Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ibu Bapa, Adakah Anda Membantu Anak Anda untuk Dibaptis?

Ibu Bapa, Adakah Anda Membantu Anak Anda untuk Dibaptis?

“Janganlah berlengah lagi. Bangunlah, dan hendaklah kamu dibaptis.”​—KIS. 22:16.

LAGU: 51, 135

1. Apakah yang ingin dipastikan oleh ibu bapa Kristian sebelum anak mereka dibaptis?

“SELAMA berbulan-bulan saya asyik beritahu Mak dan Ayah bahawa saya mahu dibaptis. Mereka sering bercakap kepada saya tentang hal itu kerana ingin memastikan bahawa saya sedar betapa seriusnya keputusan itu. Pada 31 Disember 1934, tibalah detik bersejarah dalam hidup saya.” Demikianlah cerita Blossom Brandt tentang apa yang berlaku sebelum dia dibaptis. Ibu bapa Kristian hari ini juga ingin membantu anak-anak mereka membuat keputusan yang bijak. Menangguhkan pembaptisan anak tanpa sebab yang baik boleh menyebabkan masalah rohani. (Yak. 4:17) Namun, ibu bapa juga ingin memastikan bahawa anak-anak mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai pengikut Kristus sebelum dibaptis.

2. (a) Mengapakah sesetengah penyelia litar berasa risau? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Sesetengah penyelia litar berasa risau kerana ada sebilangan anak Saksi yang sudah berusia sekitar 20 tahun tetapi belum dibaptis. Kebanyakan anak-anak itu menghadiri perjumpaan, menginjil, dan menganggap diri mereka Saksi-Saksi Yehuwa. Jadi mengapakah mereka belum membaktikan diri dan dibaptis? Ada yang tidak dibaptis kerana ibu bapa mereka menggalakkan mereka untuk menunggu. Dalam rencana ini, kita akan bincang empat perkara yang menghalang sesetengah ibu bapa Kristian daripada membantu anak mereka untuk dibaptis.

SUDAHKAH ANAK SAYA CUKUP BESAR?

3. Apakah yang difikirkan oleh ibu bapa Blossom?

3 Ibu bapa Blossom, yang disebut di perenggan pertama, tidak pasti sama ada anak perempuan mereka sudah cukup besar atau tidak untuk memahami betapa penting dan seriusnya langkah pembaptisan. Bagaimanakah ibu bapa dapat mengetahui jika anak mereka sudah bersedia untuk membaktikan diri?

4. Bagaimanakah perintah Yesus di Matius 28:19, 20 dapat membantu ibu bapa semasa mereka mengajar anak?

4 Baca Matius 28:19, 20. Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, Bible tidak menetapkan umur untuk dibaptis. Namun, ibu bapa dapat merenungkan maksud ungkapan ‘menjadikan seseorang pengikut Yesus.’ Perkataan Yunani untuk ungkapan itu membawa maksud mengajar dengan niat untuk menjadikan seseorang anak murid. Seorang murid Yesus perlu mempelajari dan memahami ajaran Yesus serta bertekad untuk mematuhinya. Maka semua ibu bapa Kristian harus berusaha mengajar anak mereka sejak bayi lagi supaya anak mereka menjadi pengikut Kristus yang terbaptis. Memang benar, bayi tidak layak dibaptis, tetapi catatan Bible menunjukkan bahawa kanak-kanak pun dapat memahami dan menghargai kebenaran Bible.

5, 6. (a) Berdasarkan catatan Bible mengenai Timotius, apakah yang dapat kita simpulkan tentang pembaptisannya? (b) Apakah cara yang terbaik untuk membantu anak kita?

Timotius memilih untuk menyembah Yehuwa semasa dia masih muda. Rasul Paulus kata dia mempelajari Firman Tuhan “sejak bayi lagi.” Meskipun bapa Timotius bukan penyembah Yehuwa, ibu dan nenek Timotius, yang merupakan orang Yahudi, telah membantunya memupuk cinta akan Ayat-Ayat Suci. Hasilnya iman Timotius menjadi sangat kukuh. (2 Tim. 1:5; 3:14, 15) Ketika berusia sekitar 20 tahun, Timotius sudah menjadi pengikut Kristus yang layak memikul tanggungjawab istimewa dalam sidang.​—Kis. 16:1-3.

6 Sudah pasti, setiap anak berbeza dan menjadi matang pada masa yang berbeza. Ada yang sudah agak matang dari segi fikiran dan emosi semasa mereka kecil lalu ingin dibaptis. Yang lain pula perlu tunggu beberapa tahun lagi sebelum bersedia untuk dibaptis. Oleh itu, ibu bapa yang bijak tidak akan mendesak anak mereka untuk dibaptis. Sebaliknya, mereka akan membantu setiap anak membuat kemajuan rohani menurut kemampuan masing-masing. Sebagai ibu bapa, anda pasti bersukacita apabila anak anda bertindak menurut nasihat di Amsal 27:11. (Baca.) Namun, jangan sekali-kali lupa akan matlamat anda: Membantu anak anda menjadi murid Kristus. Sekarang, marilah kita membincangkan soalan ini: “Sudahkah anak saya memiliki pengetahuan yang cukup untuk membaktikan diri dan dibaptis?”

ADAKAH ANAK SAYA MEMILIKI PENGETAHUAN YANG SECUKUPNYA?

7. Perlukah seseorang mengetahui segala butiran tentang kebenaran sebelum dibaptis? Jelaskan.

7 Sebagai guru dalam keluarga, ibu bapa perlu membantu anak menimba pengetahuan yang secukupnya, kerana itulah yang akan mendorong mereka untuk membaktikan diri kepada Tuhan. Namun, mereka tidak perlu mengetahui segala butiran tentang kebenaran sebelum mengambil langkah itu. Selepas dibaptis, semua murid Yesus masih perlu berusaha untuk menambahkan pengetahuan mereka. (Baca Kolose 1:9, 10.) Jadi, seberapa banyakkah pengetahuan yang diperlukan sebelum dibaptis?

8, 9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Paulus dan penjaga penjara itu?

8 Mari kita lihat pengalaman sebuah keluarga dari abad pertama. (Kis. 16:25-33) Sekitar tahun 50 M, Paulus melawat ke Filipi semasa perjalanannya yang kedua. Di situ, dia dan Silas ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan palsu. Pada waktu malam, gempa bumi yang dahsyat berlaku, lalu semua pintu penjara terbuka. Penjaga penjara ingin membunuh diri kerana sangka bahawa semua tahanan sudah melarikan diri. Tetapi Paulus telah menghalangnya. Kemudian Paulus dan Silas memberikan kesaksian kepada penjaga itu dan keluarganya. Mereka begitu menghargai kebenaran tentang Yesus sehingga mereka dibaptis tanpa berlengah-lengah. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini?

9 Penjaga penjara itu mungkin seorang askar Roma yang sudah bersara. Memandangkan dia belum mengenal Firman Tuhan, dia perlu mempelajari kebenaran yang asas, memahami apa yang dikehendaki oleh Tuhan, dan bertekad untuk mematuhi ajaran Yesus. Dalam masa yang singkat, dia telah menimba pengetahuan yang asas tentang Bible dan terdorong untuk dibaptis. Sudah pasti, dia terus menambahkan pengetahuannya selepas itu. Setelah meneliti contoh tadi, apakah yang dapat anda lakukan apabila anak anda berkata bahawa dia menghargai ajaran asas Bible, mengasihi Yehuwa, dan ingin dibaptis? Anda boleh memintanya berjumpa dengan para penatua supaya mereka dapat menentukan sama ada dia layak dibaptis atau tidak. * Seperti penyiar terbaptis lain, dia perlu terus menimba pengetahuan tentang tujuan Yehuwa seumur hidupnya, bahkan untuk selama-lamanya.​—Rm. 11:33, 34.

ADAKAH PENDIDIKAN ANAK SAYA AKAN MEMBAWA KEJAYAAN?

10, 11. (a) Apakah yang difikirkan oleh sesetengah ibu bapa? (b) Apakah seharusnya keutamaan ibu bapa?

10 Sesetengah ibu bapa fikir bahawa lebih baik anak mereka menangguhkan pembaptisan supaya dapat melanjutkan pelajaran dan mendapat kerja yang stabil terlebih dahulu. Mereka mungkin berniat baik, tetapi adakah rancangan sebegini akan membawa kejayaan sejati? Lebih penting lagi, adakah fikiran sedemikian selaras dengan ajaran Bible? Apakah yang disarankan dalam Firman Yehuwa?​—Baca Pengkhutbah 12:1.

11 Ingatlah bahawa dunia ini dan segala di dunia ini berlawanan dengan kehendak dan fikiran Yehuwa. (Yak. 4:7, 8; 1 Yoh. 2:15-17; 5:19) Hubungan yang erat dengan Yehuwa merupakan pertahanan yang terbaik daripada Syaitan, dunia ini, dan fikiran buruk dunia ini. Oleh itu, jika ibu bapa sangat mementingkan pendidikan dan kerjaya dunia, keutamaan anak mungkin akan tunggang-terbalik dan hubungannya dengan Tuhan akan terjejas. Sebagai ibu bapa yang penyayang, mahukah anda membiarkan dunia ini mengajar anak anda maksud kejayaan? Hanya ada satu cara untuk mendapat kejayaan dan kebahagiaan sejati, iaitu dengan mengutamakan Yehuwa dalam hidup kita.​—Baca Mazmur 1:2, 3.

BAGAIMANA JIKA ANAK SAYA BERDOSA?

12. Mengapakah sesetengah ibu bapa ingin anak mereka menangguhkan pembaptisan?

12 Seorang ibu Kristian yang tidak ingin anak perempuannya dibaptis menjelaskan, “Saya malu untuk berkata bahawa sebab utamanya adalah kerana aturan penyingkiran.” Seperti saudari itu, ada ibu bapa yang berpendapat bahawa anak mereka harus tunggu sehingga dia cukup dewasa dan bebas daripada perangai kebudak-budakan. (Kej. 8:21; Ams. 22:15) Mereka mungkin berfikir, “Selagi anak saya belum dibaptis, dia tidak akan disingkirkan.” Mengapakah fikiran sebegini salah?​—Yak. 1:22.

13. Adakah seseorang yang belum dibaptis perlu bertanggungjawab kepada Yehuwa? Jelaskan.

13 Memang benar, ibu bapa Kristian tidak mahu anak mereka dibaptis jika anak mereka belum cukup matang untuk membaktikan diri. Tetapi, seandainya mereka berfikir bahawa anak yang belum dibaptis tidak perlu bertanggungjawab kepada Yehuwa, mereka sudah tersilap. Mengapa? Tidak kira dibaptis atau tidak, seorang anak bertanggungjawab kepada Yehuwa apabila dia sudah tahu apa yang benar dan salah di sisi Tuhan. (Baca Yakobus 4:17.) Maka, daripada menyuruh anak mereka menunggu, ibu bapa yang bijak akan berusaha menjadi teladan yang baik. Mereka akan mendidik anak mereka sejak bayi lagi untuk mencintai piawaian Yehuwa yang luhur. (Luk. 6:40) Kasih anak anda untuk Yehuwa merupakan perlindungan yang terbaik, kerana kasih itu akan mendorongnya untuk berpegang pada haluan Yehuwa.​—Yes. 35:8.

ORANG LAIN DAPAT MEMBANTU

14. Bagaimanakah para penatua dapat menyokong usaha ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka?

14 Para penatua sidang dapat menyokong usaha ibu bapa dengan bercakap positif tentang matlamat rohani. Seorang saudari yang telah merintis lebih daripada 70 tahun masih ingat perbualannya dengan Saudara Charles T. Russell semasa dia berumur enam tahun. Saudari itu berkata, “Dia meluangkan 15 minit bersama saya untuk membincangkan matlamat rohani saya.” Ya, kata-kata yang positif dan menggalakkan dapat membawa kesan yang berpanjangan. (Ams. 25:11) Penatua juga dapat menjemput ibu bapa dan anak mereka untuk membantu dalam projek di Dewan Perjumpaan, dan memberi anak-anak muda tugas yang sesuai dengan usia dan kebolehan mereka.

15. Bagaimanakah ahli sidang dapat menggalakkan anak-anak muda?

15 Ahli sidang juga dapat membantu dengan mengambil berat tentang anak-anak muda. Carilah tanda bahawa mereka sedang maju secara rohani. Contohnya, adakah anak muda di sidang memberikan komen yang baik atau membuat tugasan semasa perjumpaan pertengahan minggu? Adakah dia berjaya mengatasi cubaan atau memberikan kesaksian di sekolah? Jika ya, cepatlah memujinya dengan ikhlas. Selain itu, tetapkanlah matlamat untuk bercakap kepada seorang anak muda sebelum atau selepas perjumpaan. Apabila kita menunjukkan keprihatinan dalam pelbagai cara, anak-anak muda akan berasa bahawa mereka tergolong “dalam kalangan sidang yang besar.”​—Mzm. 35:18, nota kaki.

BANTU ANAK ANDA MAJU SEHINGGA DIBAPTIS

16, 17. (a) Apakah kaitan antara pembaptisan dengan masa depan seseorang? (b) Apakah sukacita yang dinantikan semua ibu bapa Kristian? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

16 Membesarkan anak menurut “disiplin dan nasihat daripada Yehuwa” merupakan antara penghormatan terbesar bagi ibu bapa Kristian. (Ef. 6:4; Mzm. 127:3) Pada zaman kuno, semua anak orang Israel dibaktikan kepada Tuhan sejak lahir lagi, tetapi itu bukan halnya bagi anak kepada ibu bapa Kristian. Tambahan pula, kasih untuk Yehuwa dan kebenaran tidak dapat diwarisi daripada ibu bapa. Oleh itu, mulai hari kelahiran anak mereka, ibu bapa harus bermatlamat untuk menjadikan anak itu murid Yesus dan membantunya membaktikan diri kepada Tuhan lalu dibaptis. Itulah usaha yang terpenting, kerana seseorang mesti membaktikan diri, dibaptis, dan menyembah Tuhan dengan setia, barulah dia berpeluang untuk diselamatkan semasa kesengsaraan besar.​—Mat. 24:13.

Ibu bapa patut bermatlamat untuk membantu anak menjadi murid Yesus (Lihat perenggan 16, 17)

17 Semasa Blossom Brandt mahu dibaptis, ibu bapanya ingin memastikan bahawa dia sudah bersedia untuk mengambil langkah yang penting itu. Apabila mereka sudah memastikan hal itu, mereka menyokong keputusannya. Blossom menceritakan apa yang dilakukan bapanya pada malam sebelum dia dibaptis, “Dia suruh kami semua berlutut, lalu dia berdoa. Dia memberitahu Yehuwa bahawa dia sangat gembira kerana puteri kesayangannya sudah memutuskan untuk membaktikan diri kepada Tuhan.” Lebih daripada 60 tahun kemudian, Blossom berkata, “Saya tidak akan lupa malam itu untuk selama-lamanya!” Ibu bapa sekalian, semoga anda merasai sukacita dan kepuasan yang sama apabila anak anda membaktikan diri kepada Yehuwa lalu dibaptis.

^ per. 9 Ibu bapa dapat mengkaji bersama anak mereka maklumat dalam buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask​Answers That Work), Jilid 2, ms. 304-310. Lihat juga “Kotak Pertanyaan” dalam Kerja Teokratik Kita, April 2011, ms. 2.