Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Dalam lukisan Saksi-Saksi Yehuwa, mengapakah Rasul Paulus botak atau tidak mempunyai banyak rambut?

Sebenarnya, tiada orang dapat memastikan bagaimana rupa Paulus. Gambar Paulus dalam bahan bacaan kami ialah lukisan, dan tidak berdasarkan penemuan arkeologi yang sah.

Namun, terdapat sedikit maklumat tentang rupanya. Contohnya Zion’s Watch Tower terbitan 1 Mac 1902 menyatakan, “Mengenai rupa Paulus: . . . Dalam buku ‘Acts of Paul and Thecla,’ . . . yang ditulis sekitar tahun 150 M, terdapat gambaran tentang Paulus yang mungkin ialah maklumat terbaik yang dapat dipercayai. Paulus dikatakan ‘bersaiz kecil, botak, ada kaki yang berlengkung, badan yang berotot, bulu kening yang bersambung, dan hidung yang agak panjang.’”

Mengenai tulisan itu, The Oxford Dictionary of the Christian Church (Edisi 1997) menyatakan, “Catatan dalam buku ‘Acts’ mungkin mengandungi sejarah yang benar.” The Acts of Paul and Thecla dipandang tinggi dalam masyarakat dahulu, dan terdapat 80 naskhah buku ini dalam bahasa Yunani, dan ada juga versi dalam bahasa lain. Maka, lukisan dalam bahan bacaan kami dibuat berdasarkan gambaran kuno tentang rupa Rasul Paulus.

Namun, ada hal lain yang lebih penting daripada rupa Paulus. Semasa dia menginjil, sesetengah orang yang berfikiran duniawi mengatakan bahawa “dia lemah dan kata-katanya pun tidak bererti apa-apa.” (2 Kor. 10:10) Sungguhpun begitu, Paulus menjadi orang Kristian kerana menerima kesaksian yang menakjubkan daripada Yesus. Paulus juga dipilih oleh Yesus ‘untuk memberitakan namanya kepada bangsa-bangsa.’ (Kis. 9:3-5, 15; 22:6-8) Ingatlah juga bahawa Yehuwa telah mengilhaminya untuk menulis buku-buku Bible yang begitu bermanfaat bagi kita.

Paulus tidak membangga-banggakan pencapaiannya sebelum menjadi orang Kristian, dan dia tidak menggambarkan paras rupa sendiri. (Kis. 26:4, 5; Flp. 3:4-6) Dia mengaku, “Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul.” (1 Kor. 15:9) Dia juga menulis, “Aku lebih kecil daripada orang yang paling berkedudukan rendah dalam kalangan semua umat suci. Namun kebaikan hati Tuhan yang unggul diberikan kepadaku, agar aku mengisytiharkan berita baik.” (Ef. 3:8) Sesungguhnya, berita itu jauh lebih penting daripada tanggapan orang tentang rupa sebenar Paulus.