Pertanyaan Pembaca
Bagaimanakah orang Kristian menentukan sama ada sesuai untuk memberikan hadiah atau tip kepada kakitangan kerajaan?
Kita harus memikirkan beberapa faktor. Orang Kristian mesti bersikap jujur. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk mentaati undang-undang tempatan yang tidak bercanggah dengan hukum Yehuwa. (Mat. 22:21; Rm. 13:1, 2; Ibr. 13:18) Mereka juga menghormati budaya tempatan, perasaan orang, serta ‘mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri.’ (Mat. 22:39; Rm. 12:17, 18; 1 Tes. 4:11, 12) Prinsip-prinsip sedemikian membantu orang Kristian di serata dunia untuk mempunyai pandangan yang sesuai terhadap pemberian hadiah dan tip.
Di banyak tempat, orang tidak perlu memberikan apa-apa kepada kakitangan kerajaan yang menjalankan urusan rasmi. Kakitangan kerajaan menjalankan khidmat mereka kerana menerima gaji daripada kerajaan. Maka, mereka tidak meminta atau mengharapkan orang memberikan hadiah atau tip. Di banyak negara, menerima hadiah atau tip untuk menjalankan urusan rasmi adalah salah di sisi undang-undang. Pemberian sebegini dianggap rasuah, walaupun pemberian itu tidak mempengaruhi keputusan atau tindakan pegawai itu. Dalam situasi ini, orang Kristian tahu bahawa memberikan hadiah atau tip kepada kakitangan kerajaan tidak sesuai.
Namun di sesetengah tempat, undang-undang sedemikian tidak wujud atau tidak dikuatkuasakan dengan ketat. Maka, kakitangan kerajaan di sana tidak menganggap bahawa menerima hadiah atau tip adalah salah. Di sesetengah negara, kakitangan kerajaan mengambil kesempatan dan memaksa orang untuk memberikan wang atau hadiah. Mereka tidak rela menjalankan khidmat kecuali selepas mereka menerima hadiah. Misalnya, pegawai menuntut tip semasa mengesahkan perkahwinan, memproses pembayaran cukai, meluluskan permit pembinaan, dan sebagainya. Apabila pegawai tidak menerima tip, mereka sengaja membuat halangan supaya sukar bagi rakyat untuk mendapat apa yang berhak diterima mereka. Menurut satu laporan di sebuah negara, ahli-ahli bomba di situ hanya akan memadamkan kebakaran setelah mereka menerima tip.
Kel. 23:8; Ul. 16:19; Ams. 17:23.
Dalam situasi yang disebutkan di atas, sesetengah orang berasa bahawa mereka tidak dapat mengelak daripada memberikan tip. Maka, orang Kristian mungkin memandang tip ini sebagai yuran tambahan untuk mendapatkan suatu perkhidmatan. Memberikan tip untuk mendapatkan sesuatu yang berhak diterima adalah berbeza daripada memberikan tip untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sah di sisi undang-undang. Jika tindakan rasuah adalah biasa, orang Kristian harus berhati-hati supaya dapat membezakan dengan jelas apa yang betul dan apa yang salah dalam pandangan Tuhan. Di tempat di mana rasuah berleluasa, sesetengah orang memberikan rasuah kepada pegawai untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sepatutnya diterima mereka. Sesetengah orang juga memberikan rasuah kepada polis atau pegawai pemeriksaan untuk mengelak daripada membayar saman. Sememangnya, memberikan atau menerima rasuah salah kerana tindakan tersebut memutarbalikkan keadilan.—Berdasarkan hati nurani yang dilatih Bible, kebanyakan orang Kristian matang tidak memberikan tip kepada kakitangan kerajaan yang memintanya. Orang Kristian berasa bahawa perbuatan itu menggalakkan gejala rasuah. Maka, mereka tidak memberikan hadiah atau tip.
Orang Kristian matang sedar bahawa memberikan hadiah untuk mendapatkan sesuatu yang tidak berhak diterima oleh mereka boleh dianggap sebagai amalan rasuah. Namun, mereka juga mempertimbangkan keadaan tempatan. Sesetengah orang Kristian mungkin memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan, atau untuk mengelakkan pertangguhan. Contohnya, selepas mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan, orang Kristian mungkin memberikan hadiah kepada doktor atau jururawat untuk menunjukkan penghargaan. Memandangkan mereka memberikan hadiah selepas menerima rawatan, hal ini tidak bererti bahawa mereka memberikan rasuah atau meminta layanan utama.
Kita memang tidak dapat membincangkan setiap situasi yang berlaku di setiap tempat. Tidak kira apa kebiasaan tempatan, orang Kristian harus memastikan agar tindakan mereka tidak mengganggu hati nurani mereka. (Rm. 14:1-6) Mereka harus mengelakkan apa-apa tindakan yang salah di sisi undang-undang. (Rm. 13:1-7) Mereka juga mengelakkan amalan yang membawa aib kepada nama Yehuwa atau menyebabkan orang lain tersandung. (Mat. 6:9; 1 Kor. 10:32) Tindakan orang Kristian harus menunjukkan bahawa mereka mengasihi orang lain.—Mrk. 12:31.
Jika terdapat pengumuman mengenai seseorang yang diterima kembali dalam sidang, bagaimanakah kita dapat menunjukkan sukacita?
Di Lukas bab 15, Yesus menyebut tentang seorang lelaki yang memiliki 100 ekor biri-biri. Apabila seekor bebiri hilang, lelaki itu meninggalkan 99 ekor biri-biri lalu mencari bebiri yang hilang itu “sehingga dapat.” Yesus menyambung, “Apabila dia menjumpai bebiri itu, dia memikulnya pada bahu dan bersukacita. Setibanya di rumah, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bergembiralah bersamaku kerana bebiriku yang hilang sudah dijumpai.’” Akhirnya, Yesus berkata, “Aku memberitahu kamu bahawa dalam cara yang sama, seorang pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita yang lebih besar di syurga berbanding dengan 99 orang yang melakukan apa yang benar, yang tidak perlu bertaubat.”—Luk. 15:4-7.
Yesus mengatakan hal ini untuk membetulkan pandangan orang Farisi dan jurutulis hukum yang mengkritiknya kerana bergaul bersama pemungut cukai dan pendosa. (Luk. 15:1-3) Yesus berkata bahawa terdapat sukacita di syurga apabila seorang pendosa bertaubat. Oleh itu, tidakkah kita juga patut bersukacita semasa seorang pendosa bertaubat, mengubah haluan, dan meluruskan jalannya?—Ibr. 12:13.
Apabila seseorang diterima kembali, kita bersukacita. Orang itu harus tetap setia kepada Tuhan. Dia juga harus bertaubat supaya dapat diterima kembali. Kita gembira kerana dia bertaubat. Maka, tidak salah jika hadirin bertepuk tangan semasa penatua mengumumkan bahawa dia diterima kembali.
Apakah yang menyebabkan air kolam Betzata di Yerusalem “berkocak”?
Sesetengah penduduk Yerusalem pada zaman Yesus percaya bahawa mereka dapat sembuh di kolam Betzata “semasa air berkocak.” (Yoh. 5:1-7) Hasilnya, ramai orang berkumpul di sana.
Air dalam kolam ini mengalir dari kolam takungan yang terletak bersebelahan. Kedua-dua kolam ini terletak dalam bangunan yang sama. Kajian mengenai tempat ini menunjukkan bahawa dua buah kolam tersebut dipisahkan oleh sebuah empangan. Pada empangan itu, terdapat sebuah pintu yang membolehkan air mengalir masuk dari kolam takungan ke kolam Betzata melalui sebuah saluran. Apabila pintu itu dibuka, air yang mengalir dengan deras tentu menyebabkan permukaan airnya berkocak.
Ayat di Yohanes 5:4 menyatakan bahawa malaikat menyebabkan air kolam itu berkocak. Namun, ayat ini tidak didapati dalam manuskrip Yunani kuno yang terkenal, seperti Kodeks Sinaitikus pada abad yang keempat. Walaupun begitu, Yesus pernah menyembuhkan seorang lelaki di kolam Betzata yang sakit selama 38 tahun. Dia disembuhkan walaupun dia tidak memasuki kolam tersebut.