Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Jangan Biarkan Kesilapan Orang Menyebabkan Anda Tersandung

Jangan Biarkan Kesilapan Orang Menyebabkan Anda Tersandung

“Teruslah . . . saling mengampuni dengan rela hati.”​—KOL. 3:13.

LAGU: 121, 75

1, 2. Apakah yang dinubuatkan Yehuwa tentang perkembangan umat Tuhan?

UMAT setia Tuhan di bumi, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa, merupakan sebuah organisasi yang luar biasa. Memang, organisasi tersebut terdiri daripada manusia yang tidak sempurna. Namun, daya aktif Tuhan mendorong sidang-sidang di serata dunia untuk terus berkembang maju. Perhatikan perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Yehuwa menerusi mereka.

2 Apabila hari-hari terakhir bermula pada tahun 1914, jumlah umat Tuhan hanya sedikit. Tetapi Yehuwa memberkati kerja penyebaran mereka. Hasilnya, jutaan orang mempelajari kebenaran Bible dan menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Mengenai perkembangan ini, Yehuwa pernah bernubuat, ‘Bahkan keluargamu yang terkecil dan terhina akan menjadi bangsa yang kuat. Pada masa yang tepat kelak, Aku, Yehuwa, akan melakukannya dengan segera.’ (Yes. 60:22) Nubuat itu sedang menjadi kenyataan! Jumlah umat Tuhan pada hari ini adalah lebih banyak daripada jumlah penduduk di banyak negara.

3. Bagaimanakah umat Tuhan menunjukkan kasih?

3 Sekarang, Yehuwa juga membantu umat-Nya untuk memupuk sifat utama-Nya, iaitu kasih. (1 Yoh. 4:8) Yesus meniru kasih Tuhan dan berkata, “Aku memberi kamu satu perintah baru: Kamu harus saling mengasihi . . . Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:34, 35) Dalam sejarah moden, umat Tuhan membuktikan kasih ini tetapi dunia terlibat dalam banyak peperangan. Contohnya dalam Perang Dunia Kedua, sebanyak 55 juta orang terbunuh. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa tidak terlibat dalam pembunuhan sebegini. (Baca Mikha 4:1, 3.) Hal ini telah membantu mereka untuk tetap “bersih daripada darah semua orang.”​—Kis. 20:26.

4. Mengapakah perkembangan umat Tuhan sangat menakjubkan?

4 Umat Tuhan tetap membuat kemajuan walaupun dimusuhi oleh dunia. Bible menyatakan bahawa Syaitan ialah “tuhan sistem dunia ini.” (2 Kor. 4:4) Dia mengawal sistem politik dan media massa dunia ini. Namun, Syaitan tidak dapat menghentikan kerja penyebaran. Oleh sebab Syaitan tahu bahawa masanya tinggal sedikit, dia menggunakan pelbagai cara untuk memalingkan orang daripada ibadat sejati.​—Why. 12:12.

KESETIAAN KITA DIUJI

5. Mengapakah orang lain ada kalanya menyakiti hati kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Sidang Kristian mengutamakan kasih terhadap Tuhan dan orang lain. Apabila Yesus ditanya mengenai perintah yang terpenting, dia menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.’ Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting. Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah: ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’” (Mat. 22:35-39) Namun Bible dengan jelas menunjukkan bahawa kita tidak sempurna akibat dosa Adam. (Baca Roma 5:12, 19.) Ada kalanya, kata-kata atau perbuatan ahli sidang menyakiti hati kita. Hal ini boleh menguji kasih kita terhadap Tuhan dan orang lain. Jadi, apakah yang akan kita lakukan? Sebenarnya, umat Tuhan yang setia pada masa lampau pun telah menyakiti hati orang lain. Mari kita lihat apa yang boleh dipelajari daripada contoh mereka.

Jika anda hidup pada zaman Eli dan anak-anaknya, apakah reaksi anda? (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah Eli gagal mendisiplinkan anak-anaknya?

6 Contohnya, Imam Agung Eli mempunyai dua orang anak lelaki yang tidak menuruti hukum Yehuwa. Bible menyatakan, ‘Anak-anak Eli sangat jahat. Mereka tidak mengendahkan Yehuwa.’ (1 Sam. 2:12) Walaupun Eli memainkan peranan penting dalam mendukung ibadat sejati, dua orang anaknya melakukan dosa serius. Eli mengetahui hal ini, tetapi dia tidak tegas semasa mendisiplinkan mereka. Akhirnya, Tuhan menjatuhkan hukuman berat terhadap keluarga Eli. (1 Sam. 3:10-14) Keturunan Eli kemudiannya juga tidak dibenarkan menjadi imam agung. Katakan anda hidup pada zaman Eli, apakah reaksi anda terhadap Eli yang membiarkan anak-anaknya melakukan dosa? Adakah anda tersandung sehingga tidak lagi menyembah Yehuwa?

7. Apakah dosa Daud yang serius? Apakah yang dilakukan oleh Tuhan?

7 Daud mengasihi Yehuwa serta menyenangkan hati-Nya. (1 Sam. 13:13, 14; Kis. 13:22) Namun, Daud telah berzina bersama Batsyeba yang kemudiannya menjadi hamil. Hal itu berlaku apabila suami Batsyeba, iaitu Uria, berkhidmat dalam tentera. Apabila Uria kembali, Daud ingin agar Uria tidur dengan Batsyeba supaya anak itu nampaknya seperti anak Uria. Namun, Uria tidak melakukan hal itu. Jadi, Daud mengatur supaya Uria terbunuh dalam pertempuran. Oleh sebab dosa serius Daud, dia terpaksa menanggung akibat perbuatannya. Dia dan keluarganya ditimpa malapetaka. (2 Sam. 12:9-12) Namun, Tuhan menunjukkan belas kasihan terhadap Daud kerana dia berusaha ‘mengabdi kepada Yehuwa dengan jujur dan tulus hati.’ (1 Raj. 9:4) Jika anda hidup sezaman dengan Daud, apakah reaksi anda? Adakah dosa Daud akan menyebabkan anda tersandung?

8. (a) Bagaimanakah Petrus gagal memenuhi janjinya? (b) Selepas Petrus berbuat silap, mengapakah Yehuwa masih menggunakan Petrus untuk melakukan kehendak-Nya?

8 Satu lagi contoh ialah rasul Petrus. Yesus telah memilihnya untuk menjadi rasul, tetapi Petrus pernah mengatakan atau melakukan perkara yang kemudian dikesalinya. Contohnya, pada saat-saat genting, para rasul telah meninggalkan Yesus. Petrus pernah berkata bahawa dia tidak akan melakukan hal itu. (Mrk. 14:27-31, 50) Namun, apabila Yesus ditahan, semua rasul termasuk Petrus meninggalkan Yesus. Petrus juga telah berulang kali menafikan bahawa dia mengenali Yesus. (Mrk. 14:53, 54, 66-72) Walaupun begitu, Petrus kemudiannya bertaubat dan Yehuwa masih menggunakan Petrus untuk melakukan kehendak-Nya. Jika anda seorang pengikut Yesus yang telah melihat perbuatan Petrus, adakah anda akan masih setia kepada Yehuwa?

9. Mengapakah anda yakin bahawa Tuhan selalu berlaku adil?

9 Kita sudah membincangkan beberapa contoh orang yang menyakiti hati orang lain. Pada masa sekarang, terdapat juga penyembah Yehuwa yang melakukan kesilapan sehingga menyinggung rakan seiman mereka. Jika hal itu berlaku, apakah reaksi anda? Adakah anda akan membiarkan kesilapan orang lain menyebabkan anda tersandung lalu meninggalkan Yehuwa dan umat-Nya, serta berhenti menghadiri perjumpaan? Atau adakah anda sedar bahawa Yehuwa mengizinkan masa berlalu supaya orang yang berbuat salah boleh bertaubat dan situasi buruk itu diselesaikan dengan adil? Namun, ada kalanya orang yang berbuat dosa serius menolak belas kasihan Yehuwa dan enggan bertaubat. Dalam situasi sebegini, adakah anda yakin bahawa Yehuwa akan menghakimi orang yang berbuat salah, mungkin dengan menyingkirkannya daripada sidang?

KEKALKAN KESETIAAN KITA

10. Apakah pandangan Yesus mengenai kesilapan Yudas Iskariot dan Petrus?

10 Di dalam Bible, terdapat kisah mengenai hamba Tuhan yang setia kepada Yehuwa dan umat-Nya walaupun orang di sekeliling mereka membuat kesilapan yang serius. Contohnya, selepas Yesus berdoa sepanjang malam, dia memilih 12 orang rasul. Yudas Iskariot ialah salah seorang daripada mereka. Namun dia kemudiannya mengkhianati Yesus. Selain itu, Petrus juga pernah menyangkal Yesus. Tetapi, Yesus tidak membiarkan kesilapan Yudas dan Petrus untuk menjejaskan hubungannya dengan Bapanya, Yehuwa. (Luk. 6:12-16; 22:2-6, 31, 32) Yesus tidak menyalahkan Yehuwa atau umat-Nya. Sebaliknya, dia meneruskan tugas istimewanya walaupun dia menghadapi kekecewaan daripada sesetengah pengikutnya. Yehuwa memberikan ganjaran kepada Yesus dengan membangkitkannya dan kemudian dia menjadi Raja Kerajaan Tuhan.​—Mat. 28:7, 18-20.

11. Apakah yang dinubuat mengenai hamba Yehuwa pada hari ini?

11 Menerusi teladan Yesus, kita sedar bahawa kita mempunyai alasan yang kukuh untuk setia kepada Yehuwa dan umat-Nya. Kita berasa kagum apabila memikirkan perkara yang dicapai oleh Yehuwa melalui hamba-Nya pada hari ini. Dia membantu umat-Nya untuk menyebarkan kebenaran di seluas dunia dan hanya merekalah yang melakukan kerja ini. Mereka juga bersatu padu dan gembira kerana Yehuwa membimbing mereka. Mengenai keadaan rohani dalam kalangan umat Tuhan, Yesaya 65:14 berkata, “Mereka akan menyanyi dengan gembira.”

12. Apakah seharusnya pandangan kita terhadap kesilapan orang lain?

12 Umat Yehuwa bersukacita kerana dibimbing oleh Yehuwa untuk melakukan banyak kerja yang baik. Manakala, dunia yang di bawah pengaruh Syaitan berdukacita kerana situasi mereka semakin teruk. Maka, adalah tidak bijak untuk menyalahkan Yehuwa atau sidang-Nya atas kesilapan yang dilakukan oleh segelintir umat Tuhan. Kita perlu mengekalkan kesetiaan kepada Yehuwa dan aturan-Nya serta belajar untuk mempunyai pandangan atau reaksi yang betul terhadap kesilapan orang lain.

CARA MENANGANI MASALAH

13, 14. (a) Mengapakah kita harus bersabar dengan rakan seiman? (b) Apakah janji yang harus kita ingati?

13 Bagaimanakah kita dapat menangani masalah apabila salah seorang umat Tuhan mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita? Ingatlah prinsip Bible ini: “Jangan lekas marah; hanya orang bodoh menyimpan dendam.” (Pkh. 7:9) Kita harus ingat bahawa ketidaksempurnaan wujud sejak di Taman Eden 6,000 tahun yang lalu. Manusia yang tidak sempurna cenderung melakukan kesilapan. Oleh itu, janganlah kita terlalu mengharapkan kesempurnaan daripada rakan seiman. Jika kita selalu memikirkan kesilapan mereka, kita akan hilang sukacita yang diraih daripada berkhidmat kepada Tuhan. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika kita membiarkan kesilapan orang membuat kita tersandung sehingga meninggalkan organisasi Yehuwa. Jika hal itu berlaku, kita kehilangan penghormatan untuk melakukan kehendak Tuhan dan harapan untuk hidup kekal di dunia baru.

14 Kita dapat mengekalkan sukacita dengan sentiasa mengingati janji Yehuwa yang melegakan ini: “Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali.” (Yes. 65:17; 2 Ptr. 3:13) Maka, janganlah biarkan kesilapan orang menghalang anda daripada menikmati berkat yang dijanjikan.

15. Menurut Yesus, apakah yang harus kita lakukan apabila orang berbuat salah?

15 Memandangkan kita masih belum berada di dunia baru, apakah yang harus kita lakukan semasa orang menyakiti hati kita? Ingatlah kata-kata Yesus ini: “Jika kamu mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampuni kamu; tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu juga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.” Sewaktu Petrus bertanya sama ada kita harus mengampuni seseorang ‘sehingga tujuh kali,’ Yesus membalas, “Aku memberitahumu, bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali.” Jelaslah, Yesus ingin kita selalu mengampuni orang dengan rela. Hal ini harus menjadi keutamaan kita.​—Mat. 6:14, 15; 18:21, 22.

16. Apakah contoh baik yang ditunjukkan oleh Yusuf?

16 Mari kita lihat contoh Yusuf dan cara dia menangani situasi yang susah. Dia dan adiknya merupakan anak kepada Yakub dan Rahel. Namun, Yakub mempunyai sepuluh orang anak lelaki lain yang cemburu terhadap Yusuf kerana Yakub paling menyayangi Yusuf. Maka abang-abang Yusuf menjualnya menjadi hamba. Bertahun-tahun kemudian, kerja keras yang dilakukan Yusuf membolehkannya menjadi pemerintah yang kedua penting di Mesir. Apabila kebuluran berlaku, abang-abang Yusuf datang ke Mesir untuk membeli makanan tetapi mereka tidak mengenal Yusuf. Yusuf tidak menggunakan kuasanya untuk membalas dendam terhadap abang-abangnya. Sebaliknya, Yusuf menguji mereka untuk melihat sama ada sikap mereka telah berubah. Apabila Yusuf melihat bahawa mereka telah berubah, dia memberitahu mereka bahawa dia ialah Yusuf. Kemudian dia berkata, “Jangan khuatir. Aku akan mencukupi keperluan kamu dan anak-anak kamu.” Bible juga menyatakan, “Demikianlah Yusuf menenteramkan hati mereka dengan kata-kata yang ramah, sehingga mereka terharu.”​—Kej. 50:21.

17. Apakah yang seharusnya kita lakukan semasa orang lain berbuat silap?

17 Kita juga harus ingat bahawa kita tidak sempurna dan ada kalanya membuat orang lain tersandung. Jika hal tersebut berlaku, kita boleh menerapkan nasihat Bible untuk pergi kepada orang itu dan berdamai dengannya. (Baca Matius 5:23, 24.) Kita memang menghargai orang yang memaafkan kita. Maka kita juga harus berbuat demikian. Kolose 3:13 menggalakkan kita, “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan hendaklah kamu saling mengampuni dengan rela hati, biarpun orang lain menyinggung perasaan kamu. Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.” Bible berkata, “Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.” (1 Kor. 13:5) Jadi jika kita mengampuni orang lain, Yehuwa juga akan mengampuni kita. Ya, apabila orang lain berbuat silap, orang Kristian seharusnya berbelas kasihan terhadap orang itu sepertimana Bapa kita berbelas kasihan terhadap kita.​—Baca Mazmur 103:12-14.