Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 21

Buku Wahyu—Kaitannya dengan Masa Depan Anda

Buku Wahyu—Kaitannya dengan Masa Depan Anda

“Amin! Datanglah, Tuan Yesus.”​—WHY. 22:20.

LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita

PENGENALAN *

1. Apakah keputusan penting yang perlu dibuat oleh semua manusia?

 MANUSIA hari ini perlu membuat satu keputusan yang penting: Adakah mereka akan menyokong Tuhan Yehuwa sebagai Pemerintah alam semesta, atau adakah mereka akan menyokong musuh-Nya yang keji, iaitu Syaitan Si Iblis? Hanya ada dua pilihan ini; tiada pilihan ketiga. (Mat. 25:31-33, 46) Semasa “kesengsaraan besar,” hamba Yehuwa yang setia akan menerima tanda untuk kehidupan kekal. (Why. 7:14; Yeh. 9:4, 6) Mereka yang menerima tanda daripada binatang buas pula akan dibinasakan.​—Why. 14:9-11.

2. (a) Ibrani 10:35-39 menggalakkan kita untuk melakukan apa? (b) Bagaimanakah buku Wahyu dapat membantu kita?

2 Baca Ibrani 10:35-39. Jika anda sudah memilih untuk menyokong pemerintahan Yehuwa, anda telah membuat keputusan yang bijak. Sudah tentu anda juga ingin membantu orang lain membuat keputusan yang sama. Untuk berbuat demikian, anda boleh menggunakan maklumat daripada buku Wahyu. Buku itu bukan sahaja menunjukkan kesudahan orang yang menentang Yehuwa, tetapi juga menjelaskan berkat yang menantikan orang yang menyokong pemerintahan Yehuwa dengan setia. Jika kita mengkaji maklumat-maklumat yang penting ini, kita akan lebih bertekad untuk terus menyembah Yehuwa. Selain itu, kita dapat membantu orang lain memilih untuk berpihak kepada Yehuwa dan terus menyembah-Nya.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan dua soalan ini: Apakah berkat yang menantikan orang yang menyokong pemerintahan Tuhan? Apakah yang akan berlaku kepada mereka yang menyokong binatang buas berwarna merah marak yang disebut dalam buku Wahyu?

BERKAT YANG MENANTIKAN ORANG YANG SETIA

4. Rasul Yohanes melihat siapa bersama Yesus di syurga?

4 Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes melihat dua kumpulan orang yang menyokong pemerintahan Yehuwa. Mereka diberi berkat berupa kehidupan kekal. Kumpulan pertama mempunyai 144,000 orang. (Why. 7:4) Mereka dipilih dari bumi untuk menganggotai Kerajaan di syurga bersama Yesus. Mereka dan Yesus akan memerintah seluruh bumi. (Why. 5:9, 10; 14:3, 4) Dalam penglihatannya, Yohanes nampak mereka berdiri bersama Yesus di Gunung Sion di syurga.​—Why. 14:1.

5. Tidak lama lagi, apakah yang akan berlaku kepada saki-baki 144,000 orang yang masih berada di bumi?

5 Sejak zaman para rasul sehingga sekarang, ribuan orang telah dipilih untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama yang terdiri daripada 144,000 orang. (Luk. 12:32; Rm. 8:17) Namun, Yohanes diberitahu bahawa hanya sebilangan kecil daripada kumpulan itu yang akan berada di bumi sepanjang hari-hari terakhir. “Saki-baki” kumpulan ini akan menerima “meterai” terakhir daripada Yehuwa sejurus sebelum kesengsaraan besar bermula. (Why. 7:2, 3; 12:17) Pada waktu tertentu semasa kesengsaraan besar, saki-baki kumpulan ini akan dibawa ke syurga dan menyertai 144,000 orang yang lain, yang telah tetap setia sampai mati. Mereka akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan.​—Mat. 24:31; Why. 5:9, 10.

6-7. (a) Selepas melihat kumpulan pertama, Yohanes melihat siapa? Apakah yang dinyatakan dalam buku Wahyu tentang mereka? (b) Mengapakah “saki-baki” kaum terurap dan “kumpulan besar manusia” harus berminat untuk mengkaji Wahyu bab 7?

6 Selepas melihat kumpulan pertama yang akan pergi ke syurga, Yohanes melihat “kumpulan besar manusia.” Tidak seperti kumpulan pertama yang berjumlah 144,000 orang, jumlah orang dalam kumpulan ini tidak dapat dihitung. (Why. 7:9, 10) Apakah yang dinyatakan dalam buku Wahyu tentang mereka? Yohanes menulis, “Merekalah yang selamat mengharungi kesengsaraan besar. Mereka telah mencuci dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Bebiri.” (Why. 7:14) Selepas mereka selamat mengharungi kesengsaraan besar, “kumpulan besar manusia” ini akan hidup di bumi dan menikmati pelbagai berkat yang menakjubkan.​—Mzm. 37:9-11, 27-29; Ams. 2:21, 22; Why. 7:16, 17.

7 Tidak kira kita telah dipilih untuk pergi ke syurga atau akan terus hidup di bumi, kita harus yakin bahawa kita akan dapat melihat nubuat di Wahyu bab 7 menjadi kenyataan. Masa depan yang menakjubkan menantikan kedua-dua kumpulan penyembah Tuhan! Pada masa itu, kita pasti sangat bersukacita kerana memilih untuk menyokong pemerintahan Yehuwa. Apakah hal lain tentang kesengsaraan besar yang dijelaskan dalam buku Wahyu?​—Mat. 24:21.

KESUDAHAN BAGI ORANG YANG MENENTANG TUHAN

8. Apakah peristiwa yang menandakan bermulanya kesengsaraan besar? Apakah reaksi kebanyakan orang terhadap peristiwa itu?

8 Seperti yang disebut dalam rencana sebelumnya, tidak lama lagi, kuasa-kuasa politik dunia akan menyerang Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia. (Why. 17:16, 17) Peristiwa ini menandakan bermulanya kesengsaraan besar. Ketika itu, adakah ramai orang akan mula menyembah Yehuwa? Tidak. Wahyu bab 6 menyatakan bahawa pada masa itu, orang yang tidak menyembah Yehuwa akan mencari perlindungan daripada sistem politik dan perdagangan dunia, yang digambarkan sebagai gunung-gunung. Memandangkan mereka enggan menyokong Kerajaan Tuhan, Yehuwa akan menganggap mereka sebagai penentang.​—Luk. 11:23; Why. 6:15-17.

9. Semasa kesengsaraan besar, apakah perbezaan antara umat Yehuwa dengan semua orang lain di bumi? Apakah yang akan berlaku kepada umat Yehuwa?

9 Semasa kesengsaraan besar, hamba-hamba Yehuwa yang setia akan sangat berbeza daripada semua orang lain di bumi. Hanya mereka yang akan terus menyembah Yehuwa dan enggan menyokong “binatang buas itu.” (Why. 13:14-17) Pendirian mereka akan membangkitkan kemarahan para penentang Yehuwa. Akibatnya, bangsa-bangsa akan bersekutu untuk menyerang umat Yehuwa di serata bumi. Bible menggambarkan serangan ini sebagai serangan Gog dari Magog.​—Yeh. 38:14-16.

10. Menurut Wahyu 19:19-21, apakah reaksi Yehuwa semasa umat-Nya diserang?

10 Apakah reaksi Yehuwa semasa umat-Nya diserang? Yehuwa berfirman, “Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku yang dahsyat.” (Yeh. 38:18, 21-23) Wahyu bab 19 menjelaskan apa yang berlaku seterusnya. Yehuwa akan mengutus Anak-Nya untuk melindungi umat-Nya dan berperang melawan musuh mereka. Semasa peperangan itu, Yesus akan dibantu oleh “angkatan tentera di syurga,” yang terdiri daripada para malaikat setia dan 144,000 kaum terurap. (Why. 17:14; 19:11-15) Apakah kesudahan peperangan ini? Semua manusia dan organisasi yang menentang Yehuwa akan dibinasakan sepenuhnya!​—Baca Wahyu 19:19-21.

MAJLIS PERKAHWINAN SELEPAS PERANG ARMAGEDON

11. Apakah peristiwa terpenting dalam buku Wahyu?

11 Bayangkan betapa gembiranya umat Tuhan di bumi semasa melihat semua musuh Tuhan dibinasakan! Makhluk-makhluk di syurga pun bersorak gembira semasa Babilon Besar dilenyapkan, tetapi terdapat satu peristiwa yang akan membawa sukacita yang lebih besar. (Why. 19:1-3) Sebenarnya, itulah peristiwa yang terpenting dalam buku Wahyu, iaitu “majlis perkahwinan Anak Bebiri.”​—Why. 19:6-9.

12. Menurut Wahyu 21:1, 2, bilakah majlis perkahwinan Anak Bebiri akan berlangsung?

12 Bilakah majlis perkahwinan Anak Bebiri akan berlangsung? Kesemua 144,000 kaum terurap akan berada di syurga sejurus sebelum perang Armagedon tercetus. Namun, majlis perkahwinan Anak Bebiri tidak akan berlangsung pada masa itu. (Baca Wahyu 21:1, 2.) Majlis perkahwinan itu hanya akan berlaku selepas perang Armagedon berakhir, iaitu selepas semua musuh Tuhan dibinasakan.​—Mzm. 45:3, 4, 13-17.

13. Apakah yang akan berlaku semasa majlis perkahwinan Anak Bebiri?

13 Apakah yang akan berlaku semasa majlis perkahwinan Anak Bebiri? Sebagaimana seorang lelaki dan seorang wanita disatukan semasa mereka berkahwin, majlis perkahwinan Anak Bebiri menyatukan Raja, iaitu Yesus Kristus, dengan “pengantin perempuan,” iaitu 144,000 kaum terurap. Selepas peristiwa yang istimewa itu, Yesus dan 144,000 raja akan memerintah bumi selama 1,000 tahun.​—Why. 20:6.

SEBUAH KOTA YANG GILANG-GEMILANG DAN MASA DEPAN ANDA

Wahyu bab 21 menggambarkan kota Yerusalem Baharu “turun dari syurga daripada Tuhan.” Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan, kota ini akan membawa berkat yang melimpah kepada manusia yang taat (Lihat perenggan 14-16)

14-15. Wahyu bab 21 menyamakan 144,000 raja di syurga dengan apa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

14 Kemudian, Wahyu bab 21 menyamakan 144,000 raja di syurga dengan sebuah kota yang sangat indah, yang dipanggil “Yerusalem Baharu.” (Why. 21:2, 9) Kota itu mempunyai “12 batu asas, dan pada batu-batu itu tertulis 12 nama, iaitu nama 12 orang rasul Anak Bebiri.” Mengapakah Yohanes berasa teruja semasa melihat batu-batu asas itu? Hal ini kerana namanya ada pada salah satu batu asas itu. Penghormatan yang cukup besar bagi Yohanes!​—Why. 21:10-14; Ef. 2:20.

15 Tiada kota lain yang seperti Yerusalem Baharu. Kota ini mempunyai jalan utama yang diperbuat daripada emas tulen, 12 pintu gerbang yang diperbuat daripada mutiara, dinding dan asas yang dihiasi batu permata. Selain itu, panjang, lebar, dan tinggi kota itu semua sama. (Why. 21:15-21) Namun, kota itu seolah-olah kekurangan sesuatu. Yohanes memberitahu kita, “Aku tidak nampak Rumah Tuhan di dalam kota itu kerana Yehuwa Yang Maha Kuasa dan Anak Bebiri itu ialah Rumah Tuhan bagi kota itu. Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Tuhan meneranginya, dan pelitanya ialah Anak Bebiri itu.” (Why. 21:22, 23) Kaum terurap yang membentuk Yerusalem Baharu tidak memerlukan Rumah Tuhan kerana mereka akan berada bersama-sama dengan Yehuwa. (Why. 22:3, 4) Selain itu, semasa mereka menjalankan khidmat suci kepada Yehuwa, mereka akan dipimpin oleh Yesus, iaitu Imam Agung di syurga. (Ibr. 7:27) Itulah sebabnya buku Wahyu menyatakan bahawa Yehuwa dan Yesus ialah Rumah Tuhan bagi kota itu.

Siapakah yang akan meraih manfaat daripada berkat-berkat yang dilambangkan oleh “sungai” dan “pokok-pokok”? (Lihat perenggan 16-17)

16. Apakah yang akan berlaku kepada manusia semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan?

16 Kaum terurap pasti berasa teruja semasa memikirkan kota itu. Namun, mereka yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi juga harus berminat tentang kota itu. Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan, Yerusalem Baharu akan membawa berkat yang tidak terhingga kepada bumi. Yohanes melihat berkat-berkat itu mengalir kepada manusia seperti “sungai air kehidupan.” Di kedua-dua belah sungai itu, terdapat “pokok-pokok kehidupan” yang menghasilkan daun yang “dapat menyembuhkan bangsa-bangsa.” (Why. 22:1, 2) Semua manusia yang hidup pada masa itu akan berpeluang menikmati berkat-berkat tersebut. Secara beransur-ansur, semua manusia yang taat akan menjadi sempurna. Ketika itu, tiada lagi penyakit, kesakitan, dan tangisan.​—Why. 21:3-5.

17. Menurut Wahyu 20:11-13, siapakah yang akan meraih manfaat daripada Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan?

17 Siapakah yang akan meraih manfaat daripada berkat-berkat ini? Pertama sekali, kumpulan besar manusia yang selamat mengharungi Armagedon, dan anak-anak yang akan dilahirkan dalam dunia baharu. Namun, Wahyu bab 20 juga menyatakan bahawa orang mati akan dibangkitkan. (Baca Wahyu 20:11-13.) “Orang yang baik,” iaitu hamba-hamba Tuhan yang setia yang meninggal pada masa lalu, dan “orang yang tidak baik,” iaitu orang yang tidak berpeluang untuk belajar tentang Yehuwa, akan dibangkitkan di bumi. (Kis. 24:15; Yoh. 5:28, 29) Adakah hal ini bermaksud semua manusia akan dibangkitkan di bumi semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan? Tidak. Jika seseorang berpeluang untuk menyembah Yehuwa semasa dia masih hidup, tetapi enggan berbuat demikian, dia tidak akan dibangkitkan. Orang sebegini sudah diberikan peluang, tetapi keputusan mereka menunjukkan bahawa mereka tidak layak hidup di bumi firdaus.​—Mat. 25:46; 2 Tes. 1:9; Why. 17:8; 20:15.

UJIAN TERAKHIR

18. Apakah yang akan berlaku kepada manusia pada akhir 1,000 tahun itu?

18 Pada akhir 1,000 tahun itu, mereka yang hidup di bumi akan menjadi sempurna. Pada masa itu, semua manusia sudah bebas daripada dosa yang diwariskan oleh Adam. (Rm. 5:12) Setelah dosa yang diwariskan oleh Adam dilenyapkan pada akhir 1,000 tahun itu, manusia akan “hidup semula.” Dalam kata lain, mereka akan menjadi sempurna.​—Why. 20:5.

19. Mengapakah manusia perlu menjalani ujian terakhir?

19 Kita tahu bahawa Yesus tetap setia kepada Yehuwa bahkan semasa diuji oleh Syaitan. Namun, adakah semua manusia yang sempurna akan melakukan hal yang sama semasa diuji oleh Syaitan? Pada akhir 1,000 tahun itu, Syaitan akan dibebaskan daripada jurang yang dalam. Ketika itu, semua orang akan berpeluang membuktikan kesetiaan masing-masing kepada Yehuwa. (Why. 20:7) Orang yang tetap setia semasa ujian terakhir ini akan diberi kehidupan kekal dan kebebasan sejati. (Rm. 8:21) Para pemberontak pula akan dibinasakan buat selama-lamanya bersama Si Iblis dan roh-roh jahatnya.​—Why. 20:8-10.

20. Apakah perasaan anda setelah mengkaji nubuat-nubuat yang menakjubkan dalam buku Wahyu?

20 Apakah perasaan anda setelah mengkaji nubuat-nubuat yang menakjubkan dalam buku Wahyu? Tidakkah hati anda berdebar-debar semasa membayangkan diri anda menyaksikan semua nubuat ini menjadi kenyataan? Tidakkah hal ini mendorong anda untuk menjemput orang lain menyertai ibadat sejati? (Why. 22:17) Sesungguhnya, setelah membincangkan peristiwa-peristiwa menarik yang akan berlaku pada masa depan, kita berasa teruja dan ingin berkata seperti Rasul Yohanes, “Amin! Datanglah, Tuan Yesus.”​—Why. 22:20.

LAGU 27 Anak-Anak Tuhan Disingkapkan

^ Inilah rencana yang terakhir dalam siri rencana tentang buku Wahyu. Rencana ini akan menjelaskan bahawa mereka yang tetap setia kepada Yehuwa akan menikmati masa depan yang bahagia, tetapi mereka yang menentang pemerintahan Tuhan akan ditimpa pembinasaan yang dahsyat.