Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Siapakah yang Membentuk Fikiran Anda?

Siapakah yang Membentuk Fikiran Anda?

“Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.”​—RM. 12:2.

LAGU: 88, 45

1, 2. (a) Apakah reaksi Yesus semasa Petrus menasihatinya untuk mengasihani diri? (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Mengapakah Yesus berkata demikian?

MURID-MURID Yesus tidak percaya apa yang didengari mereka. Yesus, orang yang sepatutnya memulihkan kerajaan Israel, berkata bahawa dia akan menderita dan dibunuh tidak lama lagi. Petrus segera berkata, “Tuan, kasihanilah dirimu sendiri. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Tetapi Yesus menjawab, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”​—Mat. 16:21-23, nota kaki; Kis. 1:6.

2 Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa fikiran Tuhan berbeza daripada fikiran dunia Syaitan. (1 Yoh. 5:19) Kata-kata Petrus mencerminkan sikap dunia ini yang mementingkan diri, tetapi Yesus tahu bahawa Bapanya ingin dia bersedia menghadapi penderitaan dan kematian yang bakal berlaku. Jawapan Yesus kepada Petrus jelas menyatakan bahawa dia menolak fikiran dunia dan menerima fikiran Yehuwa.

3. Mengapakah tidak mudah untuk menolak fikiran dunia dan menerima fikiran Yehuwa?

3 Bagaimana pula dengan kita? Adakah fikiran kita selaras dengan fikiran Tuhan ataupun fikiran dunia? Kita berusaha memelihara kelakuan yang dikehendaki Tuhan, tetapi bagaimana pula dengan fikiran dan pandangan kita? Memupuk fikiran Tuhan bagaikan melawan arus. Memupuk fikiran dunia pula senang sahaja kerana kecenderungan mental dunia terdapat di merata-rata tempat. (Ef. 2:2) Lagipun, fikiran dunia merupakan godaan yang kuat kerana membuat manusia cenderung mementingkan diri. Ya, memang tidak mudah untuk memupuk fikiran Yehuwa, tetapi senang sekali untuk mengikut fikiran dunia.

4. (a) Apakah yang akan terjadi jika kita membiarkan dunia ini membentuk fikiran kita? (b) Bagaimanakah rencana ini akan membantu kita?

4 Namun, jika kita membiarkan dunia membentuk fikiran kita, kita akan mementingkan diri dan ingin menentukan sendiri apa yang betul dan salah. (Mrk. 7:21, 22) Maka, kita perlu memupuk “fikiran Tuhan” dan bukannya “fikiran manusia.” Rencana ini akan membincangkan sebabnya memupuk fikiran Yehuwa tidak mengongkong kebebasan kita, malah bermanfaat. Kita juga akan belajar cara untuk mengelak daripada dibentuk oleh dunia ini. Rencana seterusnya akan menjelaskan cara untuk mengetahui fikiran Yehuwa terhadap sesetengah perkara dan bagaimana kita dapat memupuk fikiran Tuhan.

FIKIRAN YEHUWA ITU BERMANFAAT

5. Mengapakah sesetengah orang tidak mahu dipengaruhi oleh sesiapa pun?

5 Sesetengah orang tidak mahu fikiran mereka dibentuk atau dipengaruhi oleh sesiapa pun. Mereka berkata, “Saya sendiri tahu berfikir.” Mungkin maksud mereka ialah: “Saya mahu buat keputusan sendiri, dan itu hak saya.” Mereka tidak mahu dikawal atau dipaksa terikut-ikut dengan orang ramai. *

6. (a) Apakah kebebasan yang diberikan Yehuwa kepada kita? (b) Adakah kebebasan itu tidak terbatas?

6 Jika kita menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Yehuwa, kita masih boleh memiliki pandangan sendiri. Dua Korintus 3:17 menyatakan, “Di mana ada kuasa suci Yehuwa, di situ ada kebebasan.” Kita direka oleh Yehuwa untuk memiliki keperibadian, minat, dan kegemaran sendiri. Namun, kebebasan itu ada batasnya. (Baca 1 Petrus 2:16.) Semasa memilih antara yang betul dan salah, Yehuwa mahu kita mengikut bimbingan dalam Firman-Nya. Adakah hal itu mengongkong kebebasan kita atau bermanfaat bagi kita?

7, 8. Jika kita memupuk pandangan Yehuwa, adakah kita akan kehilangan kebebasan? Berikan contoh.

7 Fikirkan contoh ini: Ibu bapa berusaha mengajar anak-anak nilai murni, seperti sifat jujur, rajin, dan bertimbang rasa. Semua itu bukanlah untuk mengongkong kebebasan anak, tetapi untuk membantu mereka agar berjaya dalam hidup kelak. Apabila anak-anak sudah dewasa dan berdikari, mereka bebas membuat pilihan sendiri. Jika mereka memilih untuk mengamalkan nilai murni yang diajarkan oleh ibu bapa, mereka dapat membuat keputusan yang lebih bijak dan mengelakkan banyak masalah, kerunsingan, dan kekesalan.

8 Bapa kita Yehuwa menginginkan kehidupan yang paling memuaskan untuk anak-anak-Nya. (Yes. 48:17, 18) Maka Dia menyediakan prinsip asas tentang nilai moral dan cara yang betul untuk memperlakukan orang lain. Yehuwa menjemput kita untuk memupuk fikiran-Nya dan hidup menurut nilai moral-Nya. Hal itu bukan sahaja tidak meragut kebebasan kita, malah dapat meningkatkan dan memantapkan keupayaan kita untuk berfikir. (Mzm. 92:5; Ams. 2:1-5; Yes. 55:9) Dengan itu, kita dapat membuat keputusan yang mendatangkan kebahagiaan dan masih memiliki cita rasa tersendiri. (Mzm. 1:2, 3) Ya, memupuk fikiran Yehuwa memang bermanfaat!

FIKIRAN YEHUWA LEBIH UNGGUL

9, 10. Apakah yang membuktikan bahawa fikiran Yehuwa lebih unggul daripada fikiran dunia?

9 Satu lagi sebab para penyembah Yehuwa ingin memupuk fikiran-Nya adalah kerana fikiran Tuhan jauh lebih unggul daripada fikiran dunia. Dunia ini memberikan nasihat tentang kelakuan yang bermoral, hubungan keluarga, kepuasan dalam kerja, dan aspek lain. Namun, kebanyakan nasihat itu bercanggahan dengan fikiran Yehuwa. Contohnya, dunia ini sering menggalakkan orang untuk mengutamakan diri dan menerima perbuatan seks yang tidak bermoral. Ada kalanya, suami isteri dinasihatkan untuk berpisah atau bercerai atas alasan yang remeh sekiranya mereka berasa bahawa langkah itu akan membuat mereka lebih bahagia. Nasihat sebegini bertentangan dengan ajaran Bible. Namun, mungkinkah sesetengah nasihat itu lebih “selari” dengan keperluan zaman kita?

10 Yesus berkata, “Kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.” (Mat. 11:19) Dunia semakin maju dalam bidang teknologi, tetapi masalah yang meragut kebahagiaan masih tidak dapat diselesaikan, seperti peperangan, semangat perkauman, dan jenayah. Bagaimana pula dengan kelonggaran dunia dalam soal moral? Ramai orang mengaku bahawa piawaian sedemikian menyumbang kepada kehancuran keluarga, penyakit, dan masalah lain. Orang Kristian yang memupuk pandangan Yehuwa pula menikmati keluarga yang lebih bahagia, kesihatan yang lebih baik, dan hubungan yang erat dengan rakan seiman di serata dunia. (Yes. 2:4; Kis. 10:34, 35; 1 Kor. 6:9-11) Tidakkah hakikat itu menonjolkan keunggulan fikiran Yehuwa?

11. Fikiran Musa dibentuk oleh siapa? Apakah hasilnya?

11 Penyembah Yehuwa yang setia pada zaman Bible sedar akan keunggulan fikiran Tuhan. Misalnya, walaupun Musa diajar “segala kebijaksanaan bangsa Mesir,” dia meminta Tuhan agar memberinya “hati yang bijaksana.” (Kis. 7:22, nota kaki; Mzm. 90:12) Musa juga memohon kepada Yehuwa, “Ajarlah aku kehendak-Mu.” (Kel. 33:13) Oleh sebab Musa dibimbing oleh fikiran Yehuwa, dia diberi peranan yang penting dalam pelaksanaan tujuan Yehuwa dan dicatatkan dalam Bible sebagai tokoh penting yang beriman.​—Ibr. 11:24-27.

12. Apakah yang menjadi dasar keputusan Rasul Paulus?

12 Rasul Paulus seorang yang pintar dan terpelajar, dan dia pandai berbahasa Yunani dan Ibrani. (Kis. 5:34; 21:37, 39; 22:2, 3) Namun, semasa perlu memilih antara yang betul dan salah, Paulus menolak kebijaksanaan dunia, dan dia membuat keputusan berdasarkan Firman Tuhan. (Baca Kisah 17:2; 1 Korintus 2:6, 7, 13.) Hasilnya, dia menjadi penginjil yang berjaya dan menanti-nantikan ganjaran yang abadi.​—2 Tim. 4:8.

13. Siapakah yang bertanggungjawab menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Yehuwa?

13 Jelaslah, fikiran Tuhan jauh lebih unggul daripada fikiran dunia. Jika kita hidup berpandukan fikiran Tuhan, kita akan meraih kejayaan dan kebahagiaan yang terbesar. Namun, Yehuwa tidak memaksa kita untuk mengikut fikiran-Nya. “Hamba yang setia dan bijaksana” dan para penatua juga tidak mengawal fikiran kita. (Mat. 24:45; 2 Kor. 1:24) Kita masing-masing bertanggungjawab untuk menyelaraskan fikiran sendiri dengan fikiran Tuhan. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

JANGAN DIBENTUK OLEH SISTEM DUNIA INI

14, 15. (a) Untuk memupuk fikiran Yehuwa, apakah yang mesti kita renungkan? (b) Menurut Roma 12:2, mengapakah kita tidak boleh mengisi minda kita dengan fikiran dunia? Berikan contoh.

14 Roma 12:2 menasihati kita, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” Ayat itu menunjukkan bahawa biarpun fikiran kita pernah dibentuk oleh hal-hal lain sebelum kita mempelajari kebenaran, kita masih dapat mengubah fikiran kita agar sejajar dengan fikiran Tuhan. Memang benar, fikiran kita akan dipengaruhi faktor yang diwarisi dan pengalaman hidup kita, tetapi minda kita fleksibel dan mampu terus berubah. Sebahagian besar perubahan itu akan ditentukan oleh perkara yang kita fikirkan. Jika kita merenungkan fikiran Yehuwa, kita akan meyakinkan diri bahawa pandangan-Nya sentiasa benar. Hal itu akan mendorong kita agar ingin menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran-Nya.

15 Namun, untuk menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Yehuwa, kita tidak boleh terus “dibentuk mengikut sistem dunia ini.” Maksudnya, minda kita mesti berhenti menyerap pandangan atau idea yang bertentangan dengan fikiran Tuhan. Untuk menggambarkan pentingnya langkah itu, fikirkan contoh makanan. Untuk menjadi lebih sihat, seseorang mungkin memilih makanan yang berkhasiat. Tetapi usahanya sia-sia sahaja jika dia tidak berhenti memakan makanan yang tercemar. Begitu juga, usaha kita untuk mengenali fikiran Yehuwa akan sia-sia sahaja jika fikiran dunia yang tercemar masih menjadi santapan minda kita.

16. Kita mesti melindungi diri daripada apa?

16 Dapatkah kita mengelakkan fikiran dunia dengan sepenuhnya? Tidak. Kita tidak dapat melarikan diri daripada dunia ini, maka kita akan terdedah kepada fikirannya. (1 Kor. 5:9, 10) Semasa menginjil, kita juga terdedah kepada kepercayaan yang salah. Meskipun keadaan sebegitu tidak dapat dielakkan, kita tidak perlu menerima atau melayan fikiran dunia. Seperti Yesus, kita harus segera menolak fikiran Syaitan. Selain itu, kita boleh melindungi diri dengan mengurangkan pendedahan kepada fikiran dunia.​—Baca Amsal 4:23.

17. Bagaimanakah kita dapat mengurangkan pendedahan kita kepada fikiran dunia?

17 Contohnya, kita perlu berhati-hati semasa memilih sahabat rapat. Bible menyatakan bahawa jika kita selalu mendampingi orang yang tidak menyembah Yehuwa, kita akan dijangkiti fikiran mereka. (Ams. 13:20; 1 Kor. 15:12, 32, 33) Kita juga perlu memilih hiburan dengan cermat. Apabila kita menolak hiburan yang memaparkan evolusi, keganasan, atau perbuatan tidak bermoral, kita sedang melindungi minda sendiri agar tidak diracuni hal-hal yang “bercanggahan dengan pengetahuan tentang Tuhan.”​—2 Kor. 10:5.

Adakah kita membantu anak-anak kita untuk menolak hiburan yang buruk? (Lihat perenggan 18, 19)

18, 19. (a) Mengapakah kita perlu berwaspada terhadap fikiran dunia yang disajikan dalam cara yang tidak ketara? (b) Apakah soalan-soalan yang boleh kita tanya diri? Mengapa?

18 Kita juga perlu mengenal pasti dan menolak fikiran duniawi yang disajikan dalam cara yang tidak ketara. Contohnya, sesetengah laporan berita mungkin menyokong fahaman politik tertentu, dan ada kisah yang mengagungkan cita-cita dan pencapaian duniawi. Sebilangan wayang dan buku mendukung falsafah “saya didahulukan” atau “keluarga didahulukan” dan membuat pandangan sebegini kelihatan munasabah, menarik, dan bahkan berpatutan. Fahaman sedemikian bercanggahan dengan pandangan Bible bahawa keluarga kita dan diri kita akan benar-benar bahagia apabila kasih untuk Yehuwa diutamakan. (Mat. 22:36-39) Tambahan lagi, walaupun kebanyakan cerita kanak-kanak tidak bermasalah, sesetengah antaranya mungkin beransur-ansur menyebabkan mereka menerima perbuatan yang tidak bermoral.

19 Menikmati hiburan yang sihat tiada salahnya. Namun, kita perlu memikirkan soalan-soalan ini: “Adakah saya peka terhadap ajaran dunia, bahkan semasa ajaran itu disalurkan secara tidak langsung? Adakah saya mengehadkan pendedahan anak-anak dan diri sendiri kepada rancangan atau bahan bacaan tertentu? Adakah saya mengajar anak-anak tentang pandangan Yehuwa supaya mereka tidak diracuni oleh fikiran dunia yang dilihat dan didengar mereka?” Jika kita dapat mengesan perbezaan antara fikiran Tuhan dengan fikiran dunia, kita dapat mengelak daripada “dibentuk mengikut sistem dunia ini.”

SIAPAKAH YANG MEMBENTUK ANDA SEKARANG?

20. Apakah yang menentukan sama ada fikiran kita dipengaruhi Tuhan atau dunia?

20 Ingatlah, kita hanya ada dua sumber maklumat: Yehuwa atau dunia Syaitan. Sumber maklumat yang kita gunakan akan menentukan sama ada kita dibentuk oleh fikiran Tuhan atau fikiran dunia. Jika kita menerima fikiran dunia dan membiarkannya membentuk minda kita, kita akan memiliki pandangan dan kelakuan duniawi. Itulah sebabnya kita mesti mengawal hal-hal yang kita fikirkan.

21. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

21 Kita telah belajar bahawa untuk memiliki fikiran Yehuwa, kita bukan sahaja perlu menjauhkan minda kita daripada pengaruh buruk, tetapi juga perlu merenungkan fikiran Tuhan dan menyebatikannya dengan fikiran kita. Rencana seterusnya akan membincangkan cara untuk melakukannya.

^ per. 5 Hakikatnya, seseorang yang berasa bahawa fikirannya langsung tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun, masih akan dipengaruhi orang lain. Contohnya, semasa mempertimbangkan isu besar seperti asal usul kehidupan atau hal yang remeh seperti pakaian, fikiran kita sedikit sebanyak dipengaruhi orang lain. Namun, kita dapat memilih siapa yang akan kita izinkan untuk mempengaruhi kita.