RENCANA PEMBELAJARAN 19
Buku Wahyu—Kaitannya dengan Anda Hari Ini
“Berbahagialah orang yang membaca nubuat ini dengan suara yang lantang.”—WHY. 1:3.
LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!
PENGENALAN *
1-2. Mengapakah kita harus berminat untuk mengkaji buku Wahyu?
PERNAHKAH anda dijemput untuk melihat album foto milik seseorang? Kemungkinan besar, anda tidak kenal kebanyakan orang dalam foto-fotonya. Namun ada satu foto yang menarik perhatian anda. Mengapa? Kerana anda ada dalam foto itu. Sambil meneliti foto itu, anda cuba untuk ingat kembali bila dan di mana foto itu diambil, dan siapa orang yang ada dalam foto itu. Foto itu istimewa kerana berkaitan dengan anda.
2 Seperti foto itu, buku Wahyu berkaitan dengan kita. Mengapakah kita berkata demikian? Terdapat sekurang-kurangnya dua sebab. Pertama, buku itu ditulis untuk kita. Ayat pertama buku Wahyu berbunyi, “Penyingkapan daripada Yesus Kristus yang disampaikan oleh Tuhan kepadanya, agar dia dapat menunjukkan kepada hamba-hamba Tuhan hal-hal yang mesti segera berlaku.” (Why. 1:1) Ya, buku ini ditulis, bukan untuk orang ramai, tetapi untuk kita, iaitu hamba-hamba Tuhan. Jadi, semasa mengkaji buku Wahyu, kita tidak berasa hairan semasa mendapat tahu bahawa nubuat-nubuat dalam buku itu berkaitan dengan kita.
3-4. Bilakah nubuat-nubuat dalam buku Wahyu menjadi kenyataan? Setelah mengetahui hal itu, apakah yang perlu kita lakukan?
3 Sebab kedua buku Wahyu berkaitan dengan kita adalah kerana nubuat-nubuat dalam buku itu akan berlaku pada zaman kita. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Rasul Yohanes: “Di bawah ilham kuasa suci Tuhan, aku berada pada hari Tuan.” (Why. 1:10) Semasa Yohanes menulis kata-kata itu, iaitu sekitar tahun 96 M, “hari Tuan” masih jauh di masa depan. (Mat. 25:14, 19; Luk. 19:12) Namun menurut nubuat Bible, “hari Tuan” bermula pada tahun 1914 semasa Yesus menjadi Raja di syurga. Sejak tahun itu, nubuat-nubuat dalam buku Wahyu yang melibatkan umat Tuhan mula menjadi kenyataan. Ya, kita sedang hidup pada “hari Tuan”!
4 Memandangkan kita hidup pada masa yang begitu mendebarkan, kita perlu mendengarkan nasihat di Wahyu 1:3 yang menyatakan, “Berbahagialah orang yang membaca nubuat ini dengan suara yang lantang, dan berbahagialah orang yang mendengar kata-kata dalam nubuat ini dan mematuhi apa yang tertulis dalamnya kerana waktu yang ditetapkan sudah dekat.” Ya, kita perlu “membaca nubuat ini dengan suara yang lantang,” “mendengar kata-kata dalam nubuat ini,” dan “mematuhi apa yang tertulis dalamnya.” Apakah sesetengah hal yang perlu kita patuhi?
PASTIKAN IBADAT ANDA DITERIMA OLEH YEHUWA
5. Bagaimanakah buku Wahyu menunjukkan bahawa kita perlu memastikan agar ibadat kita diterima oleh Yehuwa?
5 Bahagian permulaan buku Wahyu menjelaskan bahawa Yesus tahu benar apa yang berlaku dalam sidang-sidangnya. (Why. 1:12-16, 20; 2:1) Hal ini dibuktikan menerusi kata-katanya kepada tujuh buah sidang di Asia Kecil. Kata-kata Yesus itu mengandungi arahan terperinci tentang apa yang perlu dilakukan oleh orang Kristian abad pertama agar ibadat mereka diterima oleh Yehuwa. Kata-kata Yesus itu juga berguna bagi semua penyembah Tuhan hari ini. Apakah pengajarannya bagi kita? Pemimpin kita, iaitu Kristus Yesus, tahu benar tentang keadaan rohani kita. Dia memimpin kita, melindungi kita, dan melihat segala-galanya. Dia tahu apa yang perlu kita lakukan untuk terus memperoleh perkenan Yehuwa. Apakah arahan Yesus yang perlu kita patuhi pada hari ini?
6. (a) Menurut kata-kata Yesus di Wahyu 2:3, 4, apakah masalah sidang Efesus? (b) Apakah pengajarannya bagi kita?
6 Baca Wahyu 2:3, 4. Janganlah kita kehilangan kasih yang kita miliki pada mulanya terhadap Yehuwa. Kata-kata Yesus kepada orang Kristian di sidang Efesus menunjukkan bahawa mereka tetap tabah dan terus menyembah Yehuwa meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Namun, mereka sudah kehilangan kasih yang mereka miliki pada mulanya. Oleh itu, mereka perlu memarakkan semula kasih itu. Jika tidak, ibadat mereka tidak akan diterima oleh Yehuwa. Apakah pengajarannya bagi kita? Sekadar bertabah menghadapi cabaran tidak cukup. Kita juga perlu bertabah atas sebab yang betul. Hal ini demikian kerana Tuhan kita bukan sahaja memperhatikan perbuatan kita, tetapi Dia juga melihat niat hati di sebalik perbuatan kita. Dia mahu kita menyembah-Nya kerana kasih dan penghargaan kita yang mendalam terhadap-Nya.—Ams. 16:2; Mrk. 12:29, 30.
7. (a) Menurut Wahyu 3:1-3, apakah masalah yang dihadapi orang Kristian di Sardis? (b) Apakah yang perlu kita lakukan?
7 Baca Wahyu 3:1-3. Kita mesti terus berjaga-jaga dan berwaspada. Orang Kristian di sidang Sardis mempunyai masalah yang berbeza. Dahulu, mereka sangat aktif secara rohani. Namun mereka kemudiannya tidak lagi menyembah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, Yesus memberitahu mereka bahawa mereka harus “bangun.” Apakah pengajarannya bagi kita? Yehuwa memang tidak melupakan kerja yang telah kita lakukan. (Ibr. 6:10) Tetapi kita tidak harus berfikir bahawa jika kita sudah bekerja keras untuk Yehuwa pada masa dahulu, kita tidak perlu berusaha lagi sekarang. Walaupun apa yang dapat kita lakukan sekarang tidak sebanyak dahulu, kita masih perlu “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.” Kita juga perlu terus berjaga-jaga dan berwaspada sampai akhir.—1 Kor. 15:58; Mat. 24:13; Mrk. 13:33.
8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada sidang di Laodikia? (Wahyu 3:15-17)
8 Baca Wahyu 3:15-17. Kita mesti menyembah Yehuwa dengan bersemangat dan dengan sepenuh hati. Kata-kata Yesus kepada orang Kristian di Laodikia menunjukkan bahawa sikap mereka terhadap ibadat sejati adalah “seperti air suam yang tidak sejuk ataupun panas.” Mereka bersikap acuh tak acuh terhadap ibadat sejati. Jadi, Yesus berkata bahawa keadaan mereka sangat menyedihkan. Kemudian, dia menasihati mereka agar menunjukkan semangat yang berkobar-kobar untuk Yehuwa dan ibadat sejati. (Why. 3:19) Apakah pengajarannya bagi kita? Jika kita sudah hilang semangat terhadap ibadat sejati, kita perlu berusaha agar lebih menghargai pemberian daripada Yehuwa dan organisasi-Nya. (Why. 3:18) Kita tidak mahu terlalu sibuk mengejar kehidupan yang selesa sehingga hal-hal rohani tidak lagi menjadi keutamaan hidup kita.
9. Kata-kata Yesus kepada orang Kristian di Pergamus dan Tiatira mengingatkan kita untuk menolak apa?
9 Kita mesti menolak ajaran golongan murtad. Yesus menegur sesetengah orang di Pergamus kerana menyebarkan ajaran manusia dan menyebabkan perpecahan. (Why. 2:14-16) Namun dia memuji orang Kristian di Tiatira yang menjauhi “perkara-perkara dalam daripada Syaitan,” dan dia menggesa mereka untuk berpaut pada kebenaran. (Why. 2:24-26) Jika terdapat orang Kristian yang mula disesatkan oleh ajaran palsu Syaitan, mereka perlu segera bertaubat. Apakah pengajarannya bagi kita hari ini? Kita mesti menolak apa sahaja ajaran yang bertentangan dengan fikiran Yehuwa. Biarpun orang murtad “nampaknya beribadat kepada Tuhan,” mereka sebenarnya “tidak hidup sesuai dengan ibadat mereka.” (2 Tim. 3:5) Jika kita rajin mengkaji Firman Tuhan, kita dapat mengenal pasti dan menolak ajaran murtad dengan lebih mudah.—2 Tim. 3:14-17; Yud. 3, 4.
10. Apakah satu hal lagi yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada sidang di Pergamus dan Tiatira?
10 Kita harus menghindari dan membenci semua jenis perbuatan yang tidak bermoral. Terdapat satu lagi sebab mengapa Yesus menegur sesetengah orang di Pergamus dan Tiatira: Mereka tidak menolak perbuatan seks yang tidak bermoral. (Why. 2:14, 20) Apakah pengajarannya bagi kita? Meskipun kita sudah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun dan kini memikul tanggungjawab dalam organisasi-Nya, kita tidak boleh berfikir bahawa kita boleh melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan masih diterima oleh Yehuwa. (1 Sam. 15:22; 1 Ptr. 2:16) Biarpun standard moral dunia jatuh menjunam, Yehuwa menghendaki kita untuk terus menjunjung piawaian moral-Nya yang luhur.—Ef. 6:11-13.
11. Apakah yang telah kita pelajari setakat ini? (Lihat juga kotak “ Pengajaran untuk Kita Hari Ini.”)
11 Apakah yang telah kita pelajari setakat ini? Kita perlu memastikan agar ibadat kita diterima oleh Yehuwa. Jika kita mendapati bahawa kita sedang melakukan sesuatu yang mungkin membuat Yehuwa tidak menerima ibadat kita, kita mesti segera berubah. (Why. 2:5, 16; 3:3, 16) Sekarang, mari kita lihat satu hal lagi yang disebut oleh Yesus kepada sidang-sidangnya.
SUDI MENGHADAPI PENGANIAYAAN
12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada sidang di Smirna dan Filadelfia? (Wahyu 2:10)
12 Mari kita lihat apa yang dikatakan oleh Yesus kepada orang Kristian di Smirna dan Filadelfia. Dia memberitahu mereka agar tidak takut menghadapi penganiayaan kerana jika mereka tetap setia, mereka pasti diberkati. (Baca Wahyu 2:10; 3:10) Apakah pengajarannya bagi kita hari ini? Kita harus menjangkakan bahawa kita akan dianiaya dan sudi menghadapinya dengan tabah. (Mat. 24:9, 13; 2 Kor. 12:10) Mengapakah kita harus ingat akan hal ini?
13-14. Bagaimanakah peristiwa yang disebut di Wahyu bab 12 mempengaruhi umat Tuhan?
13 Buku Wahyu menyatakan bahawa umat Tuhan pada “hari Tuan,” iaitu pada zaman kita, akan dianiaya. Menurut Wahyu bab 12, sejurus selepas Kerajaan Tuhan didirikan, peperangan tercetus di syurga. Mikhael, iaitu Yesus Kristus yang sudah kembali ke syurga, dan angkatan tenteranya berperang melawan Syaitan dan roh-roh jahat. (Why. 12:7, 8) Musuh-musuh Tuhan telah dikalahkan lalu dilemparkan ke bumi. Akibatnya, bumi dan penduduk bumi dilanda banyak penderitaan. (Why. 12:9, 12) Bagaimanakah peristiwa ini mempengaruhi umat Tuhan?
14 Buku Wahyu menceritakan reaksi Syaitan terhadap kekalahannya. Oleh sebab Syaitan tidak lagi dapat kembali ke syurga, dia melampiaskan kemarahannya terhadap kaum terurap yang masih di bumi. Mereka ialah wakil Kerajaan Tuhan di bumi, yang “diamanahkan tugas untuk memberikan kesaksian tentang Yesus.” (Why. 12:17; 2 Kor. 5:20; Ef. 6:19, 20) Bagaimanakah nubuat ini menjadi kenyataan?
15. Siapakah yang dilambangkan oleh ‘dua orang saksi’ yang disebut di Wahyu bab 11? Apakah yang berlaku kepada mereka?
15 Syaitan telah menggerakkan musuh Tuhan di bumi untuk menyerang saudara-saudara terurap yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Buku Wahyu menggambarkan mereka sebagai ‘dua orang saksi’ yang dibunuh. * (Why. 11:3, 7-11) Pada tahun 1918, lapan orang daripada saudara-saudara yang mengambil pimpinan telah difitnah, disabitkan bersalah, dan dijatuhkan hukuman penjara yang sangat lama. Dalam pandangan manusia, saudara-saudara terurap itu seolah-olah telah dibunuh dan tidak dapat meneruskan kerja mereka lagi.
16. Apakah perubahan yang tidak dijangkakan yang berlaku pada tahun 1919? Namun, apakah yang dilakukan Syaitan sejak masa itu?
16 Nubuat di Wahyu bab 11 juga menyatakan bahawa ‘dua orang saksi’ itu akan dibangkitkan selepas suatu jangka masa yang pendek. Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? Sesuatu yang tidak dijangkakan telah berlaku. Setahun selepas saudara-saudara terurap itu dipenjarakan, iaitu pada awal tahun 1919, mereka telah dibebaskan, dan tuduhan terhadap mereka telah dibatalkan. Saudara-saudara terurap itu segera mengambil pimpinan dalam kerja menginjil dan mengajar lagi, tetapi Syaitan terus menyerang umat Tuhan. Sejak masa itu, Syaitan mendatangkan penganiayaan “seperti aliran sungai” untuk menyerang umat Tuhan. (Why. 12:15) Maka, kita masing-masing “perlu bertabah dan beriman.”—Why. 13:10.
BERGIATLAH DENGAN SEPENUHNYA DALAM KERJA YANG DIBERIKAN OLEH YEHUWA
17. Semasa umat Tuhan diserang oleh Syaitan, apakah bantuan yang diterima oleh mereka?
17 Wahyu bab 12 kemudiannya menjelaskan bahawa umat Tuhan akan menerima bantuan daripada pihak yang tidak dijangkakan. Semasa umat Tuhan dilanda penganiayaan yang seperti air sungai, “bumi” akan menelan “air sungai” itu. (Why. 12:16) Nubuat itu memang menjadi kenyataan. Ada kalanya, bahagian-bahagian yang lebih stabil dalam dunia Syaitan, seperti sistem perundangan sesetengah negara, telah menyelamatkan umat Tuhan. Umat Tuhan memenangi banyak kes mahkamah, dan hal ini memberi mereka kebebasan tertentu. Bagaimanakah mereka menggunakan kebebasan itu? Mereka bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja yang diberikan oleh Yehuwa. (1 Kor. 16:9) Apakah kerja itu?
18. Apakah kerja utama kita pada hari-hari terakhir?
18 Yesus menubuatkan bahawa umatnya akan menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” ke seluruh bumi sebelum akhir tiba. (Mat. 24:14) Semasa mereka menginjil, mereka mendapat bantuan daripada malaikat-malaikat, yang dikatakan “mempunyai berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada orang yang tinggal di bumi, iaitu kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.”—Why. 14:6.
19. Apakah mesej lain yang mesti disebarkan oleh orang yang mengasihi Yehuwa?
19 Orang yang mengasihi Yehuwa bukan sahaja perlu menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Mereka juga perlu menyokong kerja para malaikat yang digambarkan di Wahyu bab 8 hingga 10. Menurut bab-bab itu, para malaikat mengumumkan beberapa malapetaka yang akan menimpa orang yang menolak Kerajaan Tuhan. Seperti yang dilakukan para malaikat, Saksi-Saksi Yehuwa sedang mengumumkan mesej penghakiman yang bagaikan “hujan batu dan api.” Mereka memberitahu orang bahawa Tuhan akan menghukum bahagian-bahagian dalam dunia Syaitan yang jahat. (Why. 8:7, 13) Orang ramai perlu tahu bahawa akhir sudah dekat, supaya mereka dapat segera berubah dan terselamat pada hari kemurkaan Yehuwa. (Zef. 2:2, 3) Namun, mesej ini tidak disukai ramai, jadi kita perlu berani untuk mengumumkannya. Semasa kesengsaraan besar nanti, kita perlu mengumumkan mesej penghakiman terakhir yang jauh lebih berat.—Why. 16:21.
PATUHILAH KATA-KATA DALAM NUBUAT INI
20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam dua rencana yang seterusnya?
20 Kita perlu mematuhi “kata-kata dalam nubuat ini” kerana nubuat-nubuat dalam buku Wahyu berkait rapat dengan kita. (Why. 1:3) Namun, bagaimanakah kita dapat tetap setia semasa dianiaya dan terus menginjil dengan berani? Terdapat dua hal yang dapat menguatkan kita: Pertama, kita perlu tahu apa yang dikatakan dalam buku Wahyu tentang musuh Tuhan. Kedua, kita perlu tahu berkat yang menantikan kita jika kita tetap setia. Kita akan membincangkan hal-hal ini dalam dua rencana yang seterusnya.
LAGU 32 Berpihak kepada Yehuwa!
^ Kita hidup pada zaman yang mendebarkan, kerana nubuat-nubuat dalam buku Wahyu sedang menjadi kenyataan pada zaman kita. Apakah kaitan nubuat itu dengan kita? Rencana ini dan dua rencana seterusnya akan membincangkan isi daripada buku Wahyu. Kita akan belajar bahawa jika kita mentaati apa yang tertulis dalam buku Wahyu, ibadat kita akan terus diterima oleh Tuhan Yehuwa.
^ Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan 15 November 2014, ms. 30.