Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Mengasihi Orang yang “Membuahkan Hasil dengan Tabah”

Yehuwa Mengasihi Orang yang “Membuahkan Hasil dengan Tabah”

“Benih yang jatuh di tanah yang subur pula ialah orang yang . . . membuahkan hasil dengan tabah.”​—LUK. 8:15.

LAGU: 68, 72

1, 2. (a) Mengapakah kita digalakkan oleh saudara saudari yang terus menginjil di kawasan yang sambutannya dingin? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah yang dikatakan Yesus mengenai kerja penyebaran di “kampung halamannya”? (Lihat nota kaki.)

SERGIO DAN OLINDA ialah sepasang suami isteri perintis di Amerika Syarikat yang berusia 80-an. Belakangan ini, walaupun mereka sakit kaki, mereka akan berjalan ke satu kawasan yang sibuk di bandar, berdiri berdekatan sebuah perhentian bas bermula jam tujuh pagi, dan menawarkan bahan bacaan Bible kepada orang yang lalu-lalang. Kebanyakan orang tidak menghiraukan mereka, tetapi mereka terus berdiri di situ dan senyum kepada orang yang memandang mereka. Kemudian, mereka akan berjalan pulang pada waktu tengah hari. Keesokan paginya pada jam tujuh, mereka akan berada di situ lagi. Itulah amalan mereka selama puluhan tahun, enam hari setiap minggu, sepanjang tahun.

2 Seperti Sergio dan Olinda, ramai saudara saudari yang setia di serata dunia telah menginjil selama puluhan tahun di kampung halaman mereka walaupun disambut dingin. Jika itulah situasi anda, kami memuji anda atas ketabahan anda. * Kesetiaan anda amat menggalakkan, bahkan bagi rakan seiman yang berpengalaman. Beberapa orang penyelia litar pernah berkata, “Semasa saya menginjil bersama saudara saudari sebegini, teladan mereka menguatkan saya.” “Kesetiaan mereka menggalakkan saya agar bertabah dan terus menginjil dengan berani.” “Contoh mereka menyentuh hati saya.”

3. Apakah tiga soalan yang akan kita bincangkan? Mengapa?

3 Sekarang, mari kita bincangkan tiga soalan berikut: Mengapakah kita ada kalanya berasa tawar hati? Bagaimanakah kita membuahkan hasil? Apakah yang dapat membantu kita terus membuahkan hasil dengan tabah? Jawapannya akan menguatkan tekad kita untuk menyempurnakan kerja penyebaran yang telah diamanahkan kepada kita.

MENGAPAKAH KITA BERASA TAWAR HATI?

4. (a) Bagaimanakah reaksi kebanyakan orang Yahudi mempengaruhi Paulus? (b) Mengapakah Paulus berasa begitu?

4 Jika anda pernah rasa tawar hati kerana sambutan dingin di kawasan anda, anda akan memahami perasaan Rasul Paulus. Dia menghabiskan kira-kira 30 tahun untuk menginjil, dan dia telah membantu ramai orang menjadi pengikut Kristus. (Kis. 14:21; 2 Kor. 3:2, 3) Namun, dia tidak berjaya membantu ramai orang Yahudi untuk menjadi orang Kristian. Kebanyakan antara mereka enggan mendengarnya, dan ada yang bahkan menganiayanya. (Kis. 14:19; 17:1, 4, 5, 13) Bagaimanakah reaksi itu mempengaruhi Paulus? Dia mengaku, “Aku sangat berdukacita dan sangat sakit hati.” (Rm. 9:1-3) Mengapakah Paulus berasa begitu? Dia amat mencintai kerja penyebaran, dan dia sangat mengasihi orang Yahudi. Maka dia sakit hati semasa melihat mereka menolak belas kasihan Tuhan.

5. (a) Apakah yang mendorong kita untuk menginjil? (b) Mengapakah kita ada kalanya berasa tawar hati?

5 Seperti Paulus, kita menginjil kerana kita mengambil berat terhadap orang lain dan ingin membantu mereka. (Mat. 22:39; 1 Kor. 11:1) Daripada pengalaman sendiri, kita tahu bahawa orang yang menyembah Yehuwa akan menikmati berkat yang melimpah. Kita sering terfikir, “Alangkah baiknya kalau mereka dapat tahu tentang semua berkat itu!” Maka, kita terus menggalakkan mereka untuk belajar kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya bagi manusia. Semasa menginjil, kita seolah-olah berkata kepada orang, “Sila terima hadiah yang istimewa ini.” Jadi, apabila orang enggan menerima hadiah itu, tidak hairanlah kita berasa “sakit hati.” Kita berasa begitu, bukan kerana kita kurang iman, tetapi kerana kita mencintai kerja penyebaran. Maka, walaupun kita ada kalanya berasa tawar hati, kita terus menginjil dengan tabah. Kita pasti setuju dengan kata-kata Elena, seorang perintis yang telah berkhidmat lebih daripada 25 tahun: “Saya rasa kerja penyebaran itu susah. Tetapi saya lebih rela melakukan kerja itu daripada kerja yang lain.”

BAGAIMANAKAH KITA MEMBUAHKAN HASIL?

6. Soalan apakah yang akan kita jawab, dan bagaimana?

6 Mengapakah kita dapat yakin bahawa kita dapat membuahkan hasil tidak kira di mana kita menginjil? Untuk menjawab soalan ini, mari kita mengkaji dua perumpamaan Yesus tentang pentingnya “membuahkan hasil.” (Mat. 13:23) Perumpamaan yang pertama adalah tentang pokok anggur.

7. (a) Siapakah yang dilambangkan oleh “peladang anggur,” “pokok anggur,” dan “carang-carangnya”? (b) Kita ingin mencari jawapan kepada soalan apa?

7 Baca Yohanes 15:1-5, 8. Yesus memberitahu rasul-rasulnya, “Bapaku dimuliakan jika kamu terus menghasilkan banyak buah dan membuktikan bahawa kamu ialah murid-muridku.” Yehuwa ialah “peladang anggur,” Yesus ialah “pokok anggur yang sejati,” dan murid-murid Yesus ialah “carang-carangnya.” * Apakah buah yang perlu dihasilkan oleh para pengikut Kristus? Yesus tidak menyebut jawapannya secara spesifik, tetapi dia memberi kita satu petunjuk yang penting.

8. (a) Mengapakah buah dalam perumpamaan ini tidak melambangkan murid-murid baharu? (b) Apakah yang kita yakin tentang arahan daripada Yehuwa?

8 Yesus mengatakan bahawa Bapanya ‘akan membuang setiap carang yang tidak berbuah.’ Dalam kata lain, Yehuwa akan menerima kita sebagai hamba-Nya hanya jika kita menghasilkan buah. (Mat. 13:23; 21:43) Adakah buah itu merujuk kepada murid-murid baharu? Jika ya, Saksi-Saksi yang bekerja keras tetapi tidak berjaya membantu orang menjadi murid Yesus, akan dianggap sebagai ‘carang yang tidak berbuah.’ (Mat. 28:19) Kesimpulan sebegini tidak masuk akal! Kita tidak boleh memaksa orang untuk mengikut Yesus, dan Bapa kita yang pengasih tidak akan menghakimi kita berdasarkan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Yehuwa hanya akan memberi kita arahan yang mampu kita laksanakan.​—Ul. 30:11-14.

9. (a) Kita membuahkan hasil dengan melakukan kerja apa? (b) Apakah perumpamaan yang akan kita kaji, dan mengapa?

9 Jadi, apakah buah yang mesti kita hasilkan? Jelaslah, buah itu merujuk kepada kegiatan yang mampu kita masing-masing lakukan. Apakah kegiatan itu? Kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. * (Mat. 24:14) Perumpamaan Yesus tentang seorang petani menjelaskan hal ini, jadi marilah kita mengkajinya.

10. (a) Dalam perumpamaan ini, apakah yang dilambangkan oleh benih dan tanah? (b) Apakah buah yang dihasilkan oleh tangkai gandum?

10 Baca Lukas 8:5-8, 11-15. Dalam perumpamaan ini, benih melambangkan “firman Tuhan,” atau berita tentang Kerajaan-Nya. Tanah pula melambangkan hati manusia. Benih yang jatuh di atas tanah yang subur telah bertunas dan bertumbuh lalu “menghasilkan buah seratus kali ganda.” Jika benih gandum ditaburkan, apakah buah yang akan dihasilkan oleh tangkainya? Tangkai gandum kecil? Tidak. Tangkai itu menghasilkan benih, yang kemudiannya bertumbuh menjadi tangkai gandum. Dalam perumpamaan ini, sebiji benih telah menghasilkan seratus biji benih. Apakah kaitan hal ini dengan kerja penyebaran kita?

Bagaimanakah kita dapat “membuahkan hasil dengan tabah”? (Lihat perenggan 11)

11. (a) Apakah kaitan perumpamaan tentang petani dengan kerja penyebaran kita? (b) Bagaimanakah kita menghasilkan “benih” Kerajaan Tuhan?

11 Semasa ibu bapa kita atau Saksi-Saksi lain memberitahu kita tentang Kerajaan Tuhan, mereka seperti menanam benih di tanah yang baik. Mereka sangat gembira semasa kita sudi menerima berita tentang Kerajaan Tuhan dan terus berpegang padanya. Akhirnya, “benih” itu berakar dalam hati kita dan bertumbuh sehingga dapat menghasilkan buah. Sebagaimana tangkai gandum yang disebut tadi menghasilkan benih baharu dan bukannya tangkai baharu, kita menghasilkan “benih” Kerajaan Tuhan dan bukannya murid-murid baharu. * Bagaimanakah kita menghasilkan “benih” itu? Setiap kali kita mengisytiharkan Kerajaan Tuhan, kita sedang menaburkan benih yang dahulunya ditanam di hati kita. (Luk. 6:45; 8:1) Maka, perumpamaan ini menegaskan bahawa selagi kita terus mengumumkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kita sedang “membuahkan hasil dengan tabah.”

12. (a) Apakah yang dapat kita belajar daripada perumpamaan Yesus tentang pokok anggur dan petani? (b) Apakah perasaan anda setelah mengetahui hal itu?

12 Apakah yang dapat kita belajar daripada perumpamaan Yesus tentang pokok anggur dan petani? Kita belajar bahawa kebolehan kita untuk menghasilkan buah tidak bergantung pada sambutan orang di kawasan penyebaran kita. Sebaliknya, kesetiaan kita ialah kuncinya. Paulus juga menyebut tentang kebenaran ini semasa dia berkata, “Setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing.” (1 Kor. 3:8) Ya, kita akan diberi ganjaran menurut kerja kita, bukannya hasil kerja kita. Matilda yang telah merintis selama 20 tahun berkata, “Saya rasa gembira kerana Yehuwa memberikan ganjaran atas usaha kita.”

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MEMBUAHKAN HASIL DENGAN TABAH?

13, 14. Menurut Roma 10:1, 2, mengapakah Paulus tidak berhenti menginjil?

13 Apakah yang dapat membantu kita terus membuahkan hasil dengan tabah? Sebelum ini, kita telah belajar bahawa Paulus berasa tawar hati kerana orang Yahudi enggan menerima berita tentang Kerajaan Tuhan. Namun, dia tidak berhenti menginjil kepada mereka. Dalam suratnya kepada orang Kristian di Roma, Paulus menulis, “Aku ingin agar orang Israel diselamatkan, dan aku merayu kepada Tuhan tentang hal itu. Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi mereka berbuat demikian tanpa pengetahuan yang tepat.” (Rm. 10:1, 2) Jadi, mengapakah Paulus terus menginjil?

14 Pertama, Paulus terus menginjil kepada orang Yahudi kerana dia “ingin agar orang Israel diselamatkan.” Kedua, Paulus “merayu kepada Tuhan” bagi pihak mereka. Dia merayu agar Yehuwa membantu sesetengah orang Yahudi untuk menerima berita tentang Kerajaan Tuhan. Ketiga, Paulus menyatakan, “Mereka berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar.” Dia nampak sifat-sifat baik dan potensi mereka. Paulus tahu bahawa orang Yahudi yang bersemangat itu dapat menjadi pengikut Kristus yang bersemangat, seperti yang berlaku kepada dirinya.

15. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Paulus? Berikan contoh.

15 Bagaimanakah kita dapat mencontohi Paulus? Pertama, kita berusaha memupuk keinginan untuk mencari orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.” Kedua, kita merayu kepada Yehuwa agar membuka hati orang yang ikhlas. (Kis. 13:48; 16:14) Silvana, yang merintis untuk hampir 30 tahun, berkata, “Sebelum pergi ke sebuah rumah, saya akan berdoa agar Yehuwa membantu saya bersikap positif.” Kita juga berdoa agar malaikat Tuhan membimbing kita untuk mencari orang yang berhati jujur. (Mat. 10:11-13; Why. 14:6) Robert, seorang perintis yang berkhidmat lebih daripada 30 tahun, berkata, “Saya teruja untuk bekerja bersama malaikat. Mereka tahu apa yang sedang terjadi dalam kehidupan penghuni rumah.” Ketiga, kita berusaha melihat potensi orang lain. Carl, seorang penatua yang dibaptis lebih daripada 50 tahun, berkata, “Saya cari tanda-tanda kecil yang menunjukkan keikhlasan mereka, seperti senyuman, wajah yang mesra, atau soalan yang ikhlas.” Ya, seperti Paulus, kita dapat terus membuahkan hasil dengan tabah.

“JANGANLAH BEREHAT”

16, 17. (a) Apakah yang kita belajar daripada nasihat di Pengkhutbah 11:6? (b) Apakah kesan kerja penyebaran kita terhadap orang yang memperhatikan kita?

16 Walaupun berita yang kita khabarkan nampaknya tidak mencapai hati orang, janganlah meremehkan kesan kerja penyebaran kita. (Baca Pengkhutbah 11:6.) Ramai orang memang tidak dengar, tetapi mereka sedang memperhatikan kita. Mereka nampak pakaian kita yang kemas, kelakuan kita yang sopan, dan senyuman kita yang mesra. Akhirnya, pandangan mereka yang negatif mungkin berubah. Sergio dan Olinda telah memerhatikan perubahan sebegini.

17 Sergio berkata, “Kami jatuh sakit dan tidak dapat menginjil di tempat itu buat suatu ketika. Semasa kami kembali ke situ, orang yang lalu bertanya, ‘Kamu pergi mana? Lama tak jumpa.’” Olinda menambah, “Pemandu bas melambai-lambai kepada kami, dan ada yang menjerit, ‘Bagus kerja kamu!’ Mereka juga minta majalah kami.” Seorang lelaki bahkan singgah di rak mereka untuk menghadiahkan sejambak bunga dan mengucapkan terima kasih atas kerja mereka.

18. Mengapakah anda bertekad untuk “membuahkan hasil dengan tabah”?

18 Selagi kita ‘tidak berehat’ daripada kerja menabur benih Kerajaan Tuhan, kita sedang membantu memberikan “kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Penting sekali, kita akan sangat bersukacita kerana kita tahu bahawa Yehuwa mengasihi dan berkenan kepada semua orang yang “membuahkan hasil dengan tabah”!

^ per. 2 Yesus juga sedar bahawa bukan senang untuk menginjil di “kampung halamannya” sendiri. Kenyataan itu dicatatkan oleh Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes.​—Mat. 13:57; Mrk. 6:4; Luk. 4:24; Yoh. 4:44.

^ per. 7 Meskipun carang-carang anggur dalam perumpamaan ini merujuk kepada mereka yang berpeluang hidup di syurga, pengajarannya bermanfaat untuk semua hamba Tuhan.

^ per. 9 Buah yang kita perlu hasilkan juga merangkumi “buah kuasa suci Tuhan.” Tetapi dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan bertumpu kepada “buah yang kita persembahkan dengan bibir,” iaitu kerja memberitakan Kerajaan Tuhan.​—Gal. 5:22, 23; Ibr. 13:15.

^ per. 11 Pada masa yang lain, Yesus menggunakan kerja menabur benih dan menuai untuk menggambarkan kerja menjadikan orang muridnya.​—Mat. 9:37; Yoh. 4:35-38.