Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa “Mengambil Berat tentang Kamu”

Yehuwa “Mengambil Berat tentang Kamu”

MENGAPAKAH anda boleh yakin bahawa Yehuwa mengambil berat tentang anda? Salah satu sebab adalah kerana Bible menyatakan sedemikian. Ayat di 1 Petrus 5:7 menyatakan, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” Apakah buktinya bahawa Yehuwa mengambil berat tentang anda?

TUHAN MENJAGA KEPERLUAN JASMANI KITA

Yehuwa ialah teladan yang baik, Dia baik dan murah hati

Tuhan mempunyai sifat-sifat yang kita inginkan dalam diri seorang sahabat karib. Apabila dua orang saling menunjukkan sifat kebaikan hati dan kemurahan hati, mereka akan menjadi akrab. Jelaslah, Yehuwa sentiasa baik dan murah hati kepada semua orang. Contohnya, “Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat.” (Mat. 5:45) Dengan demikian, Tuhan telah ‘memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kita, dan memenuhi hati kita dengan sukacita.’ (Kis. 14:17) Ya, kita memang menikmati pelbagai jenis makanan.

Namun, mengapakah kebuluran berlaku? Kerana pemimpin manusia hanya mementingkan kuasa dan mengaut keuntungan tanpa meningkatkan mutu kehidupan rakyat. Bagaimanakah Yehuwa akan menyelesaikan masalah ketamakan? Tidak lama lagi, Yehuwa akan menggantikan sistem politik dunia dengan Kerajaan-Nya yang diperintah oleh Anak-Nya sebagai Raja. Pada masa itu, tiada lagi kebuluran. Sementara menantikan hal itu, kita yakin bahawa Yehuwa sentiasa menjaga keperluan umat-Nya yang setia. (Mzm. 37:25) Tidakkah hal ini membuktikan keprihatinan Tuhan?

YEHUWA RELA MELUANGKAN MASA-NYA

Yehuwa ialah teladan yang baik, Dia rela meluangkan masa-Nya

Seorang sahabat karib meluangkan masanya dengan anda. Dia mungkin meluangkan banyak masa untuk berbual dengan anda tentang apa yang menarik minat anda berdua. Seorang sahabat karib akan mendengar dengan teliti apabila anda meluahkan masalah dan kebimbangan. Adakah Yehuwa juga memberi anda perhatian yang serupa? Ya, sudah tentu! Dia mendengar doa kita. Maka, Bible menggalakkan kita untuk ‘berdoa dengan tekun’ dan ‘berdoa sentiasa.’​—Rm. 12:12; 1 Tes. 5:17.

Berapa banyak masa yang Yehuwa rela luangkan untuk mendengar doa anda? Fikirkan contoh ini: Sebelum Yesus memilih para rasul, “dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam.” (Luk. 6:12) Dalam doa itu, Yesus mungkin telah menyebut tentang nama-nama para muridnya, mempertimbangkan sifat-sifat dan kelemahan mereka, dan meminta bantuan Bapanya untuk memilih mereka. Pada keesokan hari, Yesus tahu bahawa dia telah memilih orang yang layak menjadi rasulnya. Sebagai Tuhan yang “mengabulkan doa,” Yehuwa mendengar semua doa yang tulus hati. (Mzm. 65:3) Walaupun seseorang meluangkan banyak masa untuk berdoa tentang kerisauannya, Yehuwa mendengar dengan sabar.

TUHAN RELA MENGAMPUNI

Yehuwa ialah teladan yang baik, Dia rela mengampuni

Kadangkala sahabat karib mungkin berasa susah untuk saling mengampuni. Ada kalanya, orang sanggup memutuskan persahabatan yang lama terjalin kerana berasa susah untuk mengampuni. Namun, Yehuwa tidak seperti itu. Bible menggalakkan semua orang untuk meminta pengampunan Tuhan secara ikhlas kerana Dia “sentiasa sedia mengampuni.” (Yes. 55:6, 7) Apakah yang menggerakkan Tuhan untuk berbuat demikian?

Kasih Tuhan yang unggul telah mendorong-Nya untuk memberikan Anak-Nya, Yesus, agar manusia dapat diselamatkan daripada dosa dan kematian. (Yoh. 3:16) Selain itu, menerusi korban tebusan, Tuhan rela mengampuni mereka yang dikasihi-Nya. Rasul Yohanes menulis, “Jika kita mengakui dosa kita, Tuhan akan mengampunkan dosa kita, . . . kerana Dia setia dan adil.” (1 Yoh. 1:9) Pengampunan Yehuwa membolehkan kita menikmati persahabatan dengan-Nya. Hal ini pasti menyentuh hati kita.

DIA SENTIASA BERSEDIA MEMBANTU ANDA

Yehuwa ialah teladan yang baik, Dia sentiasa bersedia membantu kita

Sahabat sejati kita sentiasa rela menghulurkan bantuan. Adakah Yehuwa juga bertindak demikian? Bible menyatakan, ‘Jika [seorang penyembah Tuhan] jatuh, dia tidak akan cedera, kerana Yehuwa memegang tangannya.’ (Mzm. 37:24) Yehuwa ‘memegang tangan penyembah-Nya’ dalam pelbagai cara. Perhatikan pengalaman dari sebuah pulau di Lautan Caribbean yang bernama St. Croix.

Seorang gadis muda mengalami tekanan daripada rakan sebaya kerana tidak menabik bendera. Selepas meminta bantuan daripada Yehuwa, dia memutuskan untuk berhadapan dengan isu tersebut. Dia menyampaikan sebuah laporan di dalam kelas tentang topik menabik bendera. Dengan menggunakan Buku Cerita Bible Saya, dia menjelaskan bahawa keputusannya adalah berdasarkan pendirian Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Dia berkata, “Yehuwa telah melindungi ketiga-tiga pemuda Ibrani tersebut kerana mereka tidak menyembah patung.” Selepas itu, dia menawarkan buku tersebut kepada rakan kelasnya. Hasilnya, 11 orang daripada mereka telah mengambil buku itu. Gadis muda itu berasa sangat gembira kerana Yehuwa memberinya kekuatan dan kebijaksanaan untuk memberikan kesaksian mengenai isu tersebut.

Jika anda meragui keprihatinan Yehuwa terhadap anda, renungkanlah ayat-ayat Bible seperti di Mazmur 34:18-20; 55:23; dan 145:18, 19. Tanyalah mereka yang telah lama berkhidmat kepada Yehuwa tentang cara Yehuwa menjaga mereka. Jika anda memerlukan bantuan Tuhan, berdoalah kepada-Nya. Dengan itu, anda dapat melihat bagaimana Yehuwa “mengambil berat tentang kamu.”