RENCANA PEMBELAJARAN 45
Cara Yehuwa Membantu Kita Melaksanakan Kerja Penyebaran
“Mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi dalam kalangan mereka.”—YEH. 2:5.
LAGU 67 “Khabarkan Firman Tuhan”
PENGENALAN a
1. Semasa menjalankan kerja penyebaran, apakah yang akan kita hadapi? Namun, kita yakin akan hal apa?
SEMASA menjalankan kerja penyebaran, kita tahu kita akan menghadapi tentangan, dan tentangan itu mungkin bertambah kuat pada masa depan. (Dan. 11:44; 2 Tim. 3:12; Why. 16:21) Namun kita yakin bahawa Yehuwa pasti membantu kita. Mengapa? Sejak dahulu lagi, Yehuwa telah membantu hamba-hamba-Nya untuk melaksanakan tugasan mereka, tidak kira apa cabaran yang mereka hadapi. Mari kita membincangkan contoh Nabi Yehezkiel, yang ditugaskan untuk menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada orang Yahudi yang menjadi tawanan di Babilon.
2. Apakah sikap para tawanan Yahudi di Babilon, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Yehezkiel 2:3-6)
2 Apakah sikap orang Yahudi yang menjadi tawanan di Babilon? Yehuwa menggambarkan mereka sebagai orang yang “suka memberontak” dan “keras kepala.” Mereka juga digambarkan sebagai semak berduri dan kala jengking yang berbahaya. Itulah sebabnya Yehuwa berulang kali memberitahu Yehezkiel, “Janganlah takut”! (Baca Yehezkiel 2:3-6.) Yehezkiel berjaya menjalankan tugasannya kerana dia (1) diutus oleh Yehuwa, (2) dikuatkan oleh kuasa suci Tuhan, dan (3) dikuatkan oleh firman Tuhan. Bagaimanakah tiga faktor ini membantu Yehezkiel, dan bagaimanakah hal ini dapat membantu kita hari ini?
YEHEZKIEL DIUTUS OLEH YEHUWA
3. Apakah kata-kata Yehuwa yang menguatkan Yehezkiel? Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan Yehezkiel bahawa Dia menyokongnya?
3 Semasa melantik Yehezkiel sebagai nabi, sebanyak dua kali Yehuwa memberitahunya, “Aku mengutus engkau.” (Yeh. 2:3, 4) Kata-kata itu pasti menguatkan Yehezkiel. Mengapa? Dia tentu ingat bahawa Yehuwa pernah mengucapkan kata-kata yang sama semasa melantik Musa dan Yesaya sebagai nabi. (Kel. 3:10; Yes. 6:8) Yehezkiel tentu dikuatkan semasa memikirkan bagaimana Yehuwa telah membantu dua orang nabi itu untuk mengatasi pelbagai cabaran. Selain itu, ungkapan “Yehuwa berfirman kepadaku” dan “Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi” muncul berulang kali dalam buku Yehezkiel. (Yeh. 3:16; 6:1) Kata-kata ini pasti meyakinkan Yehezkiel bahawa dia diutus oleh Yehuwa. Tambahan lagi, bapa Yehezkiel ialah seorang imam. Jadi dia mungkin telah mengajar Yehezkiel bagaimana Yehuwa pernah meyakinkan para nabi yang lain bahawa Dia menyokong mereka. Sebagai contoh, Yehuwa pernah memberitahu Ishak, Yakub, dan Yeremia, “Aku menyertaimu.”—Kej. 26:24; 28:15; Yer. 1:8.
4. Apakah kata-kata Yehuwa yang melegakan hati dan menguatkan semangat Yehezkiel?
4 Adakah orang Israel akan menyambut baik mesej Yehezkiel? Tidak. Yehuwa berkata, “Bangsa Israel pasti enggan mendengar engkau kerana mereka tidak mahu mendengar Aku.” (Yeh. 3:7) Apabila orang Israel tidak mahu mendengar mesej Yehezkiel, mereka sebenarnya sedang menolak perkhabaran Yehuwa. Ya, reaksi buruk orang Israel tidak bermaksud Yehezkiel gagal melaksanakan tugasannya. Yehuwa juga memberitahu Yehezkiel bahawa apabila mesej penghakimannya menjadi kenyataan, orang “akan tahu bahawa ada seorang nabi dalam kalangan mereka.” (Yeh. 2:5; 33:33) Sudah pasti kata-kata itu melegakan Yehezkiel dan memberinya kekuatan untuk melaksanakan tugasannya.
KITA DIUTUS OLEH YEHUWA
5. Bagaimanakah kata-kata di Yesaya 44:8 menguatkan kita?
5 Kita juga dikuatkan kerana kita tahu kita diutus oleh Yehuwa. Dia memberi kita penghormatan yang sangat besar untuk menjadi ‘saksi-saksi-Nya.’ (Yes. 43:10) Sebagaimana Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Janganlah takut,” Dia juga menggesa kita, “Janganlah tercegat kerana terkejut.” Mengapakah kita tidak perlu takut semasa ditentang? Seperti Yehezkiel, kita diutus oleh Yehuwa dan disokong oleh-Nya.—Baca Yesaya 44:8.
6. (a) Apakah kata-kata Yehuwa yang meyakinkan kita akan sokongan-Nya? (b) Apakah kata-kata dalam Bible yang melegakan hati kita dan menguatkan kita?
6 Yehuwa menjamin bahawa Dia akan menyokong kita. Sebagai contoh, sebelum berkata, “Kamu ialah saksi-saksi-Ku,” Yehuwa berfirman, “Apabila kamu menyeberangi laut, Aku akan menyertai kamu. Apabila kamu melintasi sungai, kamu tidak akan tenggelam. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar. Ya, nyala api tidak akan mencederakan kamu.” (Yes. 43:2) Semasa kita menginjil, kita mungkin menghadapi cabaran yang bagaikan sungai yang deras atau api yang bernyala. Biarpun begitu, dengan bantuan Yehuwa, kita dapat terus menginjil. (Yes. 41:13) Seperti yang berlaku pada zaman Yehezkiel, kebanyakan orang hari ini tidak mahu mendengar mesej yang kita sampaikan. Namun kita harus ingat bahawa sambutan dingin mereka tidak bermaksud kita gagal melaksanakan tugas kita sebagai Saksi Tuhan. Selagi kita terus menginjil tanpa berputus asa, Tuhan pasti senang hati dengan kita, dan hal itu pasti melegakan hati dan menguatkan kita. Rasul Paulus menulis, “Setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing.” (1 Kor. 3:8; 4:1, 2) Seorang saudari yang sudah lama merintis berkata, “Saya berasa sukacita kerana mengetahui bahawa Yehuwa memberi kita ganjaran berdasarkan usaha kita dan bukannya hasil yang kita peroleh.”
YEHEZKIEL DIKUATKAN OLEH KUASA SUCI TUHAN
7. Setiap kali Yehezkiel merenungkan penglihatan tentang kenderaan Yehuwa di syurga, apakah perasaannya? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
7 Dalam sebuah penglihatan, Yehezkiel telah menyaksikan betapa hebatnya kuasa suci Tuhan. Dia melihat bagaimana kuasa suci Tuhan membantu para malaikat dan menggerakkan kenderaan Yehuwa di syurga yang sangat besar. (Yeh. 1:20, 21) Apakah reaksi Yehezkiel semasa melihat semua ini? Dia berasa begitu kagum sehingga “bersujud ke tanah.” (Yeh. 1:28) Pada kemudian hari, setiap kali dia merenungkan penglihatan itu, dia akan bertambah yakin bahawa kuasa suci Tuhan akan membantunya melaksanakan tugasannya.
8-9. (a) Apakah kesan perintah Yehuwa ke atas Yehezkiel? (b) Bagaimanakah Yehuwa terus menguatkan Yehezkiel untuk menjalankan tugasannya yang mencabar?
8 Yehuwa berkata kepada Yehezkiel, “Anak manusia, berdirilah. Aku hendak berfirman kepadamu.” Perintah itu dan kuasa suci Tuhan telah memberi Yehezkiel kekuatan yang diperlukannya. Yehezkiel menulis, “Kuasa suci-Nya menguasai aku lalu aku dapat berdiri.” (Yeh. 2:1, 2) Sepanjang tugasannya, Yehezkiel dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. (Yeh. 3:22; 8:1; 33:22; 37:1; 40:1) Kuasa suci Yehuwa telah menguatkan Yehezkiel untuk menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada umat yang “keras kepala dan keras hati.” (Yeh. 3:7) Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Aku membuat mukamu sekeras muka mereka dan dahimu sekeras dahi mereka. Aku membuat dahi engkau sekeras berlian, ya, lebih keras daripada batu. Jangan takut kepada mereka, dan janganlah gentar semasa engkau nampak wajah mereka.” (Yeh. 3:8, 9) Secara tidak langsung, Yehuwa sedang memberitahu Yehezkiel, “Janganlah tawar hati kerana kedegilan umat ini. Aku akan menguatkan engkau.”
9 Kemudian, “kuasa suci Yehuwa membimbing [Yehezkiel] dengan cara yang menakjubkan” dan membawanya untuk melihat orang yang akan mendengar perkhabarannya. Selepas itu, Yehezkiel mengambil masa seminggu untuk merenungkan perkhabaran yang diberikan kepadanya supaya dia dapat menyampaikannya dengan yakin. (Yeh. 3:14, 15) Kemudian Yehuwa menyuruhnya pergi ke sebuah dataran, dan di situ ‘kuasa suci Tuhan menguasainya.’ (Yeh. 3:23, 24) Sekarang, Yehezkiel sudah bersedia untuk memulakan tugasannya.
KITA DIKUATKAN OLEH KUASA SUCI TUHAN
10. Apakah bantuan yang kita perlukan untuk menginjil, dan mengapa?
10 Apakah bantuan yang kita perlukan untuk melaksanakan tugasan kita? Untuk menjawab soalan itu, fikirkan apa yang berlaku kepada Yehezkiel. Sebelum dia menyampaikan perkhabaran Tuhan, kuasa suci Tuhan telah memberinya kekuatan yang diperlukan. Hari ini, kita juga memerlukan bantuan kuasa suci Tuhan untuk terus menginjil. Mengapa? Hal ini demikian kerana Syaitan membenci kita dan mahu kita berhenti menginjil. (Why. 12:17) Dari sudut pandangan manusia, kita tidak mampu melawan Syaitan. Namun, semasa kita menginjil, kita sedang mengalahkan Syaitan! (Why. 12:9-11) Apakah maksudnya? Semasa menginjil, kita menunjukkan bahawa ancaman Syaitan tidak menggentarkan kita. Setiap kali kita menginjil, Syaitan menerima tamparan yang hebat. Meskipun kita menghadapi banyak tentangan, kita masih dapat menginjil. Hal ini membuktikan bahawa kita dikuatkan oleh kuasa suci Tuhan dan mendapat perkenan Yehuwa.—Mat. 5:10-12; 1 Ptr. 4:14.
11. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan dapat membantu kita? Apakah yang perlu kita lakukan untuk terus menerima kuasa suci Tuhan?
11 Yehuwa telah membuat muka dan dahi Yehezkiel sekeras muka dan dahi orang Israel. Hal ini meyakinkan kita bahawa kuasa suci Tuhan dapat memberi kita kekuatan untuk mengatasi apa sahaja cabaran dalam kerja penyebaran. (2 Kor. 4:7-9) Jadi, apakah yang perlu kita lakukan supaya kita sentiasa menerima kuasa suci Tuhan? Kita perlu terus berdoa untuk meminta kuasa suci Tuhan. Yesus mengajar murid-muridnya, “Teruslah meminta, . . . teruslah mencari, . . . teruslah mengetuk.” Jika kita berbuat demikian, Yehuwa pasti “memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”—Luk. 11:9, 13; Kis. 1:14; 2:4.
YEHEZKIEL DIKUATKAN OLEH FIRMAN TUHAN
12. Menurut Yehezkiel 2:9–3:3, dari manakah datangnya gulungan itu dan apakah kandungannya?
12 Yehezkiel bukan sahaja dikuatkan oleh kuasa suci Tuhan, tetapi juga oleh firman Tuhan. Dalam penglihatannya Yehezkiel nampak tangan yang sedang memegang sebuah gulungan. (Baca Yehezkiel 2:9–3:3.) Dari manakah datangnya gulungan itu? Apakah kandungannya? Bagaimanakah gulungan tersebut menguatkan Yehezkiel? Gulungan tersebut datang daripada takhta Tuhan. Nampaknya Yehuwa menyuruh salah satu daripada empat malaikat yang dilihat Yehezkiel sebelum ini untuk memberikan gulungan itu kepadanya. (Yeh. 1:8; 10:7, 20) Pada kedua-dua belah gulungan itu, terdapat mesej penghakiman yang panjang daripada Tuhan, dan Yehezkiel perlu menyampaikan mesej itu kepada para tawanan Yahudi yang degil.—Yeh. 2:7.
13. Yehuwa menyuruh Yehezkiel melakukan apa? Mengapakah gulungan itu terasa manis?
13 Yehuwa memberitahu Yehezkiel, “Makanlah gulungan yang Aku berikan ini, dan isilah perutmu dengannya.” Maka Yehezkiel makan seluruh gulungan itu. Apakah maksud penglihatan ini? Yehezkiel perlu memahami sepenuhnya mesej yang akan disampaikannya. Dia harus mempercayai mesej itu dengan sepenuhnya dan membiarkan mesej itu menyentuh hatinya. Semasa dia berbuat demikian, apakah yang berlaku? Yehezkiel mendapati bahawa gulungan itu “rasanya manis seperti madu.” (Yeh. 3:3) Mengapakah Yehezkiel berasa begitu? Dia berbesar hati dan gembira untuk menjadi wakil bagi Yehuwa. (Mzm. 19:8-11) Dia bersyukur kerana Yehuwa melantiknya sebagai nabi-Nya.
14. Apakah yang membantu Yehezkiel untuk bersedia melakukan tugasnya?
14 Yehuwa kemudiannya memberitahu Yehezkiel, “Dengarlah dan ingatlah segala yang Aku firmankan kepadamu.” (Yeh. 3:10) Maksudnya, Yehezkiel perlu mengingat kata-kata dalam gulungan itu dan merenungkannya. Dengan berbuat demikian, Yehezkiel telah dikuatkan dan dapat menyampaikan mesej penghakiman Tuhan kepada para tawanan Yahudi. (Yeh. 3:11) Setelah menanamkan mesej Tuhan dalam hatinya, Yehezkiel sudah bersedia untuk menjalankan tugasnya.—Mzm. 19:14.
KITA DIKUATKAN OLEH FIRMAN TUHAN
15. Jika kita ingin terus menginjil tanpa berputus asa, apakah yang perlu kita ‘dengar dan ingat’?
15 Jika kita ingin terus dikuatkan dan menginjil tanpa berputus asa, kita juga perlu terus ‘dengar dan ingat’ segala yang difirmankan oleh Yehuwa. Hari ini, Yehuwa berfirman kepada kita menerusi Bible. Apakah yang perlu kita lakukan supaya Bible terus membimbing fikiran, perasaan, dan niat hati kita?
16. Apakah yang perlu kita lakukan untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada Firman Tuhan?
16 Apabila kita makan sesuatu dan menghadamnya, badan kita dikuatkan. Begitu juga, apabila kita mengkaji Firman Tuhan dan merenungkannya, iman kita dikuatkan. Daripada penglihatan Yehezkiel tentang gulungan itu, kita belajar bahawa Yehuwa mahu kita ‘mengisi perut kita’ dengan Firman-Nya dan menghadamnya. Untuk berbuat demikian, mula-mula kita perlu berdoa supaya hati kita bersedia menerima fikiran Tuhan. Kemudian, kita perlu membaca ayat-ayat Bible. Seterusnya, kita perlu berhenti sejenak untuk merenungkan apa yang telah kita baca. Apabila kita semakin kerap membuat perenungan, kita akan semakin memahami Firman Tuhan, dan iman kita akan menjadi semakin kuat.
17. Mengapakah penting untuk merenungkan apa yang kita baca dalam Bible?
17 Mengapakah penting untuk membaca dan merenungkan Bible? Dengan berbuat demikian, kita akan mendapat kekuatan untuk menginjil sekarang dan mengumumkan mesej penghakiman yang berat pada masa depan. Selain itu, apabila kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa dalam Bible, hubungan kita dengan-Nya akan menjadi lebih akrab. Hasilnya, kita akan menikmati sesuatu yang “manis seperti madu,” iaitu ketenangan dan kepuasan hati.—Mzm. 119:103.
BERTAHAN SEHINGGA AKHIR
18. Mengapakah kita bertekad untuk terus menginjil? Apakah yang harus diakui oleh orang di kawasan penyebaran kita pada akhirnya?
18 Walaupun kita bukan seorang nabi seperti Yehezkiel, kita bertekad untuk terus menyampaikan mesej Bible sehingga Yehuwa berkata kerja penyebaran sudah selesai. Dengan itu, semasa Yehuwa menghakimi dunia jahat ini, orang di kawasan penyebaran kita tidak ada alasan untuk berkata bahawa Tuhan tidak mempedulikan mereka atau tidak memberi mereka amaran. (Yeh. 3:19; 18:23) Sebaliknya mereka harus mengakui bahawa perkhabaran yang kita sampaikan itu berasal daripada Tuhan.
19. Apakah yang akan memberi kita kekuatan untuk menyelesaikan kerja penyebaran kita?
19 Apakah yang akan memberi kita kekuatan untuk menyelesaikan kerja penyebaran kita? Ingatlah tiga perkara ini yang juga telah menguatkan Yehezkiel: Kita tahu kita diutus oleh Yehuwa, kita dikuatkan oleh kuasa suci Tuhan, dan kita dikuatkan oleh Firman Tuhan. Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat melaksanakan kerja penyebaran dan “bertahan sehingga akhir.”—Mat. 24:13.
LAGU 65 Maralah ke Depan!
a Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga faktor yang telah membantu Nabi Yehezkiel untuk menjalankan tugasannya. Setelah melihat bagaimana Yehuwa membantu Yehezkiel, kita akan menjadi lebih yakin bahawa Yehuwa juga akan membantu kita untuk melaksanakan kerja penyebaran kita.