Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Carilah Sesuatu yang Lebih Bernilai daripada Emas

Carilah Sesuatu yang Lebih Bernilai daripada Emas

Pernahkah anda menjumpai ketulan emas? Ramai tidak pernah menjumpainya. Namun, jutaan orang telah menjumpai sesuatu yang lebih bernilai, iaitu kebijaksanaan daripada Tuhan. Kebijaksanaan ini “tidak dapat ditukar dengan emas murni.”​—Ayb. 28:12, 15.

DALAM beberapa cara, pelajar Bible yang ikhlas adalah seperti pencari gali emas. Mereka perlu bekerja keras dan terus mencari ayat-ayat Bible untuk mendapat kebijaksanaan yang bernilai. Maka sebagai pelajar Bible, apakah yang dapat kita pelajari daripada tiga cara emas dijumpai?

MENJUMPAI SESUATU YANG BERNILAI!

Bayangkan anda sedang berjalan di pinggir sungai dan ternampak ketulan kecil yang berkilau. Anda menghulurkan tangan untuk mengambil ketulan emas itu. Ketulan itu lebih kecil daripada kepala mancis dan lebih sukar didapati berbanding dengan berlian yang berkualiti. Maka, anda mencari jika ada ketulan emas yang masih boleh dijumpai.

Begitu juga, seorang hamba Yehuwa mungkin datang ke pintu anda dan berkongsi harapan Bible. Mungkin hal itu seperti kenangan manis kerana anda menjumpai sesuatu yang sangat bernilai seperti emas. Anda mungkin melihat nama Tuhan Yehuwa buat pertama kali dalam Bible. (Kej. 2:4, nota kaki) Anda juga mungkin belajar bahawa anda boleh menjadi sahabat Yehuwa. (Yak. 2:23) Anda sedar bahawa anda telah menjumpai sesuatu yang lebih bernilai daripada emas! Oleh itu, anda ingin terus mencari lebih banyak permata rohani.

MENJUMPAI LEBIH BANYAK!

Kepingan kecil emas ada kalanya dijumpai dalam sungai. Kepingan ini dipanggil emas aluvium. Dalam masa yang singkat, pencari gali emas yang bekerja keras dapat menjumpai banyak emas yang bernilai ribuan dolar.

Apabila anda mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, anda seperti seorang pencari gali emas yang sedang mendulang di kawasan yang penuh dengan emas. Dengan merenungkan ayat-ayat Bible, pengetahuan anda akan bertambah lalu kerohanian anda dikuatkan. Seraya anda bersungguh-sungguh merenungkan kebenaran Bible, anda dapat mengetahui bagaimana anda dapat mendekati Yehuwa dan berada di bawah naungan kasih-Nya serta menuju kehidupan kekal.​—Yak. 4:8; Yud. 20, 21.

Seperti seorang pencari gali emas yang rajin, adakah anda juga bersungguh-sungguh mencari permata rohani?

Seperti seorang pencari gali emas yang rajin, anda juga sedang bersungguh-sungguh mencari permata rohani. Setelah mempelajari kebenaran Bible yang asas, anda mungkin digerakkan untuk membaktikan diri dan dibaptis.​—Mat. 28:19, 20.

TERUSLAH MENGGALI!

Pencari gali emas mungkin dapat menjumpai kuantiti emas yang sedikit dalam batu igneus. Sesetengah batu mempunyai kandungan emas yang cukup sehingga pencari gali emas akan melombong batu tersebut dan menghancurkannya untuk mendapatkan emas. Sekilas pandang, emas mungkin tidak jelas kelihatan pada batu. Mengapa? Kerana bagi setiap tan batu tersebut, hanya terdapat 10 g emas! Walaupun demikian, pencari gali emas berasa memang berbaloi untuk menggalinya.

Usaha diperlukan selepas seseorang mendapat “ajaran asas tentang Kristus.” (Ibr. 6:1, 2) Anda perlu berusaha untuk mencari isi baharu dan pengajaran praktikal daripada pembelajaran Bible anda. Jika anda sudah lama mempelajari Bible, apakah yang dapat dilakukan untuk memastikan pembelajaran Bible peribadi anda tetap berhasil?

Pupuklah keinginan untuk belajar. Berikan perhatian dengan teliti. Berusahalah untuk mencari permata rohani yang mengandungi kebijaksanaan dan bimbingan Tuhan. (Rm. 11:33) Untuk meningkatkan pengetahuan tentang ayat-ayat Bible, gunakanlah alat penyelidikan yang terdapat dalam bahasa anda dengan sebaik-baiknya. Carilah bimbingan dan jawapan kepada soalan Bible anda dengan sabar. Tanyalah orang lain tentang ayat-ayat Bible dan rencana yang telah membantu dan menggalakkan mereka. Kongsilah isi-isi menarik yang anda terokai dalam pembelajaran Bible anda dengan orang lain.

Sememangnya, matlamat anda bukannya hanya untuk menambah pengetahuan. Rasul Paulus memberikan amaran bahawa “pengetahuan menjadikan seseorang sombong.” (1 Kor. 8:1) Maka, berusahalah untuk tetap bersikap rendah hati dan mengekalkan iman yang kuat. Penyembahan keluarga dan pembelajaran Bible peribadi yang tetap dapat membantu anda untuk hidup selaras dengan piawaian Yehuwa dan mendorong anda untuk membantu orang lain. Yang terpenting, anda akan bersukacita kerana anda menjumpai sesuatu yang lebih bernilai daripada emas.​—Ams. 3:13, 14.