Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sikap Suka Menyambut Orang Penting dan Menggembirakan!

Sikap Suka Menyambut Orang Penting dan Menggembirakan!

“Hendaklah kamu suka menyambut orang lain dengan ramah tanpa bersungut-sungut.”—1 PTR. 4:9.

LAGU: 100, 87

1. Apakah situasi yang dihadapi orang Kristian abad pertama?

ANTARA tahun 62 dan 64 M, Rasul Petrus menulis surat kepada ‘penduduk sementara yang tercerai-berai di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia.’ (1 Ptr. 1:1) Rakan seiman dari pelbagai latar belakang di situ memerlukan galakan dan bimbingan, kerana mereka ditentang dan dicemuh. Mereka bukan sahaja “mengalami cubaan yang bagaikan api,” malah hidup pada masa yang genting. Petrus menulis, “Akhir segala sesuatu sudah dekat.” Ya, dalam beberapa tahun lagi, Yerusalem akan dibinasakan. Apakah yang dapat bantu orang Kristian di merata tempat mengharungi waktu yang mencabar itu?​—1 Ptr. 4:4, 7, 12.

2, 3. Mengapakah Petrus menggalakkan rakan seimannya untuk menyambut orang dengan ramah? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

2 Salah satu nasihat Petrus ialah, “Hendaklah kamu suka menyambut orang lain.” (1 Ptr. 4:9) Dalam bahasa Yunani, ungkapan itu secara harfiah bermaksud “suka akan atau berbaik hati kepada orang yang tidak dikenali.” Namun, Petrus sedang menasihati orang Kristian untuk menyambut ahli sidang, orang yang sudah dikenali mereka. Mengapakah perbuatan itu bermanfaat?

3 Hubungan mereka akan bertambah erat. Masihkah anda ingat perasaan anda semasa dijemput ke rumah orang lain? Ketika anda menjemput ahli sidang ke rumah, tidakkah persahabatan anda dengannya bertambah erat? Ya, sikap suka menyambut orang membolehkan kita mengenali rakan seiman dengan lebih akrab. Apabila masalah semakin bertambah, orang Kristian pada zaman Petrus perlu semakin akrab. Begitu juga dengan orang Kristian pada “hari-hari terakhir” ini.​—2 Tim. 3:1.

4. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

4 Apakah peluang yang kita ada untuk menyambut satu sama lain? Apakah yang mungkin menghalang kita berbuat demikian, dan bagaimanakah kita dapat mengatasinya? Bagaimanakah kita dapat menjadi tetamu yang baik?

PELUANG UNTUK MENYAMBUT SATU SAMA LAIN

5. Bagaimanakah kita dapat menyambut orang dengan ramah di perjumpaan?

5 Di perjumpaan: Seperti kita, semua orang yang datang ke jamuan rohani ini ialah tetamu Yehuwa dan organisasi-Nya. (Rm. 15:7) Orang baharu juga tetamu Yehuwa, jadi kita patut mengambil inisiatif untuk mengalu-alukan mereka tanpa mengira cara mereka berpakaian atau berdandan. (Yak. 2:1-4) Jika ada pelawat yang bersendirian, jemputlah dia untuk duduk bersama anda. Dia mungkin perlu bantuan untuk mengikuti program perjumpaan dan mencari ayat Bible. Itulah caranya kita ‘menyambut orang dengan ramah.’​—Rm. 12:13.

6. Siapakah yang patut kita utamakan sebagai tetamu?

6 Makanan ringan atau jamuan: Pada zaman Bible, tuan rumah biasanya menjemput orang untuk makan di rumahnya sebagai tanda persahabatan dan kedamaian. (Kej. 18:1-8; Hak. 13:15; Luk. 24:28-30) Siapakah yang patut kita utamakan sebagai tetamu? Saudara saudari di sidang. Pada waktu kesusahan, kita perlu bergantung pada satu sama lain, dan kita memerlukan sahabat yang setia. Pada tahun 2011, Badan Pimpinan telah menukar masa Pembelajaran Menara Pengawal di Bethel Amerika Syarikat dari jam 6:45 petang ke jam 6:15 petang. Mengapakah masa perjumpaan dipindahkan lebih awal? Agar keluarga Bethel berasa lebih mudah untuk menjemput satu sama lain untuk bergaul selepas perjumpaan itu. Cawangan lain pun mengikut aturan itu. Hasilnya, hubungan keluarga Bethel bertambah rapat.

7, 8. Bagaimanakah kita dapat menyambut penceramah undangan di sidang kita?

7 Semasa dilawat oleh penceramah undangan, penyelia litar, atau wakil pejabat cawangan, kita berpeluang untuk menyambut mereka dengan ramah. (Baca 3 Yohanes 5-8.) Dapatkah anda membantu menyediakan makanan atau jamuan ringan untuk mereka?

8 Seorang saudari di Amerika Syarikat berkata, “Saya dan suami ada banyak peluang untuk jemput penceramah dan isteri mereka ke rumah kami. Setiap kali kami berbuat demikian, kami sangat menikmatinya dan dibina secara rohani. Kami tidak pernah menyesal.”

9, 10. (a) Siapakah yang mungkin menjadi tetamu jangka masa panjang kita? (b) Jika rumah kita sederhana, dapatkah kita menghulurkan bantuan? Jelaskan.

9 Tetamu jangka masa panjang: Pada zaman dahulu, penginapan biasanya disediakan untuk tetamu. (Ayb. 31:32; Flm. 22) Keperluan yang sama wujud hari ini. Contohnya, penyelia litar sering memerlukan penginapan semasa melawat sidang-sidang. Begitu juga dengan pelajar daripada sekolah Bible dan pembantu pembinaan. Sesetengah mangsa bencana alam juga memerlukan tempat tinggal sementara rumah mereka dibaiki. Janganlah menganggap bahawa hanya mereka yang ada rumah besar dapat membantu; mereka mungkin sudah menghulurkan bantuan banyak kali. Biarpun rumah anda sederhana, dapatkah anda menawarkan penginapan?

10 Seorang saudara di Korea Selatan yang menawarkan tempat tinggal kepada pelajar sekolah Bible menulis, “Pada mulanya saya teragak-agak kerana kami baru berkahwin dan tinggal dalam rumah kecil. Tapi kami sangat gembira semasa mereka tinggal bersama kami. Sebagai pasangan baharu, kami dapat lihat betapa gembiranya suami isteri yang menyembah Yehuwa dan mengejar matlamat rohani bersama-sama.”

11. Mengapakah mereka yang baru berpindah perlu disambut dengan ramah?

11 Mereka yang baru berpindah: Ada saudara saudari atau keluarga yang mungkin berpindah ke kawasan anda. Ada yang mungkin datang untuk membantu, dan ada yang merupakan perintis yang ditugaskan ke sidang anda. Setelah berpindah, mereka perlu membuat perubahan untuk membiasakan diri dengan masyarakat, sidang, bahasa, atau budaya baharu. Jika kita mengajak mereka untuk makan, bergaul, atau pergi jalan-jalan, mereka akan mendapat sahabat baharu dan lebih mudah menyesuaikan diri.

12. Pengalaman apakah yang menunjukkan bahawa kita tidak perlu menghidangkan banyak makanan untuk menyambut orang?

12 Anda tidak perlu mengadakan jamuan besar untuk menyambut tetamu. (Baca Lukas 10:41, 42.) Seorang saudara mengisahkan apa yang berlaku semasa dia dan isterinya mula berkhidmat sebagai mubaligh, “Kami masih muda, tidak berpengalaman, dan rindu kampung halaman. Pada suatu malam, isteri saya sangat rindu kampungnya, dan pujukan saya pun tidak berapa berkesan. Sekitar 7:30 malam, ada orang ketuk pintu. Rupa-rupanya seorang pelajar Bible membawa tiga biji oren untuk mengalu-alukan kami. Kami jemputnya masuk, berinya segelas air, dan kemudian membuat teh dan minuman coklat. Kami belum belajar bahasa Swahili, dan dia tidak tahu bahasa Inggeris, tetapi sejak itu kami berasa lebih sukacita dan mula menjalin persahabatan dengan saudara saudari tempatan.”

MENGATASI HALANGAN

13. Apakah manfaat yang diraih apabila kita suka menyambut tetamu?

13 Pernahkah anda teragak-agak untuk menyambut tetamu? Jika ya, anda mungkin terlepas peluang untuk menikmati masa riang dan menjalin persahabatan yang kekal. Sikap suka menyambut orang ialah salah satu penawar yang terbaik untuk rasa sunyi. Namun, apakah beberapa hal yang mungkin menghalang orang daripada menunjukkan sikap itu?

14. Apakah yang dapat kita buat jika kita tidak cukup masa atau tenaga untuk menyambut orang atau disambut sebagai tetamu?

14 Masa dan tenaga: Hamba-hamba Yehuwa sangat sibuk dan ada banyak tugas. Maka ada yang mungkin rasa mereka tiada masa atau tenaga untuk menyambut orang lain. Jika itulah situasi anda, cuba periksa jadual hidup anda. Dapatkah anda membuat sedikit perubahan agar anda ada masa dan tenaga untuk menyambut orang atau disambut sebagai tetamu? Bible menggesa kita untuk suka menyambut tetamu. (Ibr. 13:2) Tiada salahnya meluangkan masa untuk kegiatan sebegini; sebenarnya itulah yang patut kita lakukan. Namun, untuk berbuat demikian, anda mungkin perlu mengurangkan aktiviti yang tidak penting.

15. Mengapakah sesetengah orang teragak-agak menyambut tetamu ke rumah?

15 Perasaan anda terhadap diri sendiri: Adakah anda ingin menyambut tetamu tetapi berasa bahawa anda tidak dapat melakukannya? Sesetengah orang pemalu dan takut tetamu mereka akan berasa bosan. Ada pula yang tidak kaya dan berasa bahawa mereka tidak mampu bermurah hati seperti ahli sidang yang lain. Namun, ingatlah bahawa rumah anda tidak perlu mewah. Jika anda ramah dan jika rumah anda kemas dan bersih, tetamu anda akan berasa selesa.

16, 17. Apakah yang dapat dilakukan jika anda risau semasa menyambut tetamu?

16 Jika anda berasa risau semasa menyambut tetamu, anda tidak bersendirian. Seorang penatua di Britain mengaku, “Menyambut tetamu sama seperti berkhidmat untuk Yehuwa. Kita mungkin agak risau pada mulanya, tetapi manfaat dan kepuasan yang diraih sangat berbaloi. Bagi saya, duduk dan minum kopi sambil bersembang pun sangat menyenangkan.” Semasa berbual, jangan lupa mengambil berat terhadap tetamu kita. (Flp. 2:4) Hampir semua orang suka kongsi pengalaman hidup mereka. Masa yang terbaik untuk mendengar pengalaman sebegitu adalah semasa kita berkumpul bersama. Seorang penatua menulis, “Apabila kawan dari sidang datang ke rumah saya, saya ada masa untuk lebih mengenali dan memahami mereka, terutamanya cara mereka belajar kebenaran.” Sesungguhnya, kasih dan keprihatinan kita dapat menyumbang kepada masa yang riang.

17 Seorang saudari perintis yang menawarkan penginapan kepada pelajar sekolah Bible mengaku, “Pada mulanya saya kurang selesa kerana tempat tinggal saya sederhana dan ada perabot terpakai. Tapi isteri seorang pengajar beritahu saya bahawa semasa dia dan suaminya buat kerja lawatan, mereka paling suka tinggal bersama orang yang berfikiran rohani. Orang itu mungkin tidak kaya, tetapi ada fokus yang sama dengan mereka, iaitu menyembah Yehuwa dan hidup sederhana. Saya teringat kata-kata Mak semasa saya kecil, ‘Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih.’” (Ams. 15:17) Jika anda menyambut tetamu kerana didorong kasih, anda tidak perlu risau.

18, 19. Bagaimanakah sikap suka menyambut orang dapat membantu kita mengatasi perasaan negatif terhadap orang lain?

18 Perasaan anda terhadap orang lain: Adakah sesiapa di sidang yang membuat anda geram? Anda mungkin teragak-agak untuk menyambut seseorang ke rumah kerana perangainya atau kerana anda tidak dapat lupa bahawa dia pernah melukai anda. Jika anda tidak melakukan sesuatu, perasaan negatif anda terhadapnya akan berterusan.

19 Bible menyatakan bahawa sikap suka menyambut tetamu dapat merapatkan hubungan kita dengan orang, bahkan dengan musuh. (Baca Amsal 25:21, 22.) Dengan menyambut seseorang ke rumah, kita dapat meleraikan ketegangan, mengurangkan prasangka, dan melihat sifat baik tetamu kita, yang juga dihargai Yehuwa semasa Dia memimpinnya kepada kebenaran. (Yoh. 6:44) Jika kasih mendorong kita untuk menghulurkan jemputan kepada seseorang yang tidak begitu rapat dengan kita, persahabatan yang baik mungkin akan terjalin. Jadi bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa jemputan kita didorong oleh kasih? Filipi 2:3 menasihati kita, “Dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.” Maka, fikirkan dalam aspek apa saudara atau saudari kita lebih baik daripada diri kita, seperti iman, ketabahan, keberanian, atau sifat lain. Dengan itu, kasih kita terhadap mereka akan bertambah, dan kita akan berasa lebih senang untuk menunjukkan keramahan.

JADILAH TETAMU YANG BAIK

Tuan rumah biasanya membuat persiapan yang rapi untuk menyambut tetamu (Lihat perenggan 20)

20. Mengapakah kita harus menepati janji semasa diberi jemputan? Bagaimana kita dapat melakukannya?

20 Daud menanya, “Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu?” (Mzm. 15:1) Selepas itu, dia menyebut beberapa sifat yang harus dimiliki tetamu Yehuwa, termasuk ‘sentiasa menepati janji, meskipun hal itu merugikan.’ (Mzm. 15:4) Jika kita sudah berjanji, janganlah membatalkannya dengan sesuka hati. Jika tidak, sia-sialah semua persiapan tuan rumah kita. (Mat. 5:37) Sesetengah orang membatalkan janji mereka kerana mendapat jemputan yang “lebih baik.” Adakah perbuatan sebegini menunjukkan kasih dan hormat? Tidak. Maka, terimalah dan hargailah apa sahaja yang dihidangkan tuan rumah kita. (Luk. 10:7) Jika kita terpaksa membatalkan janji temu, beritahulah tuan rumah kita seawal yang mungkin.

21. Sebagai tetamu, bagaimanakah kita dapat menghormati budaya tempatan?

21 Sebagai tetamu, kita perlu menghormati budaya tempatan. Ada yang mengalu-alukan tetamu yang tidak dijangka, manakala yang lain ingin dimaklumkan terlebih dahulu. Di sesetengah negara, hidangan terbaik dikhaskan untuk tetamu, manakala di tempat lain, semua orang akan menikmati hidangan bersama-sama. Di sesetengah kawasan, tetamu biasanya membawa hidangan tertentu, manakala di tempat lain, tuan rumah akan memberitahu tetamu agar tidak membawa apa-apa. Dalam budaya tertentu, tetamu perlu menolak jemputan kali pertama atau kedua dengan sopan, tetapi dalam budaya lain, menolak jemputan ialah perbuatan yang tidak sopan. Marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menggembirakan tuan rumah kita.

22. Mengapakah sikap “suka menyambut orang” begitu penting?

22 “Akhir segala sesuatu sudah dekat.” (1 Ptr. 4:7) Tidak lama lagi, kita akan menghadapi kesengsaraan terbesar yang belum pernah berlaku di bumi. Apabila tekanan hidup kian bertambah, kita perlu memperdalam kasih kita untuk saudara saudari. Itulah sebabnya nasihat Petrus untuk “suka menyambut orang” amat penting hari ini. (1 Ptr. 4:9) Semoga kita terus menunjukkan sikap terpuji ini, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.