Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Pergilah kepada Semua Bangsa dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

“Pergilah kepada Semua Bangsa dan Jadikanlah Mereka Pengikutku”

“Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.”—MAT. 28:19, 20.

LAGU: 141, 97

1, 2. Apakah persoalan yang timbul mengenai kata-kata Yesus di Matius 24:14?

TIDAK KIRA orang setuju atau menentang kita, ramai sedar bahawa Saksi-Saksi Yehuwa terkenal kerana melakukan kerja penyebaran. Mungkin anda pernah jumpa orang yang tidak setuju dengan kepercayaan kita, tetapi mereka menghormati kerja yang kita lakukan. Yesus telah menubuatkan bahawa berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi. (Mat. 24:14) Namun, bagaimanakah kita tahu bahawa kerja yang kita lakukan selaras dengan nubuat Yesus? Adakah kita berhak untuk mendakwa bahawa kitalah yang sedang melakukannya?

2 Banyak kumpulan agama percaya bahawa mereka sedang menyebarkan berita baik. Namun aktiviti mereka biasanya merangkumi kesaksian peribadi, khutbah di gereja, serta acara yang disiarkan melalui televisyen dan Internet. Yang lain pula melakukan kerja amal atau menyokong bidang perubatan dan pendidikan. Adakah aktiviti sebegini selaras dengan apa yang diperintahkan Yesus kepada pengikutnya?

3. Menurut Matius 28:19, 20, apakah empat perkara yang perlu dilakukan oleh pengikut Yesus?

3 Adakah pengikut Yesus menunggu orang untuk datang kepada mereka? Tidak! Selepas pembangkitannya, Yesus memberitahu ratusan pengikutnya, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Mat. 28:19, 20) Terdapat empat perkara yang harus dilakukan. Kita harus menjadikan orang murid Yesus, membaptis, dan mengajar mereka. Namun, apakah perkara pertama yang harus dilakukan? Yesus berkata, “Pergilah”! Mengenai perintah ini, seorang pakar Bible berkata, “Ungkapan ‘pergilah’ merujuk kepada tanggungjawab semua pengikut Yesus, tidak kira mereka melintasi jalan atau mengharungi lautan.”—Mat. 10:7; Luk. 10:3.

4. Apakah yang terangkum semasa kita menjadi “penjala manusia”?

4 Adakah Yesus bermaksud bahawa kerja penyebaran dilakukan oleh individu atau sebuah kumpulan yang teratur? Memandangkan seorang individu tidak dapat menginjil kepada “semua bangsa,” kerja ini perlu dilakukan secara teratur oleh ramai orang. Yesus berkata bahawa pengikutnya akan menjadi “penjala manusia.” (Baca Matius 4:18-22.) Hal ini tidak merujuk kepada nelayan yang menggunakan pancing dan umpan sambil menunggu ikan datang kepadanya. Sebaliknya, hal ini merangkumi penggunaan jala yang memerlukan kerja keras dan perancangan yang baik oleh sekumpulan nelayan.—Luk. 5:1-11.

5. Apakah empat soalan yang perlu dijawab, dan mengapa?

5 Untuk mengetahui siapa yang sedang menyebarkan berita baik mengikut cara yang dinubuatkan Yesus, kita perlu menjawab empat soalan berikut:

  • Apakah mesej yang harus disebarkan?

  • Apakah motif untuk melakukan kerja ini?

  • Apakah cara yang digunakan?

  • Seberapa luaskah kawasan liputan kerja ini dan untuk berapa lama?

Dengan menjawab soalan-soalan ini, kita dapat mengenal pasti kumpulan yang melakukan kerja ini serta menguatkan tekad kita untuk terus melakukannya.—1 Tim. 4:16.

APAKAH MESEJNYA?

6. Mengapakah kita boleh yakin bahawa Saksi-Saksi Yehuwa sedang menginjil mesej yang tepat?

6 Baca Lukas 4:43. Yesus menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” dan dia mahu pengikutnya melakukan hal yang sama. Kumpulan manakah yang menginjil tentang mesej ini kepada “semua bangsa”? Jawapannya jelas, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa. Bahkan mereka yang menentang juga setuju dengan hakikat ini. Contohnya, seorang paderi memberitahu seorang Saksi bahawa dia pernah tinggal di beberapa negara dan bertanya kepada Saksi di sana tentang mesej yang disebarkan mereka. Paderi itu berkata, “Mereka begitu bodoh kerana jawapan mereka sama sahaja: ‘Berita baik tentang Kerajaan Tuhan.’” Komen paderi itu sebenarnya membuktikan bahawa Saksi bukannya bodoh, tetapi mereka bersatu padu sebagai orang Kristian sejati. (1 Kor. 1:10) Kerajaan Tuhan juga merupakan mesej utama yang disampaikan dalam majalah Menara Pengawal. Majalah ini diterjemahkan dalam 254 bahasa dan secara purata kira-kira 59 juta naskhah dicetak bagi setiap terbitan. Inilah majalah yang paling banyak diedarkan di seluruh dunia.

7. Bagaimanakah kita tahu bahawa golongan paderi tidak menyampaikan mesej yang tepat?

7 Golongon paderi tidak menyebar tentang Kerajaan Tuhan. Jika mereka bercakap tentang Kerajaan Tuhan, mereka menganggapnya sebagai suatu perasaan atau keadaan dalam hati seseorang. (Luk. 17:21) Mereka tidak membantu orang memahami bahawa Kerajaan Tuhan ialah sebuah kerajaan yang didirikan di syurga dan Yesus Kristus ialah Rajanya. Mereka juga tidak memberitahu orang bahawa Kerajaan Tuhan akan menyelesaikan semua masalah di dunia dan melenyapkan semua kejahatan. (Why. 19:11-21) Sebaliknya, mereka hanya mengingati Yesus semasa Krismas dan Easter. Mereka sama sekali tidak tahu apa yang akan dilaksanakan oleh Yesus sebagai Pemerintah dunia baru. Memandangkan mereka tidak memahami mesej yang harus disampaikan, mereka juga tidak memahami motif melakukan kerja ini.

APAKAH MOTIF KITA?

8. Apakah motif yang salah dalam melakukan kerja penyebaran?

8 Apakah seharusnya motif untuk melaksanakan kerja penyebaran? Motif itu bukanlah untuk mengumpulkan wang dan membina bangunan yang cantik. Yesus berkata kepada pengikutnya, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.” (Mat. 10:8) Kerja penyebaran tidak patut dilibatkan dengan perniagaan. (2 Kor. 2:17, nota kaki) Orang yang mengkhabarkan berita baik tidak harus mengaut keuntungan. (Baca Kisah 20:33-35.) Walaupun arahan ini jelas, kebanyakan gereja tersimpang dan berusaha untuk mengumpulkan wang. Mereka membayar paderi dan juga banyak pekerja. Itulah sebabnya pemimpin gereja menjadi sangat kaya.—Why. 17:4, 5.

9. Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan bahawa mereka memiliki motif yang betul dalam melakukan kerja penyebaran?

9 Bagaimana pula dengan Saksi-Saksi Yehuwa? Kerja mereka disokong melalui sumbangan sukarela. (2 Kor. 9:7) Mereka tiada pungutan wang di Dewan Perjumpaan atau semasa konvensyen. Pada tahun lalu, Saksi-Saksi Yehuwa telah meluangkan 1.93 bilion jam dalam aktiviti penyebaran dan mengadakan lebih daripada sembilan juta pembelajaran Bible percuma setiap bulan. Mereka bukan sahaja tidak menerima gaji, bahkan mereka rela menanggung perbelanjaan sendiri. Mengenai kerja yang dilakukan oleh Saksi, seorang penyelidik berkata, “Tugas utama [mereka] adalah menyebar dan mengajar.” Dia juga berkata bahawa mereka dapat menjimatkan wang kerana tiada golongan paderi. Jadi, apakah motif mereka melakukan kerja ini? Mereka melakukannya dengan rela kerana mengasihi Yehuwa dan orang lain. Semangat rela mereka telah dinubuatkan di Mazmur 110:3. (Baca.)

APAKAH CARANYA?

Kita menginjil di mana sahaja orang berada (Lihat perenggan 10)

10. Apakah cara yang digunakan oleh Yesus dan pengikutnya untuk menyebarkan berita baik?

10 Apakah cara yang digunakan oleh Yesus dan pengikutnya untuk menyebarkan berita baik? Mereka mencari orang tidak kira di mana sahaja. Contohnya, mereka menginjil di tempat awam. Selain itu, mereka mencari orang dari rumah ke rumah. (Mat. 10:11; Luk. 8:1; Kis. 5:42; 20:20) Cara penyebaran yang teratur ini menunjukkan bahawa kita ingin mencapai segala macam orang.

11, 12. Mengenai kerja penyebaran, apakah perbezaan antara cara yang digunakan oleh Saksi dengan gereja?

11 Adakah gereja-gereja Kristian melakukan hal ini? Kebanyakan ahli gereja membiarkan kerja mengajar dilakukan oleh golongan paderi yang dibayar gaji. Namun, mereka tidak menjadi “penjala manusia,” tetapi hanya berfokus untuk mengekalkan bilangan ahli gereja mereka. Ada kalanya, paderi-paderi cuba menggalakkan ahli gereja untuk keluar menginjil. Contohnya, pada tahun 2001, Paus John Paul II menghantar surat: “Selama bertahun-tahun, saya menggalakkan kerja penginjilan yang baru. Sekarang juga saya melakukan hal yang sama . . . Kita harus bersemangat seperti Paulus yang berkata, ‘Malanglah aku, jika aku tidak mengkhabarkan berita baik.’” Paus itu juga mengatakan bahawa kerja ini “tidak harus dilakukan oleh sekumpulan ‘pakar’ sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab semua umat Tuhan.” Namun, adakah ahli gereja melakukan hal ini?

12 Bagaimana pula dengan Saksi-Saksi Yehuwa? Hanya mereka yang menginjil bahawa Yesus telah menjadi Raja sejak tahun 1914. Seperti yang diarahkan oleh Yesus, Saksi sangat mengutamakan kerja menginjil. (Mrk. 13:10) Sebuah buku (Pillars of Faith—American Congregations and Their Partners) menyatakan, “Bagi Saksi-Saksi Yehuwa, kerja menginjil lebih penting daripada semua hal yang lain.” Penulis buku itu juga berkata, “Mereka mencuba membantu orang yang lapar, sunyi, dan sakit, . . . tetapi mereka selalu ingat bahawa tugas utama mereka adalah mengumumkan berita tentang akhir dunia ini dan pentingnya mendapatkan penyelamatan.” Sehingga sekarang, Saksi-Saksi Yehuwa menyampaikan mesej yang sama, dengan cara yang digunakan oleh Yesus dan murid-muridnya.

SEBERAPA LUASKAH KAWASAN YANG DILIPUTI DAN UNTUK BERAPA LAMA?

13. Seberapa luaskah kawasan yang diliputi dalam kerja penyebaran?

13 Yesus menyatakan bahawa berita baik akan “disebarkan ke seluruh bumi.” (Mat. 24:14) Pengikutnya harus menginjil kepada “semua bangsa.” (Mat. 28:19, 20) Maka, hal ini melibatkan kerja di seluas dunia.

14, 15. Apakah bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa menjadikan nubuat Yesus mengenai kerja penyebaran suatu kenyataan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

14 Mari kita lihat bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa menjadikan nubuat Yesus mengenai kerja penyebaran suatu kenyataan. Pertimbangkan bukti-bukti ini. Terdapat kira-kira 600,000 paderi daripada pelbagai aliran Kristian di Amerika Syarikat. Manakala terdapat kira-kira 1.2 juta Saksi-Saksi Yehuwa di situ. Di seluruh dunia, gereja Roman Katolik memiliki sekitar 400,000 paderi. Namun terdapat lebih daripada lapan juta Saksi-Saksi Yehuwa yang mengkhabarkan berita baik secara sukarela di 240 negara dan kawasan. Sudah tentu kerja yang menakjubkan itu membawa pujian dan kemuliaan kepada Yehuwa!—Mzm. 34:2; 51:17.

15 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita ingin membantu seramai orang yang mungkin untuk mendengar berita baik sebelum akhir tiba. Oleh itu, kita berusaha untuk menterjemahkan dan menerbitkan bahan bacaan berdasarkan Bible. Jutaan buku, majalah, risalah, dan jemputan konvensyen serta jemputan Peringatan telah diedarkan secara percuma. Selain itu, kita juga menghasilkan pelbagai bahan bacaan dalam lebih daripada 700 bahasa. Lebih daripada 200 juta Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru telah dihasilkan dalam lebih daripada 130 bahasa. Pada tahun lalu, kita menghasilkan kira-kira 4.5 bilion bahan bacaan yang berdasarkan Bible. Dalam laman web rasmi kita, maklumat boleh didapati dalam lebih daripada 750 bahasa. Adakah terdapat kumpulan lain yang melakukan kerja sebegini?

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memiliki daya aktif Tuhan?

16 Berapa lama lagi kerja penyebaran akan berterusan? Yesus mengatakan bahawa kerja penyebaran sedunia ini akan berlangsung pada hari-hari terakhir, kemudian “barulah akhir akan datang.” (Mat. 24:14) Kumpulan manakah yang terus mengkhabarkan berita baik pada hari-hari terakhir? Sesetengah orang yang kita temui semasa menginjil mungkin berkata, “Kami memiliki daya aktif Tuhan.” Tetapi adakah mereka dapat terus menginjil pada hari-hari terakhir? Tidakkah cara kita melakukan kerja ini dengan tabah menunjukkan bahawa kita memiliki daya aktif Tuhan? (Kis. 1:8; 1 Ptr. 4:14) Dari semasa ke semasa, sesetengah kumpulan agama cuba melakukan apa yang dicapai oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Namun usaha mereka gagal. Ada juga yang menyertai kerja mubaligh buat suatu jangka masa, kemudian mereka kembali menjalankan kehidupan biasa. Yang lain pula cuba untuk pergi dari rumah ke rumah, tetapi apakah mesej yang disampaikan mereka? Jawapan kepada soalan ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menjalankan kerja yang dimulakan oleh Kristus.

SIAPAKAH YANG SEBENARNYA MENGKHABARKAN BERITA BAIK?

17, 18. (a) Mengapakah kita yakin bahawa hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan pada hari ini? (b) Bagaimanakah kita dapat terus melakukan kerja ini?

17 Pada hari ini, siapakah yang sebenarnya mengkhabarkan berita baik? Kita boleh menjawab dengan yakin: “Saksi-Saksi Yehuwa!” Mengapa? Kerana kita menyebarkan mesej yang tepat, iaitu berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Kita juga menggunakan cara yang betul, iaitu dengan pergi mencari orang. Kerja penyebaran kita dilakukan dengan motif yang betul, iaitu kasih dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan. Kerja kita telah meliputi kawasan yang begitu luas kerana kita berusaha mencapai orang daripada semua bangsa dan budaya. Dari tahun ke tahun, kita akan terus melakukan kerja ini tanpa henti sehingga akhir tiba.

18 Kita sangat kagum melihat pencapaian umat Tuhan pada hari-hari terakhir. Namun, bagaimanakah hal ini dapat dicapai? Rasul Paulus memberikan jawapannya dalam surat kepada orang Filipi, “Tuhan menguatkan kamu untuk melakukan hal-hal yang menyenangkan hati-Nya. Dia memberi kamu keinginan dan kekuatan untuk bertindak.” (Flp. 2:13) Semoga kita semua terus dikuatkan oleh Bapa kita yang pengasih dan bertekad untuk melaksanakan kerja penyebaran kita.—2 Tim. 4:5.