Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Aku Akan Berjalan dalam Haluan-Mu yang Benar”

“Aku Akan Berjalan dalam Haluan-Mu yang Benar”

“Ya Yehuwa, ajarlah aku tentang haluan-Mu. Aku akan berjalan dalam haluan-Mu yang benar.”​—MZM. 86:11.

LAGU: 31, 72

1-3. (a) Apakah sepatutnya perasaan kita terhadap kebenaran Bible? Berikan contoh. (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang dalam rencana ini?

MENGEMBALIKAN barangan yang dibeli memang hal yang biasa. Menurut anggaran di sesetengah negara, hampir 9 peratus daripada barangan yang dibeli di kedai telah dikembalikan, manakala lebih daripada 30 peratus barangan yang dibeli dalam talian telah dikembalikan. Biasanya pembeli ingin menukar barangan lain atau meminta agar wang mereka dipulangkan, kerana barangan itu rosak, tidak memenuhi harapan mereka, atau tidak disukai mereka.

2 Namun, setelah ‘membeli’ kebenaran dan “pengetahuan yang tepat” dalam Bible, janganlah sekali-kali memulangkan atau “menjualnya.” (Baca Amsal 23:23 dan nota kaki; 1 Tim. 2:4) Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, kita telah membelanjakan banyak masa untuk mempelajari kebenaran. Selain itu, kita mungkin telah melepaskan kerjaya besar, mengalami perubahan dalam hubungan dengan sahabat dan keluarga, mengubah fikiran dan kelakuan sendiri, atau menghentikan amalan dan adat yang salah. Meskipun begitu, berkat yang kita terima jauh lebih besar daripada apa-apa pengorbanan yang kita buat.

3 Dalam salah satu perumpamaan Yesus, seorang saudagar yang menemui sebutir mutiara yang bermutu tinggi begitu menghargainya sehingga “segera pergi dan menjual” segala hartanya untuk membeli mutiara tersebut. (Mat. 13:45, 46) Itulah perasaan kita semasa menemui pelbagai “mutiara” kebenaran dalam Firman Tuhan, seperti kebenaran tentang Kerajaan Tuhan dan hal-hal lain. Kita begitu menghargai kebenaran itu sehingga rela mengorbankan apa sahaja untuk memperolehnya dengan segera. Selagi kita terus menghargai kebenaran, kita tidak akan “menjualnya.” Sedihnya, sebilangan umat Tuhan tidak lagi menghargai kebenaran dan bahkan menjualnya. Kita tidak mahu hal itu berlaku kepada diri kita! Oleh itu, kita perlu mendengarkan nasihat Bible untuk “tetap berjalan mengikut kebenaran.” (Baca 3 Yohanes 2-4.) Maksudnya, kita perlu mengutamakan kebenaran dan hidup selaras dengannya. Sekarang, mari kita fikirkan soalan-soalan ini: Mengapakah dan bagaimanakah seseorang mungkin ‘menjual’ kebenaran? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan kesilapan besar itu? Bagaimanakah kita dapat meneguhkan azam kita untuk “tetap berjalan mengikut kebenaran”?

SEBAB DAN CARA SESETENGAH ORANG ‘MENJUAL’ KEBENARAN

4. Mengapakah sesetengah orang pada abad pertama ‘menjual’ kebenaran?

4 Pada abad pertama, sesetengah orang yang menyambut ajaran Yesus kemudiannya tidak lagi berjalan mengikut kebenaran. Contohnya, setelah Yesus melakukan mukjizat untuk menyediakan makanan bagi ramai orang, mereka mengikutnya ke seberang Tasik Galilea. Di situ, Yesus mengatakan sesuatu yang mengejutkan mereka: “Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu.” Mereka sepatutnya meminta penjelasan lanjut, tetapi mereka terus tersandung dan berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?” Akhirnya, “ramai muridnya kembali kepada hal-hal yang sudah ditinggalkan mereka dan tidak mengikutnya lagi.”​—Yoh. 6:53-66.

5, 6. (a) Pada zaman ini, mengapakah sesetengah orang tidak berpegang erat pada kebenaran? (b) Bagaimanakah seseorang mungkin meninggalkan kebenaran secara beransur-ansur?

5 Sedihnya, sesetengah orang pada hari ini tidak berpegang erat pada kebenaran. Ada yang tersandung kerana perubahan dalam pemahaman Bible, atau kerana perbuatan atau kata-kata seorang saudara yang dikenali ramai. Yang lain tersinggung setelah ditegur, atau melepaskan kebenaran akibat perselisihan faham dengan rakan seiman. Ada pula yang mengikut ajaran palsu golongan murtad dan penentang. Akibatnya, sesetengah orang mula “meninggalkan Tuhan yang hidup” dan sidang. (Ibr. 3:12-14) Alangkah baiknya sekiranya mereka tetap beriman dan yakin kepada Yesus seperti yang dilakukan Petrus! Semasa Yesus bertanya kepada rasul-rasulnya, “Adakah kamu akan pergi juga?” Petrus segera menjawab, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.”​—Yoh. 6:67-69.

6 Sebilangan orang pula telah meninggalkan kebenaran secara beransur-ansur. Seperti perahu yang semakin menjauhi tebing sungai tanpa disedari, mereka beransur-ansur “hanyut” daripada kebenaran. (Ibr. 2:1) Walaupun mereka tidak meninggalkan kebenaran dengan sengaja, persahabatan mereka dengan Yehuwa sudah diancam dan mungkin akan putus. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan tragedi ini?

JANGANLAH MENJUAL KEBENARAN

7. Apakah yang akan membantu kita agar tidak menjual kebenaran?

7 Untuk tetap berjalan mengikut kebenaran, kita mesti menerima dan mentaati segala perintah Yehuwa. Kita mesti mengutamakan kebenaran dan hidup berlandaskan prinsip Bible. Raja Daud berjanji kepada Yehuwa, “Aku akan berjalan dalam haluan-Mu yang benar.” (Mzm. 86:11) Seperti Daud, kita mesti bertekad untuk terus berjalan mengikut kebenaran. Jika tidak, kita mungkin mula berfikir tentang hal yang telah kita korbankan demi kebenaran dan mula menuntut kembali sesetengah hal itu. Ingatlah, kita tidak boleh memilih kebenaran apa yang akan kita terima atau tolak. Sebaliknya, kita harus berpegang teguh pada “seluruh kebenaran.” (Yoh. 16:13) Mari kita fikirkan lima perkara yang mungkin telah kita korbankan untuk membeli kebenaran. Dengan itu, kita dapat menguatkan tekad kita agar tidak meminta kembali apa sahaja bayaran yang telah kita buat untuk membeli kebenaran.​—Mat. 6:19.

8. Bagaimanakah cara seorang Kristian menggunakan masa boleh menyebabkannya hanyut daripada kebenaran? Berikan contoh.

Masa. Kita mesti menggunakan masa dengan bijak supaya tidak hanyut daripada kebenaran. Jika kita tidak berhati-hati, kegiatan yang tidak salah seperti rekreasi, hobi, melayari Internet, atau menonton TV, mungkin mula menelan masa yang dahulunya digunakan untuk pembelajaran peribadi dan aktiviti rohani lain. Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Emma. * Sejak muda, Emma sangat suka kuda dan akan menunggang kuda pada setiap kesempatan. Tetapi dia kemudiannya berasa bersalah kerana membelanjakan terlalu banyak masa untuk hobi itu. Maka dia memutuskan untuk mengubah kehidupannya. Pengalaman Cory Wells, seorang bekas ahli pertunjukan kuda, juga menggalakkannya. * Kini, Emma meluangkan lebih banyak masa untuk kegiatan rohani dan untuk bergaul bersama sahabat dan keluarga Kristian. Dia berasa lebih bahagia dan lebih rapat dengan Yehuwa, kerana sedar bahawa dia sedang menggunakan masanya dengan bijak.

9. Apakah yang mungkin terjadi jika kita mula mengutamakan kekayaan?

9 Kekayaan. Untuk tetap berjalan mengikut kebenaran, kita tidak boleh mendahulukan harta benda. Semasa kita mula mempelajari kebenaran, kita mengutamakan hal-hal rohani dan sanggup mengorbankan kekayaan deminya. Namun, dengan berlalunya masa, kita mungkin nampak orang lain memiliki alat elektronik terkini atau keselesaan lain dan mula berasa ketinggalan. Kita mungkin tidak lagi puas dengan apa yang dimiliki dan mula berfokus kepada harta benda sehingga mengabaikan hal rohani. Itulah yang terjadi kepada Demas. Dia begitu “mencintai sistem dunia ini” sehingga tidak mahu berkhidmat bersama Rasul Paulus lagi. (2 Tim. 4:10) Adakah Demas lebih mencintai kebendaan daripada kegiatan rohani, atau adakah dia tidak sudi untuk terus membuat pengorbanan demi berkhidmat bersama Paulus? Kita tidak pasti. Tetapi pengajarannya ialah: Janganlah membiarkan cinta akan kebendaan membara semula dalam hati sehingga memadamkan kasih kita terhadap kebenaran.

10. Untuk tetap berjalan mengikut kebenaran, apakah tekanan yang mesti kita lawan?

10 Hubungan dengan orang lain. Untuk tetap berjalan mengikut kebenaran, kita tidak boleh tunduk kepada tekanan daripada orang lain. Semasa kita mula mempelajari kebenaran, hubungan kita dengan sahabat dan ahli keluarga yang bukan Saksi telah berubah. Ada yang menghormati kepercayaan kita, tetapi ada juga yang menentang. (1 Ptr. 4:4) Walaupun kita berusaha menjaga hubungan baik dengan ahli keluarga dan melayan mereka dengan baik, kita tidak akan menggadaikan kebenaran untuk menggembirakan mereka. Seperti yang disebut di 1 Korintus 15:33, kita hanya menjadi sahabat akrab dengan orang yang mengasihi Yehuwa.

11. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan amalan yang najis?

11 Pemikiran dan kelakuan yang buruk. Semua orang yang berjalan mengikut kebenaran mesti suci. (Yes. 35:8; baca 1 Petrus 1:14-16.) Semasa mempelajari kebenaran, kita telah mengubah kehidupan sendiri menurut piawaian Bible, dan ada yang perlu membuat perubahan besar agar dapat hidup suci. Maka, jangan sekali-kali menukar kesucian itu dengan kenajisan moral dunia ini. Apakah yang dapat membantu kita menolak godaan yang tidak bermoral? Renungkanlah harga yang dibayar Yehuwa untuk menyucikan kita: Darah Anak kesayangan-Nya, Yesus Kristus. (1 Ptr. 1:18, 19) Untuk tetap suci di mata Yehuwa, nilai korban tebusan Yesus harus sentiasa terpahat di hati dan minda kita.

12, 13. (a) Mengapakah kita perlu memupuk pandangan Yehuwa terhadap perayaan? (b) Apakah yang akan kita bincang seterusnya?

12 Adat dan amalan yang melanggar ajaran Bible. Semasa ahli keluarga, rakan kerja, dan rakan sekolah, memberi kita tekanan untuk menyertai perayaan atau adat yang tidak disenangi Yehuwa, apakah yang dapat membantu kita? Ingatlah pandangan Yehuwa terhadap sambutan sedemikian. Kita boleh mengkaji maklumat dalam bahan bacaan kita tentang asal usul perayaan yang popular. Apabila kita mengingat sebabnya kita tidak mengambil bahagian, kita diyakinkan bahawa kita sedang berjalan menurut haluan yang “diperkenankan Tuan kita.” (Ef. 5:10) Jika kita yakin kepada Yehuwa dan kebenaran dalam Firman-Nya, kita dapat mengatasi “rasa takut akan manusia.”​—Ams. 29:25.

13 Kita ingin terus berjalan mengikut haluan kebenaran, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya. Apakah yang dapat meneguhkan azam kita untuk berbuat demikian? Mari kita lihat tiga cara.

TEGUHKANLAH AZAM ANDA UNTUK BERJALAN MENGIKUT KEBENARAN

14. (a) Jika kita terus mengkaji Bible, bagaimanakah usaha itu akan menguatkan tekad kita untuk tidak menjual kebenaran? (b) Mengapakah kebijaksanaan, disiplin, dan pengertian begitu penting?

14 Pertama, teruslah mengkaji dan merenungkan kebenaran dalam Firman Tuhan. Apabila kita menjadualkan masa yang tetap untuk berbuat demikian, kita akan semakin menghargai kebenaran dan bertekad agar tidak menjualnya. Selain menasihati kita untuk membeli kebenaran, Amsal 23:23 juga menggalakkan kita untuk membeli “kebijaksanaan, disiplin, dan pengertian.” Sekadar memiliki pengetahuan Bible tidak cukup. Kebenaran mesti diamalkan dalam kehidupan. Pengertian membolehkan kita mengaitkan semua ajaran Yehuwa, manakala kebijaksanaan membolehkan kita bertindak. Ada kalanya, kebenaran mendisiplinkan kita dan menunjukkan perkara yang perlu kita ubah. Semoga kita sentiasa bersedia mengikut disiplin sebegini, yang jauh lebih berharga daripada perak.​—Ams. 8:10.

15. Bagaimanakah tali pinggang kebenaran melindungi kita?

15 Kedua, berazamlah untuk hidup berpandukan kebenaran setiap hari. Ikatkan kebenaran seperti tali pinggang anda. (Ef. 6:14) Pada zaman Bible, tali pinggang seorang askar melindungi pinggangnya dan organnya. Namun, tali pinggang yang longgar tidak dapat memberikan perlindungan atau sokongan yang sepenuhnya. Begitu juga dengan tali pinggang kebenaran. Jika kebenaran sentiasa dililitkan dengan ketat pada diri kita, kita dapat menghindari fikiran yang salah dan mampu membuat keputusan yang bijak. Semasa digoda atau dicubai, kebenaran Bible akan menguatkan tekad kita untuk berbuat benar. Sebagaimana seorang askar tidak akan pergi ke medan perang tanpa tali pinggangnya, bertekadlah agar tidak melonggarkan atau menanggalkan tali pinggang kebenaran. Sebaliknya, marilah kita memakainya dengan ketat dan sentiasa hidup berpandukan kebenaran. Satu lagi fungsi tali pinggang askar adalah untuk membawa pedang. Mari kita lihat kaitannya dengan usaha kita untuk tetap berjalan mengikut kebenaran.

16. Apabila kita mengongsi kebenaran dengan orang lain, bagaimanakah hal itu dapat menguatkan azam kita untuk tetap berjalan mengikut kebenaran?

16 Ketiga, ajarkanlah kebenaran Bible dengan seberapa kerap yang mampu. Dengan itu, anda sedang menggenggam erat “firman Tuhan sebagai pedang.” (Ef. 6:17) Kita juga ingin menjadi semakin mahir dalam “mengajar dan menjelaskan firman yang benar.” (2 Tim. 2:15) Apabila kita menggunakan Bible untuk membantu orang lain membeli kebenaran dan menolak ajaran palsu, firman Tuhan akan dipahat dalam hati dan minda kita, justeru menguatkan tekad kita untuk tetap berjalan mengikut kebenaran.

17. Mengapakah anda menghargai kebenaran?

17 Kebenaran ialah kurniaan yang tidak ternilai daripada Yehuwa. Tanpa kurniaan ini, kita tidak mungkin memiliki perkara yang paling bernilai, iaitu hubungan yang erat dengan Bapa kita yang di syurga. Semua kebenaran yang diajarkan Tuhan setakat ini hanyalah permulaan, dan Dia sudah berjanji bahawa kebenaran yang sudah kita beli akan terus bertambah untuk selama-lamanya. Maka, jadikanlah kebenaran mutiara hati anda. Teruslah ‘membeli kebenaran dan jangan menjualnya.’ Dengan itu, seperti Daud, anda dapat menunaikan janji ini kepada Yehuwa: “Aku akan berjalan dalam haluan-Mu yang benar.”​—Mzm. 86:11.

^ per. 8 Nama telah diubah.

^ per. 8 Layari Siaran JW dan lihat TEMU RAMAH DAN PENGALAMAN > KEBENARAN MENGUBAH HIDUP.