan kerana iman mereka melakukan apa yang terdaya untuk menyambut Peringatan. Perhatikan contoh Artem. Semasa musim Peringatan 2020, dia dikurung dalam sebuah bilik kecil yang berukuran 17 meter persegi bersama dengan tiga atau empat orang banduan yang lain. Meskipun begitu, dia dapat mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk Peringatan dan merancang untuk memberikan ceramah Peringatan bagi dirinya. Tetapi banduan lain dalam selnya suka merokok dan mencarut. Apakah yang dilakukan Artem? Dia tanya mereka jika mereka boleh berhenti merokok dan mencarut untuk satu jam sahaja. Tanpa disangka Artem, mereka setuju dengan permintaannya. Artem berkata, “Saya tanya mereka jika mereka mahu tahu lebih lanjut tentang sambutan Peringatan.” Pada mulanya mereka tidak berminat. Tetapi setelah melihat Artem menyambut Peringatan, mereka mula bertanya banyak soalan.

14. Apakah usaha yang dicurahkan untuk menyambut Peringatan semasa pandemik COVID-19?

14 Pandemik COVID-19. Semasa pandemik ini, Saksi-Saksi Yehuwa tidak dapat menghadiri Peringatan secara bersemuka. Tetapi hal itu tidak menghalang mereka daripada menyambut Peringatan kematian Yesus. d Sidang-sidang yang ada Internet mengadakan Peringatan melalui persidangan video. Bagaimana pula dengan jutaan orang yang tidak mempunyai Internet? Di sesetengah negara, aturan dibuat untuk menyiarkan ceramah menerusi televisyen atau radio. Selain itu, pejabat cawangan telah merakam ceramah Peringatan dalam lebih daripada 500 bahasa agar orang yang tinggal di kawasan terpencil pun dapat menyambut Peringatan. Para saudara yang setia telah membuat aturan untuk mengedarkan rakaman itu kepada mereka yang memerlukannya.

15. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Sue?

15 Tentangan daripada keluarga. Bagi sesetengah orang, cabaran terbesar untuk menghadiri Peringatan ialah tentangan daripada ahli keluarga. Perhatikan pengalaman seorang pelajar Bible yang bernama Sue. Sehari sebelum Peringatan tahun 2021, Sue memberitahu guru Biblenya bahawa dia tidak dapat menghadiri Peringatan disebabkan tentangan daripada keluarga. Guru Biblenya membacakan Lukas 22:44 dan menjelaskan bahawa semasa kita menghadapi kesusahan, kita patut meniru teladan Yesus dengan berdoa kepada Yehuwa dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya. Hari berikutnya, Sue menyediakan roti dan wain dan menonton program penyembahan pagi untuk Peringatan di jw.org. Pada malam itu, semasa Sue seorang diri di dalam bilik, dia menghadiri Peringatan melalui telefon. Selepas itu, Sue memberitahu guru Biblenya, “Semalam kamu memberi saya galakan yang sangat besar. Saya berusaha sedaya upaya untuk menghadiri Peringatan dan Yehuwa telah membuka jalan bagi saya. Saya sangat gembira dan bersyukur.” Jika anda menghadapi tentangan daripada keluarga, adakah anda rasa Yehuwa juga dapat membantu anda?

16. Mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan memberkati usaha kita untuk menghadiri Peringatan? (Roma 8:31, 32)

16 Yehuwa sangat menghargai usaha kita untuk menyambut Peringatan kematian Yesus. Dia pasti memberkati kita apabila kita menunjukkan penghargaan atas apa yang telah dilakukan-Nya untuk kita. (Baca Roma 8:31, 32.) Semoga kita bertekad untuk menghadiri Peringatan tahun ini dan menggandakan usaha kita dalam aktiviti rohani semasa musim Peringatan.

LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan

a Pada hari Selasa, 4 April 2023, jutaan orang di serata dunia akan menyambut Peringatan kematian Kristus. Ramai orang akan menghadirinya buat kali pertama. Terdapat juga Saksi yang akan menghadirinya buat kali pertama setelah menjadi tidak aktif selama bertahun-tahun. Ada pula yang perlu mengatasi halangan yang besar agar dapat hadir. Tidak kira apa situasi anda, anda dapat yakin bahawa Yehuwa akan sangat gembira jika anda berusaha untuk hadir.

b Mereka percaya bahawa semasa sambutan ini, roti dan wain betul-betul berubah menjadi tubuh dan darah Kristus. Mereka fikir bahawa setiap kali seseorang menyertai upacara ini, tubuh dan darah Yesus dikorbankan secara harfiah.

c Sesetengah nama telah diubah.

d Lihat juga rencana-rencana di jw.org yang bertajuk “Sambutan Peringatan 2021.”

e KETERANGAN GAMBAR: Sejak tahun 1960-an, surat jemputan Peringatan menjadi lebih baik dan kini tersedia dalam bentuk bercetak dan elektronik.

f KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula​—Saudara saudari menyambut Peringatan semasa pergolakan sosial.