Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Konvensyen distrik tahun 2012 di Nyzhnya Apsha, Ukraine

Hasil Tuaian yang Melimpah!

Hasil Tuaian yang Melimpah!

YESUS menubuatkan bahawa para pengikutnya akan menuai hasil yang melimpah pada hari-hari terakhir. (Mat. 9:37; 24:14) Lihatlah bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan dalam cara yang istimewa di Transcarpathia, Ukraine. Terdapat tiga buah pekan yang berhampiran di situ, yang mempunyai 50 sidang dan lebih daripada 5,400 orang penyiar. * Sebenarnya, satu perempat daripada jumlah penduduk tiga buah pekan itu ialah Saksi-Saksi Yehuwa!

Bagaimanakah sambutan kerja penyebaran di situ? Vasile, seorang saudara tempatan, berkata, “Orang sini menghormati Bible, menghargai keadilan, mementingkan keluarga, dan suka membantu.” Dia menambah, “Mereka tidak selalu terima kepercayaan kami, tapi semasa kami buka ayat Bible, mereka akan beri perhatian.”

Sudah pasti, terdapat cabaran yang unik semasa menginjil di kawasan yang ada begitu ramai Saksi. Contohnya, terdapat sebuah sidang yang mempunyai 134 orang penyiar, tetapi hanya ada 50 buah rumah di kawasan sidang itu! Apakah yang akan dilakukan para penyiar?

Ramai saudara saudari bekerja keras untuk menginjil di kawasan yang lebih memerlukan bantuan. “Nisbah penyiar kepada rumah di kawasan sidang ialah 1 kepada 2,” kata Ionash, seorang saudara yang berumur 90 tahun. “Saya menginjil di pekan sendiri, tetapi sebelum kesihatan saya merosot baru-baru ini, saya juga pergi sejauh 160 km ke kawasan yang tidak dijaga oleh mana-mana sidang, untuk menginjil dalam bahasa Hungary.” Pengorbanan diperlukan untuk membantu di kawasan lain. Ionash kata, “Saya perlu bangun jam empat pagi untuk naik kereta api, dan saya menginjil sampai jam enam petang, ketika kereta api bertolak. Saya akan buat begitu dua atau tiga kali seminggu.” Apakah perasaannya tentang usaha itu? Dia berkata, “Kerja itu sangat menggembirakan. Saya berpeluang mengajarkan kebenaran kepada sebuah keluarga di kawasan terpencil.”

Sudah pasti, bukan semua penyiar di kawasan itu dapat menginjil di kawasan yang jauh, tetapi semua orang, termasuk penyiar yang berusia, berusaha meliputi kawasan tempatan dengan menyeluruh. Hasilnya, pada tahun 2017, tiga pekan itu mencatatkan jumlah hadirin Peringatan sebanyak dua kali ganda jumlah penyiar, atau separuh daripada jumlah semua penduduk. Sesungguhnya, tidak kira di mana kita berada, kita dapat “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.”​—1 Kor. 15:58.

^ per. 2 Nama tiga buah pekan itu ialah Hlybokyy Potik, Serednye Vodyane, dan Nyzhnya Apsha.