Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Penghormatan Siapakah yang Anda Ingini?

Penghormatan Siapakah yang Anda Ingini?

“Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya.”​—IBR. 6:10.

LAGU: 39, 30

1. Apakah keinginan semula jadi yang kita semua miliki? Apakah yang terangkum dalam keinginan itu?

APAKAH perasaan anda apabila seseorang yang anda kenali dan hormati lupa akan nama anda atau langsung tidak mengenali anda? Anda mungkin sangat kecewa, kerana setiap orang ingin dihargai. Keinginan itu sesuatu yang semula jadi. Kita bukan sahaja ingin orang mengenali siapa kita, tetapi juga menghargai sifat kita dan pencapaian kita.​—Bil. 11:16; Ayb. 31:6.

2, 3. Bagaimanakah keinginan kita untuk dihargai dapat menjadi tidak seimbang? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Namun, keinginan untuk dihargai mungkin menjadi tidak seimbang akibat ketidaksempurnaan kita. Dunia Syaitan dapat memarakkan keinginan kita untuk disanjung dan menjadi terkenal, sehingga kita tidak memberikan penghormatan dan penyembahan yang layak diterima oleh Bapa kita yang di syurga, Tuhan Yehuwa.​—Why. 4:11.

3 Pada zaman Yesus, sesetengah pemimpin agama mempunyai pandangan yang salah tentang penghormatan. Yesus mengingatkan para pengikutnya, “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam. Mereka suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka tempat yang terbaik semasa menghadiri jamuan makan.” Yesus menambah, “Mereka akan diadili dengan lebih tegas.” (Luk. 20:46, 47) Namun, dia memuji seorang balu miskin, yang sumbangannya barangkali tidak diperhatikan orang. (Luk. 21:1-4) Jelaslah, pandangan Yesus tentang penghormatan sangat berbeza daripada orang lain. Rencana ini akan membantu kita memupuk pandangan yang diterima oleh Tuhan Yehuwa tentang penghormatan.

PENGHORMATAN TERTINGGI

4. Apakah penghormatan tertinggi yang dapat kita peroleh? Mengapa?

4 Penghormatan tertinggi yang dapat kita peroleh bukanlah apa yang dikejar orang dalam bidang akademik, perniagaan, atau hiburan. Sebaliknya, Paulus memberitahu kita, “Sekarang kamu sudah mengenal Tuhan, atau lebih tepat lagi, kamu sudah dikenali oleh Tuhan. Jadi, mengapakah kamu kembali kepada perkara-perkara asas yang sia-sia dan tidak berguna? Mengapakah kamu mahu menjadi hamba kepada perkara-perkara itu sekali lagi?” (Gal. 4:9) Penghormatan yang cukup istimewa! Kita dapat “dikenali oleh Tuhan.” Bayangkan, Pemerintah Agung alam semesta sudi menjadi sahabat karib kita dan memperhatikan kita. Apabila Yehuwa menerima kita sebagai sahabat-Nya, tujuan kita diciptakan sudah dicapai dengan sepenuhnya.​—Pkh. 12:13, 14.

5. Apakah yang harus kita lakukan supaya dikenali Yehuwa?

5 Musa telah diberi penghormatan sedemikian. Semasa dia merayu agar Yehuwa mengizinkannya untuk mengenali kehendak Tuhan dengan lebih baik, Yehuwa menjawab, “Aku juga akan menunaikan permintaanmu ini, kerana Aku mengenalmu dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.” (Kel. 33:12-17) Kita juga dapat menerima berkat yang menakjubkan apabila Yehuwa mengenal kita secara peribadi. Namun, apakah yang harus kita lakukan supaya dikenali Yehuwa? Kita perlu mengasihi-Nya dan membaktikan diri kepada-Nya.​—Baca 1 Korintus 8:3.

6, 7. Apakah yang mungkin merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa?

6 Namun, hubungan istimewa kita dengan Bapa kita di syurga perlu dipelihara. Seperti orang Kristian di Galatia, kita perlu berhati-hati agar tidak diperhamba oleh “perkara-perkara asas yang sia-sia dan tidak berguna” di dunia, termasuk mengejar kemasyhuran. (Gal. 4:9) Orang Kristian di Galatia sudah mengenali Tuhan dan dikenali-Nya, tetapi Paulus menyatakan bahawa mereka sedang “kembali kepada” perkara yang sia-sia. Dalam kata lain, Paulus sedang berkata, “Selepas membuat begitu banyak kemajuan, mengapakah kamu kembali kepada perkara bodoh dan sia-sia yang sudah kamu tinggalkan?”

7 Mungkinkah hal yang sama berlaku kepada kita? Ya. Semasa kita baru mula mengenal Yehuwa, kita mungkin meninggalkan kemasyhuran dan sanjungan daripada dunia Syaitan, seperti yang dilakukan Paulus. (Baca Filipi 3:7, 8.) Mungkin kita menolak peluang untuk mendapat pendidikan tinggi, jawatan tinggi, atau pendapatan yang lumayan. Kita mungkin sangat berbakat dalam bidang sukan atau muzik, dan dapat menjadi masyhur dan kaya, tetapi kita meninggalkan semua itu. (Ibr. 11:24-27) Janganlah menyesali keputusan sedemikian dan menganggapnya sesuatu yang merugikan. Fikiran sebegitu tidak bijak dan mungkin membuat kita kembali kepada hal yang “sia-sia dan tidak berguna” di dunia ini.

KUATKAN TEKAD ANDA

8. Apakah yang dapat menguatkan tekad kita untuk mendapat penghormatan daripada Yehuwa?

8 Bagaimanakah kita dapat menguatkan tekad kita untuk mendapat penghormatan daripada Yehuwa dan bukan daripada dunia? Ingatlah dua kebenaran yang penting. Pertama, Yehuwa selalu mengingati dan menghargai setiap orang yang menyembah-Nya dengan setia. (Baca Ibrani 6:10; 11:6) Bagi Yehuwa, melupakan orang yang setia kepada-Nya merupakan perbuatan yang “tidak adil.” Yehuwa menghargai dan “mengenal mereka yang merupakan milik-Nya.” (2 Tim. 2:19) Dia “prihatin terhadap orang yang menempuh haluan yang benar” dan tahu cara untuk menyelamatkan mereka daripada cubaan.​—Mzm. 1:6; 2 Ptr. 2:9.

9. Bagaimanakah Yehuwa pernah menunjukkan bahawa Dia menghargai umat-Nya?

9 Yehuwa pernah menggunakan cara yang mengagumkan untuk menunjukkan bahawa Dia menghargai umat-Nya. (2 Taw. 20:20, 29) Contohnya, semasa di Laut Merah, Yehuwa menyelamatkan mereka daripada tentera Firaun dengan cara yang cukup mempesonakan, sehingga peristiwa itu masih menjadi buah mulut orang di sekitar kawasan itu 40 tahun kemudian. (Kel. 14:21-30; Yos. 2:9-11; Mzm. 106:9-11) Dengan mengingat bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih dan kuasa-Nya pada zaman dahulu, kita akan dikuatkan untuk menghadapi serangan Gog dari Magog. (Yeh. 38:8-12) Ketika hal itu berlaku, kita akan sangat bersyukur kerana kita berusaha dikenali oleh Tuhan dan bukannya dunia ini!

10. Apakah satu lagi kebenaran yang perlu kita ingat?

10 Kebenaran kedua yang perlu kita ingat ialah: Yehuwa mungkin menggunakan cara yang tidak disangka untuk menunjukkan penghargaan-Nya. Mereka yang berbuat baik semata-mata untuk dilihat orang tidak akan diberi ganjaran daripada Yehuwa. Mengapa? Yesus mengatakan bahawa mereka sudah mendapat semua ganjaran mereka semasa dipuji orang. (Baca Matius 6:1-5.) Namun, Yehuwa “melihat dari tempat rahsia-Nya” apabila seseorang yang berbuat baik tidak menerima ganjaran. Dia memperhatikan perbuatan orang itu dan memberkatinya. Ada kalanya, Dia bahkan memberikan ganjaran yang tidak disangka. Mari kita lihat beberapa contoh.

SEORANG WANITA MUDA DIBERI PENGHORMATAN YANG TIDAK DISANGKA

11. Apakah penghormatan yang diberikan Yehuwa kepada Maria?

11 Yehuwa telah memilih Maria, seorang anak dara yang rendah hati, untuk menjadi ibu kepada Anak-Nya Yesus. Maria tinggal di Nasaret, sebuah kota kecil yang terletak jauh dari Yerusalem dan Rumah Tuhan yang indah. (Baca Lukas 1:26-33.) Jadi, mengapakah Yehuwa memilih Maria untuk tugas istimewa ini? Malaikat Gabriel memberitahunya, “Tuhan berkenan kepadamu.” Kata-kata Maria kepada Elisabet, salah seorang sanak saudaranya, tidak lama selepas itu menunjukkan betapa akrabnya hubungan Maria dengan Yehuwa. (Luk. 1:46-55) Yehuwa telah memperhatikan kesetiaan Maria dan mengurniainya penghormatan yang tidak disangkanya.

12, 13. Bagaimanakah Yehuwa memberikan penghormatan kepada Yesus semasa dia baru lahir dan semasa dia dibawa ke Rumah Tuhan 40 hari kemudian?

12 Semasa Maria melahirkan Yesus, Yehuwa tidak memaklumkan peristiwa itu kepada pegawai tinggi atau pemerintah di Yerusalem dan Betlehem. Sebaliknya, Yehuwa mengutus malaikat kepada para gembala yang rendah hati, yang sedang menjaga bebiri di luar Betlehem. (Luk. 2:8-14) Para gembala itu kemudiannya melawat bayi yang baru lahir itu. (Luk. 2:15-17) Maria dan Yusuf pasti berbesar hati semasa melihat Yesus dihormati dengan cara sedemikian! Cara Yehuwa memang berbeza daripada cara Syaitan. Semasa Syaitan mengutus ahli nujum untuk melawat Yesus dan ibu bapanya, berita kelahiran Yesus diheboh-hebohkan sehingga semua penduduk Yerusalem menjadi gelisah. (Mat. 2:3) Ekoran itu, ramai kanak-kanak yang tidak bersalah telah dibunuh.​—Mat. 2:16.

13 Empat puluh hari selepas kelahiran Yesus, Maria perlu memberikan persembahan kepada Yehuwa, seperti yang dinyatakan dalam Hukum. Oleh itu, Maria, Yusuf, dan Yesus membuat perjalanan sekitar 9 km dari Betlehem ke Rumah Tuhan di Yerusalem. (Luk. 2:22-24) Dalam perjalanan itu, Maria mungkin tertanya-tanya jika imam di situ akan melakukan sesuatu untuk menghormati Yesus. Penghormatan memang diberikan, tetapi dalam cara yang tidak disangka Maria. Yehuwa telah menggunakan Simeon, “seorang yang takut akan Tuhan dan melakukan apa yang benar,” dan Nabi Hana, seorang balu yang berusia 84 tahun, untuk mengisytiharkan bahawa anak itu akan menjadi Mesias, atau Kristus, yang dijanjikan.​—Luk. 2:25-38.

14. Apakah berkat yang diberikan Yehuwa kepada Maria?

14 Adakah Yehuwa terus menunjukkan penghargaan kepada Maria kerana menjaga dan membesarkan Anak-Nya? Ya. Tuhan memastikan agar kata-kata dan perbuatannya dicatatkan dalam Bible. Nampaknya Maria tidak berpeluang untuk bergiat bersama-sama Yesus semasa dia menginjil selama tiga tahun setengah. Maria mungkin harus tinggal di Nasaret kerana dia seorang balu. Walaupun begitu, Maria berada di sisi Yesus semasa Yesus meninggal. (Yoh. 19:26) Selepas itu, Maria terus berada di Yerusalem bersama murid-murid Yesus sebelum mereka diberi kuasa suci Tuhan pada Pentakosta. (Kis. 1:13, 14) Barangkali, Maria juga diurapi bersama mereka. Jika begitu, dia berpeluang hidup di syurga selama-lamanya bersama Yesus. Yehuwa telah memberinya ganjaran yang besar atas kesetiaannya!

YEHUWA MEMBERI ANAK-NYA PENGHORMATAN

15. Semasa Yesus berada di bumi, bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada Anak-Nya?

15 Yesus tidak mendambakan penghormatan daripada pemimpin agama atau politik. Sebaliknya dia mementingkan perkenan Tuhan. Maka dia pasti sangat digalakkan apabila Yehuwa berfirman sebanyak tiga kali dari syurga untuk menyatakan perkenan-Nya kepada Yesus. Sejurus selepas pembaptisannya di Sungai Yordan, Yehuwa berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Mat. 3:17) Ketika itu, hanya Yohanes Pembaptis dan Yesus yang mendengar firman Tuhan itu. Kemudian, kira-kira setahun sebelum kematian Yesus, tiga orang rasulnya mendengar Yehuwa berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.” (Mat. 17:5) Beberapa hari sebelum Yesus dibunuh, Yehuwa berfirman sekali lagi dari syurga kepada Anak-Nya.​—Yoh. 12:28.

Apakah yang anda pelajari daripada cara Yehuwa memberi Anak-Nya penghormatan? (Lihat perenggan 15-17)

16, 17. Bagaimanakah Yehuwa memberi Yesus penghormatan yang tidak disangka?

16 Yesus tahu bahawa dia akan dituduh menghina Tuhan dan dibunuh dalam cara yang memalukan. Namun, dia berdoa agar kehendak Tuhan dituruti dan bukannya kehendaknya sendiri. (Mat. 26:39, 42) “Dia tabah menanggung penderitaan pada tiang seksaan dan tidak peduli bahawa hal itu sesuatu yang memalukan.” (Ibr. 12:2) Yesus hanya menginginkan penghormatan daripada Bapanya dan bukan daripada dunia. Jadi, bagaimanakah Yehuwa memberinya penghormatan?

17 Semasa di bumi, Yesus memohon agar dia diberikan kemuliaan yang pernah dimilikinya di syurga di sisi Bapanya. (Yoh. 17:5) Tiada catatan dalam Bible yang menunjukkan bahawa Yesus ingin “naik pangkat” atau diberi sesuatu yang lebih istimewa daripada kedudukan asalnya. Namun, apakah yang dilakukan Yehuwa? Dia memberi Yesus “kedudukan yang lebih tinggi,” dan mengurniainya sesuatu yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum itu—kehidupan sebagai roh yang tidak dapat mati! * (Flp. 2:9; 1 Tim. 6:16) Kesetiaan Yesus telah membawa penghormatan yang besar sekali!

18. Apakah yang akan membantu kita agar tidak menginginkan penghormatan daripada dunia ini?

18 Apakah yang akan membantu kita agar tidak menginginkan penghormatan daripada dunia ini? Ingatlah sentiasa bahawa Yehuwa selalu memberikan penghormatan kepada hamba-Nya yang setia, dan Dia sering memberi mereka ganjaran yang tidak disangka. Kita tidak tahu berkat apa yang menantikan kita pada masa depan. Namun buat masa sekarang, semasa menghadapi cubaan dan kesusahan dalam dunia jahat ini, ingatlah bahawa dunia ini dan segala penghormatan yang ditawarkannya sedang berlalu. (1 Yoh. 2:17) Yehuwa, Bapa kita yang pengasih, ‘bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kita lakukan dan kasih yang telah kita tunjukkan demi nama-Nya.’ (Ibr. 6:10) Dia pasti berkenan kepada kita dan bahkan mungkin melimpahi kita dengan berkat yang tidak pernah kita bayangkan!

^ per. 17 Berkat itu mungkin tidak disangka kerana nyawa yang tidak dapat mati tidak disebut dalam Kitab Ibrani.