Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Belilah Kebenaran dan Jangan Menjualnya”

“Belilah Kebenaran dan Jangan Menjualnya”

“Belilah kebenaran dan jangan menjualnya; belilah juga kebijaksanaan, disiplin, dan pengertian.”​—AMS. 23:23, nota kaki.

LAGU: 94, 96

1, 2. (a) Apakah milik kita yang paling berharga? (b) Apakah kebenaran yang kita hargai? Mengapa? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

APAKAH milik anda yang paling berharga? Sanggupkah anda menukarnya dengan sesuatu yang lebih rendah nilainya? Bagi penyembah Yehuwa, jawapannya mudah sahaja. Hubungan kita dengan Yehuwa ialah hal yang paling bernilai, dan kita tidak akan menukarnya dengan apa-apa pun. Kita juga menghargai kebenaran Bible, kerana tanpanya, kita tidak mungkin dapat menjadi sahabat Bapa kita yang di syurga.​—Kol. 1:9, 10.

2 Fikirkan segala ajaran yang disediakan Pendidik Agung kita melalui Firman-Nya Bible! Dia menyingkapkan kebenaran tentang nama-Nya dan sifat-sifat-Nya yang mulia. Dia memberitahu kita tentang tebusan yang disediakan-Nya melalui Anak-Nya, tentang Kerajaan Mesias di syurga yang bakal diwarisi kaum terurap, dan tentang bumi Firdaus yang akan didiami “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Dia juga mengajar kita cara hidup yang terbaik. Kita menghargai semua kebenaran itu, yang membolehkan kita menghampiri Pencipta kita dan menjalani kehidupan yang bermakna.

3. Perlukah kita membayar wang untuk membeli kebenaran?

3 Yehuwa ialah Tuhan yang murah hati. Dia tidak menahan apa-apa yang baik daripada orang yang mencari kebenaran. Yehuwa bahkan memberikan nyawa Anak kesayangan-Nya sebagai kurniaan yang percuma. Maka Dia tentu tidak akan mengenakan bayaran untuk kebenaran. Pernah sekali, seorang lelaki yang bernama Simon menawarkan wang kepada Rasul Petrus supaya dia pun dapat membolehkan orang lain menerima kuasa suci Tuhan. Tetapi Petrus menegurnya dengan berkata, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma.” (Kis. 8:18-20) Jadi, apakah maksud ‘membeli kebenaran’?

APAKAH MAKSUD ‘MEMBELI’ KEBENARAN?

4. Apakah yang akan kita pelajari tentang kebenaran dalam rencana ini?

4 Baca Amsal 23:23 dan nota kaki. Untuk menemui kebenaran dalam Firman Tuhan, kita harus mencurahkan usaha dan rela membuat pengorbanan. Penulis Amsal mengingatkan kita bahawa setelah kita ‘membeli,’ atau memperoleh “kebenaran,” kita mesti berhati-hati agar tidak “menjualnya,” atau melepaskannya. Mari kita bincang maksud ‘membeli’ kebenaran dan harga yang perlu dibayar untuk memilikinya. Dengan itu, kita akan lebih menghargai kebenaran dan bertekad agar tidak “menjualnya.” Kita juga akan memahami sebabnya harga untuk membeli kebenaran memang berbaloi.

5, 6. (a) Bagaimanakah kita membeli kebenaran tanpa membayar wang? Berikan contoh. (b) Apakah manfaat kebenaran bagi kita?

5 Sesuatu yang percuma tidak akan datang bergolek ke dalam saku dengan sendirinya. Perkataan “belilah” di Amsal 23:23 juga bermaksud “perolehlah.” Maksudnya, usaha atau pengorbanan diperlukan. Fikirkan contoh ini: Katakan sebuah pasar menawarkan pisang dengan percuma. Adakah pisang itu akan muncul di meja kita? Tidak. Kita perlu pergi ke pasar untuk mendapatkannya. Walaupun pisang itu percuma, kita perlu meluangkan masa dan usaha untuk pergi ke pasar. Begitu juga, kita tidak perlu wang untuk membeli kebenaran, tetapi kita mesti berusaha untuk memperolehnya.

6 Baca Yesaya 55:1-3 dan nota kaki. Dalam beberapa ayat ini, Yehuwa menjelaskan maksud ‘membeli kebenaran.’ Dia menyamakan firman-Nya dengan air, susu, dan wain. Seperti seteguk air yang sejuk dan bersih, kebenaran dalam firman Tuhan menyegarkan kita. Sebagaimana susu menguatkan kita dan membantu kanak-kanak membesar, firman Yehuwa menguatkan kita dan membantu kita bertumbuh secara rohani. Bagaimanakah firman Yehuwa ibarat wain? Bible mengaitkan wain dengan kegembiraan. (Mzm. 104:15) Maka, dengan menjemput umat-Nya untuk ‘membeli wain,’ Yehuwa menjamin bahawa orang yang hidup menurut firman-Nya akan meraih kegembiraan. (Mzm. 19:8) Tiga perumpamaan tadi tepat menggambarkan manfaat yang dituai apabila kita mempelajari dan mengamalkan kebenaran. Sekarang, mari kita perhatikan lima perkara yang mungkin perlu kita korbankan untuk membeli kebenaran.

APAKAH YANG TELAH ANDA KORBANKAN UNTUK MEMBELI KEBENARAN?

7, 8. (a) Mengapakah kita perlu meluangkan masa untuk membeli kebenaran? (b) Apakah pengorbanan yang sanggup dilakukan seorang pelajar? Apakah hasilnya?

Masa. Kita mesti meluangkan masa untuk mendengar berita baik, membaca Bible dan bahan bacaan Bible, mempelajari Bible, membuat persiapan untuk perjumpaan, dan menghadiri perjumpaan. Kita perlu ‘membeli’ masa itu daripada kegiatan yang kurang penting. (Baca Efesus 5:15, 16 dan nota kaki.) Berapa banyakkah masa yang diperlukan untuk mendapat pengetahuan yang tepat tentang ajaran asas Bible? Jawapannya bergantung pada keadaan setiap orang. Kebijaksanaan, perbuatan, dan haluan Yehuwa yang dapat kita pelajari, tiada hadnya. (Rm. 11:33) Terbitan pertama Watch Tower menyamakan kebenaran dengan “sekuntum bunga kecil” dan menyatakan, “Setelah mendapat ‘sekuntum’ kebenaran, janganlah berpuas hati. Jika sekuntum kebenaran sudah cukup, Tuhan tidak akan menyediakan begitu banyak kebenaran. Carilah dan kumpullah lebih banyak lagi.” Maka tanyalah diri, “Seberapa besarkah ‘jambangan bunga kebenaran’ saya?” Pengetahuan kita tentang Yehuwa akan bertambah untuk selama-lamanya, tetapi buat masa sekarang, gunakanlah masa kita dengan bijak untuk membeli seberapa banyak kebenaran yang mampu. Perhatikan contoh berikut.

8 Mariko, * seorang gadis Jepun, berpindah ke Amerika Syarikat untuk bersekolah di Bandar Raya New York. Ketika itu, dia menganuti sebuah agama yang bermula di Jepun pada akhir 1950-an. Seorang saudari perintis telah berjumpa dengan Mariko semasa menginjil dari rumah ke rumah. Mariko sangat menyukai kebenaran Bible yang dipelajarinya sehingga meminta saudari itu mengajarnya dua kali seminggu. Meskipun sibuk dengan sekolah dan kerja separuh masa, Mariko mula menghadiri perjumpaan. Dia mengurangkan kegiatan rekreasi supaya mempunyai masa untuk mempelajari kebenaran. Pengorbanan sedemikian telah membantunya maju dengan cepat. Dalam masa setahun, dia telah dibaptis. Enam bulan kemudian, pada tahun 2006, dia mula merintis dan terus merintis sampai hari ini.

9, 10. (a) Apakah pandangan kita terhadap harta benda setelah membeli kebenaran? (b) Apakah cita-cita yang dikorbankan seorang wanita muda? Apakah perasaannya tentang pengorbanan itu?

9 Kekayaan. Untuk membeli kebenaran, kita mungkin perlu menolak kerjaya yang besar atau kerja yang bergaji tinggi. Semasa Yesus menjemput Petrus dan Andreas, dua orang nelayan, untuk menjadi “penjala manusia,” mereka segera “meninggalkan jala.” (Mat. 4:18-20) Sudah tentu, orang yang mempelajari kebenaran mempunyai tanggungjawab keluarga dan tidak boleh berhenti bekerja begitu sahaja. (1 Tim. 5:8) Namun, setelah mempelajari kebenaran, kita perlu mengubah keutamaan hidup dan sikap kita terhadap harta benda. Yesus berkata, “Jangan lagi mengumpulkan harta di bumi . . . Sebaliknya, kumpulkanlah harta di syurga.” (Mat. 6:19, 20) Perhatikan kisah seorang wanita muda.

10 Maria suka bermain golf bahkan sebelum menduduki bangku sekolah. Dia menjadi semakin mahir semasa sekolah menengah dan kemudiannya mendapat biasiswa universiti. Maria ingin menjadi pemain yang terkemuka dan kaya. Apabila Maria mula belajar Bible, dia mencintai kebenaran yang dipelajarinya dan mula mengubah hidupnya. Dia berkata, “Apabila saya menyelaraskan sikap dan gaya hidup saya menurut piawaian Bible, saya menjadi semakin bahagia.” Maria sedar bahawa dia tidak dapat mengejar kekayaan rohani dan kebendaan pada masa yang sama. (Mat. 6:24) Agar dapat membeli kebenaran, dia membatalkan hasratnya untuk menjadi pemain profesional. Kini, Maria seorang perintis, dan dia berkata bahawa itulah “kehidupan yang paling bahagia dan bermakna.”

11. Apabila kita membeli kebenaran, apakah yang mungkin berlaku kepada hubungan kita dengan orang lain?

11 Hubungan dengan orang lain. Keputusan kita untuk hidup selaras dengan kebenaran Bible mungkin mempengaruhi hubungan kita dengan keluarga dan sahabat. Mengapa? Yesus berdoa bagi pengikutnya, “Sucikanlah mereka dengan kebenaran. Firman-Mu ialah kebenaran.” (Yoh. 17:17, nota kaki) Ungkapan “sucikanlah mereka” juga bermaksud “jadikanlah mereka milik-Mu yang khas.” Apabila kita menerima kebenaran, kita menjadi milik Tuhan yang khas dan tidak lagi serasi dengan acuan dunia. Kita dianggap berbeza kerana piawaian Bible sudah menjadi pegangan hidup kita. Walaupun kita tidak ingin menimbulkan perpecahan, kepercayaan baharu ini mungkin membuat sesetengah sahabat dan ahli keluarga menjauhi kita atau menentang kita. Hal sebegini tidak menghairankan, kerana Yesus pernah berkata, “Musuh seseorang ialah anggota rumah tangganya sendiri.” (Mat. 10:36) Tetapi dia juga menjamin bahawa berkat yang kita raih kerana membeli kebenaran akan jauh lebih besar daripada apa-apa pengorbanan yang perlu kita buat.​—Baca Markus 10:28-30.

12. Apakah yang perlu dibayar oleh seorang lelaki Yahudi untuk membeli kebenaran?

12 Sejak kecil lagi, seorang peniaga Yahudi yang bernama Aaron diajar bahawa nama Tuhan tidak boleh disebut. Namun, Aaron mendahagakan kebenaran. Apabila seorang Saksi menunjukkan kepadanya bahawa empat huruf Ibrani bagi nama Tuhan dapat dibacakan sebagai “Yehuwa” setelah huruf vokal ditambahkan, Aaron begitu teruja sehingga mengongsi hal itu dengan rabbi di rumah ibadat! Aaron sangka mereka akan berasa gembira untuk mempelajari kebenaran tentang nama Tuhan, tetapi mereka meludahinya dan mengusirnya. Aaron juga ditentang keluarganya, tetapi dia terus membeli kebenaran dan menyembah Yehuwa seumur hidupnya sebagai seorang Saksi yang berani. Seperti Aaron, hubungan kita dengan orang lain mungkin berubah apabila kita mengikut haluan kebenaran, tetapi kita sanggup membayar harga itu.

13, 14. Untuk membeli kebenaran, apakah perubahan yang perlu dibuat dari segi fikiran dan kelakuan? Berikan contoh.

13 Pemikiran dan kelakuan yang buruk. Untuk menerima kebenaran dan hidup berpandukan piawaian Bible, kita mesti rela mengubah fikiran dan kelakuan kita. Petrus menulis, “Jangan lagi dibentuk oleh keinginan kamu yang dahulu, semasa kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. . . . Hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu.” (1 Ptr. 1:14, 15) Kota Korintus penuh dengan perbuatan tidak bermoral, maka orang yang ingin membeli kebenaran harus mengubah gaya hidup mereka. (1 Kor. 6:9-11) Begitu juga, ramai orang hari ini perlu mengikis kelakuan buruk agar dapat membeli kebenaran. Petrus mengingatkan orang Kristian pada abad pertama: “Sudah cukup lama kamu melakukan kehendak bangsa-bangsa. Kamu berkelakuan buruk tanpa rasa malu, menurut nafsu yang tidak terkekang, minum berlebihan, berpesta liar, berpesta minum, dan menyembah berhala yang menjijikkan.”​—1 Ptr. 4:3.

14 Selama bertahun-tahun, Devynn dan Jasmine ialah kaki botol. Devynn seorang penyimpan kira-kira yang cekap, tetapi tabiatnya itu menyebabkan pekerjaannya tidak tetap. Jasmine pula dikenali kerana ganas dan agresif. Suatu hari, semasa tengah mabuk, Jasmine terserempak dengan dua orang mubaligh di jalan. Dua orang mubaligh itu membuat janji temu dengannya untuk mempelajari Bible. Tetapi apabila mereka tiba di rumah Devynn minggu berikutnya, Jasmine dan Devynn sedang mabuk. Mereka tidak sangka dua orang mubaligh itu betul-betul akan datang. Namun, keadaan Jasmine dan Devynn berubah pada kunjungan seterusnya. Sejak pembelajaran pertama, mereka berdua belajar Bible dengan tekun dan mula menerapkan apa yang dipelajari. Dalam masa tiga bulan, mereka berhenti minum, dan mereka kemudiannya mendaftarkan perkahwinan mereka. Ramai orang di kampung mereka terdorong untuk mempelajari Bible setelah nampak perubahan mereka.

15. Apakah yang mungkin merupakan halangan terbesar untuk membeli kebenaran? Mengapa?

15 Adat dan amalan yang melanggar ajaran Bible. Menghentikan adat dan amalan sebegini mungkin merupakan halangan yang terbesar untuk membeli kebenaran. Meskipun sesetengah orang dapat menerima sebab yang dinyatakan Bible untuk meninggalkan kebiasaan itu, yang lain mungkin teragak-agak untuk bertindak kerana tekanan daripada keluarga, rakan kerja, dan kawan karib. Mereka mungkin risau tentang sesetengah adat yang melibatkan emosi, terutamanya upacara pengebumian atau perkabungan. (Ul. 14:1) Jika itulah perasaan kita, fikirkanlah contoh orang Kristian di Efesus pada abad pertama.

16. Apakah yang dilakukan sesetengah orang di Efesus untuk membeli kebenaran?

16 Kota Efesus terkenal dengan ilmu sihir. Maka, apakah yang perlu dilakukan orang yang mengamalkan ilmu sihir agar dapat membeli kebenaran dan menjadi orang Kristian? Bible menjelaskan bahawa mereka “mengumpulkan buku-buku [sihir] mereka dan membakarnya di hadapan semua orang. Selepas menghitung nilai buku-buku itu, mereka mendapati bahawa nilainya 50,000 keping wang perak. Maka, dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa.” (Kis. 19:19, 20) Oleh sebab mereka sanggup membuat pengorbanan yang besar, mereka telah dilimpahi berkat yang tidak ternilai.

17. (a) Apakah sesetengah hal yang perlu kita korbankan untuk membeli kebenaran? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Apakah yang telah anda korbankan untuk membeli kebenaran? Kita semua meluangkan masa untuk mengumpulkan bunga kebenaran. Ada yang melepaskan peluang untuk hidup kaya, dan ada yang perlu menghadapi perubahan dalam hubungan keluarga dan sahabat. Ramai orang telah mengubah fikiran dan kelakuan sendiri, serta mengikis adat dan amalan yang salah. Namun, kita yakin bahawa pengorbanan sedemikian amat berbaloi. Dengan adanya kebenaran Bible, kita dapat menjalin hubungan yang erat dengan Yehuwa, dan itulah milik kita yang paling bernilai. Memandangkan kebenaran membawa begitu banyak berkat, mengapakah sesetengah orang sanggup menjualnya? Bagaimanakah hal itu mungkin terjadi, dan bagaimanakah kita dapat mengelakkan kesilapan besar itu? Jawapannya akan dibincangkan dalam rencana seterusnya.

^ per. 8 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.