Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Adakah Mordekhai betul-betul wujud?

SEORANG lelaki Yahudi yang bernama Mordekhai ialah watak penting dalam buku Ester. Dia seorang tawanan Yahudi yang bekerja di istana Persia pada awal abad kelima SM, iaitu “pada zaman [Raja] Ahasweros.” (Dewasa ini, ramai orang percaya bahawa raja itu ialah Xerxes I.) Mordekhai telah menggagalkan rancangan musuh untuk membunuh raja. Untuk menghargai jasanya, raja mengarahkan agar Mordekhai diberi penghormatan di hadapan umum. Kemudian, selepas kematian Haman, iaitu musuh Mordekhai dan orang Yahudi lain, raja menaikkan pangkat Mordekhai menjadi perdana menteri. Oleh itu, Mordekhai dapat mengeluarkan perintah untuk menyelamatkan semua orang Yahudi di Empayar Persia agar tidak dilenyapkan.​—Est. 1:1; 2:5, 21-23; 8:1, 2; 9:16.

Sesetengah sejarawan pada awal abad ke-20 mendakwa bahawa buku Ester ialah cerita dongeng dan Mordekhai tidak pernah wujud. Namun pada tahun 1941, ahli cari gali telah menjumpai bukti yang nampaknya menyokong catatan Bible tentang Mordekhai. Apakah yang dijumpai mereka?

Mereka menjumpai tulisan cuneiform (pepaku) bahasa Persia yang menyebut tentang seorang lelaki yang bernama Marduka (Mordekhai). Dia bekerja sebagai pentadbir, mungkin sebagai akauntan, di kota Susan. Arthur Ungnad, seorang pakar dalam sejarah kawasan itu, melaporkan bahawa pada masa itu, cuneiform tersebut ialah “satu-satunya catatan di luar Bible yang menyebut tentang Mordekhai.”

Sejak laporan Ungnad diterbitkan, para pakar telah menterjemahkan ribuan tulisan cuneiform bahasa Persia yang lain. Antaranya termasuk tulisan pada batu bersurat Persepolis, yang dijumpai di reruntuhan bangunan perbendaharaan berdekatan tembok kota. Batu-batu bersurat itu ditulis pada zaman pemerintahan Xerxes I, ditulis dalam bahasa Elam, dan mengandungi beberapa nama yang terdapat dalam buku Ester. a

Nama Mordekhai (Marduka) dalam tulisan cuneiform bahasa Persia

Beberapa batu bersurat Persepolis menyebut bahawa Marduka ialah setiausaha raja di istana kota Susan semasa pemerintahan Xerxes I. Satu batu bersurat menyatakan bahawa Marduka ialah seorang penterjemah. Semua maklumat ini selaras dengan apa yang dikatakan Bible tentang Mordekhai. Menurut Bible, Mordekhai ialah seorang pegawai di istana Raja Ahasweros (Xerxes I) dan menuturkan sekurang-kurangnya dua bahasa. Dia juga sering duduk di pintu gerbang istana raja di kota Susan. (Est. 2:19, 21; 3:3) Pintu gerbang itu ialah bangunan besar yang merupakan tempat kerja para pegawai istana.

Terdapat banyak persamaan antara Marduka yang disebut dalam batu-batu bersurat dengan Mordekhai yang disebut dalam Bible. Mereka hidup pada zaman yang sama di tempat yang sama, dan berkhidmat sebagai pegawai di tempat yang sama. Semua persamaan ini menunjukkan bahawa kemungkinan besar Marduka dan Mordekhai dalam buku Ester ialah orang yang sama.

a Pada tahun 1992, Profesor Edwin M. Yamauchi menulis sebuah rencana yang menyebut tentang 10 nama daripada batu bersurat Persepolis, yang juga terdapat dalam buku Ester.