Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda​—Bagaimanakah Anda Dapat Bersedia untuk Pembaptisan?

Kaum Muda​—Bagaimanakah Anda Dapat Bersedia untuk Pembaptisan?

‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku!’—MZM. 40:9.

LAGU: 51, 58

1, 2. (a) Jelaskan mengapa pembaptisan ialah langkah yang serius. (b) Sebelum dibaptis, apakah yang harus dipastikan oleh seseorang tentang dirinya?

ADAKAH anda orang muda yang ingin dibaptis? Jika ya, anda akan memiliki penghormatan yang terbesar. Seperti yang dibincangkan dalam rencana lepas, keputusan untuk dibaptis adalah sangat serius. Pembaptisan menunjukkan kepada orang lain bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Anda berjanji untuk menyembah Tuhan selama-lamanya dan mengutamakan kehendak-Nya dalam hidup. Memandangkan janji ini serius, anda harus dibaptis hanya apabila anda cukup matang, mempunyai keinginan untuk dibaptis, dan memahami maksud pembaktian.

2 Namun, anda mungkin berasa belum bersedia untuk dibaptis. Ibu bapa juga mungkin menyuruh anda untuk menunggu hingga lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Apakah yang patut anda lakukan? Janganlah putus asa. Luangkan masa untuk membuat kemajuan supaya layak dibaptis. Tetapkanlah matlamat dalam aspek berikut: (1) kepercayaan, (2) perbuatan, dan (3) penghargaan anda.

KEPERCAYAAN ANDA

3, 4. Apakah yang dapat dipelajari oleh kaum muda daripada teladan Timotius?

3 Tanyalah diri: Mengapakah saya percaya bahawa Tuhan wujud? Mengapakah saya yakin bahawa Bible berasal daripada Tuhan? Mengapakah saya mentaati perintah Tuhan dan bukannya mengikut piawaian moral dunia ini? Soalan sedemikian membantu anda untuk mengikut nasihat Paulus, ‘Buktikan kepada diri sendiri kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.’ (Rm. 12:2, nota kaki) Mengapakah anda harus berbuat demikian?

4 Fikirkan teladan Timotius. Dia mengenali Ayat-Ayat Suci dengan baik kerana ibu dan neneknya telah mengajarnya. Namun, Paulus memberitahu Timotius: “Terus berpegang pada apa yang telah kamu pelajari dan apa yang telah kamu percayai selepas diyakinkan.” (2 Tim. 3:14, 15) Perkataan “diyakinkan” bermaksud “percaya dan pasti mengenai kebenaran suatu perkara.” Timotius yakin bahawa kebenaran boleh dijumpai dalam Ayat-Ayat Suci. Dia menerima kebenaran bukan kerana disuruh oleh ibu dan neneknya. Tetapi kerana dia berfikir dengan mendalam tentang apa yang dipelajarinya. Maka dia yakin dengan kebenaran.—Baca Roma 12:1.

5, 6. Mengapakah penting untuk menggunakan “daya pemikiran” sejak muda?

5 Bagaimana pula dengan anda? Anda mungkin sudah lama mengenal kebenaran. Jika ya, fikirkanlah sebab anda mempercayainya. Hal ini dapat mengukuhkan pendirian anda supaya tidak dipengaruhi oleh tekanan rakan sebaya, pandangan dunia, atau perasaan sendiri.

6 Jika anda menggunakan “daya pemikiran” sejak muda, anda dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh rakan anda seperti: “Mengapakah kamu yakin bahawa Tuhan wujud? Jika Tuhan mengasihi kita, mengapakah Dia membenarkan perkara buruk berlaku? Bagaimana mungkin Tuhan sentiasa wujud?” Jika anda sudah bersedia, soalan sebegini tidak menimbulkan keraguan, sebaliknya mendorong anda untuk mempelajari Bible dengan teliti.

7-9. Jelaskan bagaimana siri “Apa yang Sebenarnya Alkitab Ajarkan?” boleh membantu menguatkan kepercayaan anda.

7 Pembelajaran peribadi yang teliti dapat membantu anda menjawab soalan sebegini, menyingkirkan keraguan, dan mengukuhkan kepercayaan anda. (Kis. 17:11) Terdapat bahan bacaan yang dapat membantu anda untuk melakukan hal ini. Banyak orang mendapati brosur Asal Mula Kehidupan—Lima Pertanyaan yang Patut Direnungkan dan buku Apakah Ada Pencipta yang Mempedulikan Anda? sangat berguna. [1] Banyak kaum muda juga meraih manfaat daripada siri “Apa yang Sebenarnya Alkitab Ajarkan?” di jw.org/id pada bahagian AJARAN ALKITAB. Siri ini akan menguatkan kepercayaan anda terhadap ajaran Bible.

8 Anda seorang pelajar Bible, maka anda mungkin tahu jawapan kepada beberapa soalan yang terdapat dalam siri ini. Namun, adakah anda pasti dengan jawapan anda? Siri ini akan membantu anda berfikir dengan mendalam tentang ayat-ayat Bible. Anda juga digalakkan untuk menulis sebab anda mempercayai ajaran Bible. Hal ini dapat membantu anda untuk menjelaskan kepercayaan anda kepada orang lain. Jika anda dapat melayari Internet, gunakanlah siri ini semasa pembelajaran peribadi supaya kepercayaan anda dikukuhkan.

9 Anda harus membuktikan kepada diri bahawa inilah kebenaran. Hal ini dapat mempersiapkan anda untuk pembaptisan. Seorang remaja berkata, “Sebelum memutuskan untuk dibaptis, saya belajar Bible dan sedar bahawa inilah agama benar. Setiap hari, kepercayaan saya semakin kuat.”

PERBUATAN ANDA

10. Mengapakah orang Kristian yang sudah dibaptis seharusnya menunjukkan iman melalui perbuatannya?

10 Bible berkata, “Iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.” (Yak. 2:17) Jika anda memiliki kepercayaan yang teguh, anda akan menunjukkannya melalui perbuatan. Bible berkata bahawa kita harus ‘berkelakuan suci dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kita mengabdikan diri kepada Tuhan.’—Baca 2 Petrus 3:11.

11. Jelaskan maksud “berkelakuan suci.”

11 Apakah maksud “berkelakuan suci”? Hal itu bermaksud anda bersih secara moral. Contohnya, fikirkan enam bulan yang lalu. Semasa digoda untuk melakukan dosa, adakah anda menggunakan daya penilaian untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah? (Ibr. 5:14) Adakah anda mengingat masa tertentu apabila anda tidak menyerah kepada godaan atau tekanan rakan sebaya? Di sekolah, adakah anda menetapkan teladan baik? Adakah anda setia kepada Yehuwa, atau anda cuba menjadi seperti rakan sekelas supaya tidak diejek? (1 Ptr. 4:3, 4) Sudah tentu tiada seorang pun yang sempurna. Kadangkala, orang yang telah lama menyembah Yehuwa juga berasa malu dan susah untuk menginjil. Namun, orang yang telah membaktikan diri kepada Tuhan akan berasa bangga untuk dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Dia akan menunjukkannya melalui kelakuan yang bersih.

12. Apakah maksud ‘melakukan hal-hal yang menunjukkan pengabdian kepada Tuhan’? Apakah seharusnya perasaan anda mengenai hal itu?

12 Apakah maksud ‘melakukan hal-hal yang menunjukkan pengabdian kepada Tuhan’? Hal itu merangkumi aktiviti yang dilakukan di sidang, seperti menghadiri perjumpaan dan menginjil. Tetapi, hal itu juga merangkumi aktiviti yang tidak dilihat oleh orang lain, seperti doa dan pembelajaran peribadi. Orang yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa tidak akan menganggap aktiviti tersebut membebankan. Dia akan berasa seperti Raja Daud yang berkata, ‘Aku suka melakukan kehendak-Mu, ya Tuhanku! Aku menyimpan segala ajaran-Mu dalam hatiku.’—Mzm. 40:9.

13, 14. Apakah persediaan yang membantu anda untuk ‘melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa anda mengabdikan diri kepada Tuhan’? Bagaimanakah sesetengah kaum muda mendapat manfaat daripada persediaan tersebut?

13 Untuk menetapkan matlamat, anda boleh menggunakan lembaran kerja pada muka surat 308 dan 309 dalam buku Pertanyaan Kaum Muda—Jawaban yang Praktis, Jilid 2, dalam bahasa Indonesia. Dalam lembaran kerja itu, anda boleh menulis jawapan bagi soalan seperti, “Adakah doa anda spesifik, dan bagaimanakah hal itu menyingkapkan kasih kepada Yehuwa? Apakah yang terangkum semasa pembelajaran peribadi? Adakah anda menyertai aktiviti penyebaran walaupun ibu bapa tidak menyertainya?” Gunakan ruang pada lembaran kerja itu untuk menulis apa sahaja matlamat yang ingin ditetapkan berkenaan doa, pembelajaran peribadi, dan aktiviti penyebaran.

14 Banyak kaum muda yang ingin dibaptis berasa bahawa lembaran kerja tersebut sangat berguna. Seorang saudari muda bernama Tilda berkata, “Saya menggunakan lembaran kerja itu untuk menetapkan matlamat. Saya mencapai matlamat itu satu demi satu. Setahun kemudian, saya bersedia untuk dibaptis.” Seorang saudara muda bernama Patrick juga berkata, “Saya tahu apa matlamat saya. Tetapi saya lebih berusaha untuk mencapai matlamat itu setelah saya menulisnya.”

Adakah anda akan tetap menyembah Yehuwa walaupun ibu bapa anda berhenti menyembah-Nya? (Lihat perenggan 15)

15. Jelaskan mengapa pembaktian merupakan keputusan peribadi.

15 Salah satu soalan dalam lembaran kerja itu adalah: “Jika ibu bapa dan sahabat anda berhenti menyembah Yehuwa, adakah anda akan tetap menyembah Yehuwa?” Apabila membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda memiliki hubungan peribadi dengan-Nya. Maka, apa yang anda lakukan untuk Yehuwa tidak bergantung pada ibu bapa atau orang lain. Kelakuan yang suci dan yang menunjukkan pengabdian kepada Tuhan membuktikan bahawa anda yakin inilah kebenaran dan anda ingin mengikut piawaian Tuhan. Tidak lama kemudian, anda akan layak untuk dibaptis.

PENGHARGAAN ANDA

16, 17. (a) Apakah yang sepatutnya mendorong seseorang untuk menjadi orang Kristian? (b) Berikan contoh tentang sebab kita menghargai tebusan.

16 Seorang lelaki menanya Yesus: “Hukum manakah yang paling penting?” Yesus menjawab, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.” (Mat. 22:35-37) Yesus menjelaskan bahawa kasih kepada Yehuwa patut mendorong seseorang untuk dibaptis dan menjadi orang Kristian. Satu cara untuk menguatkan kasih kepada Yehuwa ialah dengan merenungkan pemberian Yehuwa yang paling berharga, iaitu korban tebusan. (Baca 2 Korintus 5:14, 15; 1 Yohanes 4:9, 19.) Dengan demikian, anda akan tergerak untuk menunjukkan penghargaan.

17 Bayangkan seseorang menyelamatkan anda daripada mati lemas. Adakah anda akan balik ke rumah, tukar pakaian, dan melupakan peristiwa itu? Tidak! Anda akan menunjukkan penghargaan kepada orang itu! Begitu juga, kita patut menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan Yesus atas korban tebusan. Kita berhutang nyawa kepada mereka! Mereka menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian. Oleh sebab kasih mereka, kita mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di Firdaus!

18, 19. (a) Mengapakah kita tidak patut berasa takut untuk membaktikan diri kepada Yehuwa? (b) Mengapakah menyembah Yehuwa akan membuat kehidupan anda lebih baik?

18 Adakah anda menghargai apa yang dilakukan Yehuwa? Jika ya, pembaktian dan pembaptisan ialah langkah yang betul. Semasa membaktikan diri, anda berjanji untuk menyembah-Nya selama-lamanya. Patutkah anda berasa takut untuk membuat janji ini? Tidak! Yehuwa menginginkan yang terbaik bagi anda, dan Dia memberikan ganjaran kepada orang yang melakukan kehendak-Nya. (Ibr. 11:6) Jika anda membaktikan diri dan dibaptis, kehidupan anda tidak akan menjadi teruk. Sebaliknya, kehidupan anda akan menjadi lebih baik! Seorang saudara yang berusia 24 tahun telah dibaptis sebelum menjadi remaja. Dia berkata, “Jika saya lebih dewasa, saya mungkin mempunyai pemahaman yang lebih dalam. Namun, dengan membaktikan diri kepada Yehuwa, saya dilindungi daripada godaan di dunia.”

19 Yehuwa menginginkan yang terbaik bagi anda. Namun Syaitan mementingkan diri dan tidak mempedulikan anda. Dia tidak dapat memberikan ganjaran kepada orang yang berpihak kepadanya. Syaitan tidak mempunyai berita baik mahupun masa depan yang cerah. Bagaimana mungkin dia memberikan sesuatu yang tidak dimilikinya? Dia hanya dapat memberi anda masa depan yang kelam, kerana itulah masa depannya!—Why. 20:10.

20. Bagaimanakah kaum muda boleh membuat kemajuan supaya dapat membaktikan diri dan dibaptis? (Lihat kotak “ Untuk Membantu Anda Bertumbuh Secara Rohani.”)

20 Membaktikan diri kepada Yehuwa ialah keputusan yang terbaik. Adakah anda bersedia? Jika ya, janganlah takut untuk membuat janji tersebut. Jika anda belum bersedia, gunakanlah cadangan dalam rencana ini untuk terus membuat kemajuan. Paulus memberitahu saudara saudari di Filipi untuk “terus maju.” (Flp. 3:16) Dengan demikian, anda pasti ingin membaktikan diri dan dibaptis tidak lama lagi.

^ [1] (perenggan 7) Bahan bacaan ini boleh didapati dalam bahasa Indonesia.