Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 10

Anda Dapat ‘Menanggalkan Keperibadian Lama’

Anda Dapat ‘Menanggalkan Keperibadian Lama’

“Tanggalkanlah keperibadian lama dengan amalan-amalannya.”​—KOL. 3:9.

LAGU 29 Kami Menjunjung Nama-Mu

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah kehidupan anda sebelum anda mula belajar Bible?

 BAGAIMANAKAH kehidupan anda sebelum anda mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa? Ramai daripada kita mungkin tidak mahu memikirkan soalan ini, kerana pada masa itu, keperibadian dan pandangan kita tentang apa yang betul dan salah dibentuk oleh dunia jahat ini. Akibatnya, kita hidup “tanpa harapan dan tanpa Tuhan.” (Ef. 2:12) Namun, kehidupan kita berubah setelah kita mula belajar Bible!

2. Apakah yang anda pelajari semasa mengkaji Bible?

2 Semasa mengkaji Bible, anda belajar bahawa anda mempunyai Bapa yang di syurga yang sangat mengasihi anda. Anda juga belajar bahawa jika anda ingin menyenangkan hati Yehuwa dan menjadi penyembah-Nya, anda perlu membuat perubahan yang besar dalam gaya hidup dan fikiran anda. Anda juga belajar bahawa anda perlu hidup selaras dengan standard Yehuwa yang tinggi.​—Ef. 5:3-5.

3. Menurut Kolose 3:9, 10, apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Sebagai Pencipta dan Bapa kita yang di syurga, Yehuwa memang berhak untuk menentukan standard kelakuan bagi ahli keluarga-Nya. Sebelum kita dibaptis, Dia juga mahu kita berusaha untuk ‘menanggalkan keperibadian lama dengan amalan-amalannya.’ * (Baca Kolose 3:9, 10.) Rencana ini akan membantu orang yang ingin dibaptis untuk menjawab tiga soalan berikut: (1) Apakah itu “keperibadian lama”? (2) Mengapakah Yehuwa menggesa kita untuk menanggalkannya? (3) Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Bagi kita yang telah dibaptis, rencana ini akan membantu kita agar tidak dikuasai semula oleh keperibadian lama.

APAKAH ITU “KEPERIBADIAN LAMA”?

4. Gambarkan seseorang yang dikuasai “keperibadian lama.”

4 Seseorang yang dikuasai “keperibadian lama” biasanya mempunyai fikiran dan kelakuan yang berdosa. Dia mungkin mementingkan diri, cepat naik marah, tidak tahu bersyukur, dan sombong. Dia mungkin suka melihat bahan lucah atau menonton wayang yang ganas atau yang tidak bermoral. Sudah tentu, orang sebegini ada sifat-sifat baik juga, dan dia mungkin berasa bersalah atas kata-kata atau perbuatannya yang buruk. Namun, dia tidak mempunyai keinginan yang cukup kuat untuk berubah.​—Gal. 5:19-21; 2 Tim. 3:2-5.

Apabila kita menanggalkan “keperibadian lama,” kita tidak akan lagi tunduk kepada sikap dan keinginan yang berdosa dengan mudah (Lihat perenggan 5) *

5. Dapatkah kita menanggalkan semua keperibadian lama kita? Jelaskan. (Kisah 3:19)

5 Kita semua tidak sempurna, jadi kita tidak dapat menyingkirkan semua fikiran dan keinginan yang salah daripada hati dan minda kita. Ada kalanya, kita akan melakukan atau mengatakan sesuatu yang akan membuat kita menyesal. (Yer. 17:9; Yak. 3:2) Namun, apabila kita menanggalkan keperibadian lama, kita akan menjadi orang yang berbeza. Kita tidak akan lagi tunduk kepada sikap dan keinginan yang berdosa dengan mudah.​—Yes. 55:7; baca Kisah 3:19.

6. Mengapakah Yehuwa menggesa kita untuk menyingkirkan fikiran yang salah dan tabiat yang buruk?

6 Yehuwa menggesa kita untuk menyingkirkan fikiran yang salah dan tabiat yang buruk kerana Dia sangat mengasihi kita dan ingin kita hidup bahagia. (Yes. 48:17, 18) Dia tahu bahawa orang yang tunduk kepada keinginan yang salah akan menyakiti diri mereka dan orang lain. Apabila hal ini berlaku, hati Yehuwa juga terluka.

7. Menurut Roma 12:1, 2, apakah pilihan yang kita ada?

7 Sesetengah kawan dan ahli keluarga mungkin mengejek kita semasa kita berusaha untuk mengubah keperibadian kita. (1 Ptr. 4:3, 4) Mereka mungkin berkata bahawa kita bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu dan tidak perlu mendengar cakap orang lain. Namun, orang yang menolak standard Yehuwa sebenarnya tidak benar-benar bebas, kerana mereka sedang dibentuk oleh dunia Syaitan. (Baca Roma 12:1, 2.) Maka, kita semua harus memilih: Adakah kita ingin mengekalkan keperibadian lama yang dibentuk oleh dosa dan dunia Syaitan? Atau adakah kita ingin membiarkan Yehuwa membentuk kita menjadi insan yang semakin baik?​—Yes. 64:8.

BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT ‘MENANGGALKAN’ KEPERIBADIAN LAMA?

8. Apakah yang dapat membantu kita untuk membuang fikiran yang salah dan tabiat yang buruk?

8 Yehuwa tahu bahawa kita memerlukan masa dan usaha untuk membuang fikiran yang salah dan tabiat yang buruk. (Mzm. 103:13, 14) Jadi, Yehuwa menggunakan Firman-Nya, kuasa suci-Nya, dan organisasi-Nya, untuk memberi kita kebijaksanaan, kekuatan, dan sokongan yang diperlukan untuk membuat perubahan. Anda tentu pernah merasai bagaimana Yehuwa telah membantu anda. Sekarang, mari kita perhatikan beberapa cadangan yang dapat membantu anda untuk terus menanggalkan keperibadian lama dan layak untuk dibaptis.

9. Bagaimanakah Firman Tuhan dapat membantu anda?

9 Gunakanlah Bible untuk memeriksa diri sendiri. Anda boleh menggunakan Firman Tuhan seperti cermin untuk memeriksa cara anda berfikir, bercakap, dan bertindak. (Yak. 1:22-25) Namun, jika anda memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, guru Bible anda dan saudara saudari yang matang dapat memberi anda bimbingan. Contohnya, mereka boleh menggunakan ayat-ayat Bible untuk membantu anda mengetahui kekuatan dan kelemahan anda. Mereka juga dapat mengajar anda cara untuk mencari maklumat daripada bahan bacaan Bible yang dapat membantu anda mengatasi tabiat buruk. Selain itu, Yehuwa sentiasa bersedia membantu anda. Dia tahu cara yang terbaik untuk membantu anda, dan Dia juga tahu isi hati anda. (Ams. 14:10; 15:11) Jadi pupuklah tabiat untuk berdoa dan mengkaji Firman-Nya setiap hari.

10. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Elie?

10 Percayalah bahawa standard Yehuwa adalah yang terbaik. Jika kita mematuhi Yehuwa dan hidup menurut standard-Nya, kita akan mempunyai harga diri, hidup yang bermakna, dan kebahagiaan yang sejati. (Mzm. 19:7-11) Orang yang tidak mempedulikan standard Yehuwa dan melakukan perbuatan yang berdosa pula sering mendapat padah. Perhatikan kata-kata seorang lelaki yang bernama Elie. Dia dibesarkan oleh ibu bapa yang mengasihi Yehuwa, tetapi semasa dia remaja, dia memilih sahabat yang salah. Akibatnya, dia mengambil dadah, hidup tidak bermoral, dan mencuri. Elie berkata bahawa dia menjadi semakin ganas dan panas baran. Dia mengaku, “Saya melakukan semua perkara yang tidak patut dibuat oleh orang Kristian.” Namun, Elie tidak melupakan apa yang dipelajarinya semasa kecil. Akhirnya, dia mula belajar Bible lagi. Dia berusaha keras untuk membuang tabiat buruknya dan dibaptis pada tahun 2000. Apakah manfaat yang diraihnya kerana hidup menurut standard Yehuwa? Elie berkata, “Sekarang fikiran saya tenang, dan hati nurani saya bersih.” * Pengalaman Elie menunjukkan bahawa orang yang menolak standard Yehuwa akan menyakiti diri sendiri. Meskipun begitu, Yehuwa masih sudi membantu mereka untuk berubah.

11. Apakah perkara-perkara yang dibenci oleh Yehuwa?

11 Belajarlah untuk membenci apa yang dibenci oleh Yehuwa. (Mzm. 97:10) Bible menunjukkan bahawa Yehuwa membenci “mata yang memandang orang dengan sombong, lidah yang menipu, [dan] tangan yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah.” (Ams. 6:16, 17) Dia juga “membenci orang yang ganas dan yang suka menipu.” (Mzm. 5:6) Yehuwa begitu membenci sikap dan perbuatan sedemikian sehingga Dia menghapuskan semua orang jahat pada zaman Nuh yang telah memenuhi bumi dengan keganasan. (Kej. 6:13) Pada zaman Nabi Maleakhi pula, Yehuwa berfirman bahawa Dia membenci orang licik yang mencari alasan untuk menceraikan pasangan mereka yang tidak bersalah. Tuhan menolak penyembahan mereka dan pasti akan menghukum mereka.​—Mal. 2:13-16; Ibr. 13:4.

Dalam pandangan kita, melakukan sesuatu yang dibenci oleh Yehuwa seharusnya begitu menjijikkan seperti memakan makanan yang basi (Lihat perenggan 11-12)

12. Apakah maksud ‘membenci apa yang jahat’?

12 Yehuwa mahu kita ‘membenci apa yang jahat.’ (Rm. 12:9) Jika kita membenci sesuatu, kita sangat tidak menyukainya dan berasa jijik terhadapnya. Bayangkan anda disuruh untuk makan makanan yang sudah basi. Apakah reaksi anda? Sekadar memikirkannya pun sudah membuat anda mahu muntah. Begitu juga, sekadar terfikir untuk melakukan apa yang Yehuwa benci pun seharusnya membuat kita berasa jijik.

13. Mengapakah kita mesti menjaga fikiran kita?

13 Jagalah fikiran anda. Fikiran kita mempengaruhi tindakan kita. Itulah sebabnya Yesus mengajar kita untuk menolak fikiran yang dapat menyebabkan kita berbuat dosa. (Mat. 5:21, 22, 28, 29) Kita semua ingin menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga. Maka, amatlah penting untuk segera menolak apa sahaja fikiran jahat yang timbul dalam minda kita!

14. Kata-kata kita dapat menyingkapkan apa? Apakah soalan-soalan yang perlu kita jawab?

14 Kawallah pertuturan anda. Yesus berkata, “Apa yang keluar daripada mulut berasal dari hati.” (Mat. 15:18) Jadi, kata-kata kita dapat menyingkapkan apa yang sebenarnya dalam hati kita. Untuk memeriksa diri, fikirlah soalan-soalan berikut, “Adakah saya akan bercakap benar walaupun hal itu akan mendatangkan masalah? Jika saya sudah berkahwin, adakah saya akan berhati-hati agar tidak bermain cinta dengan orang lain? Adakah saya mengelak apa sahaja kata-kata yang lucah? Dapatkah saya menjawab dengan tenang jika seseorang membuat saya marah?” Keperibadian lama adalah seperti sehelai pakaian, dan percakapan kita adalah seperti jahitan pada pakaian itu. Jika kita membuka jahitan itu, pakaian itu akan lebih mudah ditanggalkan. Begitu juga, jika kita berusaha mencabut kata-kata yang kesat, dusta, dan yang berunsur lucah, keperibadian lama akan lebih senang ditanggalkan.

15. Apakah maksudnya memakukan keperibadian lama kita pada “tiang”?

15 Buatlah apa sahaja perubahan yang diperlukan. Rasul Paulus menggunakan contoh untuk mengajar kita betapa pentingnya kita mengubah gaya hidup kita. Dia menulis bahawa kita mesti memakukan “keperibadian lama” kita pada “tiang.” (Rm. 6:6) Yesus rela dipakukan pada sebuah tiang kerana dia ingin menyenangkan hati Yehuwa. Begitu juga, jika kita ingin menyenangkan hati Yehuwa, kita juga harus sudi membuang sikap dan kelakuan yang dibenci oleh Yehuwa. Dengan itu, kita akan mendapat hati nurani yang bersih dan memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya. (Yoh. 17:3; 1 Ptr. 3:21) Ingatlah, Yehuwa tidak akan mengubah standard-Nya untuk menggembirakan kita. Kitalah yang perlu berubah supaya kita dapat mengikut standard-Nya.​—Yes. 1:16-18; 55:9.

16. Mengapakah anda mesti bertekad untuk terus melawan keinginan yang berdosa?

16 Teruslah melawan keinginan yang berdosa. Selepas anda dibaptis, anda perlu terus melawan keinginan yang berdosa. Perhatikan pengalaman seorang lelaki yang bernama Maurício. Semasa muda, dia mengamalkan gaya hidup homoseksual. Namun kemudian, dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula belajar Bible. Setelah membuat perubahan dalam hidupnya, dia dibaptis pada tahun 2002. Walaupun dia telah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun, Maurício berkata, “Ada kalanya, saya masih perlu melawan keinginan yang berdosa.” Namun, dia tidak membiarkan hal ini melemahkan semangatnya. Sebaliknya, dia berkata, “Saya berasa lega kerana saya tahu apabila saya memilih untuk tidak menurut keinginan yang berdosa, saya dapat menyenangkan hati Yehuwa.” *

17. Bagaimanakah pengalaman Nabiha menggalakkan anda?

17 Berdoalah untuk meminta bantuan kuasa suci Yehuwa, dan janganlah bergantung pada kekuatan diri sendiri. (Gal. 5:22; Flp. 4:6) Kita mesti berusaha keras agar dapat menanggalkan dan tetap menjauhi keperibadian lama. Perhatikan pengalaman seorang wanita yang bernama Nabiha. Ayahnya meninggalkannya semasa dia baru berumur enam tahun. Nabiha berkata, “Saya sangat menderita secara emosi.” Nabiha menjadi seorang yang cepat marah dan agresif. Kemudian, dia ditangkap kerana mengedarkan dadah dan dipenjarakan selama beberapa tahun. Namun, setelah dia belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa yang melawat penjaranya, Nabiha mula mengubah kehidupannya. Dia berkata, “Sesetengah tabiat buruk saya mudah dibuang, tetapi untuk berhenti merokok memang susah.” Selepas berusaha keras lebih daripada setahun, Nabiha berjaya berhenti merokok. Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Saya terus-menerus berdoa kepada Yehuwa, itulah yang bantu saya.” Sekarang, dia memberitahu orang lain, “Saya yakin jika saya dapat membuat perubahan demi menyenangkan hati Yehuwa, siapa-siapa pun boleh melakukannya!” *

ANDA DAPAT MEMENUHI SYARAT UNTUK DIBAPTIS!

18. Menurut 1 Korintus 6:9-11, apakah yang berjaya dilakukan oleh banyak hamba Tuhan?

18 Sesetengah lelaki dan wanita pada abad pertama yang dipilih oleh Yehuwa untuk memerintah bersama Yesus di syurga pernah melakukan hal-hal yang jahat sebelum menjadi orang Kristian. Contohnya, ada antara mereka yang berzina, yang melakukan hubungan sejenis, dan yang mencuri. Namun, dengan bantuan kuasa suci Tuhan, mereka dapat mengubah keperibadian mereka. (Baca 1 Korintus 6:9-11.) Hari ini, Bible telah membantu jutaan orang untuk mengubah kehidupan mereka dan membuang tabiat buruk yang sudah berurat berakar. * Teladan mereka membuktikan bahawa anda juga dapat mengubah keperibadian anda, membuang tabiat buruk, dan memenuhi syarat untuk dibaptis.

19. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

19 Selain daripada menanggalkan keperibadian lama, mereka yang ingin dibaptis juga perlu berusaha untuk mengenakan keperibadian baharu. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat mengenakan keperibadian baharu dan bagaimana orang lain dapat membantu kita.

LAGU 41 Dengarlah Doa Aku

^ Kita perlu sudi membuat perubahan dalam keperibadian kita agar layak untuk dibaptis. Rencana ini akan membantu kita melihat apa itu keperibadian lama, mengapa kita perlu menanggalkan keperibadian lama, dan bagaimana kita dapat melakukannya. Dalam rencana seterusnya, kita akan mengkaji bagaimana kita dapat mengenakan dan mengekalkan keperibadian baharu walaupun kita sudah dibaptis.

^ MAKSUD UNGKAPAN: ‘Menanggalkan keperibadian lama’ bermaksud membuang sikap dan keinginan yang tidak disukai Yehuwa. Kita harus mula berbuat demikian sebelum dibaptis.​—Ef. 4:22.

^ Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Bible Mengubah Hidup—‘Saya Perlu Kembali kepada Yehuwa,’” dalam Menara Pengawal terbitan 1 April 2012.

^ Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Bible Mengubah Hidup​—‘Mereka Sangat Baik kepada Saya,’” dalam Menara Pengawal terbitan 1 Mei 2012.

^ Untuk maklumat lanjut, lihat rencana Alkitab Mengubah Kehidupan​—‘Saya Menjadi Pemarah dan Agresif,’ dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 1 Oktober 2012.

^ Lihat kotak “ Bible Mengubah Hidup.”

^ KETERANGAN GAMBAR: Membuang sikap dan tabiat yang buruk adalah seperti menanggalkan pakaian yang lama.