Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kebaikan Hati​—Diungkapkan melalui Kata-Kata dan Tindakan

Kebaikan Hati​—Diungkapkan melalui Kata-Kata dan Tindakan

TIDAKKAH kita berasa lega dan bersyukur semasa merasai kebaikan hati dan keprihatinan orang lain? Memandangkan sifat baik hati begitu dihargai, bagaimanakah kita dapat memupuknya?

Orang yang baik hati akan mengambil berat tentang kesejahteraan orang lain dengan ikhlas dan menunjukkannya melalui kata-kata dan tindakan. Sekadar bersopan santun tidak memadai, kerana sifat kebaikan hati melibatkan kasih dan empati yang mendalam. Tambahan lagi, kebaikan hati ialah sebahagian daripada buah kuasa suci Tuhan yang mesti dipupuk oleh orang Kristian. (Gal. 5:22, 23) Mari kita mengkaji cara Yehuwa dan Anak-Nya menunjukkan sifat ini, dan bagaimana kita dapat mengikut teladan mereka.

YEHUWA BAIK HATI KEPADA SEMUA

Yehuwa baik hati dan bertimbang rasa terhadap semua, termasuk “orang yang tidak tahu bersyukur dan orang yang jahat.” (Luk. 6:35) Dia “membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik, dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat.” (Mat. 5:45) Kerana kebaikan hati Yehuwa, orang yang tidak mengakui-Nya sebagai Pencipta pun meraih manfaat daripada jagaan-Nya dan dapat menikmati kehidupan.

Yehuwa memperlihatkan kebaikan hati yang menakjubkan tidak lama selepas Adam dan Hawa berdosa. Mereka berdua “menjahit daun-daun pokok ara” untuk dipakai, namun Yehuwa tahu bahawa pakaian itu tidak dapat melindungi mereka di luar Eden, di tanah yang dikutuk dan yang penuh dengan “semak berduri dan lalang.” Maka, Yehuwa “membuat pakaian panjang daripada kulit binatang” bagi mereka.​—Kej. 3:7, 17, 18, 21.

Walaupun Yehuwa baik hati kepada “orang jahat dan orang baik,” Dia ingin berbaik hati khasnya kepada hamba-hamba-Nya yang setia. Misalnya, pada zaman Nabi Zakharia, satu malaikat berasa susah hati semasa melihat kerja pemulihan Rumah Tuhan tergendala. Yehuwa mendengar luahan malaikat itu dan menjawabnya “dengan kata-kata yang ramah.” (Za. 1:12, 13) Pernah sekali, Nabi Elia sangat tawar hati dan meminta Yehuwa mengambil nyawanya. Yehuwa mendengar luahannya dan mengutus malaikat untuk menguatkannya. Tuhan juga menjamin bahawa Elia tidak bersendirian. Kata-kata dan tindakan Yehuwa yang baik hati telah membolehkan Elia meneruskan tugasnya. (1 Raj. 19:1-18) Antara hamba-hamba Tuhan, siapakah contoh terbaik dalam mencerminkan kebaikan hati Yehuwa?

YESUS AMAT BAIK HATI

Semasa menginjil di bumi, Yesus sentiasa baik hati dan bertimbang rasa. Dia tidak bersikap kasar atau memaksa orang mengikut perintahnya. Dengan baik hati, dia berkata, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. . . . Kuk aku senang dipikul.” (Mat. 11:28-30) Disebabkan kebaikan hatinya, orang ramai mengikut Yesus ke mana-mana sahaja. Yesus “berasa kasihan terhadap mereka” lalu memberi mereka makanan, menyembuhkan penyakit dan kecacatan mereka, dan mengajar mereka “banyak perkara” tentang Bapanya.​—Mrk. 6:34; Mat. 14:14; 15:32-38.

Kebaikan hati mendorong Yesus untuk bertimbang rasa dan mengambil kira perasaan orang lain. Biarpun orang datang kepadanya semasa Yesus sedang berehat, dia tetap “menyambut mereka dengan ramah.” (Luk. 9:10, 11) Contohnya, apabila seorang wanita yang menderita masalah pendarahan selama 12 tahun menyentuh jubah luarnya agar disembuhkan, Yesus tidak memarahinya walaupun wanita itu najis di sisi Hukum. (Im. 15:25-28) Sebaliknya, dia berasa kasihan terhadap wanita yang gementar itu dan berkata, “Hai anakku, kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.” (Mrk. 5:25-34) Kebaikan hati yang sungguh mengagumkan, bukan?

KEBAIKAN HATI MERANGKUMI PERBUATAN BAIK

Contoh-contoh tadi menunjukkan bahawa kebaikan hati merangkumi tindakan. Cerita Yesus tentang lelaki Samaria yang baik hati juga menekankan pengajaran ini. Meskipun terdapat permusuhan antara orang Yahudi dengan orang Samaria, lelaki Samaria dalam cerita itu mengasihani orang Yahudi yang dirompak, dipukul, dan dibiarkan setengah mati di jalan. Kebaikan hati menggerakkan lelaki Samaria itu untuk merawat luka mangsa dan membawanya ke rumah tumpangan. Dia bukan sahaja membayar pengurus di situ untuk menjaga lelaki tersebut, malah berjanji akan membayar apa-apa perbelanjaan lain yang diperlukan.​—Luk. 10:29-37.

Kebaikan hati sering diungkapkan melalui tindakan, tetapi juga dapat ditunjukkan melalui kata-kata perangsang. Bible menyatakan, “Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.” (Ams. 12:25) Sifat kebaikan hati dan kebaikan akan mendorong kita untuk mengucapkan kata-kata yang membina. * Kata-kata kita yang mencerminkan kebaikan hati dan keprihatinan dapat menguatkan semangat orang lain dan membantu mereka untuk menghadapi kesusahan dengan tabah.​—Ams. 16:24.

CARA MEMUPUK KEBAIKAN HATI

Manusia diciptakan ‘menurut gambaran Tuhan,’ maka semua orang mampu memupuk kebaikan hati. (Kej. 1:27) Contohnya, Yulius, seorang pegawai tentera yang membawa Rasul Paulus ke Roma, “melayan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus untuk pergi kepada sahabat-sahabatnya supaya mereka dapat menjaganya” di kota Sidon. (Kis. 27:3) Beberapa waktu kemudian, selepas kapal yang dinaiki Paulus dan beberapa orang lain karam, penduduk pulau Malta “sangat baik hati” terhadap mereka dan bahkan menyalakan api supaya mereka tidak kesejukan. (Kis. 28:1, 2) Meskipun tindakan sebegini memang terpuji, orang yang benar-benar baik hati tidak hanya berbuat baik sekali-sekala.

Untuk menyenangkan hati Tuhan dengan sepenuhnya, kebaikan hati mesti sentiasa tersulam dalam keperibadian dan cara hidup kita. Itulah sebabnya Yehuwa menyuruh kita “mengenakan” kebaikan hati. (Kol. 3:12) Memang benar, hal itu tidak selalu mudah. Kita mungkin keberatan untuk berbaik hati kerana berasa malu atau kurang yakin, kerana menghadapi tentangan, atau kerana sikap mementingkan diri yang ada kalanya timbul. Namun, kita dapat mengatasi halangan sebegitu dengan bergantung pada kuasa suci Tuhan dan dengan meniru cara Yehuwa menunjukkan kebaikan hati.​—1 Kor. 2:12.

Dalam aspek apakah kita dapat menunjukkan kebaikan hati dengan lebih mantap lagi? Tanyalah diri, “Adakah saya mendengar dengan empati? Adakah saya peka terhadap keperluan orang lain? Bilakah kali terakhir saya berbaik hati terhadap seseorang yang bukan ahli keluarga atau sahabat akrab saya?” Kemudian, tetapkanlah matlamat, misalnya untuk mengenali orang di sekeliling kita dengan lebih baik, terutamanya ahli sidang. Dengan itu, kita dapat mengetahui situasi dan keperluan mereka. Seterusnya, cubalah bayangkan diri kita dalam situasi orang lain, dan tunjukkan kebaikan hati dalam cara yang akan dihargai mereka. (Mat. 7:12) Akhirnya, mintalah bantuan Yehuwa, dan Dia akan memberkati usaha kita untuk memupuk kebaikan hati.​—Luk. 11:13.

KEBAIKAN HATI MENARIK PERHATIAN ORANG

Salah satu sifat yang menunjukkan bahawa Paulus ialah hamba Tuhan ialah “kebaikan hati.” (2 Kor. 6:3-6) Orang lain suka akan Paulus kerana dia prihatin terhadap mereka. (Kis. 28:30, 31) Begitu juga, kebaikan hati kita dapat menarik minat orang terhadap kebenaran. Apabila kita berbaik hati kepada semua, termasuk para penentang, mereka mungkin tidak akan begitu membenci kita lagi dan bahkan berminat untuk mengenali Bible.​—Rm. 12:20.

Di bumi Firdaus nanti, jutaan orang yang dibangkitkan juga akan teruja untuk merasai kebaikan hati yang sejati, barangkali buat kali pertama. Penghargaan mereka terhadap sifat ini akan menggerakkan mereka untuk berbaik hati kepada orang lain juga. Pada masa itu, sesiapa yang enggan berbaik hati terhadap orang lain dan enggan menghulurkan bantuan tidak akan dibenarkan hidup selama-lamanya di Firdaus, manakala orang yang sentiasa menunjukkan kasih dan kebaikan hati akan dikurniai kehidupan kekal. (Mzm. 37:9-11) Bayangkan betapa aman dan selamatnya dunia ketika itu! Namun, sebelum masa itu tiba, apakah manfaatnya menunjukkan kebaikan hati sekarang?

KEBAIKAN HATI MEMBAWA MANFAAT

“Orang yang baik hati menguntungkan diri sendiri,” kata Bible. (Ams. 11:17) Orang biasanya tertarik kepada individu yang baik hati dan akan melayannya dengan baik juga. Yesus berkata, “Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.” (Luk. 6:38) Orang yang baik hati dapat menjalin dan mengekalkan persahabatan yang baik dengan mudah.

Rasul Paulus menggesa ahli sidang di Efesus, “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan. Ampunilah satu sama lain dengan rela.” (Ef. 4:32) Sebuah sidang akan makmur secara rohani jika semua ahlinya menunjukkan empati dan kebaikan hati, dan suka saling membantu. Mereka tidak mengkritik orang dengan kasar, menggunakan bahasa kesat, menyindir, atau menyebarkan gosip. Sebaliknya, mereka berusaha mengucapkan kata-kata yang membina. (Ams. 12:18) Suasana sedemikian sungguh bermanfaat bagi sidang.

Ya, kebaikan hati perlu diungkapkan melalui kata-kata dan tindakan. Dengan menunjukkan sifat ini, kita sedang meniru kasih dan kemurahan hati Tuhan kita, Yehuwa. (Ef. 5:1) Selain itu, kita akan mengukuhkan sidang kita dan menarik minat orang kepada ibadat sejati. Semoga kita sentiasa dikenali sebagai umat yang baik hati!

^ per. 13 Sifat kebaikan akan dibincangkan kelak dalam siri rencana ini mengenai buah kuasa suci Tuhan.