Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Yehuwa Tidak Pernah Mengecewakan Saya!

Yehuwa Tidak Pernah Mengecewakan Saya!

Saya dan tiga budak perempuan lain dipilih untuk beri bunga kepada Adolf Hitler selepas dia memberikan ceramah. Mengapakah saya dipilih? Ayah sangat aktif dalam parti Nazi dan merupakan pemandu kepada ketua parti cawangan tempatan. Mak pula kuat berpegang pada agama Katolik dan mahu saya menjadi biarawati. Tetapi akhirnya saya tidak menyertai kedua-duanya. Biar saya jelaskan.

SAYA dibesarkan di Graz, Austria. Semasa berumur tujuh tahun, saya dihantar ke sekolah agama. Di situ, saya terkejut melihat perbuatan tidak bermoral antara paderi dan biarawati. Jadi tidak sampai setahun kemudian, Mak membenarkan saya pulang.

Keluarga kami dengan Ayah yang berpakaian tentera

Selepas itu, saya masuk sekolah asrama. Suatu malam, Ayah datang membawa saya ke pekan Schladming untuk berlindung kerana Graz sedang dibedil bom. Sebaik sahaja kami menyeberangi sebuah jambatan, jambatan itu diletupkan. Pernah sekali, semasa saya dan nenek berada di halaman rumah, kapal terbang mula menembak ke arah kami. Apabila perang berakhir, nampaknya gereja dan kerajaan telah mengecewakan kami.

BELAJAR TENTANG BANTUAN YANG DAPAT DIHARAPKAN

Pada tahun 1950, Mak mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya akan mendengar perbincangan mereka dan ikut Mak ke sesetengah perjumpaan. Mak yakin bahawa inilah kebenaran, lalu dibaptis pada tahun 1952.

Ketika itu, saya rasa sidang seperti kelab bagi wanita tua. Tetapi kemudian kami berpeluang lawat sidang yang ada banyak kaum muda. Sekembalinya ke Graz, saya menghadiri semua perjumpaan dan diyakinkan bahawa saya sedang belajar kebenaran. Saya juga belajar bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang sentiasa menyokong hamba-hamba-Nya, bahkan semasa kita rasa bahawa kita sedang menghadapi kesusahan yang besar seorang diri.​—Mzm. 3:5, 6.

Saya mahu kongsi kebenaran dengan orang lain. Jadi saya mula dengan adik-beradik saya. Ketika itu, empat orang kakak saya sudah pindah ke kampung yang berlainan untuk bekerja sebagai cikgu. Saya melawat mereka dan menggalakkan mereka untuk belajar Bible. Akhirnya, semua adik-beradik saya menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.

Pada minggu kedua saya menginjil dari rumah ke rumah, saya jumpa seorang wanita berusia 30-an dan mula belajar Bible dengannya. Dia, suaminya, dan dua orang anak lelakinya, telah membuat kemajuan sehingga dibaptis. Pembelajaran itu sangat menguatkan iman saya. Mengapa? Tiada orang pernah ajar saya Bible, jadi saya perlu buat persiapan yang teliti untuk setiap pelajaran. Ya, saya perlu mengajar diri sendiri terlebih dahulu sebelum dapat mengajar orang lain. Hasilnya, saya lebih memahami kebenaran. Pada April 1954, saya telah dibaptis.

‘DIANIAYA TETAPI TIDAK DIABAIKAN’

Pada tahun 1955, saya telah menghadiri konvensyen antarabangsa di Perancis, Jerman, dan England. Semasa di London, saya berjumpa dengan Albert Schroeder, seorang pengajar di Sekolah Gilead yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan. Semasa kami melawat Muzium Britain, Saudara Schroeder menunjukkan beberapa manuskrip Bible yang mempunyai nama Tuhan dalam bahasa Ibrani, dan dia menjelaskan pentingnya naskhah-naskhah itu. Hal itu menyemarakkan cinta saya untuk Yehuwa dan kebenaran, dan tekad saya untuk menyebarkan kebenaran Firman Tuhan pun menjadi semakin kuat.

Bersama rakan saya (kanan) semasa kami menjadi perintis khas di Mistelbach, Austria

Saya mula merintis sepenuh masa pada 1 Januari 1956. Empat bulan kemudian, saya dilantik sebagai perintis khas di Mistelbach, sebuah pekan di Austria yang tiada Saksi. Apakah cabaran yang saya hadapi? Rakan perintis saya dan saya agak berbeza. Saya gadis bandar yang hampir berusia 19 tahun, manakala dia gadis kampung yang berusia 25 tahun. Saya suka tidur lewat dan bangun lambat, tetapi dia suka tidur awal dan bangun awal. Meskipun begitu, kami menerapkan nasihat Bible dan dapat berganding bahu untuk menjayakan tugasan kami.

Sebenarnya, saya dan rakan saya ada cabaran yang lebih besar. Kami pernah dianiaya, tetapi “tidak diabaikan.” (2 Kor. 4:7-9) Pernah sekali semasa menginjil di kampung, orang di situ melepaskan anjing mereka. Kami berdua dikelilingi anjing besar yang menyalak sambil menunjukkan taring. Kami berpegangan tangan, dan saya berdoa, “Yehuwa, kalau kami diserang, biarlah kami mati dengan cepat!” Tetapi apabila semua anjing itu hampir mendekati kami, semuanya tiba-tiba berhenti, menggoyang ekor, dan beredar. Kami rasa Yehuwa telah melindungi kami. Selepas itu, kami menginjil di seluruh kampung itu dan sambutannya sangat baik. Mungkin penduduk di situ hairan kerana kami tidak dicederakan anjing atau kerana kami masih menginjil selepas pengalaman yang menakutkan itu. Ada antara mereka yang kemudiannya menjadi Saksi.

Ada satu lagi pengalaman yang menakutkan. Suatu hari, tuan rumah kami mabuk dan mendakwa kami membuat kacau di kawasan sekeliling dan mengugut mahu bunuh kami. Isterinya cuba menenangkannya tetapi tidak berjaya. Apabila kami dengar kekecohan itu dari tingkat atas, kami cepat-cepat menahan pintu bilik dengan kerusi dan mula mengemaskan bagasi. Semasa kami buka pintu, tuan rumah itu sedang berdiri di tangga sambil memegang sebilah pisau besar. Kami cabut lari melalui pintu belakang dengan semua barang kami dan tidak pulang sejak itu.

Selepas itu kami menyewa bilik di hotel. Kami tinggal di situ hampir setahun, dan perubahan itu membawa manfaat untuk kerja kami. Mengapa? Hotel itu terletak di tengah pekan, dan ada pelajar Bible kami yang ingin belajar di hotel. Tidak lama kemudian, kami mengadakan pembelajaran buku dan majalah di bilik kami bersama sekitar 15 orang hadirin.

Selepas berkhidmat lebih daripada setahun di Mistelbach, saya ditugaskan ke Feldbach, sebuah pekan di tenggara Graz yang tiada sidang. Saya dan rakan baharu saya tinggal di dalam bilik kecil di tingkat atas sebuah pondok kayu balak. Semasa angin bertiup melalui celah balak, bunyi siulan kedengaran, jadi kami menyumbat celah-celah itu dengan surat khabar. Kami juga perlu mengambil air dari perigi. Tetapi kesusahan itu amat berbaloi. Dalam beberapa bulan, sebuah kumpulan ditubuhkan, dan akhirnya, kira-kira 30 orang daripada sebuah keluarga yang kami ajar telah menerima kebenaran!

Pengalaman sedemikian membuat saya amat bersyukur atas sokongan Yehuwa. Dia tidak pernah mengecewakan orang yang mengutamakan Kerajaan-Nya. Ada kalanya manusia tidak dapat bantu kita, tetapi Yehuwa selalu berada di sisi kita.​—Mzm. 121:1-3.

DISOKONG OLEH ‘TANGAN KANAN TUHAN YANG MENEGAKKAN KEADILAN’

Pada tahun 1958, saya memohon untuk menghadiri konvensyen antarabangsa di Stadium Yankee dan Polo Grounds, Bandar Raya New York. Cawangan Austria menanya saya sama ada saya berminat untuk menyertai kelas Gilead yang ke-32. Mustahil saya menolak jemputan itu, maka saya segera menjawab, “Ya!”

Semasa kelas Gilead, saya duduk di sebelah Martin Poetzinger yang kemudiannya menjadi ahli Badan Pimpinan. Dia pernah dianiaya dengan teruk di kem konsentrasi Nazi. Kadang-kadang, semasa di kelas, dia akan berbisik kepada saya, “Erika, apa maksudnya dalam bahasa Jerman?”

Pada pertengahan kursus, Nathan Knorr mengumumkan tugasan kami, dan saya dihantar ke Paraguay. Oleh sebab saya terlalu muda, saya perlu mendapat izin Ayah untuk memasuki negara itu. Selepas mendapat kebenarannya, saya tiba di Paraguay pada Mac 1959 dan tinggal di dalam rumah mubaligh di Asunción bersama rakan baharu saya.

Tidak lama selepas itu, saya mengenali Walter Bright, seorang mubaligh dari kelas ke-30, dan berkahwin dengannya. Setiap kali kami menghadapi cabaran atau masalah, kami akan membaca janji Yehuwa di Yesaya 41:10, “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu.” Kata-kata itu meyakinkan kami bahawa selagi kami berusaha untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dan tetap setia kepada-Nya, Tuhan tidak akan mengecewakan kami.

Semasa kami berkhidmat berdekatan sempadan Brazil, pihak gereja menghasut orang muda untuk membaling batu ke arah rumah mubaligh kami, yang sudah agak buruk keadaannya. Kemudian, ketua polis mula belajar Bible dengan Walter, dan dia menyuruh pegawainya berdiri berhampiran rumah kami untuk seminggu. Sejak itu, kami tidak diganggu lagi. Tidak lama kemudian, kami diberi kediaman yang lebih baik di seberang sempadan, di Brazil. Dengan itu, kami dapat mengadakan perjumpaan di Paraguay dan di Brazil. Semasa kami meninggalkan kawasan itu, terdapat dua sidang kecil di situ.

Bersama suami saya Walter semasa berkhidmat sebagai mubaligh di Asunción, Paraguay

YEHUWA TERUS MENYOKONG SAYA

Dahulu doktor memberitahu saya bahawa saya mandul, tetapi pada tahun 1962, saya diberitahu bahawa saya mengandung! Kami telah menetap di Hollywood, Florida, berdekatan keluarga Walter. Untuk beberapa tahun, saya dan Walter perlu menjaga keluarga dan tidak dapat merintis. Meskipun begitu, kami tetap mengutamakan Kerajaan Tuhan.​—Mat. 6:33.

Semasa kami tiba di Florida pada November 1962, kami terkejut kerana pandangan orang tempatan telah menyebabkan saudara saudari berkulit hitam dan berkulit putih mengadakan perjumpaan secara berasingan dan menginjil di kawasan yang berbeza. Tetapi Yehuwa tidak membezakan orang mengikut kaum, jadi beberapa lama kemudian, sidang yang berbilang kaum mula terbentuk. Yehuwa telah memberkati aturan tersebut, dan kini kawasan itu ada banyak sidang.

Sedihnya, Walter, teman hidup saya selama 55 tahun, telah meninggal pada tahun 2015 akibat kanser otak. Dia mengasihi Yehuwa dan telah membantu ramai saudara saudari. Saya ingin melihatnya lagi apabila dia dibangkitkan dalam keadaan sihat.​—Kis. 24:15.

Saya bersyukur kerana dikurniai banyak berkat dan sukacita selama 40 tahun dalam khidmat sepenuh masa. Contohnya, saya dan Walter dapat menyaksikan pembaptisan 136 orang pelajar Bible kami. Sudah pasti kami pernah melalui kesusahan, tetapi bagi kami, semua itu bukan alasan untuk berhenti menyembah Tuhan kita yang setia. Kami menghampiri-Nya dan yakin bahawa Dia pasti membawa penyelesaian mengikut masa dan cara yang ditentukan-Nya, dan kami tidak pernah dikecewakan!​—2 Tim. 4:16, 17.

Saya sangat rindu Walter, tetapi kerja merintis membantu mengurangkan kesunyian saya. Saya mendapati bahawa mengajar orang lain tentang harapan pembangkitan sangat bermanfaat. Mengenang kembali hidup saya, Yehuwa memang tidak pernah mengecewakan saya. Seperti yang dijanjikan, Dia sentiasa menyokong saya, meneguhkan saya, dan memelihara saya dengan ‘tangan kanan-Nya yang menegakkan keadilan.’​—Yes. 41:10.