Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Percayalah kepada Yehuwa dan Hidup Selama-lamanya!

Percayalah kepada Yehuwa dan Hidup Selama-lamanya!

“Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.”​—AMS. 3:5.

LAGU: 3, 8

1. Mengapakah semua orang perlu dilegakan?

SEMUA orang perlu dilegakan. Hidup kita mungkin sarat dengan kekhuatiran, kekecewaan, dan kesusahan. Kita mungkin menderita akibat penyakit, usia tua, atau kematian orang tersayang. Keganasan di sekeliling kita semakin bertambah, dan ada antara kita yang menjadi mangsa penindasan. Sudah tentu, “masa genting yang sukar dihadapi” ini membuktikan bahawa kita sedang hidup “pada hari-hari terakhir,” dan bahawa dunia baharu makin hari makin dekat. (2 Tim. 3:1) Namun, kita mungkin sudah lama menunggu janji Yehuwa ditunaikan, dan masalah kita nampaknya kian bertambah. Jika begitu, dari manakah kita dapat mencari kelegaan?

2, 3. (a) Apakah yang kita tahu tentang Habakuk? (b) Mengapakah kita ingin mengkaji buku Habakuk?

2 Untuk mendapat jawapannya, mari kita kaji buku Habakuk. Walaupun Bible tidak memberikan banyak butiran tentang kehidupan dan kegiatan Habakuk, buku Bible ini dapat menabahkan kita. Nama Habakuk, yang mungkin bermaksud “Pelukan yang Hangat,” barangkali menggambarkan cara Yehuwa memeluk dan melegakan umat-Nya, atau cara para penyembah Tuhan berpaut pada-Nya dengan penuh keyakinan. Habakuk berpeluang bercakap kepada Tuhan dan menanya Dia beberapa soalan. Yehuwa telah mengilhami Habakuk untuk mencatatkan perbualan itu demi manfaat kita.​—Hab. 2:2.

3 Segala maklumat tentang Habakuk yang terdapat dalam Bible, dinyatakan melalui perbualannya dengan Yehuwa. Catatan nabi yang resah itu ialah sebahagian daripada “segala yang tertulis sejak dahulu lagi” dalam Firman Tuhan, “supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.” (Rm. 15:4) Bagaimanakah kita masing-masing dapat memperoleh manfaat daripada buku Habakuk? Kita akan dibantu untuk memahami maksudnya percaya kepada Yehuwa. Selain itu, nubuat Habakuk meyakinkan kita bahawa kita dapat memelihara ketenangan hati meskipun menghadapi cubaan dan kesusahan. Sekarang, mari kita kaji buku Habakuk dengan lebih terperinci.

BERDOA KEPADA YEHUWA

4. Mengapakah Habakuk berasa susah hati?

4 Baca Habakuk 1:2, 3. Habakuk hidup pada zaman yang amat mencabar. Dia berdukacita kerana dikelilingi rakan sebangsanya yang jahat dan ganas. Bilakah kejahatan itu akan berakhir? Mengapakah Yehuwa masih belum bertindak lagi? Habakuk berasa tidak berdaya semasa melihat ketidakadilan dan kekejaman yang asyik terjadi di depan matanya. Pada detik yang suram itu, dia berseru kepada Yehuwa dan meminta-Nya campur tangan. Dia mungkin berfikir bahawa Yehuwa tidak peduli atau menunggu terlalu lama untuk bertindak. Pernahkah anda berasa begitu juga?

5. Apakah pengajaran penting yang dapat kita peroleh daripada buku Habakuk? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

5 Adakah Habakuk tidak lagi beriman kepada Yehuwa dan janji-janji-Nya? Tidak! Habakuk menyerahkan masalah dan kekhuatirannya kepada Yehuwa, bukannya kepada manusia. Hal itu menunjukkan bahawa dia masih berharap kepada Tuhan. Namun, Habakuk gelisah dan keliru kerana tidak memahami sebabnya Tuhan menunggu begitu lama atau mengapa Yehuwa membiarkannya menghadapi begitu banyak penderitaan. Yehuwa mengilhami Habakuk untuk mencatatkan perasaannya itu. Daripada hal ini, kita dapat mempelajari sesuatu yang penting: Kita tidak perlu takut untuk mencurahkan isi hati kita kepada Yehuwa dan memberitahu-Nya kekhuatiran atau keraguan kita. (Mzm. 50:15; 62:8) Amsal 3:5 menggalakkan kita, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.” Habakuk mungkin mengenali ayat itu dan menerapkan nasihatnya dalam kehidupan sendiri.

6. Mengapakah doa sangat penting?

6 Habakuk percaya kepada Sahabat dan Bapanya, dan dia mengambil inisiatif untuk menghampiri Yehuwa. Habakuk tidak hanya bertumpu kepada masalahnya dan mencuba menyelesaikannya dengan cara sendiri. Sebaliknya, dia meluahkan perasaannya dan kekhuatirannya melalui doa. Kita patut meniru teladannya. Ingatlah, Yehuwa, Pendengar doa, menjemput kita untuk mengungkapkan kerisauan kita melalui doa. (Mzm. 65:2) Apabila kita menunjukkan keyakinan kita kepada-Nya melalui cara ini, kita dapat merasai “pelukan” dan bimbingan Yehuwa. (Mzm. 73:23, 24) Tidak kira apa kesusahan kita, Yehuwa akan membantu kita mengetahui fikiran-Nya. Ya, doa yang ikhlas merupakan salah satu cara yang terbaik untuk menunjukkan bahawa kita percaya kepada Tuhan.

MENDENGARKAN YEHUWA

7. Apakah reaksi Yehuwa setelah mendengar kekhuatiran Habakuk?

7 Baca Habakuk 1:5-7. Setelah menyerahkan kekhuatirannya dalam tangan Yehuwa, Habakuk mungkin tertanya-tanya tentang reaksi Yehuwa. Sebagai Bapa yang bertimbang rasa, Yehuwa tidak memarahi Habakuk kerana meluahkan keperitannya dan berseru meminta tolong. Sebaliknya, Yehuwa memberitahu Habakuk apa yang bakal terjadi kepada orang Yahudi yang derhaka. Barangkali, Habakuk ialah orang pertama yang mendengar daripada Yehuwa bahawa keganasan pada zaman itu akan berakhir tidak lama lagi.

8. Mengapakah jawapan Yehuwa di luar sangkaan Habakuk?

8 Yehuwa menjelaskan bahawa Dia sudah bersedia untuk menghukum generasi yang ganas dan keji itu. Yehuwa berfirman bahawa Dia akan menggunakan orang Kasdim (Babilon) untuk menghukum penduduk Yehuda, dan hal itu akan berlaku “pada zaman kamu,” iaitu semasa Habakuk atau orang yang sezaman dengannya masih hidup. Jawapan Yehuwa itu memang di luar sangkaan Habakuk, kerana orang Babilon lebih ganas dan kejam daripada rakan sebangsa Habakuk yang sekurang-kurangnya mengenali hukum Yehuwa. Maksudnya, keadaan di seluruh Yehuda akan bertambah melarat. * Mengapakah Yehuwa menggunakan bangsa kafir ini untuk menambahkan penderitaan umat-Nya? Apakah reaksi anda sekiranya anda ialah Habakuk?

9. Apakah soalan-soalan yang mungkin ditanya oleh Habakuk?

9 Baca Habakuk 1:12-14, 17. Walaupun Habakuk faham bahawa Yehuwa akan menggunakan orang Babilon untuk menghukum para penjahat di sekelilingnya, dia masih berasa keliru. Namun, dia tetap rendah hati dan bertekad untuk menjadikan Yehuwa ‘Batu Pelindungnya.’ (Ul. 32:4; Yes. 26:4) Habakuk terus yakin bahawa Tuhan itu pengasih dan baik hati, maka dia menanyakan soalan lagi kepada Yehuwa. Sebagai “Tuhan Yang Suci,” yang “terlalu suci untuk melihat hal yang buruk,” mengapakah Dia membiarkan keadaan di Yehuda bertambah teruk? Mengapakah Dia tidak segera bertindak? Mengapakah Tuhan Yang Maha Kuasa membiarkan kesusahan terus berlaku? Mengapakah Dia “tetap membisu” semasa kejahatan berleluasa?

10. Mengapakah kita ada kalanya berasa seperti Habakuk?

10 Ada kalanya, kita mungkin berasa seperti Habakuk. Kita mendengarkan Yehuwa dan percaya kepada-Nya. Kita memiliki harapan kerana membaca dan mengkaji Firman-Nya. Kita juga mendengar tentang janji-janji Tuhan melalui ajaran organisasi-Nya. Namun kita mungkin tertanya-tanya, “Bilakah kesusahan kita akan berakhir?” Mari kita meneliti tindakan Habakuk yang seterusnya.

MENANTIKAN YEHUWA

11. Apakah tekad Habakuk?

11 Baca Habakuk 2:1. Setelah berbual dengan Yehuwa, Habakuk berasa tenang dan bertekad untuk menantikan masanya Yehuwa bertindak. Kita tahu bahawa azam Habakuk itu tetap membara kerana dia kemudiannya berkata lagi, “Aku akan menantikan ketibaan hari kesengsaraan dengan tenang.” (Hab. 3:16) Hamba-hamba Tuhan yang setia juga menantikan Yehuwa dengan sabar dan yakin. Teladan mereka menggalakkan kita agar terus menantikan Yehuwa.​—Mi. 7:7; Yak. 5:7, 8.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Habakuk?

12 Apakah yang dapat kita pelajari daripada azam Habakuk? Pertama, tidak kira apa kesusahan yang berlaku, janganlah berhenti berdoa kepada Yehuwa. Kedua, kita perlu mendengar firman Yehuwa yang disampaikan melalui Bible dan organisasi-Nya. Ketiga, kita patut menunggu Yehuwa dengan sabar, dan yakin sepenuhnya bahawa Dia pasti melenyapkan penderitaan kita pada masa yang tepat. Jika kita meniru teladan Habakuk, hati kita akan tenang, dan kita dapat bertabah. Harapan bahawa Yehuwa pasti bertindak juga akan membantu kita terus bersabar dan bersukacita dalam apa jua situasi.​—Rm. 12:12.

13. Apakah jaminan yang diberikan di Habakuk 2:3?

13 Baca Habakuk 2:3. Yehuwa pasti senang hati kerana Habakuk memutuskan untuk menantikan-Nya. Tuhan Yang Maha Kuasa tahu benar kesusahan Habakuk, maka Dia melegakan nabi itu dan menjamin bahawa soalannya pasti dijawab tidak lama lagi. Tuhan seolah-olah memberitahu Habakuk, “Bersabarlah. Yakinlah kepada-Ku. Meskipun nampaknya lambat, doamu pasti dijawab!” Yehuwa mengingatkan Habakuk bahawa Dia sudah menetapkan masa untuk melaksanakan tujuan-Nya, maka Habakuk patut terus menunggu, kerana penantiannya tidak akan sia-sia.

Mengapakah kita bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sebaik-baiknya? (Lihat perenggan 14)

14. Apakah seharusnya tekad kita pada waktu kesusahan?

14 Apabila kita menantikan Yehuwa dengan sabar dan mendengarkan-Nya dengan teliti, kita akan berasa lebih yakin dan tenang semasa menghadapi kesusahan. Yesus menggalakkan kita untuk percaya kepada Yehuwa sebagai Penjaga Masa yang Agung dan bukannya berfokus kepada ‘masa dan waktu’ yang belum disingkapkan-Nya. (Kis. 1:7) Daripada berputus asa, semoga kita terus beriman kepada Tuhan dan menantikan-Nya dengan rendah hati dan sabar. Sementara menunggu, marilah kita menggunakan masa kita dengan bijak untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sebaik-baiknya.​—Mrk. 13:35-37; Gal. 6:9.

ORANG YANG PERCAYA KEPADA YEHUWA AKAN MENDAPAT KEHIDUPAN

15, 16. (a) Apakah janji-janji yang terdapat dalam buku Habakuk? (b) Apakah yang kita pelajari daripada janji-janji itu?

15 Yehuwa berjanji bahawa “orang yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana kesetiaannya,” dan ‘bumi akan penuh dengan pengetahuan tentang kemuliaan Yehuwa.’ (Hab. 2:4, 14) Ya, orang yang bersabar dan yakin kepada Yehuwa akan dikurniai kehidupan kekal.

16 Janji Yehuwa yang tercatat di Habakuk 2:4 begitu penting sehingga Rasul Paulus mengutipnya sebanyak tiga kali! (Rm. 1:17; Gal. 3:11; Ibr. 10:38) Tidak kira apa dugaan yang menimpa kita, selagi kita tetap setia dan beriman kepada Yehuwa, kita pasti dapat menyaksikan janji Tuhan ditunaikan. Ya, Yehuwa ingin kita berfokus kepada masa depan.

17. Apakah jaminan yang diberikan dalam buku Habakuk?

17 Buku Habakuk memuatkan pengajaran penting bagi kita yang hidup pada hari-hari terakhir. Yehuwa menjanjikan kehidupan kekal kepada semua orang baik yang beriman dan percaya kepada-Nya. Maka, tidak kira apa kesusahan dan kerisauan yang kita hadapi, teruslah meneguhkan iman dan keyakinan kita kepada Tuhan. Melalui Habakuk, Yehuwa menjamin bahawa Dia pasti menyokong dan menyelamatkan kita, dan bahawa Dia sudah menentukan masa untuk bertindak. Kini, Dia meminta kita untuk percaya kepada-Nya dan menantikan masanya seluruh bumi diperintah oleh Kerajaan Tuhan dan didiami penyembah-Nya yang bahagia dan suka akan kedamaian.​—Mat. 5:5; Ibr. 10:36-39.

PERCAYALAH KEPADA YEHUWA DAN BERSUKACITALAH

18. Apakah kesan kata-kata Yehuwa terhadap Habakuk?

18 Baca Habakuk 3:16-19. Kata-kata Yehuwa telah memberangsangkan Habakuk. Setelah merenungkan bagaimana Yehuwa membantu umat-Nya pada masa lalu, kepercayaan Habakuk kepada Yehuwa telah bertambah kukuh. Meskipun Habakuk perlu menderita untuk seketika lagi, dia berasa lega kerana Yehuwa akan bertindak tidak lama lagi. Keraguannya dahulu telah digantikan dengan keyakinan yang teguh bahawa Yehuwa pasti menyelamatkannya. Kata-kata Habakuk di ayat 18 merupakan salah satu ungkapan yang paling istimewa dalam Bible tentang keyakinan seorang hamba Tuhan. Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa ayat itu secara harfiah berbunyi, “Aku akan melonjak kegirangan kerana Tuan aku; aku akan menari kerana Tuhan menyebabkan aku bergembira.” Pengajaran yang sungguh bermakna! Yehuwa bukan sahaja menawarkan janji-janji yang menakjubkan, malah sedang bertindak tanpa berlengah-lengah untuk menunaikan semua janji itu.

19. Bagaimanakah kita dapat meniru Habakuk dan memperoleh kelegaan daripada Yehuwa?

19 Inti buku Habakuk ialah: Kita harus percaya kepada Yehuwa. (Hab. 2:4) Kita dapat memupuk dan memelihara kepercayaan sebegini dengan mengukuhkan hubungan kita dengan Yehuwa. Maka, (1) teruslah berdoa dan memberitahu Yehuwa semua kerisauan kita; (2) dengarkanlah Firman Yehuwa dan arahan daripada organisasi-Nya; dan (3) nantikanlah Yehuwa dengan sabar dan setia. Itulah yang dilakukan Habakuk. Walaupun halaman pertama bukunya penuh dengan dukacita, lembaran-lembaran terakhir dalam tulisannya disulami keyakinan dan sukacita. Tirulah teladan Habakuk, dan kita juga akan merasai pelukan daripada Bapa kita yang di syurga. Dalam dunia yang kelam ini, itulah kelegaan terbesar yang dapat kita peroleh.

^ per. 8 Perkataan “kamu” di Habakuk 1:5 berbentuk jamak. Hal itu menunjukkan bahawa malapetaka akan menimpa semua penduduk Yehuda.