RENCANA PEMBELAJARAN 48
Peliharalah Daya Pemikiran Anda semasa Kesetiaan Anda Diuji
“Hendaklah kamu memelihara daya pemikiran kamu dalam segala hal.”—2 TIM. 4:5.
LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia
PENGENALAN a
1. Apakah maksud memelihara daya pemikiran kita? (2 Timotius 4:5)
SEMASA kita menghadapi cabaran, kesetiaan kita kepada Yehuwa dan organisasi-Nya mungkin diuji. Pada masa sedemikian, kita harus memelihara daya pemikiran kita, tetap berjaga-jaga, dan berpegang teguh pada iman. (Baca 2 Timotius 4:5.) Memelihara daya pemikiran kita bermaksud kita tetap tenang, tidak membiarkan emosi mengawal fikiran kita, dan berusaha memupuk pandangan Yehuwa. Dengan demikian, kita dapat tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya.
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Dalam rencana sebelumnya, kita telah membincangkan tiga cabaran yang mungkin timbul dari luar sidang. Dalam rencana ini pula, kita akan membincangkan tiga cabaran yang timbul dari dalam sidang, iaitu (1) semasa kita rasa rakan seiman kita melayan kita dengan buruk, (2) semasa kita diberi disiplin, dan (3) semasa kita berasa susah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam organisasi. Bagaimanakah kita dapat memelihara daya pemikiran kita dan tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya semasa menghadapi tiga cabaran ini?
SEMASA DILAYAN DENGAN BURUK OLEH RAKAN SEIMAN
3. Apakah mungkin reaksi anda semasa dilayan dengan buruk oleh rakan seiman?
3 Pernahkah anda berasa anda dilayan dengan buruk oleh rakan seiman, contohnya seorang saudara yang terlantik? Kemungkinan besar dia tidak berniat untuk menyakiti anda. (Rm. 3:23; Yak. 3:2) Namun, perbuatannya mungkin membuat anda berasa marah dan mengganggu perasaan anda sehingga anda tidak dapat tidur. Anda mungkin tertanya-tanya, “Jika saudara yang terlantik pun boleh buat begitu, adakah ini benar-benar organisasi Tuhan?” Itulah yang Syaitan mahu anda fikir, kerana fikiran sedemikian dapat membuat anda meninggalkan Yehuwa dan organisasi-Nya. (2 Kor. 2:11) Jadi, jika anda rasa anda dilayan dengan buruk oleh saudara saudari anda, apakah yang dapat membantu anda memelihara daya pemikiran anda dan menjauhi fikiran yang salah?
4. Bagaimanakah Yusuf memelihara daya pemikirannya semasa dia dilayan dengan buruk? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladannya? (Kejadian 50:19-21)
4 Jangan menyimpan dendam. Semasa Yusuf masih remaja, abang-abangnya melayannya dengan buruk. Mereka membencinya, dan ada antara mereka yang bahkan ingin membunuhnya. (Kej. 37:4, 18-22) Akhirnya mereka menjualnya sebagai hamba. Akibat perbuatan mereka, Yusuf menghadapi banyak kesusahan selama kira-kira 13 tahun. Pada masa itu, Yusuf mungkin pernah berfikir bahawa Yehuwa tidak mengasihinya dan sudah meninggalkannya. Namun dia tidak marah terhadap Yehuwa. Sebaliknya, dia memelihara daya pemikirannya dan tetap tenang. Pada kemudian hari, semasa dia berpeluang untuk membalas dendam terhadap abang-abangnya, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia memaafkan mereka dan menunjukkan kasih terhadap mereka. (Kej. 45:4, 5) Yusuf dapat berbuat demikian kerana dia tidak membiarkan emosi mengelabui fikirannya. Daripada bertumpu kepada masalahnya, dia berfokus kepada hal yang lebih penting, iaitu kehendak Yehuwa. (Baca Kejadian 50:19-21.) Apakah pengajarannya bagi kita? Jika kita dilayan dengan buruk, janganlah marah terhadap Yehuwa atau berfikir bahawa Dia sudah meninggalkan kita. Sebaliknya, renungkan bagaimana Dia sedang membantu kita untuk menghadapi cubaan itu dengan tabah. Selain itu, semasa orang lain melayan kita dengan buruk, kita harus menunjukkan kasih, kerana kasih dapat menutupi ketidaksempurnaan mereka.—1 Ptr. 4:8.
5. Bagaimanakah Miqueas memelihara daya pemikirannya semasa dia berasa dia dilayan dengan buruk?
5 Perhatikan pengalaman seorang penatua dari Amerika Selatan yang bernama Miqueas. b Pernah sekali, dia berasa dia dilayan dengan buruk oleh beberapa orang saudara yang mengambil pimpinan. Dia berkata, “Saya tidak pernah berasa begitu stres sebelum ini. Saya rasa takut. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam, dan saya menangis kerana berasa tidak berdaya.” Walaupun begitu, Miqueas memelihara daya pemikirannya dan cuba mengawal emosinya. Dia berdoa secara kerap kepada Yehuwa untuk meminta kuasa suci-Nya dan kekuatan untuk bertabah. Dia juga mencari maklumat dalam bahan bacaan kita yang dapat membantunya. Apakah pengajarannya? Jika anda rasa seorang saudara atau saudari melayan anda dengan buruk, cubalah bertenang dan kawallah apa sahaja perasaan negatif yang mungkin timbul. Anda mungkin tidak tahu mengapa dia melayan anda begitu. Jadi, berdoalah dan mintalah Yehuwa untuk membantu anda memahami sudut pandangan rakan seiman itu. Dengan itu, anda akan dibantu untuk memaafkannya dan tidak bersangka buruk terhadapnya. (Ams. 19:11) Ingatlah, Yehuwa peka terhadap situasi anda dan akan memberi anda kekuatan untuk bertabah.—2 Taw. 16:9; Pkh. 5:8.
SEMASA KITA DIBERI DISIPLIN
6. Mengapakah kita harus ingat bahawa Yehuwa mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita? (Ibrani 12:5, 6, 11)
6 Semasa diberi disiplin, kita akan berasa sakit hati. Namun, jika kita hanya berfokus kepada perasaan kita, kita mungkin meremehkan disiplin yang diberikan. Kita mungkin berasa bahawa disiplin itu terlampau tegas atau tidak adil, sehingga kita lupa akan satu hal yang penting, iaitu Yehuwa mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi kita. (Baca Ibrani 12:5, 6, 11.) Selain itu, jika kita terbawa-bawa dengan emosi kita, Syaitan mungkin menggunakan peluang itu untuk membuat kita menolak disiplin Yehuwa dan bahkan meninggalkan Yehuwa dan sidang. Jadi, bagaimanakah anda dapat memelihara daya pemikiran anda semasa diberi disiplin?
7. (a) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, bagaimanakah Petrus menjadi lebih berguna bagi Yehuwa selepas dia menerima disiplin? (b) Apakah yang kita belajar daripada contoh Petrus?
7 Terimalah disiplin dan buatlah perubahan yang diperlukan. Petrus pernah ditegur oleh Yesus beberapa kali di hadapan rasul-rasul yang lain. (Mrk. 8:33; Luk. 22:31-34) Petrus pasti berasa sangat malu semasa ditegur, namun dia tetap setia kepada Yesus. Dia menerima disiplin yang diberikan dan sudi belajar daripada kesilapannya. Hasilnya, Yehuwa memberkati kesetiaan Petrus dan memberinya tugasan penting dalam sidang. (Yoh. 21:15-17; Kis. 10:24-33; 1 Ptr. 1:1) Apakah yang kita pelajari daripada contoh Petrus? Sudah tentu kita akan berasa malu semasa diberi disiplin. Namun, daripada bertumpu kepada hal itu, kita harus sudi menerima disiplin dan membuat perubahan yang diperlukan. Dengan demikian, kita dan orang lain akan meraih manfaat. Kita akan menjadi lebih berguna bagi Yehuwa dan saudara saudari kita.
8-9. Apakah perasaan Bernardo selepas diberi disiplin? Apakah yang membantunya membetulkan fikirannya?
8 Perhatikan contoh Bernardo, seorang saudara di Mozambique. Dia diberi disiplin dan diberhentikan sebagai penatua. Apakah perasaan Bernardo pada mulanya? Dia berkata, “Saya marah kerana saya tidak suka dengan disiplin itu.” Dia juga risau tentang bagaimana saudara saudari dalam sidang akan memandangnya. Bernardo mengaku, “Saya perlu masa beberapa bulan untuk memupuk pandangan yang betul terhadap situasi saya dan membina semula kepercayaan saya terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya.” Apakah yang membantu Bernardo membetulkan fikirannya?
9 Dia menjelaskan, “Semasa saya masih seorang penatua, saya menggunakan Ibrani 12:7 untuk membantu orang lain memiliki pandangan yang betul terhadap disiplin daripada Yehuwa. Saya menanya diri, ‘Nasihat dalam ayat ini untuk siapa?’ Semua penyembah Yehuwa, termasuk saya.” Bernardo juga berusaha membina semula kepercayaannya terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya. Sebagai contoh, dia meluangkan lebih banyak masa untuk membaca dan merenungkan Bible. Selain itu, walaupun dia risau tentang pandangan saudara saudari terhadapnya, dia masih menginjil bersama-sama mereka dan memberikan komen di perjumpaan. Akhirnya, Bernardo dilantik semula sebagai penatua. Jika anda diberi disiplin seperti yang berlaku kepada Bernardo, anda mungkin berasa malu. Namun, daripada bertumpu kepada perasaan itu, terimalah disiplin dan buatlah perubahan yang diperlukan. c (Ams. 8:33; 22:4) Yehuwa pasti memberkati anda kerana anda tetap setia kepada-Nya dan organisasi-Nya.
SEMASA KITA BERASA SUSAH UNTUK MENERIMA PERUBAHAN DALAM ORGANISASI
10. Apakah perubahan yang mungkin menguji kesetiaan sesetengah lelaki Israel?
10 Perubahan dalam organisasi boleh menguji kesetiaan kita. Jika kita tidak berhati-hati, hal itu dapat menyebabkan kita meninggalkan Yehuwa. Fikirkan contoh orang Israel pada zaman dahulu. Sebelum Hukum Musa diberikan, setiap ketua keluarga akan membina mazbah dan mempersembahkan korban bagi keluarga masing-masing. (Kej. 8:20, 21; 12:7; 26:25; 35:1, 6, 7; Ayb. 1:5) Namun, selepas Hukum Musa diberikan, hanya imam daripada keturunan Harun yang boleh mempersembahkan korban. Jika sesiapa mempersembahkan korban, padahal dia bukan daripada keturunan Harun, dia boleh dihukum mati. d (Im. 17:3-6, 8, 9) Adakah hal ini merupakan sebab mengapa Korah, Datan, Abiram, dan 250 orang pemimpin memberontak terhadap Musa dan Harun? (Bil. 16:1-3) Kita tidak tahu, tetapi kita tahu Korah dan rakan-rakannya tidak setia kepada Yehuwa. Jika perubahan dalam organisasi menguji kesetiaan anda, apakah yang dapat anda lakukan?
11. Apakah yang kita pelajari daripada teladan sesetengah orang Lewi daripada puak Kehat?
11 Sokonglah perubahan dalam organisasi dengan sepenuh hati. Semasa orang Israel di padang belantara, orang Lewi daripada puak Kehat diberi tanggungjawab yang istimewa. Setiap kali orang Israel berpindah ke tempat lain, orang Lewi daripada puak Kehat akan mengangkat tabut perjanjian dan berjalan di hadapan seluruh umat Israel. (Bil. 3:29, 31; 10:33; Yos. 3:2-4) Namun, setelah orang Israel menetap di Tanah yang Dijanjikan, tabut perjanjian tidak perlu dipindahkan dengan begitu kerap lagi. Jadi, tugasan mereka telah berubah. Pada zaman pemerintahan Salomo, sesetengah orang daripada puak Kehat ditugaskan sebagai penyanyi, pengawal pintu gerbang, atau penjaga tempat penyimpanan makanan. (1 Taw. 6:31-33; 26:1, 24) Namun, Bible tidak pernah menyatakan bahawa puak Kehat bersungut-sungut atau meminta tugasan yang lebih terkemuka kerana mereka memiliki tanggungjawab yang istimewa sejak turun-temurun. Apakah pengajarannya bagi kita? Sokonglah perubahan yang dibuat oleh organisasi Yehuwa dengan sepenuh hati, termasuk perubahan yang mempengaruhi tugasan anda. Cubalah berkhidmat dengan sukacita tidak kira apa tugasan yang anda terima. Ingatlah, Yehuwa menghargai anda, bukan kerana jenis tugasan anda, tetapi kerana kepatuhan anda kepada-Nya.—1 Sam. 15:22.
12. Apakah perasaan Zaina selepas tidak dapat lagi berkhidmat di Bethel?
12 Fikirkan lagi contoh Zaina, seorang saudari dari Timur Tengah. Dia sudah berkhidmat di Bethel untuk lebih daripada 23 tahun, dan dia amat menyukai tugasan itu. Namun, dia diberi tugasan baharu dan tidak lagi dapat berkhidmat di Bethel. Apakah perasaannya? Dia berkata, “Saya sangat terkejut. Saya rasa tidak berguna dan sering menanya diri, ‘Apakah kesalahan saya?’” Sedihnya, sesetengah saudara saudari di sidangnya berkata, “Usaha kamu tidak cukup baik. Itulah sebabnya kamu tidak dapat terus berada di Bethel.” Buat suatu ketika, Zaina berasa patah semangat dan dia menangis setiap malam. Namun dia berkata, “Saya tidak pernah membiarkan diri saya meragui kasih Yehuwa dan organisasi-Nya terhadap saya.” Bagaimanakah Zaina memelihara daya pemikirannya?
13. Bagaimanakah Zaina berjaya mengatasi perasaan yang negatif?
13 Bagaimanakah Zaina berjaya mengatasi perasaan yang negatif? Dia membaca rencana-rencana dalam bahan bacaan kita yang berkaitan dengan situasinya. Dia sangat menghargai sebuah rencana dalam Menara Pengawal terbitan 1 Februari 2001, yang menjelaskan cara untuk mengatasi perasaan tawar hati. Rencana itu membincangkan bagaimana penulis Bible yang bernama Markus juga mungkin berasa tawar hati semasa tugasannya berubah. Zaina berkata, “Teladan Markus telah membantu saya mengatasi perasaan tawar hati.” Zaina juga terus bergaul dan menginjil bersama saudara saudarinya, dan dia tidak asyik mengasihani diri. Dia yakin bahawa keputusan yang dibuat oleh organisasi Yehuwa dibimbing oleh kuasa suci Tuhan, dan saudara-saudara yang mengambil pimpinan prihatin terhadapnya. Pada masa yang sama, dia sedar bahawa hal yang terpenting bagi organisasi Yehuwa ialah mencari jalan yang terbaik untuk melaksanakan kehendak Yehuwa.
14. Apakah perubahan dalam organisasi yang susah diterima oleh Vlado? Namun apakah yang membantunya menyesuaikan diri?
14 Perhatikan cabaran yang dihadapi oleh Vlado, seorang penatua di Slovenia yang berusia 73 tahun. Sidangnya telah digabungkan dengan sidang yang lain, dan Dewan Perjumpaan yang dihadirinya telah ditutup. Dia berkata, “Saya tidak faham mengapa Dewan Perjumpaan yang begitu cantik harus ditutup. Saya juga sedih kerana dewan itu baru sahaja diubahsuai. Saya seorang tukang kayu, dan saya telah membantu membuat beberapa perabot di dewan itu. Perubahan ini juga menimbulkan cabaran lain bagi penyiar yang lebih tua.” Apakah yang membantu Vlado untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan itu? Dia menjelaskan, “Jika kita menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibuat oleh organisasi Yehuwa, kita pasti diberkati. Sebenarnya, perubahan sebegini akan membantu kita menghadapi perubahan yang lebih besar pada masa depan.” Adakah sidang anda telah digabungkan dengan sidang lain, atau adakah tugasan anda telah diubah? Hal itu mungkin susah diterima. Tetapi yakinlah bahawa Yehuwa memahami perasaan anda. Apabila anda menyokong perubahan sebegini dan tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya, anda pasti diberkati.—Mzm. 18:25.
SENTIASA MEMELIHARA DAYA PEMIKIRAN ANDA
15. Bagaimanakah kita dapat memelihara daya pemikiran kita semasa cabaran timbul dari dalam sidang?
15 Apabila akhir sistem dunia ini semakin dekat, kita akan menghadapi cabaran-cabaran dalam sidang yang mungkin menguji kesetiaan kita kepada Yehuwa. Oleh itu, kita mesti memelihara daya pemikiran kita. Jika anda rasa anda dilayan dengan buruk oleh seorang rakan seiman, janganlah menaruh dendam. Semasa anda diberi disiplin, anda mungkin berasa malu. Tetapi berusahalah untuk menerima nasihat yang diberikan dan membuat perubahan yang diperlukan. Selain itu, apabila organisasi Yehuwa membuat perubahan yang mempengaruhi anda secara peribadi, terimalah perubahan itu dengan sepenuh hati dan patuhilah arahan organisasi Yehuwa.
16. Bagaimanakah anda dapat tetap mempercayai Yehuwa dan organisasinya?
16 Semasa kesetiaan anda diuji, anda dapat tetap mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya. Untuk berbuat demikian, anda perlu memelihara daya pemikiran anda. Maksudnya, anda perlu tetap tenang, tidak membiarkan emosi mengawal fikiran anda, dan berusaha untuk memiliki pandangan Yehuwa. Bertekadlah untuk mengkaji dan merenungkan watak-watak Bible yang berjaya menghadapi cabaran yang anda hadapi. Berdoalah kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya dan jangan sesekali mengasingkan diri daripada sidang. Dengan itu, tidak kira apa yang berlaku, Syaitan tidak dapat memisahkan anda daripada Yehuwa dan organisasi-Nya.—Yak. 4:7.
LAGU 126 Berjaga, Teguh, dan Gagah
a Kesetiaan kita kepada Yehuwa dan organisasi-Nya mungkin diuji semasa kita menghadapi cabaran yang timbul dari dalam sidang. Rencana ini akan membincangkan tiga cabaran yang mungkin kita hadapi dan apa yang perlu kita lakukan supaya kita tetap setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya.
b Sesetengah nama telah diubah.
c Untuk cadangan lain, lihat rencana “Balik dan Kuatkan Saudara-saudaramu” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Ogos 2014, ms. 26. Lihat juga “Pernahkah Saudara Melayani? Dapatkah Saudara Melayani Lagi?” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Ogos 2009, ms. 30.