Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 12

Adakah Anda Melihat Apa yang Dilihat oleh Zakharia?

Adakah Anda Melihat Apa yang Dilihat oleh Zakharia?

“Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Semua perkara ini akan berlaku . . . dengan kuasa suci-Ku.’”​—ZA. 4:6.

LAGU 73 Berilah Kami Keberanian

PENGENALAN *

1. Mengapakah orang Yahudi di Babilon berasa sangat teruja?

 ORANG Yahudi berasa sangat teruja! Yehuwa baru sahaja “menggerakkan hati Raja Kores dari Persia” untuk membebaskan mereka. Akhirnya, selepas menjadi tawanan selama puluhan tahun di Babilon, mereka diberitahu bahawa mereka boleh pulang ke tanah air mereka dan ‘membina semula Rumah Yehuwa, Tuhan orang Israel.’ (Ezr. 1:1, 3) Pengumuman ini pasti membuat mereka sangat gembira kerana ibadat sejati akan dipulihkan di negeri yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka.

2. Tidak lama selepas orang Yahudi kembali ke Yerusalem, apakah yang berjaya dilakukan oleh mereka?

2 Pada tahun 537 SM, kumpulan pertama orang Yahudi tiba di Yerusalem, iaitu ibu kota kerajaan Yehuda. Mereka segera mula membina Rumah Tuhan, dan pada tahun 536 SM, asas Rumah Tuhan telah siap dibina!

3. Bagaimanakah orang Yahudi ditentang?

3 Namun, sebaik sahaja mereka mula membina bangunan Rumah Tuhan, mereka menghadapi tentangan yang sangat besar. Bangsa-bangsa di sekeliling mereka “terus menjatuhkan semangat orang Yahudi dan membuat mereka tawar hati, supaya pembinaan itu dihentikan.” (Ezr. 4:4) Masalah yang dihadapi oleh orang Yahudi menjadi lebih teruk lagi pada tahun 522 SM, semasa kerajaan Persia mendapat raja baharu, iaitu Raja Artahsasta. * Para penentang menganggap perubahan ini sebagai peluang untuk menghentikan kerja pembinaan Rumah Tuhan. Jadi, mereka “menimbulkan masalah dengan menggunakan undang-undang.” (Mzm. 94:20) Mereka melaporkan kepada Raja Artahsasta bahawa orang Yahudi ingin memberontak terhadapnya. (Ezr. 4:11-16) Raja itu mempercayai kata-kata mereka lalu memerintahkan agar orang Yahudi menghentikan kerja mereka. (Ezr. 4:17-23) Akibatnya, kerja pembinaan Rumah Tuhan tergendala.​—Ezr. 4:24.

4. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa semasa kerja pembinaan Rumah Tuhan ditentang? (Yesaya 55:11)

4 Bangsa-bangsa di sekeliling orang Yahudi yang tidak menyembah Yehuwa dan sesetengah pegawai kerajaan Persia bertekad untuk menghentikan kerja pembinaan Rumah Tuhan. Namun, Yehuwa ingin kerja itu disiapkan, dan tujuan-Nya pasti dilaksanakan. (Baca Yesaya 55:11.) Dia melantik seorang nabi yang berani, iaitu Zakharia, dan memberinya lapan penglihatan yang mendebarkan untuk dikongsikan dengan orang Yahudi. Lapan penglihatan itu akan menguatkan semangat mereka untuk terus melakukan kerja yang diberikan Yehuwa dan tidak perlu takut kepada musuh. Dalam penglihatannya yang kelima, Zakharia nampak sebuah kaki pelita dan dua batang pokok zaitun.

5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

5 Kita semua akan berasa tawar hati dari masa ke masa. Jadi, penglihatan Zakharia yang kelima dapat menggalakkan kita. Dengan memahami penglihatan itu, kita dapat dibantu untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia semasa kita menghadapi tentangan, semasa situasi kita berubah, dan semasa kita menerima arahan yang tidak kita faham.

SEMASA MENGHADAPI TENTANGAN

Dalam sebuah penglihatan, Zakharia nampak dua batang pokok zaitun menyalurkan minyak kepada tujuh buah pelita di bahagian atas kaki pelita (Lihat perenggan 6)

6. Bagaimanakah penglihatan tentang kaki pelita dan dua batang pokok zaitun yang dicatat di Zakharia 4:1-3 memberi orang Yahudi keberanian? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

6 Baca Zakharia 4:1-3. Bagaimanakah penglihatan tentang kaki pelita dan dua batang pokok zaitun memberi orang Yahudi keberanian? Adakah anda perhatikan bahawa kaki pelita itu mempunyai tujuh buah pelita yang menerima bekalan minyak tanpa henti? Dua batang pokok zaitun menyalurkan minyak kepada sebuah mangkuk besar, dan mangkuk besar itu menyalurkan minyak kepada setiap satu daripada tujuh buah pelita itu. Dengan itu, tujuh buah pelita itu dapat menyala tanpa henti-henti. Setelah mendapat penglihatan ini, Zakharia bertanya, “Apakah maksud benda-benda itu tuan?” Malaikat itu menjawab, “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Semua perkara ini akan berlaku bukan dengan kekuatan tentera ataupun kekuatan manusia, melainkan dengan kuasa suci-Ku.’” (Za. 4:4, 6) Minyak daripada pokok-pokok itu menggambarkan kuasa suci Yehuwa yang dapat disalurkan tanpa putus-putus. Kekuatan kerajaan Persia langsung tidak dapat menandingi kuasa suci Yehuwa. Dengan adanya sokongan Yehuwa, orang Yahudi yang membina Rumah Tuhan dapat mengatasi apa sahaja tentangan dan menyelesaikan kerja mereka. Mesej yang sangat menggalakkan, bukan? Orang Yahudi hanya perlu percaya kepada Yehuwa dan menyambung semula kerja mereka. Itulah yang dilakukan oleh mereka walaupun kerja pembinaan Rumah Tuhan masih ditentang.

7. Apakah perubahan yang membawa manfaat kepada orang Yahudi yang membina Rumah Tuhan?

7 Kemudian berlakunya satu perubahan yang membawa manfaat kepada orang Yahudi yang membina Rumah Tuhan. Seorang raja baharu, iaitu Darius I, mula memerintah Persia. Pada tahun kedua pemerintahannya, iaitu tahun 520 SM, dia mendapati bahawa kerja pembinaan Rumah Tuhan tidak sepatutnya dihentikan. Maka Darius memerintahkan agar orang Yahudi menyelesaikan kerja itu. (Ezr. 6:1-3) Perintah itu pasti mengejutkan semua orang! Namun, Darius bukan sahaja mengizinkan projek itu diteruskan, malah mengarahkan agar bangsa-bangsa lain berhenti menghalang projek itu dan memberikan wang dan apa sahaja yang diperlukan agar Rumah Tuhan siap dibina! (Ezr. 6:7-12) Hasilnya, orang Yahudi selesai membina Rumah Tuhan kira-kira empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 515 SM.​—Ezr. 6:15.

Bergantunglah pada kuasa Yehuwa semasa anda ditentang (Lihat perenggan 8)

8. Mengapakah anda tidak perlu takut semasa ditentang?

8 Hari ini, ramai daripada penyembah Yehuwa juga menghadapi tentangan. Sebagai contoh, di sesetengah negara, kegiatan kita disekat. Jadi, saudara saudari di situ mungkin ditangkap dan “dihadapkan kepada gabenor dan raja,” dan situasi ini mungkin membuka peluang bagi mereka untuk memberikan kesaksian. (Mat. 10:17, 18) Ada kalanya, situasi mereka mungkin berubah kerana perubahan dalam kerajaan, atau kerana hakim yang adil membuat keputusan yang memberi mereka lebih banyak kebebasan untuk beribadat. Di negara lain pula, sesetengah Saksi menghadapi tentangan yang berbeza. Walaupun ibadat mereka tidak diharamkan, tetapi mereka ditentang oleh ahli keluarga yang tidak seiman. (Mat. 10:32-36) Sering kali, ahli keluarga yang kuat menentang akhirnya berhenti menentang kerana sedar bahawa usaha mereka sia-sia sahaja. Ada antara mereka yang bahkan menjadi Saksi yang bersemangat. Jadi, apabila anda menghadapi tentangan, janganlah putus asa! Anda tidak perlu takut kerana Yehuwa akan menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu anda!

SEMASA MENGHADAPI PERUBAHAN

9. Mengapakah sesetengah orang Yahudi berasa sedih semasa asas bagi Rumah Tuhan yang baharu siap dibina?

9 Apabila asas bagi Rumah Tuhan yang baharu siap dibina, sesetengah orang Yahudi yang lebih tua menangis. (Ezr. 3:12) Mengapa? Mereka pernah melihat Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo, dan mereka berasa bahawa Rumah Tuhan yang dahulu “jauh lebih mulia” berbanding Rumah Tuhan yang sekarang. (Hag. 2:2, 3) Perbezaan itu membuat mereka berasa sangat sedih. Namun, penglihatan Zakharia dapat membantu mereka bersukacita semula. Bagaimana?

10. Bagaimanakah kata-kata malaikat di Zakharia 4:8-10 dapat membantu orang Yahudi untuk bersukacita semula?

10 Baca Zakharia 4:8-10. Apakah yang dimaksudkan oleh malaikat itu semasa dia berkata bahawa orang Yahudi “akan melihat tali unting yang dipegang [gabenor Yehuda] Zerubabel lalu bersukacita”? Tali unting ialah alat yang digunakan untuk mengukur atau memeriksa sama ada sesuatu benda tegak atau tidak. Jadi, kata-kata malaikat itu menunjukkan bahawa Rumah Tuhan yang baharu pasti siap dibina, dan semasa diperiksa, Rumah Tuhan itu akan memenuhi standard Yehuwa. Ya, biarpun Rumah Tuhan yang dahulu nampaknya lebih mulia, Yehuwa gembira untuk menerima Rumah Tuhan yang baharu ini. Oleh itu, umat-Nya harus bersukacita. Apa yang penting bagi Yehuwa ialah ibadat yang dijalankan di Rumah Tuhan haruslah mengikut standard-Nya. Jika orang Yahudi berfokus untuk beribadat dalam cara yang betul dan mendapat perkenan Yehuwa, mereka pasti bersukacita semula.

Pupuklah pandangan yang positif terhadap perubahan (Lihat perenggan 11-12) *

11. Apakah cabaran yang dihadapi oleh sesetengah daripada umat Yehuwa hari ini?

11 Ramai antara kita tidak suka perubahan. Namun, setelah lama menceburi bidang khidmat khas sepenuh masa yang tertentu, sesetengah saudara saudari telah menerima tugasan baharu. Yang lain pula perlu berhenti berkhidmat dalam tugasan mereka setelah mencapai usia tertentu. Perubahan sebegini biasanya membuat kita kecewa dan sedih. Kita mungkin tidak faham atau tidak setuju dengan keputusan yang dibuat. Kita mungkin berasa bahawa keadaan kita yang dahulu lebih bagus. Kita juga mungkin berasa tawar hati kerana berfikir bahawa kita tidak lagi berguna kepada Yehuwa seperti dahulu. (Ams. 24:10) Jadi, bagaimanakah penglihatan Zakharia dapat membantu kita untuk terus memberikan yang terbaik kepada Yehuwa?

12. Bagaimanakah penglihatan Zakharia dapat membantu kita jika kita berasa kecewa kerana perubahan dalam hidup kita?

12 Kita akan berasa lebih senang untuk menerima perubahan jika kita memiliki sudut pandangan Yehuwa. Dia sedang melakukan hal-hal yang menakjubkan sekarang, dan kita diberi penghormatan besar untuk menjadi rakan sekerja-Nya. (1 Kor. 3:9) Ingatlah bahawa tugasan kita mungkin berubah, tetapi kasih Yehuwa kepada kita tidak akan berubah. Jadi, jika terdapat perubahan dalam organisasi yang melibatkan anda, janganlah asyik berfikir mengapa perubahan itu berlaku atau bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik?” (Pkh. 7:10) Sebaliknya, berdoalah dan carilah manfaat yang diraih menerusi perubahan ini. Daripada memikirkan hal-hal yang tidak dapat anda lakukan lagi, fikirkanlah apa yang dapat anda lakukan sekarang. Ya, penglihatan Zakharia mengajar kita pentingnya bersikap positif. Sikap ini akan membantu kita tetap setia dan bersukacita bahkan semasa keadaan kita berubah.

SEMASA BERASA SUSAH UNTUK MENGIKUT ARAHAN

13. Mengapakah sesetengah orang Israel berasa bahawa keputusan untuk membina semula Rumah Tuhan tidak bijak?

13 Walaupun kerja membina semula Rumah Tuhan diharamkan, Imam Agung Yeshua (Yosua) dan Gabenor Zerubabel, iaitu orang yang dilantik untuk mengambil pimpinan, memutuskan untuk “meneruskan pembinaan Rumah Tuhan.” (Ezr. 5:1, 2) Sesetengah orang Yahudi mungkin berasa bahawa keputusan itu tidaklah bijak. Mereka berasa bahawa musuh pasti dapat melihat kerja pembinaan mereka dan menimbulkan bermacam-macam masalah untuk menghalang mereka. Jadi, Yosua dan Zerubabel perlu diyakinkan bahawa Yehuwa sedang menyokong mereka. Bagaimanakah mereka diyakinkan?

14. Bagaimanakah Zakharia 4:12, 14 meyakinkan Imam Agung Yosua dan Gabenor Zerubabel bahawa Yehuwa menyokong mereka?

14 Baca Zakharia 4:12, 14. Malaikat itu memberitahu Zakharia bahawa dua batang pokok zaitun itu “melambangkan dua orang yang diurapi,” iaitu Yosua dan Zerubabel. Malaikat itu berkata bahawa dua orang itu seolah-olah “berdiri di sisi Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi,” iaitu Yehuwa. Yosua dan Zerubabel sememangnya diberi penghormatan yang sangat besar! Memandangkan Yehuwa mempercayai mereka dan menggunakan mereka untuk memimpin umat Israel, orang Israel juga dapat yakin terhadap semua arahan yang diberikan oleh mereka.

15. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati arahan Yehuwa yang terdapat dalam Firman-Nya?

15 Salah satu cara Yehuwa terus memberikan arahan kepada umat-Nya hari ini adalah melalui Bible. Dalam buku suci itu, Dia mengajar kita bagaimana kita dapat menyembah-Nya dengan cara yang betul. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati arahan dalam Firman Tuhan? Kita harus membaca Bible dengan teliti dan meluangkan masa untuk memahaminya. Tanyalah diri, “Adakah saya berhenti sejenak dan merenungkan apa yang saya baca dalam Bible atau bahan bacaan kita? Jika terdapat kebenaran Bible yang ‘sukar difahami,’ adakah saya mengkaji maksudnya? Atau adakah saya sekadar membacanya sekilas pandang?” (2 Ptr. 3:16) Jika kita meluangkan masa untuk merenungkan ajaran Yehuwa, kita akan dapat mengikuti arahan-Nya dan melakukan kerja penyebaran dengan sepenuhnya.​—1 Tim. 4:15, 16.

Yakinlah terhadap arahan yang diberikan oleh “hamba yang setia dan bijaksana” (Lihat perenggan 16) *

16. Jika “hamba yang setia dan bijaksana” memberikan arahan yang tidak kita faham, apakah yang dapat membantu kita mematuhinya?

16 Satu lagi cara Yehuwa memberi kita arahan adalah melalui “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) Ada kalanya, hamba yang setia mungkin memberikan arahan yang tidak kita faham. Sebagai contoh, kita mungkin diberi arahan tentang cara bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam tertentu, tetapi kita berasa bencana itu tidak mungkin berlaku di kawasan kita. Atau kita mungkin berasa bahawa hamba yang setia terlalu berhati-hati semasa pandemik. Jadi, apakah yang harus kita lakukan jika kita berasa bahawa arahan yang diberikan tidak praktikal? Kita boleh memikirkan bagaimana orang Israel meraih manfaat kerana mengikut arahan yang diberikan melalui Yosua dan Zerubabel. Kita juga boleh merenungkan kisah-kisah Bible yang menunjukkan bagaimana umat Tuhan diselamatkan kerana mematuhi arahan yang nampaknya tidak masuk akal.​—Hak. 7:7; 8:10.

MELIHAT APA YANG DILIHAT OLEH ZAKHARIA

17. Bagaimanakah penglihatan tentang kaki pelita dan dua batang pokok zaitun membantu orang Yahudi?

17 Penglihatan kelima Zakharia tidak panjang, tetapi penglihatan itu membantu orang Yahudi agar berpandangan positif terhadap kerja dan ibadat mereka. Apabila mereka bertindak selaras dengan penglihatan Zakharia, mereka dapat merasai kasih, sokongan, dan bimbingan Yehuwa. Menerusi kuasa suci-Nya, Yehuwa telah membantu mereka meneruskan kerja mereka dan mendapat semula sukacita mereka.​—Ezr. 6:16.

18. Bagaimanakah penglihatan Zakharia dapat membantu anda?

18 Penglihatan Zakharia tentang kaki pelita dan dua batang pokok zaitun dapat memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan anda. Seperti yang telah kita bincangkan, penglihatan Zakharia dapat memberi anda kekuatan untuk menghadapi tentangan, memberi anda sukacita semasa anda menghadapi perubahan, dan memberi anda keyakinan untuk mematuhi arahan yang anda mungkin tidak faham. Apakah yang dapat anda lakukan semasa menghadapi cabaran dalam hidup? Pertama, lihatlah apa yang dilihat oleh Zakharia, iaitu bukti bahawa Yehuwa sedang menjaga umat-Nya. Kemudian, bertindaklah selaras dengan apa yang anda lihat. Percayalah kepada Yehuwa dan teruslah menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Mat. 22:37) Jika anda berbuat demikian, Yehuwa pasti membantu anda untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sukacita buat selama-lamanya.​—Kol. 1:10, 11.

LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku

^ Yehuwa memberi Nabi Zakharia beberapa penglihatan yang mendebarkan. Apa yang dilihat oleh Zakharia pasti menguatkannya dan umat Yehuwa yang lain untuk mengatasi cabaran yang dihadapi mereka untuk memulihkan ibadat sejati. Penglihatan-penglihatan ini juga dapat membantu kita untuk menyembah Yehuwa dengan setia walaupun menghadapi cabaran. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan pengajaran penting daripada penglihatan Zakharia tentang kaki pelita dan pokok zaitun.

^ Bertahun-tahun kemudian, pada zaman Gabenor Nehemia, seorang lagi yang bernama Artahsasta menjadi raja. Raja Artahsasta ini melayan orang Yahudi dengan sangat baik.

^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara sedar bahawa disebabkan usia dan masalah kesihatannya, keadaannya sudah berubah dan dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu itu.

^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari merenungkan bukti bahawa Yehuwa sedang menyokong “hamba yang setia dan bijaksana,” sebagaimana Dia menyokong Yosua dan Zerubabel.