Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Yehuwa Satu-Satunya Tuhan Kita’

‘Yehuwa Satu-Satunya Tuhan Kita’

‘Ingatlah, hai Israel! Yehuwa, Tuhan kita, satu-satunya Tuhan.’​—UL. 6:4, nota kaki.

LAGU: 138, 112

1, 2. (a) Mengapakah kata-kata di Ulangan 6:4 diketahui ramai? (b) Mengapakah Musa mengucapkan kata-kata tersebut?

SELAMA berabad-abad, orang Yahudi menggunakan kata-kata di Ulangan 6:4 dalam doa istimewa yang diucapkan setiap pagi dan petang. Doa ini dipanggil Shema, yang merupakan perkataan pertama dalam ayat tersebut. Dengan mengucapkan doa ini, orang Yahudi mengisytiharkan bahawa mereka hanya akan menyembah Tuhan.

2 Ayat tersebut merupakan sebahagian daripada ucapan terakhir Musa kepada bangsa Israel yang berkumpul di dataran Moab pada tahun 1473 SM. Bangsa itu akan menyeberangi Sungai Yordan dan menduduki Tanah yang Dijanjikan. (Ul. 6:1) Musa telah memimpin bangsa Israel selama 40 tahun. Dia ingin mereka berani semasa menghadapi cabaran. Mereka perlu percaya kepada Yehuwa dan mentaati-Nya sebagai Tuhan mereka. Kata-kata akhir Musa meninggalkan kesan yang besar ke atas bangsa Israel. Selepas menyebut tentang Sepuluh Hukum dan hukum-hukum lain yang diberikan Yehuwa kepada bangsa Israel, Musa mengisytiharkan kata-kata yang terdapat di Ulangan 6:4, 5. (Baca.)

3. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Tidakkah orang Israel tahu bahawa Yehuwa ialah ‘satu-satunya Tuhan’? Sudah tentu mereka tahu. Orang Israel yang setia mengenal dan menyembah satu Tuhan sahaja, iaitu Tuhan yang disembah oleh nenek moyang mereka. Maka, mengapakah Musa mengingatkan mereka bahawa Yehuwa, Tuhan mereka, ialah ‘satu-satunya Tuhan’? Apakah kaitan hal ini dengan mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan di ayat 5? Bagaimanakah ayat di Ulangan 6:4, 5 dapat diterapkan pada hari ini?

YEHUWA SATU-SATUNYA TUHAN

4, 5. (a) Apakah maksud ungkapan ‘satu-satunya Tuhan’? (b) Bagaimanakah Yehuwa berbeza dengan tuhan-tuhan yang disembah oleh bangsa asing?

4 Unik. Perkataan “satu” dalam bahasa Ibrani tidak hanya merujuk kepada angka. Tetapi, perkataan tersebut boleh bermaksud unik atau istimewa. Dalam konteks ini, Musa bukannya cuba untuk membuktikan bahawa ajaran tritunggal adalah salah. Dia sebenar ingin mengingatkan orang Israel bahawa Yehuwa ialah Pencipta langit dan bumi serta Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar dan tiada tuhan lain yang setanding-Nya. (2 Sam. 7:22) Jelaslah, Musa sedang mengingatkan orang Israel bahawa mereka hanya boleh menyembah Tuhan Yehuwa. Mereka tidak seharusnya mengikut orang di sekitar mereka yang menyembah pelbagai dewa dewi. Sesetengah daripada dewa dewi itu dikatakan mempunyai kuasa ke atas alam.

5 Contohnya, orang Mesir menyembah dewa matahari Ra, dewi langit Nut, dewa bumi Geb, dewa Sungai Nil Hapi, dan beberapa binatang yang dianggap suci. Namun, tuhan-tuhan palsu itu dikalahkan oleh Yehuwa menerusi Sepuluh Tulah. Orang Kanaan pula menyembah Baal yang dikenali sebagai dewa kesuburan, langit, hujan, dan ribut. Di banyak tempat, Baal juga merupakan dewa perlindungan. (Bil. 25:3) Meskipun demikian, orang Israel harus mengingati bahawa Yehuwa ialah ‘satu-satunya Tuhan’ yang benar.​—Ul. 4:35, 39.

6, 7. Apakah maksud lain bagi perkataan “satu,” dan bagaimanakah Yehuwa membuktikan bahawa Dia ialah ‘satu-satunya Tuhan’?

6 Setia dan tidak berubah-ubah. Perkataan “satu” juga menunjukkan bahawa Yehuwa mempunyai satu tujuan dan bahawa segala perbuatan-Nya dapat dipercayai. Dia setia, benar, dan tidak berubah-ubah. Yehuwa telah membuat perjanjian dengan Abraham bahawa keturunannya akan mewarisi Tanah yang Dijanjikan. Maka, Dia melakukan banyak mukjizat untuk memenuhi janji-Nya. Walaupun 430 tahun telah berlalu selepas Yehuwa membuat janji itu, Dia masih tidak berubah dan bertekad untuk menepati janji-Nya.​—Kej. 12:1, 2, 7; Kel. 12:40, 41.

7 Berabad-abad kemudian, semasa Yehuwa memilih bangsa Israel untuk menjadi saksi-Nya, Dia berfirman, ‘Aku satu-satunya Tuhan. Selain Aku, tidak ada tuhan-tuhan lain; baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang.’ Yehuwa juga menekankan bahawa tujuan-Nya tidak akan berubah dengan berkata, ‘Aku tetap Tuhan selama-lamanya.’ (Yes. 43:10, 13; 44:6; 48:12) Betapa besarnya penghormatan bagi bangsa Israel dan bagi kita untuk menyembah Yehuwa, Tuhan yang setia dan tidak berubah-ubah dalam segala perbuatan-Nya!​—Mal. 3:6; Yak. 1:17.

8, 9. (a) Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada umat-Nya? (b) Bagaimanakah Yesus menekankan kepentingan kata-kata Musa?

8 Ya, Musa mengingatkan orang Israel bahawa Tuhan Yehuwa yang tidak berubah-ubah akan sentiasa menjaga serta mengasihi mereka. Oleh itu, orang Israel perlu menyembah Yehuwa sahaja dan mengasihi-Nya dengan segenap hati, jiwa, dan kekuatan. Ibu bapa juga harus mengambil setiap kesempatan untuk mengajar anak-anak bahawa mereka harus menyembah Yehuwa sahaja.​—Ul. 6:6-9.

9 Oleh sebab kehendak dan tujuan Yehuwa tidak berubah, apa yang dikehendaki Tuhan daripada umat-Nya juga tidak pernah berubah. Jika kita menyembah Yehuwa sahaja dan mengasihi-Nya dengan segenap hati, akal, dan kekuatan, penyembahan kita akan diterima oleh-Nya. Yesus mengatakan bahawa mengasihi Yehuwa ialah hukum yang terpenting. (Baca Markus 12:28-31.) Marilah kita tunjukkan bahawa kita percaya Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan. Bagaimanakah kita boleh melakukannya?

MENYEMBAH YEHUWA SAHAJA

10, 11. (a) Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita ingin menyembah Yehuwa sahaja? (b) Bagaimanakah pemuda-pemuda Ibrani di Babilon menunjukkan bahawa mereka ingin menyembah Yehuwa sahaja?

10 Yehuwa ialah ‘satu-satunya Tuhan,’ maka kita harus menyembah-Nya sahaja. Kita tidak boleh menyembah tuhan-tuhan lain dan mencampuradukkan ibadat kita dengan ajaran palsu. Kita tidak patut menganggap Yehuwa hanya sebagai salah satu tuhan daripada tuhan-tuhan lain atau sebagai tuhan yang paling berkuasa antara tuhan-tuhan lain. Sememangnya, Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar dan hanya Dialah yang harus disembah.​—Baca Wahyu 4:11.

11 Dalam buku Daniel, kita membaca tentang pemuda-pemuda Ibrani yang bernama Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya. Mereka menunjukkan bahawa mereka hanya ingin menyembah Yehuwa. Mereka bukan sahaja menjauhi makanan yang dianggap najis, tetapi mereka juga enggan bersujud menyembah patung emas yang dibuat oleh Nebukadnezar. Jelaslah bahawa Yehuwa ialah keutamaan mereka, dan mereka ingin setia kepada-Nya sahaja.​—Dan. 1:1–3:30.

12. Jika kita ingin menyembah Yehuwa sahaja, kita harus berwaspada terhadap apa?

12 Yehuwa harus menjadi keutamaan kita. Jika kita ingin menyembah Yehuwa sahaja, kita harus berwaspada agar tidak membiarkan apa-apa pun untuk mengambil tempat Yehuwa. Dalam Sepuluh Hukum, Yehuwa dengan jelas menghendaki umat-Nya untuk menyembah-Nya sahaja dan bukannya berhala atau tuhan lain. (Ul. 5:6-10) Dewasa ini, terdapat pelbagai bentuk penyembahan berhala, dan ada antaranya yang tidak ketara. Tetapi apa yang dikehendaki Yehuwa tidak berubah. Dia tetap ialah ‘satu-satunya Tuhan.’ Sekarang, marilah kita lihat bagaimana kita dapat menjauhi penyembahan berhala.

13. Apakah yang mungkin menyebabkan kasih kita kepada Yehuwa menjadi pudar?

13 Di Kolose 3:5 (baca), kita diberi amaran tentang perkara-perkara yang akan menjejaskan hubungan kita dengan Yehuwa. Perhatikan bahawa ketamakan dikait rapat dengan penyembahan berhala. Hal ini demikian kerana keinginan seseorang, misalnya keinginan untuk memiliki kekayaan atau kemewahan, mungkin menguasai kehidupannya sehingga keinginan tersebut menjadi seperti tuhan. Perbuatan dosa lain yang disebut di Kolose 3:5 juga dikaitkan dengan ketamakan dan penyembahan berhala. Jika kita menginginkan perkara-perkara itu, kasih kita kepada Yehuwa akan menjadi pudar dan kita tidak lagi menganggap Yehuwa sebagai ‘satu-satunya Tuhan.’ Patutkah kita membiarkan perkara-perkara sedemikian menguasai kita dan mengambil tempat Yehuwa? Sudah tentu tidak!

14. Apakah amaran yang diberikan oleh rasul Yohanes?

14 Rasul Yohanes juga memberikan amaran bahawa jika seseorang mengasihi perkara di dunia, iaitu “keinginan tubuh yang berdosa, keinginan mata, dan sikap suka mempamerkan harta milik sendiri,” maka “kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya.” (1 Yoh. 2:15, 16) Jadi, kita harus sentiasa memeriksa hati kita agar tidak digoda oleh hiburan, pergaulan, serta cara pemakaian dan dandanan duniawi. Kita juga tidak harus digoda untuk memburu kejayaan melalui pendidikan tinggi. (Yer. 45:4, 5) Dunia baru sudah berada di ambang pintu. Oleh itu, kita harus sentiasa mengingati kata-kata Musa! Jika kita benar-benar memahami dan yakin bahawa Yehuwa ialah ‘satu-satunya Tuhan,’ kita akan bertekad untuk menyembah-Nya sahaja menurut cara yang diperkenankan-Nya.​—Ibr. 12:28, 29.

MENGEKALKAN KESATUAN KRISTIAN

15. Mengapakah Paulus harus mengingatkan orang Kristian bahawa Yehuwa ialah ‘satu-satunya Tuhan’?

15 Ungkapan ‘satu-satunya Tuhan’ juga mengingatkan kita bahawa Yehuwa ingin umat-Nya bersatu padu dan mempunyai tujuan yang sama. Pada abad pertama, sidang Kristian terdiri daripada orang Yahudi, Yunani, Roma, dan bangsa-bangsa yang lain. Mereka mempunyai latar belakang, budaya, dan cita rasa yang berbeza. Oleh itu, ada yang berasa susah untuk menerima cara penyembahan baru atau untuk meninggalkan amalan lama. Maka, rasul Paulus harus mengingatkan orang Kristian bahawa Tuhan yang disembah mereka hanyalah satu, iaitu Yehuwa.​—Baca 1 Korintus 8:5, 6.

16, 17. (a) Apakah nubuat yang sedang menjadi kenyataan, dan apakah hasilnya? (b) Apakah yang boleh menjejaskan perpaduan dalam sidang?

16 Bagaimana pula dengan keadaan sidang Kristian pada hari ini? Nabi Yesaya bernubuat bahawa pada hari-hari terakhir, orang daripada pelbagai bangsa akan berduyun-duyun kepada ibadat sejati. Mereka akan berkata, ‘Yehuwa akan mengajar kita tentang kehendak-Nya; dan kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya.’ (Yes. 2:2, 3) Betapa gembiranya kita kerana nubuat ini sedang menjadi kenyataan! Saudara saudari dalam sidang yang berasal daripada kaum, budaya, dan bahasa yang berbeza berganding bahu memuji Yehuwa. Namun, memandangkan kita semua berbeza, hal ini boleh mendatangkan cabaran.

Adakah anda berusaha mengekalkan kesatuan sidang Kristian? (Lihat perenggan 16-19)

17 Misalnya, apakah perasaan anda terhadap rakan seiman yang mempunyai budaya yang berbeza daripada anda? Anda mungkin tidak biasa dengan bahasa, cara pemakaian, adab, dan makanan mereka. Jadi, adakah anda cuba mengelakkan mereka dan hanya bergaul dengan orang yang mempunyai latar belakang yang serupa dengan anda? Apakah perasaan anda terhadap para penatua yang lebih muda daripada anda atau yang mempunyai budaya yang berbeza? Adakah anda akan membiarkan perbezaan sedemikian menjejaskan perpaduan dan kesatuan umat Yehuwa?

18, 19. (a) Apakah nasihat yang disebut di Efesus 4:1-3? (b) Apakah yang dapat kita lakukan untuk mengekalkan perpaduan dalam sidang?

18 Apakah yang dapat membantu kita untuk mengelakkan jerat ini? Paulus memberikan nasihat yang praktikal kepada orang Kristian di Efesus. Kota itu kaya dan penduduknya mempunyai latar belakang yang berbeza. (Baca Efesus 4:1-3.) Paulus menyebut tentang sifat-sifat seperti kerendahan hati, kelemahlembutan, kesabaran, dan kasih. Sifat-sifat ini boleh disamakan dengan tiang-tiang kukuh di dalam sebuah rumah. Rumah itu perlu diselenggarakan secara tetap agar keadaannya sentiasa elok. Maka, Paulus merayu kepada sidang Efesus agar “berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai.”

19 Kita semua bertanggungjawab untuk mengekalkan kesatuan dalam sidang. Apakah yang dapat dilakukan? Pertama-tama, pupuklah sifat-sifat yang disebut oleh Paulus, iaitu kerendahan hati, kelemahlembutan, kesabaran, dan kasih. Kemudian, berusahalah untuk memelihara perpaduan sidang. Sepertimana kita akan menampal retakan yang ada pada sebuah dinding, kita juga harus berusaha menyelesaikan perselisihan yang bagaikan retakan. Dengan berbuat demikian, kedamaian dan perpaduan kita yang tidak ternilai dapat dipelihara.

20. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita memahami ungkapan ‘Yehuwa, Tuhan kita, satu-satunya Tuhan’?

20 Ungkapan ‘Yehuwa, Tuhan kita, satu-satunya Tuhan’ sememangnya ungkapan yang cukup bermakna! Peringatan itu telah menguatkan orang Israel untuk menghadapi cabaran semasa mereka memasuki dan menduduki Tanah yang Dijanjikan. Peringatan itu juga dapat menguatkan kita untuk menghadapi kesengsaraan besar yang bakal tiba. Kita juga akan didorong untuk memupuk kedamaian dan perpaduan di Firdaus. Marilah kita terus menyembah Yehuwa sahaja dan mengasihi-Nya dengan segenap jiwa. Selain itu, kita perlu berusaha untuk mengekalkan kesatuan dalam persaudaraan Kristian. Jika kita terus berbuat demikian, Yesus akan mengucapkan kata-kata ini kepada kita semasa menjalankan penghakimannya: “Marilah, kamu yang telah diberkati oleh Bapaku. Warisilah Kerajaan Tuhan yang telah disediakan untuk kamu sejak dunia diasaskan.”​—Mat. 25:34.