RENCANA PEMBELAJARAN 22
Nasihat Bijak yang Dapat Membimbing Kehidupan Kita
“Yehuwa sendiri memberikan kebijaksanaan.”—AMS. 2:6.
LAGU 89 Dengar, Patuh, dan Diberkati
PENGENALAN *
1. Mengapakah kita semua memerlukan kebijaksanaan daripada Tuhan? (Amsal 4:7)
SEMASA anda perlu membuat keputusan yang penting, anda tentu berdoa untuk meminta kebijaksanaan yang anda perlukan. (Yak. 1:5) Raja Salomo menulis, “Kebijaksanaan ialah perkara yang terpenting.” (Baca Amsal 4:7.) Sudah tentu, kebijaksanaan yang dimaksudkan Salomo tidak berasal daripada manusia, tetapi daripada Tuhan Yehuwa. (Ams. 2:6) Namun, dapatkah kebijaksanaan daripada Tuhan membantu kita mengatasi pelbagai masalah yang kita hadapi hari ini? Sudah tentu! Rencana ini akan membincangkan hal itu.
2. Apakah satu cara untuk menjadi bijak?
2 Satu cara untuk menjadi bijak adalah dengan mengkaji dan menerapkan ajaran dua orang lelaki yang sangat bijak. Orang yang pertama ialah Salomo. Bible menyatakan, “Tuhan memberi Salomo kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa.” (1 Raj. 4:29) Orang yang kedua ialah Yesus, lelaki yang paling bijak yang pernah hidup di bumi. (Mat. 12:42) Mengenai Yesus, Bible menubuatkan, ‘Kuasa suci Yehuwa akan menyertainya dan memberinya kebijaksanaan dan pengertian.’—Yes. 11:2.
3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Kebijaksanaan Salomo dan Yesus datang daripada Tuhan. Jadi, mereka dapat memberi kita nasihat yang berguna tentang hal-hal yang penting. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat memiliki pandangan yang seimbang terhadap tiga hal berikut: Wang, pekerjaan, dan diri sendiri.
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP WANG
4. Apakah perbezaan antara kehidupan Salomo dengan Yesus?
4 Salomo sangat kaya dan memiliki tempat tinggal yang indah dan selesa. (1 Raj. 10:7, 14, 15) Tetapi Yesus pula tidak memiliki banyak harta benda. Dia bahkan tiada rumah sendiri. (Mat. 8:) Namun, mereka berdua memiliki pandangan yang seimbang terhadap harta benda kerana mereka memiliki kebijaksanaan daripada Tuhan Yehuwa. 20
5. Bagaimanakah Salomo memiliki pandangan yang seimbang terhadap wang?
5 Salomo berkata bahawa wang “dapat melindungi seseorang.” (Pkh. 7:12) Jika kita memiliki wang, kita dapat memperoleh keperluan hidup dan sesetengah benda yang kita ingini. Namun, walaupun Salomo sangat kaya, dia sedar bahawa ada perkara yang lebih penting daripada wang. Contohnya dia menulis, “Memilih nama baik lebih baik daripada memilih kekayaan yang melimpah.” (Ams. 22:1) Salomo juga berkata bahawa orang yang mencintai wang tidak berasa gembira dengan apa yang mereka miliki. (Pkh. 5:10, 12) Dia juga menasihati kita agar tidak terlalu bergantung pada wang kerana wang boleh hilang dalam sekelip mata.—Ams. 23:4, 5.
6. Bagaimanakah Yesus memiliki pandangan yang seimbang terhadap harta benda? (Matius 6:31-33)
6 Yesus memiliki pandangan yang seimbang terhadap harta benda. Semasa di bumi, dia menikmati makanan dan minuman. (Luk. 19:2, 6, 7) Mukjizat Yesus yang pertama ialah mengubah air kepada wain yang bermutu tinggi. (Yoh. 2:10, 11) Selain itu, Yesus memakai jubah yang berkualiti tinggi pada hari kematiannya. (Yoh. 19:23, 24) Namun, Yesus tidak membiarkan harta benda menjadi tumpuan utama hidupnya. Dia memberitahu pengikutnya, “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan . . . Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Mat. 6:24) Yesus mengajarkan bahawa jika kita mengutamakan Kerajaan Tuhan, Yehuwa pasti akan menjaga keperluan kita.—Baca Matius 6:31-33.
7. Apakah manfaat yang diraih oleh seorang saudara bujang kerana memiliki pandangan yang seimbang terhadap wang?
7 Ramai saudara saudari kita telah meraih manfaat kerana menerapkan nasihat Yehuwa yang bijaksana tentang wang. Perhatikan contoh seorang saudara bujang yang bernama Daniel. Dia berkata, “Semasa remaja, saya memutuskan untuk mengutamakan hal-hal rohani dalam kehidupan saya.” Oleh sebab dia hidup sederhana, Daniel dapat menggunakan masa dan kemahirannya untuk melakukan banyak hal dalam organisasi Yehuwa. Dia menambah, “Saya tidak pernah menyesali keputusan saya. Sudah tentu, saya boleh mencari banyak wang jika itulah tumpuan utama hidup saya. Tapi, wang tidak dapat menggantikan persahabatan yang saya ada sekarang. Wang juga tidak dapat menggantikan kepuasan yang saya nikmati kerana mendahulukan Kerajaan Tuhan. Nilai berkat-berkat daripada Yehuwa sememangnya tidak dapat dibandingkan dengan wang.” Jelaslah, kita akan meraih manfaat jika kita mengutamakan hal-hal rohani dan bukannya wang.
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP PEKERJAAN
8. Bagaimanakah kita tahu bahawa Salomo memiliki pandangan yang seimbang tentang pekerjaan? (Pengkhutbah 5:18, 19)
8 Salomo berkata bahawa kerja keras dapat membawa sukacita dan merupakan “pemberian Tuhan.” (Baca Pengkhutbah 5:18, 19.) Dia menulis, “Setiap kerja keras membawa kebaikan.” (Ams. 14:23) Salomo tahu kata-kata itu memang benar kerana dia sendiri juga pernah bekerja keras. Contohnya, dia membina rumah, menanam ladang anggur, membina taman dan kolam, serta membina kota-kota. (1 Raj. 9:19; Pkh. 2:4-6) Setelah bekerja keras untuk melakukan hal-hal itu, Salomo tentu berasa sukacita. Namun, Salomo sedar bahawa jika dia mahu benar-benar bahagia, dia juga perlu melakukan kerja yang lain, iaitu kerja untuk Yehuwa. Sebagai contoh, dia menyertai projek pembinaan Rumah Tuhan yang mengambil masa selama tujuh tahun. (1 Raj. 6:38; 9:1) Setelah melakukan pelbagai jenis kerja, Salomo sedar bahawa hal terpenting adalah menyembah Yehuwa. Dia menulis, “Aku telah mendengar semuanya dan inilah kesimpulannya: Takutlah kepada Tuhan yang benar, dan patuhilah perintah-Nya.”—Pkh. 12:13.
9. Bagaimanakah Yesus memastikan kerjanya sebagai tukang kayu tidak menjadi hal terpenting dalam hidupnya?
9 Yesus seorang pekerja yang rajin. Semasa dia muda, dia bekerja sebagai tukang kayu. (Mrk. 6:3) Keluarga Yesus agak besar. Jadi ibu bapanya pasti sangat menghargai bantuan Yesus untuk menjaga keperluan keluarga mereka. Yesus sempurna, dan hasil kerjanya pun sempurna. Kemungkinan besar, hasil kerja Yesus mendapat permintaan tinggi daripada ramai orang. Yesus pasti sangat menikmati kerjanya. Namun, walaupun Yesus seorang pekerja yang rajin, dia selalu memastikan bahawa dia mempunyai masa untuk menyembah Yehuwa. (Yoh. 7:15) Pada kemudian hari, semasa Yesus menjadi penginjil sepenuh masa, dia memberitahu para pendengarnya, “Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.” (Yoh. 6:27) Semasa Ceramah Di Atas Gunung, Yesus juga berkata, “Kumpulkanlah harta di syurga.”—Mat. 6:20.
10. Apakah cabaran yang dihadapi sesetengah orang di tempat kerja mereka?
10 Kebijaksanaan daripada Tuhan dapat membantu kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap pekerjaan. Sebagai orang Kristian, Bible mengajar kita untuk “bekerja dengan rajin dan melakukan kerja yang baik.” (Ef. 4:28) Sering kali, majikan dapat melihat kejujuran dan kerja keras kita, dan mungkin memberitahu kita bahawa mereka sangat menghargai apa yang kita lakukan. Oleh itu, kita mungkin mula bekerja lebih masa, bukan kerana ingin mencari lebih wang, tetapi kerana ingin majikan kita mempunyai pandangan yang positif terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, jika kita mendapati bahawa kita mula mengabaikan tanggungjawab keluarga dan hal-hal rohani, kita perlu membuat perubahan agar dapat seimbang.
11. Apakah yang dipelajari oleh William tentang memiliki pandangan yang seimbang terhadap pekerjaan?
11 Seorang saudara muda yang bernama William telah melihat manfaat yang diraih apabila seseorang memiliki pandangan yang betul tentang pekerjaan. Mengenai seorang penatua yang merupakan bekas majikannya, William berkata, “[Saudara ini] merupakan teladan yang baik kerana dia sangat seimbang dalam kerjanya. Dia bekerja keras dan mempunyai hubungan yang baik dengan pelanggannya kerana prestasi kerjanya bagus. Namun, selepas waktu kerja, dia akan berhenti bekerja dan menggunakan masa dan tenaganya untuk keluarga dan Yehuwa. Saya rasa dia adalah antara orang yang paling gembira yang saya kenal!” *
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP DIRI SENDIRI
12. Bagaimanakah Salomo menunjukkan bahawa dia memiliki pandangan yang seimbang terhadap dirinya sendiri? Namun, bagaimanakah dia gagal menunjukkannya pada kemudian hari?
12 Semasa Salomo masih setia, dia mempunyai pandangan yang seimbang terhadap dirinya sendiri. Apabila dia masih muda dan baru menjadi raja, dia rendah hati mengakui keterbatasan dirinya dan sudi meminta bimbingan Yehuwa. (1 Raj. 3:7-9) Salomo juga sedar bahawa sikap sombong memang berbahaya. Dia menulis, “Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan membawa kehancuran.” (Ams. 16:18) Sedihnya, Salomo gagal menerapkan nasihatnya sendiri pada kemudian hari. Dia mula menjadi sombong dan mengingkari perintah Tuhan. Sebagai contoh, salah satu hukum menyatakan bahawa seorang raja Ibrani tidak boleh “mempunyai banyak isteri supaya hatinya tidak disimpangkan daripada haluan benar.” (Ul. 17:17) Tetapi, Salomo tidak mematuhi perintah itu. Dia memiliki 700 orang isteri dan 300 orang gundik, dan ramai antara mereka menyembah berhala! (1 Raj. 11:1-3) Salomo mungkin berfikir bahawa tindakannya tidak akan mengakibatkan masalah besar. Namun, Salomo akhirnya menuai akibat buruk kerana tidak mentaati Yehuwa.—1 Raj. 11:9-13.
13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kerendahan hati Yesus?
13 Yesus selalu bersikap rendah hati dan memiliki pandangan yang seimbang terhadap dirinya. Semasa dia di syurga, Yesus telah melakukan banyak hal yang menakjubkan bersama Yehuwa. Menerusi Yesus, ‘segala sesuatu yang lain diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.’ (Kol. 1:16) Semasa Yesus dibaptis, nampaknya kuasa suci Yehuwa telah membantunya mengingat semula semua hal yang pernah dilakukannya bersama Bapanya di syurga. (Mat. 3:16; Yoh. 17:5) Namun, semua pengetahuan itu tidak membuat Yesus menjadi sombong. Sebaliknya, dia tetap bersikap rendah hati. Dia memberitahu para pengikutnya bahawa dia “tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Mat. 20:28) Yesus juga mengakui keterbatasannya dengan mengatakan bahawa dia tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendaknya sendiri. (Yoh. 5:19) Yesus sememangnya sangat rendah hati dan merupakan teladan baik untuk kita!
14. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Yesus tentang memiliki pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri?
14 Yesus mengajar para pengikutnya untuk memiliki pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri. Pernah sekali, Yesus memberitahu mereka, “Rambut di kepala kamu sudah dihitung.” (Mat. 10:30) Jika kita sering memandang rendah terhadap diri sendiri, kata-kata itu pasti dapat meyakinkan kita bahawa kita sangat berharga di mata Yehuwa dan Dia sangat mengambil berat terhadap kita. Jadi, jika Yehuwa berasa kita layak untuk menyembah-Nya dan menerima kehidupan kekal di dunia baharu, janganlah kita mempersoalkan pandangan-Nya.
15. (a) Menurut sebuah majalah Menara Pengawal, apakah pandangan seimbang yang perlu kita pupuk terhadap diri sendiri? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar di muka surat 24, apakah berkat yang tidak dapat kita nikmati jika kita terlalu bertumpu kepada diri sendiri?
15 Sebuah majalah Menara Pengawal terbitan tahun 2005 ada menyatakan bahawa kita perlu memupuk pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri. Majalah itu menyatakan, “Sudah tentu, kita tidak mahu menganggap diri terlalu baik sehingga menjadi sombong, atau terlalu memandang rendah terhadap diri sendiri sehingga berasa kita tidak berguna. Sebaliknya, kita harus memupuk pandangan yang seimbang dengan mengambil kira kekuatan dan juga kelemahan diri sendiri. Seorang saudari berkata, ‘Saya bukanlah orang yang sangat jahat, dan saya juga bukanlah orang yang sangat baik. Saya mempunyai sifat-sifat yang baik dan yang tidak baik. Begitu juga dengan orang lain.’” * Jelaslah, kita akan meraih manfaat jika kita memupuk pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri.
16. Mengapakah Yehuwa memberi kita nasihat yang bijak?
16 Menerusi Firman-Nya, Yehuwa telah memberi kita nasihat yang bijak kerana Dia mengasihi kita dan mahu kita gembira. (Yes. 48:17, 18) Maka, pilihan yang paling bijak dan yang akan membawa kebahagiaan sejati adalah dengan terus melakukan hal-hal yang menyenangkan hati Yehuwa. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan banyak masalah yang dialami oleh mereka yang terlalu bertumpu kepada wang, pekerjaan, atau diri sendiri. Ya, marilah kita bertekad untuk menjadi bijak dan menggembirakan hati Yehuwa!—Ams. 23:15.
LAGU 94 Bersyukur atas Kurniaan Firman Tuhan
^ Salomo dan Yesus sangat bijak kerana kebijaksanaan mereka datang daripada Yehuwa. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji bagaimana nasihat Salomo dan Yesus dapat membantu kita memiliki pandangan yang seimbang tentang wang, pekerjaan, dan diri sendiri. Kita juga akan melihat bagaimana sesetengah saudara saudari kita telah meraih manfaat kerana menerapkan nasihat Bible dalam tiga hal tersebut.
^ Lihat rencana “Cara Menikmati Kerja Keras” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Februari 2015.
^ Lihat rencana “Alkitab Dapat Membantu Saudara Menemukan Sukacita” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Ogos 2005.
^ KETERANGAN GAMBAR: John dan Tom merupakan dua saudara muda dalam sidang yang sama. John meluangkan banyak masa untuk menjaga keretanya. Tom pula menggunakan keretanya untuk membawa orang lain menginjil dan menghadiri perjumpaan.
^ KETERANGAN GAMBAR: John bekerja lebih masa kerana tidak ingin mengecewakan bosnya. Setiap kali bosnya memintanya untuk bekerja lebih masa, John akan bersetuju. Pada hari yang sama, Tom yang merupakan seorang pembantu sidang menemani seorang penatua untuk membuat kunjungan penggembalaan. Sebelum ini, Tom telah menjelaskan kepada bosnya bahawa dia tidak dapat bekerja lebih masa pada hari-hari tertentu kerana masa itu dikhaskan untuk kegiatan rohani.
^ KETERANGAN GAMBAR: John terlalu bertumpu kepada dirinya. Tom pula mendahulukan hal-hal rohani dan bukannya kepentingan diri. Dia dapat membantu dalam kerja pengubahsuaian Dewan Perhimpunan dan mendapat banyak kawan.