Nama daripada Alkitab yang Terukir pada Tembikar Kuno
Pada tahun 2012, serpihan daripada sebuah tembikar yang berusia 3,000 tahun telah ditemui. Para penyelidik sangat teruja, bukan kerana serpihan yang ditemui, tetapi kerana tulisan yang ada pada bekas itu.
Setelah ahli arkeologi mencantumkan serpihan-serpihan itu, tulisan kuno yang ada padanya dapat dibaca. Tulisan bahasa Kanaan itu berbunyi “Esybaal anak Beda.” Inilah kali pertama nama itu dijumpai pada sebuah artifak.
Sebenarnya, nama “Esybaal” juga disebut dalam Alkitab. Dia merupakan salah seorang anak Raja Saul. (1 Taw. 8:33; 9:39) Profesor Yosef Garfinkel, yang menyertai penggalian arkeologi itu, berkata, “Nama ini ada dalam Alkitab, dan kini juga terdapat dalam penemuan arkeologi. Namun, kedua-duanya hanya muncul pada zaman pemerintahan Raja Daud. Hal itu sungguh menarik!” Ada pula yang berpendapat bahawa nama “Esybaal” hanya digunakan pada zaman itu sahaja. Maka sekali lagi, satu butiran Alkitab telah dibuktikan oleh kajian arkeologi.
Dalam ayat Alkitab lain, nama Esybaal disebut sebagai Isyboset. (2 Sam. 2:10) Mengapakah perkataan “baal” digantikan dengan “boset”? Para penyelidik menjelaskan, “Dalam 2 Samuel, nampaknya nama Esybaal tidak digunakan kerana mengingatkan orang tentang Baal, dewa orang Kanaan yang menguasai ribut. Tetapi nama asal itu terdapat dalam buku Tawarikh.”