Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Disiplin​—Bukti akan Kasih Tuhan

Disiplin​—Bukti akan Kasih Tuhan

“Aku, Yehuwa, mendisiplinkan orang yang Aku kasihi.”​—IBR. 12:6.

LAGU: 123, 86

1. Bagaimanakah disiplin sering digambarkan dalam Bible?

SEMASA mendengar perkataan “disiplin,” adakah anda terus fikir tentang hukuman? Sebenarnya itu hanya satu aspek kecil dalam disiplin. Dalam Bible, disiplin sering digambarkan dengan positif dan disenaraikan bersama pengetahuan, kebijaksanaan, kasih, dan hidup. (Ams. 1:2-7; 4:11-13) Tuhan mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita dan ingin kita hidup kekal. (Ibr. 12:6) Ada kalanya Tuhan memberikan disiplin yang tegas, tetapi Dia tidak akan mendera kita atau bertindak dengan kejam. Maksud utama “disiplin” berkait rapat dengan pendidikan, seperti didikan yang diberikan ibu bapa kepada anak.

2, 3. Jelaskan bagaimana disiplin dapat merangkumi ajaran dan hukuman. (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Fikirkan contoh ini: Seorang budak bernama Johnny sedang menendang bola di dalam rumah. Ibunya kata, “Johnny, jangan main bola di dalam rumah! Nanti barang pecah.” Tetapi Johnny tidak peduli dan terus main. Akhirnya dia memecahkan sebuah pasu dengan tidak sengaja. Bagaimanakah ibu Johnny akan mendisiplinkannya? Disiplin itu akan merangkumi ajaran dan hukuman. Ibu Johnny akan mengajarnya mengapa perbuatannya itu salah, menjelaskan bahawa peraturan ibu bapa penting dan munasabah, dan membantu Johnny sedar bahawa mendengar cakap ibu bapa bermanfaat untuk dirinya. Kemudian, untuk menegaskan akibat kerana tidak patuh, Johnny mungkin dihukum dan tidak dibenarkan bermain bola untuk suatu ketika.

3 Sebagai orang Kristian, kita ialah ahli rumah tangga Tuhan. (1 Tim. 3:15) Oleh itu, Yehuwa berhak untuk menentukan apa yang betul dan salah dan untuk mendisiplinkan kita semasa kita mengingkari-Nya. Selain itu, jika tindakan kita membawa kesan buruk, disiplin Tuhan akan mengingatkan kita bahawa mematuhi-Nya amat penting. (Gal. 6:7) Tuhan sangat menyayangi kita dan tidak mahu kita menderita.​—1 Ptr. 5:6, 7.

4. (a) Latihan apakah yang diberkati Yehuwa? (b) Apakah yang akan kita bincang dalam rencana ini?

4 Dengan memberikan disiplin menurut prinsip Bible, kita dapat melatih anak atau pelajar Bible kita untuk menjadi pengikut Kristus. Bible ialah alat utama kita untuk melatih dan “mendisiplinkan orang menurut piawaian Tuhan yang adil dan benar,” supaya anak atau pelajar kita memahami dan ‘mentaati segala yang telah diperintahkan Yesus.’ (2 Tim. 3:16, nota kaki; Mat. 28:19, 20) Latihan sebegini diberkati Yehuwa, kerana melengkapi seorang pelajar untuk membantu orang lain menjadi murid Kristus. (Baca Titus 2:11-14.) Sekarang, mari kita bincang tiga soalan yang penting: (1) Bagaimanakah disiplin Tuhan mencerminkan kasih-Nya? (2) Apakah yang kita pelajari daripada orang yang didisiplinkan Tuhan pada masa lampau? (3) Bagaimanakah kita dapat meniru Yehuwa dan Yesus semasa memberikan disiplin?

KASIH IALAH DASAR DISIPLIN TUHAN

5. Bagaimanakah disiplin mencerminkan kasih Yehuwa?

5 Yehuwa mengasihi kita, dan Dia ingin kita tetap dikasihi-Nya dan berpaut pada jalan yang menuju kehidupan. Itulah sebabnya Dia membetulkan, mendidik, dan melatih kita. (1 Yoh. 4:16) Yehuwa tidak menghina kita atau membuat kita berasa tidak berguna. (Ams. 12:18) Sebaliknya, Dia bertumpu kepada sifat baik kita dan menghormati pilihan kita. Dapatkah anda merasai kasih Yehuwa semasa diberi disiplin daripada Bible, bahan bacaan Bible, ibu bapa Kristian, atau penatua? Apabila penatua berusaha membetulkan kita dengan lembut semasa kita “mengambil langkah yang salah” tanpa menyedarinya, mereka sedang mencerminkan kasih Yehuwa terhadap kita.​—Gal. 6:1.

6. Bagaimanakah disiplin yang lebih berat mencerminkan kasih Tuhan?

6 Ada kalanya, disiplin yang diberikan tidak sekadar teguran atau nasihat. Jika seseorang melakukan dosa serius, dia mungkin kehilangan tanggungjawab dalam sidang. Meskipun begitu, disiplin sebegini membuktikan kasih Tuhan. Contohnya, orang itu akan dibantu untuk menyedari pentingnya berfokus kepada pembelajaran Bible peribadi, perenungan, dan doa, supaya kerohaniannya dikukuhkan. Dengan itu, dia mungkin dapat berkhidmat semula kelak. (Mzm. 19:7) Sebenarnya, penyingkiran juga menyingkapkan kasih Yehuwa, kerana aturan itu melindungi sidang daripada pengaruh buruk. (1 Kor. 5:6, 7, 11) Memandangkan disiplin Tuhan sentiasa adil, penyingkiran dapat menyedarkan seseorang betapa seriusnya dosanya dan mendorongnya untuk bertaubat.​—Kis. 3:19.

MEMANFAATKAN DISIPLIN YEHUWA

7. Siapakah Sebna? Apakah sifat buruk yang mula muncul dalam dirinya?

7 Untuk memahami nilai disiplin, mari kita lihat contoh dua orang yang menerima disiplin Yehuwa: Sebna dari zaman Raja Hizkia, dan Saudara Graham dari zaman kita. Sebna ialah “pengurus istana” yang mungkin berkhidmat untuk Raja Hizkia, dan dia diberi banyak kuasa. (Yes. 22:15) Sedihnya, dia menjadi sombong dan ingin meninggikan diri. Dia bahkan menyediakan kubur yang mahal untuk dirinya dan menaiki ‘kereta kuda yang mewah.’​—Yes. 22:16-18.

Jika kita rendah hati dan rela mengubah sikap sendiri, Tuhan pasti memberkati kita (Lihat perenggan 8-10)

8. Bagaimanakah Yehuwa mendisiplinkan Sebna? Apakah hasilnya?

8 Oleh sebab Sebna memuliakan diri sendiri, Tuhan ‘melucutkan kedudukannya’ dan menggantikannya dengan Elyakim. (Yes. 22:19-21) Hal itu berlaku semasa Raja Sanherib dari Assyria hendak menyerang Yerusalem. Beberapa lama kemudian, raja itu mengutus pegawainya dan angkatan tentera yang besar untuk menggertak orang Yahudi dan memaksa Hizkia untuk menyerah. (2 Raj. 18:17-25) Elyakim dan dua orang lain telah diutus untuk berjumpa dengan pegawai Assyria, dan salah satu orang itu ialah Sebna, yang kini berkhidmat sebagai setiausaha. Nampaknya, Sebna tidak berasa tersinggung atau berdendam atas disiplin yang diberikan dahulu, dan dia sanggup menerima jawatan yang lebih rendah. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Sebna? Mari kita lihat tiga pengajaran.

9-11. (a) Apakah iktibar yang kita peroleh daripada pengalaman Sebna? (b) Bagaimanakah cara Yehuwa melayan Sebna menggalakkan anda?

9 Pertama, pengalaman Sebna mengingatkan kita bahawa “kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan membawa kehancuran.” (Ams. 16:18) Jika anda diberi tugas yang nampaknya istimewa dalam sidang, adakah anda akan berusaha agar tetap rendah hati? Adakah anda akan ingat bahawa segala bakat dan pencapaian anda berasal daripada Yehuwa? (1 Kor. 4:7) Rasul Paulus menulis, “Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya. Kamu haruslah berfikiran sihat.”​—Rm. 12:3.

10 Kedua, teguran keras yang diberikan kepada Sebna mungkin menunjukkan keyakinan Yehuwa bahawa Sebna mampu berubah. (Ams. 3:11, 12) Bukankah itu pengajaran yang baik bagi mereka yang kehilangan tanggungjawab rohani hari ini? Daripada menjadi marah dan berdendam, semoga mereka terus menyembah Tuhan dengan sedaya upaya dalam situasi yang baharu dan memandang disiplin sebagai bukti akan kasih Yehuwa. Ingatlah, jika kita tetap rendah hati, Bapa kita pasti memberkati kita. (Baca 1 Petrus 5:6, 7.) Tuhan yang pengasih dapat membentuk kita menerusi disiplin, maka teruslah menjadi seperti tanah liat yang lembut dalam tangan-Nya.

11 Ketiga, meskipun disiplin daripada Yehuwa menunjukkan bahawa Dia membenci dosa, cara Dia melayan Sebna juga menunjukkan bahawa Dia prihatin terhadap pendosa. Jika anda diberi kuasa untuk memberikan disiplin sebagai ibu bapa atau penyelia Kristian, dapatkah anda meniru Yehuwa yang membenci kejahatan dan pada masa yang sama mencari sifat-sifat baik dalam diri anak atau rakan seiman anda?​—Yud. 22, 23.

12-14. (a) Apakah reaksi sesetengah orang terhadap disiplin daripada Tuhan? (b) Bagaimanakah Firman Tuhan membantu seorang saudara untuk mengubah sikapnya? Apakah hasilnya?

12 Sedihnya, sesetengah orang yang diberi disiplin begitu kecewa sehingga menjauhi Tuhan dan sidang. (Ibr. 3:12, 13) Namun, adakah itu bermaksud mereka tidak dapat dibantu? Perhatikan contoh Graham. Dia disingkirkan, diterima kembali ke dalam sidang, tetapi kemudiannya menjadi tidak aktif. Beberapa tahun selepas itu, dia meminta seorang penatua yang rapat dengannya untuk belajar Bible bersamanya.

13 Mengingat kembali apa yang berlaku, penatua tersebut berkata, “Masalah Graham ialah kesombongannya. Dia mencari kesalahan penatua yang terlibat dalam penyingkirannya. Jadi untuk beberapa pembelajaran seterusnya, kami membincangkan ayat Bible tentang kesombongan dan kesannya. Apabila Graham melihat keadaan dirinya yang dicerminkan menerusi Firman Tuhan, dia sangat terkejut! Setelah menyedari bahawa matanya telah dikelabui ‘kayu balak’ kesombongan dan bahawa dia juga bersalah kerana suka mengkritik, dia segera mengubah sikapnya. Dia menghadiri perjumpaan dengan tetap, mengkaji Firman Tuhan dengan bersungguh-sungguh, dan memupuk tabiat berdoa setiap hari. Dia juga berusaha memimpin keluarganya dalam hal rohani, dan hal itu amat menggembirakan isteri dan anak-anaknya.”​—Luk. 6:41, 42; Yak. 1:23-25.

14 Penatua itu menyambung, “Satu hari, kata-kata Graham telah menyentuh hati saya. ‘Saya sudah lama dalam kebenaran,’ katanya, ‘dan saya bahkan pernah merintis. Tapi sekarang barulah saya dapat kata dengan jujur bahawa saya mengasihi Yehuwa.’ Tidak lama kemudian, dia ditugaskan untuk mengendalikan mikrofon di Dewan Perjumpaan, dan dia sangat menghargai tugas itu. Saya belajar bahawa jika seseorang menerima disiplin Tuhan dengan rendah hati, dia akan menuai berkat yang limpah!”

SEMASA MEMBERIKAN DISIPLIN, TIRULAH TUHAN DAN KRISTUS

15. Apakah yang mesti kita buat supaya disiplin yang kita berikan mencapai hati orang?

15 Untuk jadi pengajar yang baik, kita perlu jadi pelajar yang baik terlebih dahulu. (1 Tim. 4:15, 16) Maka, jika anda dilantik oleh Tuhan untuk memberikan disiplin, anda mesti sentiasa rendah hati dan rela mengikut bimbingan Yehuwa. Sikap sebegini akan mendorong orang lain untuk menghormati anda, dan mereka akan lebih sudi menerima teguran atau latihan daripada anda. Fikirkan contoh Yesus.

16. Apakah yang kita pelajari daripada Yesus tentang cara mengajar dan memberikan disiplin dengan berkesan?

16 Yesus sentiasa taat kepada Bapanya biarpun dalam situasi yang amat mencabar. (Mat. 26:39) Dia mengingatkan pendengarnya bahawa segala ajaran dan kebijaksanaannya berasal daripada Bapanya. (Yoh. 5:19, 30) Oleh sebab Yesus rendah hati dan taat, dia dapat menjadi seorang guru yang berbelas kasihan, dan hal itu membuat orang yang berhati jujur tertarik kepadanya. (Baca Matius 11:29.) Kata-katanya yang melegakan telah menguatkan orang yang bagaikan rumput layu atau sumbu pelita yang malap. (Mat. 12:20) Yesus bersikap baik hati dan pengasih, bahkan semasa kesabarannya diuji. Contohnya, dia menasihati para rasulnya dengan sabar semasa mereka bertengkar tentang siapa yang lebih besar.​—Mrk. 9:33-37; Luk. 22:24-27.

17. Apakah sifat-sifat yang akan membantu para penatua menggembala kawanan Tuhan dengan baik?

17 Orang yang dilantik untuk memberikan disiplin berdasarkan Bible perlu meniru teladan Kristus. Usaha itu menunjukkan bahawa mereka ingin dibentuk oleh Tuhan dan Anak-Nya. Rasul Petrus menulis, “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu. Di hadapan Tuhan, berkhidmatlah sebagai penyelia dengan rela, dan bukannya secara terpaksa; lakukannya dengan bersemangat, dan bukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur; jadilah teladan bagi kawanan, dan janganlah menguasai mereka yang merupakan milik Tuhan.” (1 Ptr. 5:2-4) Apabila para penyelia mentaati Tuhan dan Kristus dengan rela, mereka dan kawanan di bawah jagaan mereka akan diberkati.​—Yes. 32:1, 2, 17, 18.

18. (a) Apakah yang dikehendaki Yehuwa daripada ibu bapa? (b) Bagaimanakah Tuhan akan membantu ibu bapa?

18 Prinsip yang sama juga sesuai untuk keluarga. Yehuwa memberitahu ketua keluarga, “Janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Ef. 6:4) Mengapakah hal itu begitu penting? Amsal 19:18 menyatakan, “Disiplinkanlah anakmu selagi masih ada peluang; jika tidak, kamulah yang bertanggungjawab atas kematiannya.” Ya, ibu bapa Kristian harus menjawab kepada Yehuwa jika mereka tidak mendisiplinkan anak! (1 Sam. 3:12-14) Namun, jika mereka memohon bantuan-Nya dan bergantung pada Firman-Nya dan kuasa suci-Nya, Yehuwa pasti beri mereka kekuatan dan kebijaksanaan.​—Baca Yakobus 1:5.

BELAJAR UNTUK HIDUP DAMAI SELAMA-LAMANYA

19, 20. (a) Apakah berkat yang terhasil apabila kita menerima disiplin Tuhan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

19 Apabila kita menerima disiplin Tuhan dan meniru Yehuwa dan Yesus semasa memberikan disiplin, kita akan menuai berkat yang tidak terhingga. Kedamaian dalam keluarga dan sidang akan melimpah, dan setiap orang akan berasa selamat, dikasihi, dan dihargai. Semua itu hanya sebahagian kecil daripada berkat yang menantikan kita. (Mzm. 72:7) Sesungguhnya, disiplin yang diberikan Yehuwa sedang melatih kita untuk hidup harmoni sebagai sebuah keluarga di bawah jagaan-Nya. (Baca Yesaya 11:9.) Dengan mengingat hal itu, kita akan sedar bahawa disiplin Tuhan memang membuktikan kasih-Nya yang agung untuk kita.

20 Rencana seterusnya akan membincangkan disiplin dalam keluarga dan sidang dengan lebih lanjut, cara untuk mendisiplinkan diri, dan cara mengelakkan sesuatu yang lebih teruk daripada sengatan disiplin.