Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah Dermawan yang disebut Yesus pada malam sebelum kematiannya? Mengapakah mereka diberi gelaran itu?

Pada malam sebelum kematiannya, Yesus menasihati para rasulnya agar tidak mencari kedudukan yang tinggi antara rakan seiman. Dia berkata, “Raja bangsa-bangsa lain mengawal rakyat mereka, dan orang yang berkuasa digelar Dermawan. Namun, janganlah kamu menjadi seperti mereka.”​—Luk. 22:25, 26.

Siapakah Dermawan yang dimaksudkan Yesus? Tulisan yang diukir, syiling, dan catatan menunjukkan bahawa masyarakat Yunani dan Roma sering memberikan gelaran terhormat Euergetes, atau Dermawan, kepada orang dan pemerintah yang terkemuka, yang pernah berjasa kepada rakyat.

Sebilangan raja diberi gelaran Dermawan, contohnya raja Mesir seperti Ptolemy III Euergetes (sekitar 247-222 SM) dan Ptolemy VIII Euergetes II (sekitar 147-117 SM), raja Roma seperti Julius Caesar (48-44 SM) dan Agustus (31 SM–14 M), dan raja dari Yudea, iaitu Herodes yang Agung. Herodes mungkin diberi gelaran ini kerana dia telah mengimport gandum pada waktu rakyatnya kebuluran dan menyediakan pakaian untuk orang miskin.

Menurut Adolf Deissmann, seorang sarjana Bible Jerman, gelaran Dermawan digunakan secara meluas. Dia berkata, “Dalam masa yang singkat, anda dapat menjumpai [gelaran ini] lebih daripada seratus kali pada pelbagai ukiran.”

Jadi mengapakah Yesus memberitahu murid-muridnya, “Janganlah kamu menjadi seperti mereka”? Adakah dia bermaksud mereka tidak patut mengambil berat tentang masyarakat? Tidak. Yesus nampaknya sedang merujuk kepada niat di sebalik kemurahan hati para Dermawan.

Pada zaman Yesus, orang kaya mencuba mengharumkan nama sendiri dengan menaja pertunjukan dan sukan, membina taman dan tempat ibadat, atau menyokong aktiviti sedemikian. Namun, niat mereka adalah untuk dipuji, disanjung, atau untuk memancing undi. Sebuah karya rujukan menyatakan, “Meskipun sesetengah penderma benar-benar ikhlas, kebanyakan daripada mereka menderma demi kepentingan politik.” Maka Yesus menggesa para pengikutnya agar tidak bermurah hati demi mencapai kepentingan atau cita-cita sendiri.

Bertahun-tahun kemudian, Rasul Paulus juga menegaskan pentingnya memiliki niat yang betul semasa bermurah hati. Kepada orang Kristian di Korintus, dia menulis, “Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”​—2 Kor. 9:7.