Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

“Saya Mahu Bekerja untuk Yehuwa”

“Saya Mahu Bekerja untuk Yehuwa”

KAMI mengucapkan selamat tinggal kepada sekumpulan orang yang telah kami lawat dekat kampung Granbori, yang terletak di pedalaman hutan hujan Suriname. Selepas itu, kami bertolak dalam sebuah bot dan menyusuri Sungai Tapanahoni. Semasa kami lalu di bahagian sungai yang deras, tiba-tiba kipas motor bot kami terkena batu dan bahagian depan bot kami terjunam ke dalam sungai. Masa itu, saya panik. Walaupun saya sudah menaiki bot selama bertahun-tahun semasa membuat kerja lawatan, saya tidak tahu berenang!

Sebelum menceritakan apa yang berlaku seterusnya, biarlah saya memberitahu anda bagaimana saya mula menceburi khidmat sepenuh masa.

Saya dilahirkan pada tahun 1942 di Curaçao, sebuah pulau yang cantik di Laut Caribbean. Bapa saya berasal daripada Suriname, tetapi dia berpindah ke Curaçao untuk bekerja. Beberapa tahun sebelum saya dilahirkan, bapa saya menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang pertama yang dibaptis di Curaçao. a Semasa kecil, bapa saya mengajar saya dan adik-beradik saya tentang Bible setiap minggu. Hal itu tidak mudah kerana kami sangat nakal. Semasa saya berumur 14 tahun, keluarga kami berpindah ke Suriname kerana bapa saya perlu menjaga nenek yang sudah tua.

PERGAULAN YANG BAIK MEMBANTU SAYA

Di Suriname, saya bergaul dengan anak-anak muda di sidang yang giat menyembah Yehuwa. Mereka beberapa tahun lebih tua daripada saya dan berkhidmat sebagai perintis biasa. Wajah mereka berseri-seri semasa mereka menceritakan pengalaman mereka dalam kerja penyebaran. Selepas perjumpaan, saya dan kawan-kawan saya juga akan berbincang tentang topik Bible. Ada kalanya kami akan melakukannya sambil duduk di bawah langit yang bertaburan bintang. Kawan-kawan ini membantu saya untuk sedar apa yang saya mahu lakukan dengan hidup saya: Saya mahu bekerja untuk Yehuwa. Maka saya dibaptis semasa berumur 16 tahun dan menjadi perintis biasa semasa berumur 18 tahun.

PENGAJARAN HIDUP YANG PENTING

Semasa merintis di Paramaribo

Semasa merintis, saya mempelajari banyak hal yang penting yang telah membantu saya sepanjang hidup saya. Contohnya, hal pertama yang saya belajar ialah pentingnya melatih orang lain. Semasa saya mula merintis, seorang mubaligh yang bernama Willem van Seijl telah melatih saya. b Dia mengambil berat terhadap saya dan mengajar saya cara menjalankan tugas dalam sidang. Pada mulanya, saya tidak sedar saya sangat memerlukan latihan itu. Pada tahun berikutnya, selepas saya dilantik sebagai perintis khas dan mengambil pimpinan dalam kumpulan-kumpulan terpencil di hutan hujan Suriname, barulah saya sangat menghargai latihan yang diberikan oleh para saudara. Sejak itu, saya berusaha meniru teladan mereka dan meluangkan masa untuk melatih orang lain.

Kedua, saya belajar betapa pentingnya untuk hidup sederhana dan membuat perancangan yang baik. Pada awal setiap bulan, saya dan rakan merintis saya akan memikirkan keperluan kami untuk bulan itu. Kemudian, salah seorang daripada kami akan membuat perjalanan jauh ke ibu kota untuk membelinya. Kami perlu bijak berbelanja dan mengagihkan bekalan makanan supaya boleh tahan untuk satu bulan. Hal ini penting kerana jika kami kehabisan barang keperluan semasa kami berada di hutan hujan, tidak ada orang yang dapat membantu kami. Saya percaya bahawa mempelajari kebolehan untuk hidup sederhana dan membuat perancangan yang baik semasa muda telah membantu saya untuk bertumpu kepada kerja Yehuwa seumur hidup saya.

Pengajaran ketiga yang saya belajar ialah pentingnya mengajar orang dalam bahasa ibunda mereka. Semasa kecil, saya sudah belajar untuk menuturkan bahasa Belanda, Inggeris, Papiamento, dan Sranantongo (juga dikenali sebagai bahasa Sranan). Semua bahasa ini biasa dituturkan di Suriname. Tetapi di hutan hujan, orang lebih rela mendengar berita baik semasa saya menuturkan bahasa ibunda mereka. Sesetengah bahasa itu susah dipelajari, contohnya bahasa Saramacca, yang menggunakan nada tinggi dan rendah. Tetapi usaha untuk mempelajarinya sangat berbaloi. Saya dapat mengajarkan kebenaran kepada lebih banyak orang kerana saya dapat menuturkan bahasa ibunda mereka.

Saya juga ada beberapa pengalaman yang memalukan. Pernah sekali, seorang pelajar Bible yang berbahasa Saramacca sakit perut. Saya ingin bertanya khabar kepadanya, tetapi saya tanya dia jika dia sudah mengandung. Meskipun saya membuat banyak kesilapan seperti ini, saya masih cuba menggunakan bahasa ibunda orang di kawasan penyebaran saya.

DIBERI LEBIH BANYAK TANGGUNGJAWAB

Pada tahun 1970, saya dilantik sebagai penyelia litar. Pada tahun itu, saya menunjukkan tayangan slaid yang bertajuk, “Melawat Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa” kepada kumpulan-kumpulan terpencil yang berada di hutan hujan. Saya dan beberapa orang saudara memasukkan generator, tangki minyak mudah alih, lampu kerosin, dan peralatan tayangan slaid ke dalam sampan yang panjang dan membuat perjalanan menerusi sungai untuk mengunjungi mereka. Setibanya di destinasi itu, kami perlu mengangkat semua barang ke tempat tayangan slaid akan ditunjukkan. Perjalanan itu memang mencabar, tetapi saya tersentuh apabila melihat orang di kawasan terpencil itu begitu menikmati tayangan slaid. Semasa melihat mereka belajar tentang Yehuwa dan organisasi-Nya, saya rasa semua usaha saya amat berbaloi.

TIGA UTAS TALI DIPINTAL MENJADI SATU

Saya dan Ethel berkahwin pada September 1971

Biarpun kehidupan membujang memudahkan saya untuk menjalankan khidmat saya, saya ada keinginan untuk berkahwin. Jadi saya mula berdoa secara spesifik kepada Yehuwa untuk mencari seorang isteri yang tahan lasak dan yang dapat menikmati khidmat sepenuh masa bersama saya di hutan hujan. Sekitar setahun kemudian, saya mula berpacaran dengan Ethel, seorang perintis khas yang sangat baik. Dari umur yang kecil, Ethel suka teladan Rasul Paulus dan ingin meniru sikap rela berkorbannya dalam kerja penyebaran. Kami berkahwin pada September 1971 dan mula melakukan kerja lawatan.

Sejak kecil lagi, Ethel hidup sederhana. Jadi dia dapat membiasakan diri dengan kerja lawatan dalam hutan hujan. Jika kami akan melawat sidang di pedalaman hutan, kami tidak membawa banyak barang. Kami akan membasuh pakaian dan mandi di dalam sungai. Kami juga belajar untuk makan apa sahaja yang dihidangkan oleh saudara saudari, termasuk daging iguana, ikan piranha, atau apa saja binatang yang mereka tangkap di hutan atau di sungai. Jika tiada pinggan, kami akan menggunakan daun pisang. Jika tiada sudu atau garpu, kami akan makan dengan menggunakan jari. Saya dan Ethel mendapati bahawa apabila kami bersama-sama membuat pengorbanan demi Yehuwa, hubungan kami dengan satu sama lain dan dengan Yehuwa menjadi lebih erat. Ya, hubungan kami menjadi seperti tiga utas tali yang dipintal menjadi satu. (Pkh. 4:12) Kami memang tidak akan melupakan semua pengalaman ini!

Pengalaman yang saya sebut di awal rencana, berlaku selepas kami melawat sebuah kawasan terpencil di hutan. Setelah bot kami terjunam ke dalam sungai, bot kami segera timbul semula. Syukurlah kami memakai jaket keselamatan dan tidak terbuang daripada bot. Tetapi bot kami dipenuhi air. Jadi kami terpaksa membuang makanan kami yang ada dalam periuk ke dalam sungai dan menggunakan periuk itu untuk mengeluarkan air daripada bot.

Memandangkan semua makanan kami sudah dibuang ke dalam sungai, kami tidak ada makanan. Oleh itu, semasa kami meneruskan perjalanan kami, kami cuba memancing tetapi kami tidak dapat menangkap apa-apa. Maka, kami berdoa kepada Yehuwa dan meminta-Nya memberi kami makanan yang diperlukan untuk hari itu. Sejurus selepas kami habis berdoa, salah seorang saudara pergi memancing dan berjaya menangkap seekor ikan yang besar. Pada malam itu, kami berlima makan sehingga puas.

SUAMI, BAPA, DAN PENYELIA LITAR

Selepas Ethel dan saya melakukan kerja lawatan selama lima tahun, kami mendapat berkat yang tidak dijangkakan: Kami akan mendapat cahaya mata. Saya memang gembira, tetapi pada masa yang sama saya tidak tahu bagaimana perubahan itu akan mempengaruhi kehidupan kami. Ethel dan saya ingin terus berkhidmat kepada Yehuwa sepenuh masa. Pada tahun 1976, anak lelaki kami Ethniël telah dilahirkan. Anak lelaki kedua kami, Giovanni, dilahirkan dua tahun setengah kemudian.

Menyaksikan pembaptisan di Sungai Tapanahoni berdekatan Godo Holo, di Suriname Timur​—1983

Oleh sebab Suriname ada banyak keperluan, pejabat cawangan mengaturkan supaya saya dapat terus berkhidmat sebagai penyelia litar sambil menjaga anak. Semasa anak kami masih kecil, kami ditugaskan ke sebuah sidang dan saya akan melawat litar yang tidak mempunyai banyak sidang. Biasanya dalam sebulan, saya akan berkhidmat sebagai penyelia litar untuk beberapa minggu dan masa selebihnya, saya akan merintis di sidang sendiri. Jika saya mengunjungi sidang yang dekat dengan rumah saya, saya akan membawa Ethel dan anak-anak lelaki saya. Namun, jika saya mengunjungi sidang atau menghadiri perhimpunan di hutan hujan, saya akan pergi seorang diri.

Semasa membuat kerja lawatan, saya sering menaiki bot untuk mengunjungi sidang-sidang yang terpencil

Saya perlu membuat perancangan yang sangat teliti supaya dapat menjalankan semua tanggungjawab saya. Sebagai contoh, saya memastikan agar penyembahan keluarga kami diadakan setiap minggu. Semasa saya melawat sidang-sidang di hutan, Ethel akan mengadakan penyembahan keluarga di rumah bersama anak-anak kami. Namun, kami cuba melakukan aktiviti rohani sebagai sebuah keluarga dengan sekerap yang mungkin. Saya dan Ethel juga sering melakukan aktiviti riadah bersama anak-anak kami, seperti bermain atau melawat tempat yang menarik. Biasanya saya akan tidur sangat lewat kerana perlu membuat persiapan untuk tugasan saya. Ethel ialah isteri yang cekap, yang digambarkan di Amsal 31:15. Dia akan bangun pada waktu subuh supaya keluarga kami dapat membaca ayat harian dan bersarapan sebelum anak-anak kami pergi ke sekolah. Saya sangat bersyukur kerana memiliki seorang isteri yang sudi membuat pengorbanan. Kerana bantuannya, saya dapat menjalankan tanggungjawab saya dengan baik!

Sebagai ibu bapa, kami bekerja keras untuk membantu anak-anak kami mengasihi Yehuwa dan kerja penyebaran. Kami harap anak-anak kami menceburi khidmat sepenuh masa, bukan kerana mereka ingin buat kami gembira, tetapi kerana itulah pilihan mereka. Untuk membantu mereka, kami selalu menekankan sukacita yang dapat diraih dalam khidmat sepenuh masa. Kami juga memberitahu mereka cabaran yang kami hadapi, tetapi pada masa yang sama, kami menunjukkan bagaimana Yehuwa telah membantu dan memberkati kami sebagai sebuah keluarga. Selain itu, kami memastikan anak-anak kami dapat sering bergaul dengan saudara saudari yang mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan mereka.

Selama ini, Yehuwa menjaga semua keperluan keluarga kami. Sudah tentu saya juga berusaha untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Semasa berkhidmat sebagai perintis khas yang bujang di hutan hujan, saya sudah belajar cara untuk merancang perbelanjaan. Namun ada kalanya, walaupun kami sudah merancang perbelanjaan kami dengan baik, hal yang di luar jangkaan masih terjadi. Sebagai contoh, perang saudara telah berlaku di Suriname dari tahun 1986 hingga tahun 1992. Pada masa itu, barang keperluan asas memang susah untuk didapati. Meskipun begitu, Yehuwa tetap menjaga kami.​—Mat. 6:32.

MENGIMBAS KEMBALI KEHIDUPAN KAMI

Dari kiri ke kanan: Dengan isteri saya, Ethel

Anak sulung kami Ethniël bersama isterinya Natalie

Anak kami Giovanni dengan isterinya Christal

Sepanjang hidup kami, Yehuwa telah menjaga kami dan memberi kami kebahagiaan dan kepuasan yang besar. Kami sangat gembira kerana dapat mengajar anak-anak kami untuk menyembah Yehuwa. Ethniël dan Giovanni memilih untuk menceburi khidmat sepenuh masa, dan mereka telah dilatih di sekolah-sekolah teokratik. Kini mereka berkhidmat di pejabat cawangan Suriname bersama isteri mereka.

Sekarang, Ethel dan saya sudah tua. Tetapi kami masih bekerja untuk Yehuwa sebagai perintis khas. Sebenarnya, kami begitu sibuk sehingga sekarang pun saya tiada masa untuk belajar berenang! Namun, saya tidak pernah menyesali keputusan saya untuk menceburi khidmat sepenuh masa pada umur yang muda. Mengenang kembali kehidupan saya, saya dapat berkata dengan jujur bahawa itulah keputusan terbaik yang pernah saya buat!

a Lihat Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2002 dalam bahasa Indonesia, ms. 70.

b Kisah hidup Willem van Seijl terdapat dalam rencana bertajuk Kenyataan Ternyata Melebihi Angan-Angan Saya, dalam Sedarlah! terbitan 8 Oktober 1999, dalam bahasa Indonesia.