Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sifat-Sifat Baik Lebih Bernilai daripada Berlian

Sifat-Sifat Baik Lebih Bernilai daripada Berlian

Berlian telah lama dianggap sebagai batu permata yang sangat bernilai. Nilai sesetengah berlian dapat mencecah jutaan dolar. Namun dalam pandangan Tuhan, apakah yang lebih bernilai daripada berlian atau batu permata?

Haykanush yang tinggal di Armenia ialah seorang penyiar belum dibaptis. Dia telah menemui pasport dekat rumahnya. Beberapa kad debit dan jumlah wang yang besar terselit di dalam pasport itu. Kemudian, dia memberitahukan hal ini kepada suaminya yang juga merupakan penyiar belum dibaptis.

Pasangan suami isteri tersebut mempunyai masalah kewangan dan hutang. Namun, mereka mengambil keputusan untuk membawa wang itu ke alamat yang tertera dalam pasport. Pemilik pasport itu dan keluarganya teruja apabila mendapat semula pasport itu. Haykanush dan suaminya menjelaskan bahawa mereka menerapkan ajaran Bible untuk bersikap jujur. Maka, mereka mengambil kesempatan untuk berkongsi kepercayaan mereka dan menawarkan bahan bacaan Bible kepada keluarga itu.

Keluarga tersebut ingin memberi Haykanush wang sebagai ganjaran, tetapi dia enggan menerimanya. Pada keesokan hari, isteri pemilik pasport itu melawat Haykanush dan suaminya. Dia memberi Haykanush sebentuk cincin berlian sebagai tanda penghargaan.

Seperti keluarga itu, ramai mungkin berasa hairan dengan kejujuran Haykanush dan suaminya. Tetapi, adakah Yehuwa berasa hairan? Bagaimanakah Dia memandang kejujuran mereka? Adakah kejujuran mereka berbaloi?

SIFAT-SIFAT YANG LEBIH BERNILAI DARIPADA HARTA BENDA

Tidak susah untuk menjawab soalan-soalan itu. Hal ini demikian kerana penyembah Tuhan percaya bahawa Yehuwa sangat menghargai usaha mereka untuk meniru sifat-sifat-Nya. Sifat-sifat ini lebih bernilai daripada berlian, emas, atau kebendaan lain. Pandangan Yehuwa tentang apa yang bernilai sangat berbeza daripada pandangan manusia. (Yes. 55:8, 9) Penyembah Yehuwa berasa sangat puas hati semasa mereka berusaha untuk mencerminkan sifat-sifat-Nya.

Mari kita lihat pandangan Bible mengenai pengertian dan kebijaksanaan. Amsal 3:13-15 menyatakan, “Berbahagialah orang yang menjadi bijaksana dan mendapat pengertian. Manfaatnya melebihi keuntungan daripada perak, dan nilainya lebih tinggi daripada emas. Hikmat lebih bernilai daripada batu permata. Semua yang kamu idamkan tidak dapat dibandingkan dengan hikmat!” Jelaslah, Yehuwa menganggap bahawa sifat-sifat sebegini lebih bernilai daripada harta benda yang lain.

Bagaimana pula dengan kejujuran?

Yehuwa ialah Tuhan yang jujur. Dia “tidak dapat berdusta.” (Tit. 1:2) Dia telah mengilhami Paulus untuk menulis kepada orang Kristian yang berbangsa Ibrani pada abad pertama: “Teruslah berdoa untuk kami, kerana kami percaya bahawa hati nurani kami murni, dan kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—Ibr. 13:18.

Yesus Kristus menetapkan teladan yang baik dalam menunjukkan kejujuran. Contohnya, semasa Imam Agung Kayafas berkata, “Bersumpahlah demi Tuhan yang hidup dan beritahulah kami sama ada kamu ialah Kristus, iaitu Anak Tuhan, atau tidak!” Yesus dengan jujur berkata bahawa dia ialah Mesias. Dia bersikap jujur meskipun Majlis Orang Yahudi mungkin menuduh bahawa dia menghina Tuhan dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.​—Mat. 26:63-67.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita akan menyembunyikan atau menukar maklumat tertentu semata-mata untuk mendapatkan keuntungan? Atau adakah kita akan tetap bersikap jujur?

CABARAN UNTUK BERSIKAP JUJUR

Sudah tentu, adalah susah untuk tetap bersikap jujur kerana pada hari-hari terakhir, banyak orang ‘mencintai diri sendiri dan mencintai wang.’ (2 Tim. 3:2) Apabila masalah kewangan atau masalah pekerjaan timbul, banyak orang berfikir bahawa tidak salah untuk mencuri, menipu, atau melibatkan diri dalam amalan yang tidak jujur. Pemikiran ini sangat berleluasa sehingga mereka sanggup bersikap tidak jujur semata-mata untuk mengaut keuntungan. Sesetengah orang Kristian telah membuat keputusan yang tidak bijak. Nama baik mereka tercemar dalam sidang kerana menginginkan “keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur.”​—1 Tim. 3:8; Tit. 1:7.

Namun, kebanyakan orang Kristian meniru Yesus dan sedar bahawa sifat-sifat baik lebih penting daripada apa-apa manfaat atau kekayaan yang mungkin diperoleh. Maka, kaum muda Kristian tidak meniru dalam peperiksaan untuk mendapat keputusan yang baik. (Ams. 20:23) Memang benar, orang yang bersikap jujur tidak selalu diberikan ganjaran seperti Haykanush. Walaupun demikian, jika kita bersikap jujur, kita akan mendapat perkenan Tuhan dan memperoleh sesuatu yang sangat bernilai, iaitu hati nurani yang murni.

Contoh Gagik membuktikan hal itu. Dia berkata, “Sebelum saya menjadi seorang Kristian, saya bekerja di sebuah syarikat besar. Pemilik syarikat itu mengelak daripada membayar cukai dengan hanya melaporkan sebahagian kecil keuntungan syarikat. Sebagai pengarah urusan, saya terpaksa memberikan rasuah kepada ejen cukai supaya menutup sebelah mata terhadap tindakan yang tidak jujur ini. Akibatnya, saya dikenali sebagai orang yang tidak jujur. Selepas mempelajari kebenaran, saya berhenti bekerja di syarikat itu walaupun gajinya lumayan. Sebaliknya, saya memulakan perniagaan sendiri. Sejak hari pertama, saya mendaftarkan syarikat saya secara sah dan membayar semua cukai.”​—2 Kor. 8:21.

Gagik berkata, “Pendapatan saya hanya separuh daripada yang asal. Jadi, bukannya senang untuk menjaga keperluan keluarga. Namun, kini saya berasa lebih gembira dan hati nurani saya bersih. Saya menjadi teladan baik bagi dua orang anak saya, dan saya layak berkhidmat dalam sidang. Kini saya dikenali sebagai orang yang jujur dalam kalangan juruaudit cukai dan orang lain yang berurusan dengan saya.”

YEHUWA MEMBANTU KITA

Yehuwa mengasihi mereka yang menghiasi ajaran-Nya dengan mencerminkan sifat-sifat yang unggul termasuk kejujuran. (Tit. 2:10) Dia mengilhami Raja Daud untuk menulis kata-kata berikut: ‘Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Yehuwa, ataupun anak mereka meminta-minta makanan.’​—Mzm. 37:25.

Pengalaman Rut juga membuktikan hal itu. Rut tidak meninggalkan ibu mentuanya, Naomi, yang lanjut usia. Sebaliknya, dia berpindah ke Israel agar dapat menyembah Tuhan yang benar. (Rut 1:16, 17) Di sana, Rut bersikap jujur, dan dia rajin mengumpulkan sisa tuaian, mengikut aturan yang dibuat dalam Hukum. Seperti pengalaman Daud, Yehuwa tidak meninggalkan Rut dan Naomi. (Rut 2:2-18) Yehuwa bukan sahaja menjaga keperluan jasmani mereka tetapi juga memilih Rut untuk menjadi nenek moyang Raja Daud dan Mesias!​—Rut 4:13-17; Mat. 1:5, 16.

Sesetengah umat Yehuwa mungkin berasa susah untuk mencari pendapatan demi menampung keperluan hidup. Tetapi, mereka bekerja keras dan tidak mencari jalan mudah yang melibatkan perbuatan tidak jujur. Bagi mereka, sifat-sifat unggul Tuhan, termasuk kejujuran, lebih bernilai daripada kebendaan.​—Ams. 12:24; Ef. 4:28.

Seperti Rut, orang Kristian di seluas dunia menunjukkan iman terhadap kebolehan Yehuwa untuk menjaga umat-Nya. Mereka yakin terhadap janji Yehuwa: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Ibr. 13:5) Jelaslah, meskipun kita mungkin mengalami kerugian kerana bersikap jujur, Yehuwa pasti membantu kita. Dia setia terhadap janji-Nya untuk sentiasa menyediakan segala keperluan umat-Nya.​—Mat. 6:33.

Meskipun berlian dan benda-benda lain yang berharga sangat bernilai, kejujuran dan sifat-sifat unggul lain yang kita tunjukkan sememangnya lebih bernilai bagi Bapa kita di syurga!

Kejujuran membantu kita untuk memiliki hati nurani yang bersih dan dapat menginjil tanpa berasa segan