RENCANA PEMBELAJARAN 20
Buku Wahyu—Kaitannya dengan Musuh-Musuh Tuhan
“Kemudian raja-raja itu dikumpulkan ke tempat yang disebut Armagedon dalam bahasa Ibrani.”—WHY. 16:16.
LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan
PENGENALAN *
1. Menurut buku Wahyu, apakah yang dilakukan oleh Syaitan terhadap umat Tuhan?
BUKU Wahyu menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan di syurga telah ditubuhkan dan Syaitan telah dilemparkan dari syurga. (Why. 12:1-9) Peristiwa itu membawa kedamaian di syurga, tetapi membawa masalah kepada kita. Mengapa? Sejak Syaitan dilemparkan dari syurga, dia berasa sangat marah dan menyerang umat Tuhan yang setia di bumi.—Why. 12:12, 15, 17.
2. Apakah yang dapat membantu kita tetap setia?
2 Apakah yang dapat membantu kita tetap setia semasa diserang oleh Syaitan? (Why. 13:10) Kita perlu mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan. Contohnya, dalam buku Wahyu, Rasul Yohanes mencatatkan berkat-berkat yang menantikan kita. Salah satu berkat itu ialah semua musuh Tuhan akan dilenyapkan. Sekarang, mari kita lihat bagaimana buku Wahyu menggambarkan musuh-musuh Tuhan dan apa yang akan terjadi kepada mereka.
MUSUH-MUSUH TUHAN DIGAMBARKAN “DALAM BENTUK LAMBANG”
3. Apakah beberapa lambang yang digunakan dalam buku Wahyu?
3 Ayat pertama dalam buku Wahyu menyatakan bahawa maklumat dalam buku itu disampaikan “dalam bentuk lambang.” (Why. 1:1) Kita akan membaca tentang beberapa ekor binatang buas yang melambangkan musuh-musuh Tuhan. Sebagai contoh, terdapat ‘seekor binatang buas yang keluar dari laut,’ yang mempunyai “10 tanduk dan tujuh kepala.” (Why. 13:1) Kemudian, muncul “seekor lagi binatang buas yang keluar dari dalam bumi.” Binatang buas itu bercakap seperti naga dan “menurunkan api dari langit.” (Why. 13:11-13) Selepas itu, datanglah “seekor binatang buas yang berwarna merah marak,” yang ditunggang oleh seorang pelacur. Ketiga-tiga binatang buas ini melambangkan musuh-musuh yang sudah lama menentang Tuhan Yehuwa dan Kerajaan-Nya. Maka, amatlah penting untuk mengetahui siapa mereka.—Why. 17:1, 3.
4-5. Bagaimanakah kata-kata di Daniel 7:15-17 membantu kita memahami maksud lambang-lambang dalam buku Wahyu?
4 Untuk mengetahui siapa musuh-musuh ini, kita perlu memahami maksud lambang-lambang dalam buku Wahyu, dan cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan mencari jawapannya dalam Bible. Maksud bagi banyak lambang yang digunakan dalam buku Wahyu sudah pun dijelaskan dalam buku-buku Bible yang lain. Misalnya, dalam sebuah mimpi, Nabi Daniel melihat “empat ekor binatang yang besar muncul dari laut.” (Dan. 7:1-3) Kemudian, Daniel menjelaskan bahawa empat ekor binatang ini melambangkan “empat orang raja,” atau kerajaan. (Baca Daniel 7:15-17.) Daripada penjelasan itu, kita faham bahawa binatang-binatang buas dalam buku Wahyu juga melambangkan kerajaan manusia.
5 Sekarang, mari kita mengkaji beberapa lambang yang digunakan dalam buku Wahyu, dan melihat bagaimana Bible menjelaskan maksud lambang-lambang itu. Mula-mula, kita akan mengkaji tiga ekor binatang buas yang disebut tadi. Kita akan mengkaji apa yang dilambangkan oleh binatang-binatang buas itu. Kemudian, kita akan melihat apa yang akan berlaku kepada binatang-binatang buas itu. Akhirnya, kita akan membincangkan kaitan hal-hal itu dengan kita.
MENGETAHUI IDENTITI MUSUH-MUSUH TUHAN
6. Apakah yang dilambangkan oleh binatang buas yang mempunyai tujuh kepala? (Wahyu 13:1-4)
6 Apakah yang dilambangkan oleh binatang buas yang mempunyai tujuh kepala? (Baca Wahyu 13:1-4.) Binatang buas itu kelihatan seperti harimau bintang, tetapi mempunyai kaki seperti kaki beruang dan mulut seperti mulut singa. Binatang buas itu juga mempunyai 10 tanduk. Sebenarnya, empat ciri ini juga dimiliki secara berasingan oleh empat binatang buas dalam Daniel bab 7. Namun binatang buas dalam buku Wahyu memiliki keempat-empat ciri tersebut. Binatang buas ini juga dikatakan berkuasa “atas setiap suku, kaum, bahasa, dan bangsa.” Jadi, binatang buas ini tidak melambangkan satu kerajaan atau satu kuasa dunia sahaja. (Why. 13:7) Sebaliknya, binatang buas ini melambangkan semua kuasa politik yang menguasai manusia sejak dahulu sehingga sekarang. *—Pkh. 8:9.
7. Apakah yang dilambangkan oleh setiap kepala binatang buas itu?
7 Apakah yang dilambangkan oleh setiap kepala binatang buas itu? Jawapannya terdapat dalam Wahyu bab 17, yang menggambarkan sebuah patung yang dibuat menurut binatang buas yang disebut dalam Wahyu bab 13. Wahyu 17:10 menyatakan, “Terdapat tujuh orang raja: Lima orang sudah jatuh, seorang masih ada, dan seorang lagi belum tiba. Apabila dia tiba, dia akan tinggal buat suatu jangka waktu yang singkat.” Antara semua kuasa politik yang pernah digunakan oleh Syaitan, terdapat tujuh kuasa dunia yang sangat berpengaruh sehingga digelar sebagai “kepala.” Kuasa-kuasa dunia ini telah menganiaya umat Tuhan, atau mempunyai banyak penyembah Yehuwa di kawasan yang diperintah oleh mereka. Pada zaman Rasul Yohanes, lima daripada kuasa dunia ini sudah bangkit dan jatuh, iaitu Mesir, Assyria, Babilon, Media dan Persia, dan Yunani. Semasa Yohanes menerima penglihatan dalam buku Wahyu, kuasa dunia keenam, iaitu Roma, masih memerintah. Kuasa dunia manakah yang akan menjadi kepala ketujuh, atau kepala terakhir?
8. Apakah yang dilambangkan oleh kepala ketujuh binatang buas itu?
8 Sekarang, mari kita lihat bagaimana nubuat dalam buku Daniel membantu kita mengetahui apa yang dilambangkan oleh kepala ketujuh binatang buas. Kuasa dunia manakah yang sedang memerintah pada hari-hari terakhir, iaitu “pada hari Tuan”? (Why. 1:10) Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika, iaitu gabungan kuasa kerajaan Britain dan Amerika Syarikat. Kuasa dunia inilah yang dilambangkan oleh kepala ketujuh binatang buas yang disebut di Wahyu 13:1-4.
9. Apakah yang dilambangkan oleh binatang buas yang mempunyai “dua tanduk seperti tanduk seekor anak biri-biri”?
9 Wahyu bab 13 juga menggambarkan kepala ketujuh, iaitu Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika, sebagai binatang buas yang mempunyai “dua tanduk seperti tanduk seekor anak biri-biri, tetapi . . . bercakap seperti seekor naga.” Di Wahyu bab 16 dan 19, binatang buas ini digambarkan sebagai “nabi palsu.” (Why. 16:13; 19:20) Yohanes menulis bahawa binatang buas ini “melakukan tanda-tanda yang luar biasa dan bahkan menurunkan api dari langit ke bumi di hadapan semua orang.” (Why. 13:11-15) Nabi Daniel juga menyebut bahawa Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika akan “membawa kemusnahan yang mengerikan.” (Dan. 8:19, 23, 24) Hal itu benar-benar terjadi semasa Perang Dunia Kedua. Dua butir bom atom yang digugurkan di Jepun, yang menamatkan perang tersebut, merupakan hasil kerja saintis daripada Britain dan Amerika Syarikat. Dengan dua butir bom atom itu, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika seolah-olah “menurunkan api dari langit ke bumi.”
10. Apakah yang dilambangkan oleh “patung binatang buas”? (Wahyu 13:14, 15; 17:3, 8, 11)
10 Mari kita lihat seekor lagi binatang buas. Binatang buas ini hampir sama dengan binatang buas yang berkepala tujuh. Namun, apa yang beza ialah binatang buas ini berwarna merah marak. Binatang buas ini dipanggil “patung binatang buas” dan digambarkan sebagai “raja kelapan.” * (Baca Wahyu 13:14, 15; 17:3, 8, 11.) “Raja kelapan” ini akan muncul, hilang, dan akan muncul semula. Hal ini tepat menggambarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberikan sokongan kepada kuasa-kuasa politik di serata dunia. Pada mulanya, PBB dikenali sebagai Liga Bangsa-Bangsa. Liga ini dibubarkan semasa Perang Dunia Kedua, dan kemudiannya muncul semula sebagai PBB.
11. Binatang-binatang buas itu menggalakkan orang untuk melakukan apa? Mengapakah kita tidak perlu berasa takut?
11 Binatang-binatang buas itu menyebarkan propaganda, iaitu maklumat yang palsu, untuk menggalakkan orang menentang Yehuwa dan umat-Nya. Yohanes menulis bahawa binatang-binatang buas ini seolah-olah mengumpulkan “raja-raja di seluruh bumi” untuk berlawan dalam perang Armagedon, iaitu “hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa.” (Why. 16:13, 14, 16) Namun, kita tidak perlu berasa takut. Yehuwa, Tuhan kita yang agung, akan segera bertindak untuk menyelamatkan semua orang yang menyokong pemerintahan-Nya.—Yeh. 38:21-23.
12. Apakah yang akan berlaku kepada semua binatang buas itu?
12 Apakah yang akan berlaku kepada semua binatang buas itu? Wahyu 19:20 menyatakan, “Binatang buas itu ditangkap bersama-sama nabi palsu yang melakukan tanda-tanda di hadapannya. Nabi palsu itu telah menyesatkan orang yang menerima tanda binatang buas tersebut dan orang yang menyembah patungnya. Binatang buas dan nabi palsu itu dicampakkan hidup-hidup ke dalam tasik yang bernyala-nyala dengan api dan belerang.” Ya, semasa kerajaan-kerajaan manusia yang menentang Tuhan masih sedang memerintah, mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.
13. Apakah tekanan yang diberikan oleh sesetengah kerajaan kepada orang Kristian?
13 Apakah kaitannya dengan kita? Sebagai orang Kristian, kita mesti setia kepada Tuhan dan Kerajaan-Nya. (Yoh. 18:36) Untuk berbuat demikian, kita perlu tetap neutral dalam hal politik dunia. Hal ini mungkin sangat mencabar, kerana kerajaan-kerajaan dunia mahu kita menyokong mereka dengan sepenuhnya, baik dalam kata-kata mahupun perbuatan. Jika kita tunduk kepada tekanan mereka, kita akan diberi tanda binatang buas, dan sesiapa yang menerima tanda itu akan kehilangan perkenan Yehuwa dan tidak diberi kehidupan kekal. (Why. 13:16, 17; 14:9, 10; 20:4) Maka, tidak kira apa tekanan yang diberikan oleh kerajaan manusia, kita mesti terus berpendirian neutral!
PELACUR BESAR ITU MATI DALAM KEADAAN YANG MEMALUKAN
14. Menurut Wahyu 17:3-5, apakah yang membuat Rasul Yohanes berasa sangat hairan?
14 Rasul Yohanes menulis bahawa dia melihat sesuatu yang membuatnya berasa “sangat hairan.” Dia nampak seorang wanita menunggang salah seekor daripada binatang-binatang buas itu. (Why. 17:1, 2, 6) Wanita itu dipanggil “Babilon Besar” dan digambarkan sebagai “pelacur besar” yang melakukan “perbuatan seks yang tidak bermoral” dengan “raja-raja di bumi.”—Baca Wahyu 17:3-5.
15-16. Apakah yang dilambangkan oleh “Babilon Besar,” dan bagaimanakah kita tahu?
15 Apakah yang dilambangkan oleh “Babilon Besar”? Wanita ini tidak mungkin melambangkan sebuah pertubuhan politik, kerana buku Wahyu menyatakan bahawa dia berbuat cabul dengan para pemimpin politik dunia. (Why. 18:9) Bible juga menggambarkan bahawa dia menunggang binatang buas itu. Maksudnya, dia cuba mengawal para pemimpin politik. Wanita itu juga tidak melambangkan sistem perdagangan dunia Syaitan yang tamak, kerana sistem perdagangan dunia Syaitan sudah dilambangkan oleh “para saudagar di bumi.”—Why. 18:11, 15, 16.
16 Dalam Bible, perkataan “pelacur” atau “penzina” boleh menggambarkan orang yang mendakwa diri mereka penyembah Tuhan tetapi sebenarnya menyembah berhala atau bersahabat dengan dunia. (1 Taw. 5:25; Yak. 4:4) Orang yang menyembah Tuhan dengan setia pula digambarkan sebagai orang yang “murni” atau “anak dara.” (2 Kor. 11:2; Why. 14:4) Kota Babilon kuno terkenal dengan agama palsu. Maka amatlah sesuai Babilon Besar melambangkan semua agama palsu. Dalam kata lain, Babilon Besar melambangkan empayar agama palsu sedunia.—Why. 17:5, 18; lihat rencana di jw.org/ms “Apakah Itu Babilon Besar?”
17. Apakah yang akan terjadi kepada Babilon Besar?
17 Apakah yang akan terjadi kepada Babilon Besar? Perhatikan jawapan di Wahyu 17:16, 17: “Sepuluh tanduk yang kamu nampak dan binatang buas itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan membinasakannya dan membuatnya telanjang. Mereka akan memakan habis dagingnya dan memusnahkannya dengan api. Hal ini demikian kerana Tuhan sendiri menanam rancangan untuk melaksanakan tujuan-Nya dalam hati mereka.” Ya, Yehuwa akan menggerakkan bangsa-bangsa agar menggunakan binatang buas yang berwarna merah marak, iaitu PBB, untuk menyerang dan membinasakan empayar agama palsu sedunia.—Why. 18:21-24.
18. Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kita tidak dicemari oleh Babilon Besar?
18 Apakah kaitannya dengan kita? Kita perlu memastikan bahawa ibadat kita sentiasa “murni dan suci.” (Yak. 1:27) Babilon Besar menyebarkan ajaran yang salah dan menggalakkan orang untuk menyambut perayaan agama palsu, mengetepikan piawaian moral Tuhan, dan melakukan amalan sihir. Kita sama sekali tidak mahu dicemari oleh hal-hal itu! Kita juga akan terus menyeru kepada orang untuk keluar daripada Babilon Besar supaya mereka tidak turut menanggung dosa-dosanya.—Why. 18:4.
MUSUH KETAT TUHAN DIHUKUM
19. Siapakah “naga besar yang berwarna merah api” itu?
19 Buku Wahyu juga menyatakan bahawa “ada seekor naga besar yang berwarna merah api.” (Why. 12:3) Naga ini melawan Yesus dan para malaikatnya. (Why. 12:7-9) Naga ini menyerang umat Tuhan dan memberikan kuasa kepada binatang buas yang mempunyai tujuh kepala. (Why. 12:17; 13:4) Siapakah naga ini? Naga ini ialah “ular tua yang merupakan Iblis dan Syaitan.” (Why. 12:9; 20:2) Dialah ketua yang memimpin semua musuh Yehuwa.
20. Apakah yang akan berlaku kepada naga itu?
20 Apakah yang akan berlaku kepada naga itu? Wahyu 20:1-3 menjelaskan bahawa satu malaikat akan melemparkan Syaitan ke dalam jurang yang dalam. Semasa Syaitan dikurung dalam jurang yang dalam itu, dia “tidak akan menyesatkan bangsa-bangsa lagi, sehingga 1,000 tahun itu berakhir.” Akhirnya, Syaitan dan roh-roh jahat akan dilemparkan ke dalam “tasik api dan belerang.” Hal ini bermaksud bahawa mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya. (Why. 20:10) Bayangkan betapa indahnya kehidupan di bumi apabila Syaitan dan roh-roh jahat sudah tiada lagi!
21. Mengapakah maklumat dalam buku Wahyu membuat kita berasa bahagia?
21 Kita berasa sangat digalakkan setelah memahami maksud lambang-lambang yang tercatat dalam buku Wahyu! Kita bukan sahaja dapat mengenal pasti siapa musuh-musuh Yehuwa, tetapi kita juga tahu apa yang akan berlaku kepada mereka. Tepat seperti yang dinyatakan buku Wahyu, “berbahagialah orang yang membaca nubuat ini dengan suara yang lantang, dan berbahagialah orang yang mendengar kata-kata dalam nubuat ini.” (Why. 1:3) Apakah berkat yang menantikan manusia yang setia setelah semua musuh Tuhan dilenyapkan? Rencana seterusnya akan menjawab soalan ini.
LAGU 23 Yehuwa Sudah Memerintah
^ Buku Wahyu menggunakan lambang-lambang untuk menggambarkan musuh-musuh Tuhan. Buku Daniel pula membantu kita memahami maksud lambang-lambang itu. Dalam rencana ini, kita akan membandingkan beberapa nubuat dalam buku Daniel dengan nubuat yang hampir sama dalam buku Wahyu. Dengan itu, kita dapat mengetahui siapa musuh-musuh Tuhan. Kemudian, kita akan membincangkan apa yang akan terjadi kepada mereka.
^ Dalam Bible, angka 10 sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang lengkap. Memandangkan binatang buas yang mempunyai tujuh kepala itu juga memiliki “10 tanduk,” hal itu merupakan satu lagi bukti bahawa binatang buas tersebut melambangkan semua kuasa politik.
^ Tidak seperti binatang buas yang pertama, patung binatang buas itu tidak mempunyai “mahkota” pada tanduk-tanduknya. (Why. 13:1) Hal ini demikian kerana patung binatang buas ini “datang daripada tujuh orang raja itu,” dan kuasanya diberikan oleh tujuh orang raja itu.—Lihat rencana di jw.org/ms “Apakah yang Dilambangkan oleh Binatang Buas yang Berwarna Merah Marak yang Disebut di Wahyu Bab 17?”