RENCANA PEMBELAJARAN 14
Para Penatua—Teruslah Meniru Teladan Rasul Paulus
“Ikutlah teladanku.”—1 KOR. 11:1.
LAGU 99 Berjuta-juta Saudara
PENGENALAN *
1-2. Bagaimanakah teladan Rasul Paulus dapat membantu para penatua hari ini?
RASUL PAULUS sangat mengasihi rakan seimannya dan sudi bekerja keras untuk mereka. (Kis. 20:31) Oleh itu, dia sangat disayangi oleh saudara saudarinya. Pernah sekali, para penatua dari Efesus “menangis tersedu-sedu” semasa diberitahu bahawa mereka tidak akan dapat berjumpa dengan Paulus lagi. (Kis. 20:37) Seperti Paulus, para penatua yang rajin sangat mengasihi saudara saudari, dan ingin melakukan apa sahaja yang mampu untuk membantu mereka. (Flp. 2:16, 17) Namun, ada kalanya para penatua menghadapi cabaran. Jadi, apakah yang dapat membantu mereka?
2 Para penatua dapat meniru teladan Paulus. (1 Kor. 11:1) Paulus pun manusia biasa yang tidak sempurna. Itulah sebabnya dia juga bergelut untuk melakukan apa yang benar. (Rm. 7:18-20) Selain itu, dia juga menghadapi pelbagai cabaran. Namun, Paulus tidak pernah berputus asa atau kehilangan sukacitanya. Dengan meniru teladan Paulus, para penatua dapat mengatasi cabaran mereka dan terus menyembah Yehuwa dengan sukacita.
3. Apakah yang akan kita kaji dalam rencana ini?
3 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji empat cabaran yang biasanya dihadapi penatua. Mereka perlu (1) seimbangkan kerja penyebaran dengan tanggungjawab yang lain, (2) menjadi gembala yang penyayang, (3) mengatasi kelemahan sendiri, dan (4) menghadapi ketidaksempurnaan orang lain. Kita juga akan mengkaji bagaimana Paulus mengatasi empat cabaran itu dan bagaimana para penatua dapat meniru teladannya.
SEIMBANGKAN KERJA PENYEBARAN DENGAN TANGGUNGJAWAB YANG LAIN
4. Mengapakah mungkin mencabar bagi para penatua untuk menyertai kerja penyebaran?
4 Mengapa hal itu mencabar: Selain menginjil, para penatua juga memikul banyak tanggungjawab yang lain. Contohnya, ramai daripada mereka perlu menjadi pengerusi untuk perjumpaan pertengahan minggu dan mengendalikan Pembelajaran Bible Sidang. Mereka juga perlu memberikan ceramah. Tambahan lagi, mereka sibuk melatih para pembantu sidang dan menggalakkan saudara saudari. (1 Ptr. 5:2) Ada penatua yang membantu membina dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan dan bangunan teokratik yang lain. Meskipun mereka perlu menjalankan tugas-tugas ini, mereka mempunyai tugas utama yang sama seperti semua penyiar yang lain, iaitu menyebarkan berita baik.—Mat. 28:19, 20.
5. Apakah teladan baik Paulus dalam kerja penyebaran?
5 Teladan Paulus: Paulus dapat menetapkan teladan yang baik dalam kerja penyebaran kerana dia menerapkan nasihat yang dituliskannya sendiri di Filipi 1:10, iaitu “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” Selama puluhan tahun, dia menjalankan kerja penyebarannya dan menganggap kerja ini sebagai hal yang terpenting dalam kehidupannya. Dia menginjil “di depan umum dan dari rumah ke rumah.” (Kis. 20:20) Dia tidak menginjil pada masa tertentu atau seminggu sekali sahaja, sebaliknya dia mengambil setiap kesempatan untuk menginjil. Contohnya, semasa Paulus menunggu rakan-rakannya di Atena, dia menginjil kepada sekumpulan orang yang ternama dan mendapat sambutan yang baik. (Kis. 17:16, 17, 34) Bahkan semasa Paulus “dibelenggu di dalam penjara,” dia masih menginjil kepada orang di sekelilingnya.—Flp. 1:13, 14; Kis. 28:16-24.
6. Bagaimanakah Paulus melatih orang lain?
6 Paulus menggunakan masanya dengan sebaik-baiknya. Dia selalu menjemput orang lain untuk menyertainya dalam kerja penyebaran. Contohnya, dalam perjalanannya yang pertama sebagai mubaligh, dia membawa Markus bersamanya, dan semasa perjalanannya yang kedua pula, dia membawa Timotius. (Kis. 12:25; 16:1-4) Sudah tentu Paulus menggunakan peluang itu untuk mengajar Markus dan Timotius dalam kerja mengatur sidang, kerja menggembala, dan cara menjadi guru yang mahir.—1 Kor. 4:17.
7. Bagaimanakah para penatua dapat mengikut nasihat Paulus di Efesus 6:14, 15?
7 Pengajarannya: Para penatua boleh meniru teladan Paulus bukan sahaja dengan menginjil dari rumah ke rumah, tetapi juga dengan bersedia untuk memberikan kesaksian pada bila-bila masa. (Baca Efesus 6:14, 15.) Misalnya, mereka boleh memberikan kesaksian semasa membeli-belah atau semasa di tempat kerja. Semasa mereka menjalankan projek pembinaan teokratik, mereka juga boleh mengongsi berita baik dengan orang yang tinggal berdekatan atau orang yang mempunyai urus niaga dengan mereka. Selain itu, seperti Paulus, para penatua boleh menggunakan masa menginjil untuk melatih orang lain, termasuk pembantu sidang.
8. Ada kalanya, apakah yang perlu dilakukan oleh penatua?
8 Para penatua tidak patut begitu sibuk dengan kerja dalam sidang atau litar sehingga tiada masa untuk menginjil. Agar dapat tetap seimbang, ada kalanya mereka perlu menolak sesetengah tugasan supaya tidak mengabaikan hal-hal yang lebih penting, seperti mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu, melakukan kerja penyebaran dengan bersemangat, atau melatih anak mereka untuk menginjil. Jadi, setelah berdoa dan mempertimbangkan keadaan diri sendiri, mereka mungkin menolak sesetengah tugasan yang diberikan. Memang benar, ada penatua yang keberatan untuk berbuat demikian, tetapi mereka boleh yakin bahawa Yehuwa memahami keinginan mereka untuk tetap seimbang dalam segala perkara.
MENJADI GEMBALA YANG PENYAYANG
9. Apakah cabaran yang dihadapi oleh para penatua yang sibuk?
9 Mengapa hal itu mencabar: Umat Yehuwa menghadapi banyak cubaan. Semasa hari-hari terakhir ini, kita semua memerlukan galakan, sokongan, dan kelegaan. Ada kalanya, kita memerlukan bantuan untuk menjauhi perbuatan yang salah. (1 Tes. 5:14) Sudah tentu, para penatua tidak dapat menghilangkan semua masalah yang dihadapi oleh umat Tuhan. Namun, Yehuwa mahu para penatua melakukan apa yang mampu untuk menggalakkan dan melindungi biri-biri-Nya. Bagaimanakah para penatua yang sibuk dapat meluangkan masa untuk membantu saudara saudari?
10. Menurut 1 Tesalonika 2:7, bagaimanakah Paulus melayan umat Yehuwa?
10 Teladan Paulus: Paulus sentiasa mencari peluang untuk memuji dan menggalakkan rakan seimannya. Cara dia menunjukkan kasih sayang kepada umat Yehuwa memang teladan baik untuk para penatua. (Baca 1 Tesalonika 2:7.) Sebagai contoh, dia meyakinkan rakan seimannya bahawa dia sangat mengasihi mereka dan bahawa Yehuwa pun mengasihi mereka. (2 Kor. 2:4; Ef. 2:4, 5) Dia juga melayan saudara saudari di sidang seperti sahabatnya dan meluangkan masa bersama mereka. Selain itu, dia menunjukkan bahawa dia mempercayai mereka dengan memberitahu mereka secara terus terang tentang kerisauan dan kelemahannya. (2 Kor. 7:5; 1 Tim. 1:15) Namun, Paulus memberitahu mereka hal-hal ini, bukan kerana ingin bertumpu kepada masalahnya sendiri, tetapi kerana dia ingin membantu saudara saudarinya.
11. Mengapakah Paulus menasihati saudara saudarinya?
11 Ada masanya, Paulus perlu menasihati saudara saudarinya. Namun, dia tidak berbuat demikian kerana berasa geram terhadap mereka. Sebaliknya, dia mengambil berat terhadap mereka dan ingin melindungi mereka daripada bahaya. Oleh itu, dia cuba memastikan nasihatnya mudah difahami, dan dia berharap agar saudara saudari menerima nasihatnya. Misalnya, Paulus pernah menulis sepucuk surat untuk memberikan nasihat yang tegas kepada sidang di Korintus. Selepas itu, dia mengutus Titus ke Korintus kerana dia ingin tahu reaksi mereka terhadap suratnya. Paulus tentu sangat gembira semasa mendapat tahu bahawa mereka sudi menerima nasihatnya!—2 Kor. 7:6, 7.
12. Bagaimanakah para penatua dapat menguatkan saudara saudari?
12 Pengajarannya: Para penatua dapat meniru teladan Paulus dengan meluangkan masa bersama rakan seiman mereka. Salah satu cara mereka dapat berbuat demikian adalah dengan tiba awal di perjumpaan agar dapat berbual dengan saudara saudari. Biasanya, semasa perbualan yang ringkas pun para penatua dapat mengatakan sesuatu untuk menggalakkan saudara saudari mereka. (Rm. 1:12; Ef. 5:16) Seorang penatua yang meniru teladan Paulus juga akan menggunakan Bible untuk menguatkan rakan seimannya dan meyakinkan mereka bahawa Tuhan mengasihi mereka. Dia juga memastikan bahawa saudara saudari tahu bahawa dia mengasihi mereka. Dia akan sering berkomunikasi dengan mereka dan mencari peluang untuk memuji mereka. Selain itu, semasa seorang penatua perlu memberikan nasihat, nasihatnya haruslah berdasarkan Firman Tuhan. Dia akan memberikan nasihat yang spesifik, tetapi dalam cara yang lemah lembut kerana dia ingin saudara atau saudari dapat menerapkan nasihat yang diberikan.—Gal. 6:1.
MENGATASI KELEMAHAN SENDIRI
13. Bagaimanakah kelemahan seorang penatua dapat mempengaruhi dirinya?
13 Mengapa hal itu mencabar: Para penatua tidak sempurna. Seperti orang lain, mereka juga melakukan kesilapan. (Rm. 3:23) Ada kalanya, mereka perlu bergelut untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kelemahan sendiri. Sesetengah daripada mereka terlalu bertumpu kepada kelemahan mereka sehingga mereka menjadi tawar hati. Yang lain pula mungkin meremehkan kelemahan mereka sehingga berasa bahawa mereka tidak perlu membuat apa-apa perubahan.
14. Menurut Filipi 4:13, bagaimanakah kerendahan hati membantu Paulus mengatasi kelemahannya?
14 Teladan Paulus: Oleh sebab Paulus rendah hati, dia sedar bahawa dia tidak dapat mengatasi kelemahannya dengan kekuatan sendiri. Dia tahu dia memerlukan bantuan Yehuwa. Pada mulanya, Paulus telah menganiaya orang Kristian dengan teruk. Tetapi kemudian, Paulus sedar bahawa tindakannya itu salah dan dia sudi membuat perubahan. (1 Tim. 1:12-16) Dengan bantuan Yehuwa, Paulus dapat menjadi seorang penatua yang rendah hati, pengasih, dan berbelas kasihan. Walaupun Paulus tahu bahawa dia memiliki banyak kelemahan, dia tidak terus bertumpu kepada kelemahannya, dan dia yakin bahawa Yehuwa mengampuninya. (Rm. 7:21-25) Paulus tidak berharap untuk menjadi orang yang sempurna. Sebaliknya, dia berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki sifat-sifat Kristiannya. Dengan rendah hati, dia bergantung pada bantuan Yehuwa untuk menyelesaikan tugasnya.—1 Kor. 9:27; baca Filipi 4:13.
15. Apakah sepatutnya pandangan para penatua terhadap kelemahan mereka?
15 Pengajarannya: Seseorang dilantik sebagai penatua bukan kerana dia sempurna. Namun, Yehuwa mahu para penatua mengakui kesilapan mereka dan memperbaiki sifat-sifat Kristian mereka. (Ef. 4:23, 24) Jadi, seorang penatua patut memeriksa diri dengan menggunakan Bible dan membuat perubahan yang diperlukan. Dengan itu, Yehuwa akan membantunya menjadi penatua yang baik dan bahagia.—Yak. 1:25.
MENGHADAPI KETIDAKSEMPURNAAN ORANG LAIN
16. Apakah kesannya jika para penatua bertumpu kepada kelemahan saudara saudari?
16 Mengapa hal itu mencabar: Oleh sebab para penatua meluangkan banyak masa bersama saudara saudari dalam sidang, mereka dapat melihat kelemahan saudara saudari dengan mudah. Jika para penatua bertumpu kepada kelemahan saudara saudari mereka, mereka mungkin berasa geram dan bersikap kasar terhadap saudara saudari. Selain itu, mereka juga akan cenderung mengkritik saudara saudari mereka. Paulus memberikan amaran kepada orang Kristian bahawa Syaitanlah yang ingin mereka menunjukkan sikap sebegini.—2 Kor. 2:10, 11.
17. Apakah pandangan Paulus terhadap saudara saudarinya?
17 Teladan Paulus: Paulus berpandangan positif terhadap saudara saudarinya. Dia memang tahu tentang kelemahan mereka, kerana ada kalanya perbuatan mereka melukainya. Meskipun begitu, Paulus tahu bahawa orang yang berbuat silap tidak semestinya orang yang jahat. Dia mengasihi rakan seimannya dan berfokus kepada sifat-sifat baik mereka. Jika saudara saudarinya berasa susah untuk melakukan apa yang betul, Paulus percaya bahawa mereka memang ingin melakukan apa yang betul tetapi cuma memerlukan bantuan untuk mengatasi kelemahan mereka.
18. Apakah yang anda pelajari daripada cara Paulus membantu Euodia dan Sintikhe? (Filipi 4:1-3)
18 Sebagai contoh, perhatikan bagaimana Paulus membantu Euodia dan Sintikhe, iaitu dua orang saudari dalam sidang Filipi. (Baca Filipi 4:1-3.) Nampaknya, hubungan Euodia dan Sintikhe menjadi tegang kerana perselisihan faham. Namun, Paulus tidak melayan mereka dengan kasar atau mengkritik mereka. Sebaliknya, dia bertumpu kepada sifat-sifat baik mereka. Paulus tahu bahawa Yehuwa mengasihi kedua-dua saudari ini kerana mereka sudah lama menyembah Yehuwa dengan setia. Oleh sebab Paulus berfokus kepada sifat baik orang lain, dia dapat menggalakkan Euodia dan Sintikhe untuk berdamai. Pandangan Paulus itu juga membolehkannya untuk tetap bersukacita dan mengekalkan persahabatan yang erat dengan saudara saudari di sidang Filipi.
19. (a) Apakah yang dapat membantu para penatua berpandangan positif terhadap rakan seiman mereka? (b) Apakah yang dapat anda pelajari daripada gambar tentang seorang penatua yang sedang membersihkan Dewan Perjumpaan?
19 Pengajarannya: Para penatua, carilah sifat-sifat baik saudara saudari anda. Mereka semua tidak sempurna, tetapi mereka tentu memiliki sifat baik yang boleh anda teladani. (Flp. 2:3) Memang benar, dari masa ke masa, anda mungkin perlu membetulkan rakan seiman anda. Namun seperti Paulus, janganlah berfokus kepada perangai dan tutur kata seseorang yang menjengkelkan. Sebaliknya, bertumpulah kepada kasihnya untuk Yehuwa, ketabahannya dalam ibadat sejati, dan potensinya. Jika anda berfokus kepada sifat baik orang lain, saudara saudari dalam sidang akan berasa dikasihi dan dihargai.
TERUSLAH MENIRU PAULUS
20. Bagaimanakah para penatua dapat terus meraih manfaat daripada teladan Paulus?
20 Para penatua, anda dapat meraih banyak manfaat jika anda terus mengkaji teladan Paulus. Sebagai contoh, dalam buku “Indeks” bahasa Indonesia, carilah subjek “Paulus,” dan kemudian cari bahagian “teladan bagi penatua.” Semasa anda membaca bahan-bahan yang disenaraikan itu, tanyalah diri, “Bagaimanakah teladan Paulus dapat membantu saya untuk bersukacita semasa melaksanakan tugas saya sebagai penatua?”
21. Apakah yang harus diingat oleh para penatua?
21 Para penatua, ingatlah bahawa Yehuwa tidak menghendaki anda untuk menjadi sempurna. Dia hanya ingin anda berkhidmat dengan setia. (1 Kor. 4:2) Sebagaimana Yehuwa menghargai kerja keras dan kesetiaan Paulus, Dia pasti menghargai usaha anda untuk berkhidmat kepada-Nya. Ingatlah, Yehuwa “tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya dengan menolong umat suci-Nya.”—Ibr. 6:10.
LAGU 87 Dapatkanlah Kesegaran Rohani!
^ Kita sangat bersyukur kerana para penatua yang pengasih berusaha keras untuk menjaga kita! Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat cabaran yang biasanya dihadapi penatua. Kita juga akan melihat bagaimana teladan Rasul Paulus dapat membantu mereka menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Rencana ini akan membantu kita semua untuk memahami cabaran para penatua, dan mendorong kita untuk mengasihi dan menyokong mereka.
^ KETERANGAN GAMBAR: Sebelum seorang saudara meninggalkan tempat kerjanya, dia mengongsi berita baik dengan rakan sekerjanya.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua yang pengasih menasihati seorang saudara yang suka menyendiri.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara memberikan nasihat yang berguna kepada seorang saudara yang berasa tersinggung atas sebab tertentu.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara menawarkan diri untuk membantu dalam kerja pembersihan tetapi dia tidak menumpukan perhatian. Meskipun begitu, penatua yang melihatnya tidak mengkritiknya.