Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

Ibu Bapa—Bantulah Anak Anda Mengasihi Yehuwa

Ibu Bapa—Bantulah Anak Anda Mengasihi Yehuwa

“Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.”​—MAT. 22:37.

LAGU 134 Anak-Anak Anugerah Tuhan

PENGENALAN *

1-2. Jelaskan bagaimana sesetengah prinsip Bible menjadi lebih penting bagi kita apabila situasi kehidupan kita berubah.

 PADA hari perkahwinan mereka, pengantin lelaki dan pengantin perempuan mendengar dengan teliti sebuah ceramah tentang perkahwinan. Ayat-ayat Bible yang dibincangkan dalam ceramah itu bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka. Namun, mulai hari itu, ayat-ayat Bible yang dibincangkan itu menjadi lebih penting bagi mereka. Mengapa? Kerana mereka akan menerapkannya sebagai pasangan suami isteri.

2 Begitu juga dengan pasangan Kristian yang akan menjadi ibu bapa. Selama bertahun-tahun, mereka mungkin pernah mendengar banyak ceramah tentang cara membesarkan anak. Tetapi kini, nasihat dalam ceramah itu menjadi lebih penting bagi mereka kerana mereka akan membesarkan anak mereka sendiri. Sememangnya, itu ialah satu tanggungjawab yang besar! Jadi, apabila situasi kehidupan kita berubah, sesetengah prinsip Bible akan menjadi lebih penting bagi kita. Itulah salah satu sebabnya penyembah Yehuwa membaca dan merenungkan Bible. Seperti raja-raja Israel, mereka melakukannya ‘sepanjang hayat’ mereka.​—Ul. 17:19.

3. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Ibu bapa Kristian, anda memiliki satu peluang yang sangat istimewa, iaitu mengajar anak anda tentang Yehuwa. Namun, anda tidak mahu sekadar menyampaikan maklumat tentang Tuhan kita. Anda juga mahu berusaha menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak anda. Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk mengasihi Yehuwa? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat prinsip Bible yang dapat membantu anda. (2 Tim. 3:16) Kita juga akan melihat bagaimana sesetengah ibu bapa Kristian meraih manfaat kerana menerapkan nasihat Bible.

EMPAT PRINSIP YANG DAPAT MEMBANTU IBU BAPA

Jika anda selalu mencari bimbingan Yehuwa dan menetapkan teladan yang baik, apakah kesannya terhadap anak anda? (Lihat perenggan 4, 8)

4. Apakah satu prinsip yang dapat membantu ibu bapa menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak mereka? (Yakobus 1:5)

4 Prinsip 1: Meminta bimbingan Yehuwa. Mintalah Yehuwa untuk memberi anda kebijaksanaan agar dapat menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak anda. (Baca Yakobus 1:5.) Dialah Individu terbaik yang dapat memberikan nasihat. Mengapa? Terdapat dua sebab. Pertama, Yehuwalah yang paling berpengalaman dalam soal membesarkan anak. (Mzm. 36:9) Kedua, nasihat-Nya sentiasa bijak dan bermanfaat.​—Yes. 48:17.

5. (a) Apakah yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk membantu ibu bapa? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam video, apakah yang anda pelajari daripada cara Saudara dan Saudari Amorim membesarkan anak mereka?

5 Menerusi Firman-Nya dan organisasi-Nya, Yehuwa telah menyediakan banyak makanan rohani yang dapat membantu anda mendidik anak untuk mengasihi Yehuwa. (Mat. 24:45) Sebagai contoh, anda dapat mencari nasihat yang praktikal dalam siri rencana “Bantuan untuk Keluarga.” Siri rencana ini diterbitkan selama bertahun-tahun dalam majalah Sedarlah! dan kini terdapat di laman web kita. Selain itu, banyak video di jw.org memaparkan temu ramah dan lakonan yang dapat membantu ibu bapa untuk menerapkan nasihat Yehuwa seraya mereka membesarkan anak. *​—Ams. 2:4-6.

6. Apakah perasaan seorang bapa terhadap bimbingan yang diberikan oleh organisasi Yehuwa?

6 Ramai ibu bapa mengungkapkan penghargaan mereka atas bantuan yang disediakan oleh Yehuwa melalui organisasi-Nya. Seorang bapa yang bernama Joe berkata, “Membesarkan tiga orang anak dalam kebenaran memang tidak mudah. Saya dan isteri saya selalu berdoa meminta bantuan Yehuwa. Sering kali, ada rencana atau video yang disediakan tepat pada masanya untuk membantu kami menyelesaikan masalah yang kami hadapi. Kami selalu bergantung pada nasihat Yehuwa.” Joe dan isterinya mendapati bahawa semua pemberian ini telah membantu anak mereka menghampiri Yehuwa.

7. Mengapakah ibu bapa perlu berusaha untuk menetapkan teladan yang baik? (Roma 2:21)

7 Prinsip 2: Mengajar menerusi teladan. Anak-anak akan memerhatikan ibu bapa mereka dan selalunya meniru apa yang mereka lihat. Sudah tentu, tiada ibu bapa yang sempurna. (Rm. 3:23) Meskipun begitu, ibu bapa seharusnya berusaha menetapkan teladan yang baik bagi anak-anak mereka. (Baca Roma 2:21.) Seorang ayah berkata, “Anak-anak seperti kapas dan akan serap semua yang kita cakap dan buat. Mereka tahu bila kita cakap tak serupa bikin.” Jadi, jika kita mahu anak-anak kita mengasihi Yehuwa, kasih kita sendiri untuk Yehuwa mesti sentiasa kuat dan dapat dilihat dengan nyata.

8-9. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Andrew dan Emma?

8 Terdapat banyak cara ibu bapa dapat membantu anak mereka mengasihi Yehuwa. Andrew, seorang saudara yang berumur 17 tahun, berkata, “Ibu bapa saya selalu mengajar saya pentingnya berdoa. Setiap malam, Ayah akan berdoa bersama saya walaupun saya sudah mengucapkan doa sendiri. Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan kami bahawa kami boleh bercakap kepada Yehuwa sekerap yang kami mahu. Hal itu bantu saya sedar bahawa doa sangat penting. Sekarang, saya rasa sangat mudah untuk berdoa kepada Yehuwa dan memandang-Nya sebagai Bapa yang pengasih.” Ibu bapa, ingatlah bahawa kasih anda terhadap Yehuwa juga dapat membantu anak anda untuk mengasihi-Nya.

9 Perhatikan juga contoh Emma. Semasa ayahnya meninggalkan keluarga, ibunya terpaksa membayar semua hutang ayahnya. Emma berkata, “Apabila ibu saya tidak mempunyai wang, dia selalu memberitahu kami bahawa Yehuwa pasti menjaga umat-Nya. Saya dapat lihat daripada cara hidup ibu saya bahawa dia memang percaya hal itu. Apa yang ibu ajarkan, itulah yang dilakukannya.” Apakah pengajarannya? Ibu bapa dapat mengajar anak mereka menerusi teladan bahkan dalam situasi yang susah.​—Gal. 6:9.

10. Bilakah ibu bapa di Israel kuno dapat bercakap kepada anak mereka tentang Yehuwa? (Ulangan 6:6, 7)

10 Prinsip 3: Selalu berkomunikasi dengan anak anda. Yehuwa menyuruh ibu bapa di Israel kuno untuk mengajar anak mereka tentang Yehuwa secara kerap. (Baca Ulangan 6:6, 7.) Sepanjang hari, mereka mempunyai banyak peluang untuk bercakap dengan anak mereka dan menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak mereka. Sebagai contoh, seorang budak lelaki Israel mungkin meluangkan banyak masa untuk membantu ayahnya menanam atau mengumpulkan hasil tuaian. Kakaknya pula mungkin meluangkan banyak masa untuk membantu ibunya menjahit, menenun, dan melakukan kerja rumah yang lain. Seraya ibu bapa dan anak bekerja bersama-sama, mereka dapat bercakap tentang banyak topik yang penting. Contohnya, mereka dapat bercakap tentang kebaikan Yehuwa dan bagaimana Dia telah membantu keluarga mereka.

11. Bilakah ibu bapa Kristian dapat bercakap dengan anak mereka?

11 Kehidupan pada hari ini sangat berbeza daripada kehidupan pada masa lalu. Di banyak tempat, ibu bapa dan anak-anak tidak dapat meluangkan masa bersama-sama sepanjang hari. Ibu bapa mungkin sibuk bekerja, manakala anak pula berada di sekolah. Jadi, ibu bapa perlu berusaha untuk mencari peluang agar dapat bercakap dengan anak mereka. (Ef. 5:15, 16; Flp. 1:10) Salah satu peluang yang baik adalah semasa penyembahan keluarga. Seorang saudara muda yang bernama Alexander berkata, “Ayah saya selalu membuat penyembahan keluarga dan memastikan bahawa tiada apa-apa yang akan menghalang kami daripada melakukannya bersama. Selepas penyembahan keluarga, kami akan terus berbual.”

12. Apakah yang harus diingat oleh ketua keluarga semasa mengadakan penyembahan keluarga?

12 Jika anda merupakan ketua keluarga, apakah yang dapat anda lakukan agar anak anda menikmati penyembahan keluarga? Cubalah menggunakan buku baharu kita, Nikmati Hidup Selama-Lamanya! untuk belajar bersama anak anda. Buku itu dapat memberi anda peluang untuk mengadakan perbualan yang menarik bersama anak anda. Sudah tentu, anda ingin anak anda meluahkan isi hati dan kebimbangan mereka. Maka, janganlah mengkritik atau menegur mereka semasa penyembahan keluarga. Selain itu, jika mereka meluahkan pendapat yang tidak selaras dengan prinsip Bible, janganlah memarahi mereka. Sebaliknya, bersyukurlah kerana mereka memberitahu anda perasaan mereka dengan jujur, dan galakkanlah mereka untuk terus berbuat demikian. Ingatlah, anda dapat membantu anak anda hanya apabila anda benar-benar memahami perasaan mereka.

Bagaimanakah ibu bapa dapat menggunakan ciptaan untuk mengajar anak mereka tentang sifat-sifat Yehuwa? (Lihat perenggan 13)

13. Bilakah ibu bapa Kristian berpeluang untuk membantu anak mereka menghampiri Yehuwa?

13 Ibu bapa, carilah peluang setiap hari untuk membantu anak anda menghampiri Yehuwa. Janganlah tunggu sehingga sesi pembelajaran Bible untuk mengajar mereka tentang Tuhan kita yang pengasih. Seorang ibu yang bernama Lisa berkata, “Kami menggunakan ciptaan di sekeliling kami untuk mengajar anak kami tentang Yehuwa. Sebagai contoh, apabila gelagat anjing kami membuat anak-anak kami ketawa, kami akan memberitahu mereka bahawa hal itu menunjukkan Pencipta kita ialah Tuhan yang gembira. Dia ingin kita berasa gembira dan menikmati hal-hal yang lucu.”

Ibu bapa, adakah anda mengenali sahabat anak anda? (Lihat perenggan 14) *

14. Mengapakah penting bagi ibu bapa untuk membantu anak mereka memilih sahabat yang baik? (Amsal 13:20)

14 Prinsip 4: Bantu anak anda memilih sahabat yang baik. Firman Tuhan jelas menyatakan bahawa sahabat kita dapat memberikan pengaruh yang baik atau yang buruk kepada kita. (Baca Amsal 13:20.) Ibu bapa, adakah anda mengenali siapa sahabat anak anda? Pernahkah anda berjumpa dengan mereka dan meluangkan masa bersama mereka? Apakah yang dapat anda lakukan untuk membantu anak anda memilih sahabat yang mengasihi Yehuwa? (1 Kor. 15:33) Anda dapat membantu anak anda memilih sahabat yang baik dengan menjemput orang Kristian yang matang untuk melakukan aktiviti bersama dengan keluarga anda.​—Mzm. 119:63.

15. Apakah yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka memiliki pergaulan yang baik?

15 Perhatikan pengalaman seorang ayah yang bernama Tony. Dia menjelaskan bagaimana dia dan isterinya membantu anak mereka mencari sahabat yang baik. Dia berkata, “Saya dan isteri telah menjemput ramai saudara saudari daripada pelbagai latar belakang dan lapisan umur untuk datang ke rumah kami. Kami makan bersama dan melakukan penyembahan keluarga bersama. Ini merupakan cara yang terbaik untuk mengenali mereka yang mengasihi dan menyembah Yehuwa dengan sukacita. Kami menjemput penyelia litar, mubaligh, dan saudara saudari lain untuk tinggal di rumah kami. Anak-anak kami dapat belajar banyak daripada pengalaman mereka, semangat yang mereka tunjukkan, dan kerja keras yang mereka lakukan. Semua ini telah membantu anak kami untuk menghampiri Yehuwa.” Para ibu bapa, bertekadlah untuk membantu anak anda memiliki pergaulan yang membina.

JANGANLAH PUTUS HARAPAN!

16. Jika seorang anak memilih untuk tidak lagi menyembah Yehuwa, apakah sepatutnya pandangan ibu bapa?

16 Katakan anda sudah berusaha keras untuk mendidik anak anda, tetapi dia tidak mahu menyembah Yehuwa. Adakah hal ini bermaksud anda sudah gagal sebagai seorang ibu atau bapa? Tidak! Yehuwa telah memberi kita semua, termasuk anak anda, kebebasan untuk memilih sama ada mahu menyembah-Nya atau tidak. Jika anak anda memilih untuk meninggalkan Yehuwa, janganlah putus harapan dan berfikir bahawa anak anda tidak akan kembali lagi. Ingatlah perumpamaan tentang anak yang sesat. (Luk. 15:11-19, 22-24) Anak itu melakukan banyak hal yang jahat, tetapi akhirnya dia telah kembali. Sesetengah orang mungkin berkata, “Itu hanyalah perumpamaan. Dapatkah hal itu berlaku dalam kehidupan yang sebenar?” Ya, memang dapat! Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki muda yang bernama Elie.

17. Bagaimanakah pengalaman Elie menggalakkan anda?

17 Mengenai ibu bapanya, Elie berkata, “Mereka berusaha menanamkan kasih kepada Yehuwa dan Bible dalam diri saya sejak kecil. Tapi semasa remaja, saya mula memberontak.” Elie kemudiannya mula hidup bermuka dua dan semasa ibu bapanya cuba membantunya, dia tidak mendengarkan nasihat mereka. Setelah meninggalkan rumah, dia mula terjebak dalam perbuatan yang salah. Namun ada kalanya, dia akan bercakap tentang Bible dengan salah seorang kawannya. Elie berkata, “Semakin saya bercakap tentang Yehuwa, semakin saya berfikir tentang-Nya. Secara perlahan-lahan, benih kebenaran dalam hati saya mula bertumbuh.” Tidak lama kemudian, Elie kembali kepada Yehuwa. * Bayangkan kegembiraan ibu bapanya kerana telah berusaha keras untuk membantunya mengasihi Yehuwa sejak kecil lagi!​—2 Tim. 3:14, 15.

18. Apakah perasaan anda terhadap ibu bapa yang telah berusaha keras untuk mendidik anak mereka mengasihi Yehuwa?

18 Ibu bapa, anda telah diberi tugas yang istimewa, iaitu untuk mendidik generasi yang seterusnya agar mengasihi Yehuwa. (Mzm. 78:4-6) Tugas itu tidak mudah, dan anda harus dipuji atas kerja keras anda! Jika anda terus melakukan yang terbaik untuk membantu anak anda mengasihi Yehuwa dan mentaati-Nya, Bapa kita yang di syurga pasti berasa gembira.​—Ef. 6:4.

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

^ Ibu bapa Kristian sangat mengasihi anak mereka dan bekerja keras untuk menjaga keperluan fizikal serta emosi anak mereka. Yang paling penting, mereka berusaha untuk menanamkan kasih terhadap Yehuwa dalam hati anak mereka. Rencana ini akan membincangkan empat prinsip Bible yang dapat membantu ibu bapa mencapai matlamat itu.

^ Lihat rencana “Bible Mengubah Hidup” dalam Menara Pengawal terbitan 1 April 2012.

^ KETERANGAN GAMBAR Muka: Untuk mengenali sahabat anaknya, seorang bapa bermain bola keranjang bersama anaknya dan sahabat anaknya.