Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Menyelesaikan Perselisihan Melalui Kasih

Menyelesaikan Perselisihan Melalui Kasih

“Teruslah berdamai dengan satu sama lain.”—MRK. 9:50.

LAGU: 39, 77

1, 2. Apakah perselisihan yang tercatat dalam buku Kejadian? Mengapakah catatan ini penting?

PERNAHKAH anda berfikir tentang perselisihan yang tercatat dalam Bible? Pertimbangkan beberapa contoh daripada buku Kejadian. Kain membunuh Habel (Kej. 4:3-8); Lamekh membunuh seorang pemuda yang memukulnya (Kej. 4:23); para gembala Abraham (Abram) dan Lot bertengkar (Kej. 13:5-7); Hagar menghina Sara (Sarai), yang kemudiannya marah terhadap Abraham (Kej. 16:3-6); Ismael ‘melawan setiap orang dan setiap orang melawan dia.’—Kej. 16:12.

2 Mengapakah Bible mengandungi catatan sedemikian? Hal ini membantu manusia yang tidak sempurna untuk belajar mengapa mereka harus mengekalkan kedamaian dan cara melakukannya. Kita boleh mendapat manfaat dengan membaca catatan Bible tentang orang yang bergelut dengan masalah. Kita dapat meniru teladan yang baik dan mengelakkan teladan yang buruk. Semua ini membantu kita untuk mengetahui cara mengatasi masalah yang serupa.—Rm. 15:4.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Rencana ini akan membincangkan mengapa hamba Yehuwa perlu menyelesaikan perselisihan dan cara melakukannya. Selain itu, kita akan belajar prinsip Bible yang membantu kita menghadapi konflik serta mengekalkan hubungan yang baik dengan Yehuwa dan orang lain.

MENGAPA UMAT TUHAN PERLU MENGATASI PERSELISIHAN

4. Apakah sikap orang di dunia dan apakah akibatnya?

4 Syaitan ialah penyebab utama mengapa manusia mengalami pergaduhan dan perselisihan. Di Taman Eden, dia menyatakan bahawa setiap individu boleh memutuskan sendiri apa yang baik dan jahat tanpa bergantung kepada Tuhan. (Kej. 3:1-5) Apakah akibatnya? Dunia dipenuhi dengan orang yang berfikir bahawa mereka berhak memutuskan apa yang baik atau jahat. Mereka juga sombong, mementingkan diri, dan suka bersaing. Sesiapa yang dipengaruhi sikap ini sebenarnya menerima pandangan Syaitan. Mereka mengutamakan kepentingan sendiri tanpa mengira kesannya terhadap orang lain. Sikap sebegini menimbulkan perselisihan. Ingatlah bahawa “orang yang cepat marah menimbulkan banyak pertengkaran dan kesusahan.”—Ams. 29:22.

5. Bagaimanakah Yesus mengajar cara mengatasi perselisihan?

5 Sebaliknya, Yesus mengajar kita untuk mengekalkan kedamaian walaupun hal itu memerlukan pengorbanan. Semasa Ceramah Di Atas Gunung, Yesus memberikan nasihat yang terbaik tentang cara mengatasi dan mengelakkan perselisihan. Contohnya, dia menggesa pengikutnya untuk bersikap lemah lembut, berusaha mewujudkan kedamaian, jangan terus berasa marah, segera menyelesaikan masalah, dan mengasihi musuh.—Mat. 5:5, 9, 22, 25, 44.

6, 7. (a) Mengapakah penting untuk menyelesaikan perselisihan dengan segera? (b) Apakah soalan yang patut ditanya oleh hamba Yehuwa?

6 Kita berusaha menyembah Tuhan dengan berdoa, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Namun, usaha kita akan sia-sia jika kita tidak berdamai dengan orang lain. (Mrk. 11:25) Kita tidak dapat menjadi sahabat Tuhan sekiranya kita tidak rela mengampuni kesalahan orang.—Baca Lukas 11:4; Efesus 4:32.

7 Yehuwa ingin agar setiap orang Kristian mengampuni dan memiliki hubungan baik dengan orang lain. Adakah anda rela mengampuni rakan seiman? Adakah anda menikmati persahabatan dengan mereka? Jika anda sedar bahawa anda harus membuat perubahan dalam hal ini, mohonlah bantuan Yehuwa! Bapa kita yang di syurga akan mengabulkan doa anda.—1 Yoh. 5:14, 15.

BOLEHKAH ANDA MEMAAFKAN KESILAPAN ORANG?

8, 9. Apakah yang harus kita lakukan jika kita tersinggung?

8 Memandangkan kita tidak sempurna, kita mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang menyakiti hati satu sama lain. Hal ini tidak dapat dielakkan. (Pkh. 7:20; Mat. 18:7) Apakah reaksi anda jika orang menyakiti hati anda? Fikirkan situasi ini: Di sebuah jamuan, seorang saudari menyapa dua orang saudara. Salah seorang saudara berasa bahawa cara sapaan saudari itu tidak sesuai. Apabila dua orang saudara ini bersendirian, saudara itu mula mengkritik saudari tersebut. Namun, saudara yang seorang lagi mengingatkannya bahawa saudari itu telah menyembah Yehuwa dengan setia selama 40 tahun walaupun menghadapi cabaran. Sudah pasti saudari itu tidak berniat untuk menyinggung sesiapa. Selepas memikirkan hal ini, saudara itu berkata, “Ya, betul juga.” Hasilnya, dia dapat melupakan hal itu.

9 Apakah pengajarannya? Jika seseorang menyakiti hati anda, anda boleh memilih reaksi anda. Orang yang mempunyai sifat kasih akan mengampunkan kesilapan orang lain. (Baca Amsal 10:12; 1 Petrus 4:8.) Apabila anda “mengampunkan kesalahan orang,” anda akan “dipuji” oleh Yehuwa. (Ams. 19:11; Pkh. 7:9) Jadi, jika seseorang melayan anda dengan tidak baik atau tidak hormat, tanyalah diri, “Bolehkah saya melupakan hal ini? Adakah saya perlu membesarkan hal ini?”

10. (a) Apakah reaksi seorang saudari apabila dikritik? (b) Apakah ayat Bible yang membantu dia untuk berasa tenang?

10 Kita tidak suka dikritik oleh orang lain. Fikirkan contoh seorang perintis yang kita namakan sebagai Lucy. Ada orang yang mengatakan hal negatif tentang kerja penyebarannya dan cara dia menggunakan masa. Lucy berasa tidak senang hati lalu dia meminta nasihat daripada saudara yang matang. Dia berkata, “Nasihat Bible yang diberikan membantu saya mempunyai pandangan yang betul mengenai tanggapan orang dan berfokus kepada perkara terpenting, iaitu Yehuwa.” Lucy mendapat galakan apabila membaca ayat di Matius 6:1-4. (Baca.) Ayat ini mengingatkannya bahawa matlamatnya adalah untuk menggembirakan hati Yehuwa. Dia berkata, “Walaupun orang lain mengatakan hal yang negatif, saya tetap bersukacita kerana saya mencurahkan usaha yang terbaik untuk menyenangkan Yehuwa.” Oleh itu, Lucy memutuskan untuk tidak mengendahkan komen-komen negatif daripada orang lain.

JIKA ANDA TIDAK DAPAT MEMBIARKAN HAL ITU

11, 12. (a) Apakah yang seharusnya dilakukan oleh orang Kristian apabila saudaranya “tidak senang hati” terhadapnya? (b) Apakah yang boleh kita pelajari daripada cara Abraham menyelesaikan perselisihan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

11 “Kita semua sering berbuat silap.” (Yak. 3:2) Katakan anda sedar bahawa seorang rakan seiman tersinggung dengan percakapan atau tindakan anda. Apakah yang patut anda lakukan? Yesus berkata, “Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.” (Mat. 5:23, 24) Maka, bincanglah dengan saudara anda. Ingatlah, matlamat anda adalah untuk berdamai dengannya. Berusahalah mengakui kesilapan anda dan bukannya menyalahkan dia. Kedamaian antara saudara saudari adalah sangat penting.

12 Terdapat kisah Bible yang menunjukkan bagaimana hamba Tuhan mengatasi perselisihan. Contohnya, Abraham dan anak saudaranya, Lot memiliki banyak ternakan. Para gembala mereka bertengkar kerana tidak cukup padang rumput bagi kedua-dua pihak. Untuk mengelakkan ketegangan, Abraham membiarkan Lot memilih kawasan untuk didiami keluarganya. (Kej. 13:1, 2, 5-9) Abraham menetapkan teladan yang baik! Dia mengutamakan kedamaian dan bukannya kepentingan diri. Adakah dia mengalami kerugian kerana menunjukkan kebaikan hati? Tidak. Setelah peristiwa itu, Yehuwa berjanji untuk memberkati Abraham. (Kej. 13:14-17) Tuhan tidak akan membenarkan hamba-Nya mengalami kerugian sekiranya mereka bertindak selaras dengan prinsip-Nya dan menyelesaikan perselisihan melalui kasih. [1]

13. Apakah reaksi seorang penyelia terhadap kata-kata kasar seorang saudara? Apakah yang boleh kita pelajari?

13 Fikirkan situasi ini. Seorang penyelia baru bagi bahagian konvensyen telah menelefon seorang saudara untuk memintanya menjadi sukarelawan. Namun, saudara itu menjawab dengan kasar lalu meletakkan telefon. Saudara itu pernah kecewa dengan penyelia bahagian konvensyen yang sebelumnya. Penyelia yang baru itu tidak tersinggung, namun dia juga tidak dapat membiarkan hal itu. Sejam kemudian, dia menelefon lagi saudara tersebut dan bertanya jika mereka boleh berjumpa. Seminggu kemudian, dua saudara ini bertemu di Dewan Perjumpaan. Selepas berdoa, mereka berbual selama sejam dan saudara yang kecewa itu menerangkan situasinya. Penyelia tersebut mendengar dengan simpati lalu mengongsi ayat-ayat Bible. Sejak itu, mereka mempunyai hubungan baik. Akhirnya, saudara itu menjadi sukarelawan semasa konvensyen dan bersyukur kerana penyelia tersebut melayannya dengan baik.

PATUTKAH ANDA MELIBATKAN PENATUA?

14, 15. (a) Bilakah kita harus menerapkan nasihat di Matius 18:15-17? (b) Apakah tiga langkah yang disebut oleh Yesus, dan apakah matlamat kita semasa menerapkannya?

14 Kebanyakan perselisihan yang berlaku antara rakan seiman boleh diselesaikan secara individu. Namun, Yesus menyebut beberapa situasi yang mungkin memerlukan bantuan orang lain dalam sidang. (Baca Matius 18:15-17.) Apakah yang berlaku jika pendosa tidak mahu mendengarkan rakannya, saksi, mahupun saudara yang bertanggungjawab? Dia patut dianggap “sebagai orang daripada bangsa-bangsa lain dan pemungut cukai.” Hari ini, tindakan itu disebut sebagai penyingkiran. Langkah yang serius ini menunjukkan bahawa ‘dosa’ yang dilakukan bukanlah perkara kecil. Sebaliknya, hal itu melibatkan (1) dosa yang dapat diselesaikan secara individu, tetapi juga merupakan (2) dosa serius yang boleh melibatkan penyingkiran. Dosa itu mungkin merangkumi penipuan atau merosakkan reputasi seseorang melalui fitnah. Tiga langkah yang disebut oleh Yesus hanya dapat diterapkan jika wujudnya situasi seperti itu. Dosa itu tidak merangkumi perzinaan, hubungan sejenis, kemurtadan, penyembahan berhala, atau dosa serius lain yang memang perlu ditangani oleh para penatua.

Anda mungkin perlu berbincang dengan rakan seiman beberapa kali untuk “membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan” (Lihat perenggan 15)

15 Tujuan Yesus memberikan nasihat tersebut adalah untuk membantu saudara melalui kasih. (Mat. 18:12-14) Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat itu? Pertama, kita harus berusaha untuk menyelesaikan masalah tanpa melibatkan orang lain. Anda mungkin perlu berbincang dengan pendosa itu beberapa kali. Jika gagal, bawalah orang lain yang mengetahui situasi tersebut atau yang dapat menentukan sama ada hal itu melibatkan dosa. Jika anda berjaya menyelesaikannya, anda “sudah membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan.” Anda boleh meminta bantuan penatua hanya jika usaha anda untuk membantu pendosa itu tidak berjaya.

16. Mengapakah mengikut langkah-langkah yang disebut Yesus memang cara yang baik untuk menyelesaikan perselisihan melalui kasih?

16 Dalam banyak situasi, kita tidak semestinya menggunakan kesemua tiga langkah yang disebut di Matius 18:15-17. Biasanya, pendosa itu sedar akan kesilapannya, membuat perubahan, dan tidak perlu disingkirkan daripada sidang. Orang yang tersinggung pula mungkin dapat melihat bahawa dia tidak lagi memiliki alasan yang kukuh untuk mencari kesalahan pendosa itu dan mungkin rela mengampuninya. Dalam apa sahaja situasi, kata-kata Yesus menunjukkan bahawa kita tidak perlu tergesa-gesa melibatkan para penatua sewaktu timbulnya perselisihan. Para penatua dapat membantu hanya jika anda telah mengambil dua langkah yang disebutkan dan jika terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa hal itu melibatkan dosa.

17. Apakah berkatnya jika kita ‘mengusahakan kedamaian’ dengan satu sama lain?

17 Selagi kita hidup dalam sistem Syaitan, manusia tidak akan sempurna dan akan terus menyakiti satu sama lain. Yakobus menulis, “Jika seseorang tidak pernah berbuat silap dalam pertuturannya, dia ialah orang sempurna yang dapat mengekang seluruh tubuhnya.” (Yak. 3:2) Untuk menyelesaikan perselisihan, kita perlu ‘mengusahakan kedamaian dengan tekun.’ (Mzm. 34:15) Sebagai orang yang suka damai, kita akan menikmati hubungan baik dengan rakan seiman dan mewujudkan perpaduan dalam sidang. (Mzm. 133:1-3) Yang paling penting, kita memiliki hubungan baik dengan Yehuwa, “Tuhan yang memberikan kedamaian.” (Rm. 15:33) Berkat tersebut akan dinikmati oleh mereka yang menyelesaikan perselisihan melalui kasih.

^ [1] (perenggan 12) Hamba Tuhan yang menyelesaikan masalah dengan berdamai ialah Yakub dan Esau (Kej. 27:41-45; 33:1-11); Yusuf dan adik-beradiknya (Kej. 45:1-15); serta Gideon dan orang Efraim. (Hak. 8:1-3) Anda juga mungkin dapat memikirkan contoh Bible yang lain.