Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda​—Lawanlah Iblis dengan Teguh

Kaum Muda​—Lawanlah Iblis dengan Teguh

“Kenakanlah seluruh perlengkapan perang daripada Tuhan supaya kamu dapat berdiri teguh untuk melawan muslihat Iblis yang licik.”​—EF. 6:11.

LAGU: 79, 140

1, 2. (a) Mengapakah orang muda Kristian dapat mengalahkan Syaitan dan roh-roh jahat? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang akan kita bincangkan?

RASUL PAULUS menyamakan orang Kristian dengan askar di medan perang. Namun, kita bukannya melawan manusia. Pertempuran kita bersifat rohani, dan musuh kita ialah Syaitan dan roh-roh jahat. Mereka sangat berkuasa, mahir, dan berpengalaman, jadi nampaknya mustahil kita dapat menang, terutamanya orang Kristian muda. Namun, hakikatnya ialah orang muda dapat menang, dan ramai antara mereka sudah berjaya. Mengapa? Kerana mereka ‘terus memperoleh kuasa daripada Tuan kita.’ Selain itu, seperti askar yang terlatih, mereka juga memakai “seluruh perlengkapan perang daripada Tuhan.”​—Baca Efesus 6:10-12.

2 Perumpamaan Paulus mungkin diambil daripada perlengkapan perang askar Roma. (Kis. 28:16) Sekarang, kita akan mengupas perumpamaan tersebut. Perhatikan juga apa yang dikatakan anak muda kita tentang cabaran dan manfaat yang diraih kerana memakai setiap bahagian perlengkapan perang rohani itu.

Adakah Anda Memakai Seluruh Perlengkapan Perang Anda?

TALI PINGGANG KEBENARAN

3, 4. Mengapakah kebenaran Bible ibarat tali pinggang askar Roma?

3 Baca Efesus 6:14. Tali pinggang askar Roma mempunyai kepingan besi yang melindungi pinggang askar dan membantu menampung berat baju perangnya. Sesetengah tali pinggang juga ada penyepit yang kukuh untuk membawa pedang dan pisau. Seorang askar yang memakai tali pinggangnya dengan ketat dapat berdiri teguh di medan perang.

4 Begitu juga, kebenaran yang kita belajar dalam Firman Tuhan melindungi kita daripada ajaran palsu. (Yoh. 8:31, 32; 1 Yoh. 4:1) Apabila kita semakin mencintai kebenaran Bible, semakin mudah bagi kita untuk memakai “perisai dada” kita, iaitu untuk hidup selaras dengan piawaian Tuhan yang benar. (Mzm. 111:7, 8; 1 Yoh. 5:3) Tambahan pula, jika kita memahami kebenaran Bible dengan jelas, kita dapat mempertahankan kebenaran itu dengan yakin semasa disoal penentang.​—1 Ptr. 3:15.

5. Mengapakah kita harus bercakap benar?

5 Jika kebenaran Bible sentiasa “diikatkan” pada diri kita, kita akan terdorong untuk hidup selaras dengannya dan sentiasa bercakap benar. Mengapakah kita ingin menjauhi dusta? Dusta merupakan salah satu senjata Syaitan yang paling berbahaya. Dusta mampu menyakiti orang yang mengucapkannya dan orang yang mempercayainya. (Yoh. 8:44) Jadi, biarpun kita tidak sempurna, kita berusaha agar tidak berbohong. (Ef. 4:25) Hal itu tidak mudah. Abigail yang berusia 18 tahun berkata, “Ada kalanya, bercakap benar nampaknya merugikan, terutamanya apabila bercakap bohong dapat melepaskan kamu daripada masalah.” Jadi mengapakah dia berusaha untuk sentiasa bercakap benar? “Jika saya jujur, saya ada hati nurani yang bersih di hadapan Yehuwa. Ibu bapa dan kawan-kawan pun akan percaya kepada saya,” katanya. Victoria, 23 tahun, berkata, “Semasa kamu bercakap benar dan berpegang teguh pada pendirian, kamu mungkin dibuli, tetapi manfaatnya sangat besar: Kamu jadi lebih yakin, kamu akan lebih rapat dengan Yehuwa, dan kamu akan dihormati orang yang mengasihimu.” Ya, usaha untuk sentiasa memakai tali pinggang kebenaran memang berbaloi!

Tali pinggang kebenaran (Lihat perenggan 3-5)

PERISAI DADA​—KELAKUAN YANG BENAR

6, 7. Mengapakah piawaian Yehuwa yang benar bagaikan perisai dada?

6 Askar Roma abad pertama mempunyai sejenis perisai dada yang dibuat daripada kepingan besi melintang yang berlapis. Kepingan besi itu dibengkokkan mengikut bentuk dadanya, dan disambungkan kepada pengikat kulit dengan menggunakan cangkuk dan kancing besi. Bahu askar itu juga dilindungi dengan kepingan besi yang disambungkan kepada pengikat kulit. Pakaian sebegini menyekat sesetengah pergerakan askar dan perlu diperiksa secara tetap untuk memastikan kepingan besi itu kekal di tempatnya. Namun pakaian itu akan melindungi jantung dan organ lain daripada ditusuk pedang atau anak panah.

7 Seperti perisai dada itu, piawaian Yehuwa yang benar dapat melindungi hati kita. (Ams. 4:23) Seorang askar tidak akan menukar perisai dada besi dengan perisai dada yang diperbuat daripada logam yang lebih lemah. Begitu juga, kita tidak ingin menukar piawaian Yehuwa dengan piawaian diri sendiri, kerana kita tidak cukup bijak untuk melindungi hati sendiri. (Ams. 3:5, 6) Itulah sebabnya kita mesti memastikan “perisai dada” daripada Yehuwa sentiasa diikatkan pada hati kita.

8. Apakah manfaatnya berpegang pada piawaian Yehuwa?

8 Pernahkah anda berasa bahawa piawaian Yehuwa membebankan atau menyekat kebebasan anda? Daniel, 21 tahun, berkata, “Saya ditertawakan guru dan rakan kelas kerana saya hidup menurut piawaian Bible. Buat seketika, saya hilang keyakinan dan rasa murung.” Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Saya kemudiannya melihat bahawa hidup mengikut piawaian Yehuwa memang berfaedah. Sesetengah ‘kawan’ saya mula mengambil dadah; ada yang berhenti sekolah. Kehidupan mereka sangat menyedihkan. Yehuwa betul-betul melindungi kita.” Madison, 15 tahun, berkata, “Saya perlu bergelut untuk berpegang pada prinsip Yehuwa dan tidak mengikut kegiatan yang dianggap seronok oleh rakan sebaya.” Apakah yang membantunya? “Saya mengingatkan diri bahawa saya menyandang nama Yehuwa, dan godaan yang saya hadapi ialah serangan daripada Syaitan. Saya berasa bangga apabila saya menang dalam pergelutan itu.”

Kelakuan yang benar sebagai perisai dada (Lihat perenggan 6-8)

KASUT​—“KESEDIAAN UNTUK MENGISYTIHARKAN BERITA BAIK TENTANG KEDAMAIAN”

9-11. (a) Apakah “kasut” yang dipakai oleh orang Kristian? (b) Apakah yang dapat membantu kita menginjil dengan lebih selesa?

9 Baca Efesus 6:15. Askar Roma yang tidak berkasut tidak dapat turun ke medan perang. Kasut mereka mempunyai tiga lapisan kulit, dan direka supaya selesa, tahan lasak, dan tidak mudah tergelincir.

10 Kasut askar Roma dipakai untuk tujuan perang, tetapi “kasut” orang Kristian dipakai untuk menyebarkan berita kedamaian. (Yes. 52:7; Rm. 10:15) Namun begitu, mereka perlu berani untuk menginjil. Bo yang berumur 20 tahun berkata, “Dulu saya takut untuk memberikan kesaksian kepada rakan kelas. Saya rasa sebabnya ialah saya malu, tetapi sebenarnya saya tiada alasan untuk berasa malu. Sekarang saya gembira memberikan kesaksian kepada rakan sebaya.”

11 Ramai orang muda mendapati bahawa mereka akan lebih selesa memberikan kesaksian jika mereka membuat persiapan terlebih dahulu. Apakah persiapan yang dapat dilakukan? “Saya bawa bahan bacaan dalam beg sekolah,” kata Julia, 16 tahun, “dan saya dengar pendapat dan kepercayaan rakan kelas saya. Dengan itu, saya dapat fikir cara untuk bantu mereka. Apabila saya bersedia, saya dapat bercakap tentang topik spesifik yang berguna untuk mereka.” Makenzie, 23 tahun, berkata, “Jika kamu baik hati dan dengar dengan teliti, kamu akan tahu masalah rakan sebaya kamu. Saya akan baca semua maklumat yang disediakan untuk kaum muda, supaya saya dapat menunjukkan ayat Bible atau bahan di jw.org yang berfaedah untuk orang muda lain.” Ya, persiapan yang baik untuk menginjil adalah seperti kasut yang padan dan selesa.

Kesediaan untuk menginjil sebagai kasut (Lihat perenggan 9-11)

“PERISAI BESAR IMAN”

12, 13. Apakah sesetengah “anak panah berapi” daripada Syaitan?

12 Baca Efesus 6:16. “Perisai besar” askar Roma berbentuk segi empat dan menutupi bahagian bahu sampai lutut. Perisai itu dapat melindungi askar yang dihentam senjata atau dihujani anak panah.

13 Sesetengah “anak panah berapi” daripada Syaitan ialah dusta tentang Yehuwa. Dia ingin anda berasa bahawa Yehuwa tidak menyayangi anda dan tidak ambil berat tentang anda. Ida yang berusia 19 tahun berkata, “Saya sering berasa bahawa Yehuwa tidak mahu mendekati saya atau menjadi Sahabat saya.” Bagaimanakah dia menangkis serangan itu? “Perjumpaan amat menguatkan iman saya. Dulu saya duduk diam sahaja kerana fikir tiada orang mahu dengar komen saya. Sekarang, saya buat persiapan dan cuba komen dua atau tiga kali. Memang susah, tetapi saya rasa gembira setelah melakukannya. Saudara saudari juga sangat menggalakkan. Saya selalu pulang dari perjumpaan dengan keyakinan bahawa Yehuwa mengasihi saya.”

14. Apakah yang kita belajar daripada pengalaman Ida?

14 Pengalaman Ida menegaskan satu kebenaran yang penting: Saiz perisai yang dipegang seorang askar tidak akan berubah, tetapi kita dapat menentukan sama ada saiz perisai iman kita bertambah besar atau mengecut. (Mat. 14:31; 2 Tes. 1:3) Maka, amatlah penting untuk terus membina iman sendiri!

Perisai besar iman (Lihat perenggan 12-14)

“PENYELAMATAN SEBAGAI TOPI BESI”

15, 16. Bagaimanakah harapan ibarat topi besi?

15 Baca Efesus 6:17. Topi besi askar Roma bertujuan melindungi kepala, leher, dan muka. Sesetengah topi besi mempunyai pemegang supaya dapat dibawa dengan tangan.

16 Sebagaimana topi besi dapat melindungi otak askar, “harapan penyelamatan” dapat melindungi akal fikiran kita. (1 Tes. 5:8; Ams. 3:21) Harapan itu membolehkan kita bertumpu kepada janji-janji Tuhan dan mempunyai pandangan yang wajar terhadap masalah kita. (Mzm. 27:1, 14; Kis. 24:15) Namun, jika kita ingin terus dilindungi “topi besi” ini, kita mesti memakainya pada kepala dan bukan memegangnya dalam tangan!

17, 18. (a) Apakah yang mungkin dilakukan Syaitan supaya kita menanggalkan topi besi kita? (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita tidak ditipu oleh Syaitan?

17 Apakah yang mungkin dilakukan Syaitan supaya kita menanggalkan topi besi kita? Fikirkan cara dia menggoda Yesus. Syaitan tahu bahawa Yesus diberi harapan untuk memerintah umat manusia. Tetapi Yesus perlu menunggu sehingga waktu yang ditetapkan Yehuwa, dan dia perlu menderita dan mati terlebih dahulu. Jadi Syaitan menawarkan peluang untuk mencapai harapan itu lebih awal. Syaitan mengatakan bahawa jika Yesus menyembahnya satu kali, dia akan memiliki segala-galanya dengan segera. (Luk. 4:5-7) Begitu juga, Syaitan tahu bahawa Yehuwa memberi kita harapan untuk hidup makmur di dunia baharu. Tetapi kita perlu menunggu, dan kita mungkin hidup susah sementara menunggu. Jadi Syaitan menawarkan kesempatan untuk menikmati kemakmuran sekarang juga. Syaitan ingin kita mengutamakan keselesaan diri dan membiarkan Kerajaan Tuhan menduduki tangga kedua.​—Mat. 6:31-33.

18 Seperti ramai orang muda Kristian, Kiana yang berumur 20 tahun tidak ditipu oleh Syaitan. “Saya tahu Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada semua masalah kita,” katanya. Bagaimanakah harapan yang kukuh itu mempengaruhi fikiran dan tindakannya? Kiana menjelaskan, “Harapan bumi Firdaus bantu saya mempunyai pandangan yang seimbang terhadap hal-hal di dunia ini. Saya tidak guna bakat sendiri untuk cari wang atau pangkat tinggi. Sebaliknya, saya melaburkan masa dan tenaga untuk mengejar matlamat rohani.”

Topi besi penyelamatan (Lihat perenggan 15-18)

BIBLE—“PEDANG YANG DIBERIKAN OLEH KUASA SUCI TUHAN”

19, 20. Bagaimanakah kita dapat menggunakan Firman Tuhan dengan lebih mahir?

19 Pedang askar Roma pada zaman Paulus berukuran 50 cm panjang. Askar Roma berlatih menggunakan pedang setiap hari, itulah satu sebab mereka begitu mahir.

20 Paulus menyamakan Firman Tuhan dengan pedang yang dikurniakan Yehuwa. Namun, kita perlu belajar untuk menggunakan pedang itu dengan mahir, tidak kira semasa mempertahankan kepercayaan kita atau semasa membetulkan fikiran sendiri. (2 Kor. 10:4, 5; 2 Tim. 2:15) Bagaimanakah anda dapat mengasah kemahiran itu? Sebastian, 21 tahun, berkata, “Saya mencatatkan satu ayat daripada setiap bab semasa membaca Bible, dan menambahkannya kepada senarai ayat kegemaran saya. Saya rasa hal itu menyelaraskan fikiran saya dengan fikiran Yehuwa.” Daniel yang disebut tadi berkata, “Semasa membaca Bible, saya pilih ayat yang saya rasa berguna untuk orang di kawasan penyebaran. Kita akan dapat sambutan yang lebih baik apabila orang lain nampak kita mencintai Bible dan berusaha membantu mereka.”

Pedang yang diberikan kuasa suci Tuhan (Lihat perenggan 19-20)

21. Mengapakah kita tidak perlu takut akan Syaitan dan roh-roh jahat?

21 Pengalaman-pengalaman kaum muda dalam rencana ini telah menunjukkan bahawa kita tidak perlu takut akan Syaitan dan roh-roh jahat. Musuh kita memang kuat, tetapi mereka dapat dikalahkan, dan mereka tidak akan hidup selama-lamanya. Mereka akan dikurung semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus dan dimusnahkan pada akhirnya. (Why. 20:1-3, 7-10) Kita sudah mengenali musuh kita, helahnya, dan niatnya. Maka dengan bantuan Yehuwa, kita pasti dapat berdiri teguh dan melawannya!