Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah musuh Yesus membangkitkan isu tentang mencuci tangan?

Hal ini merupakan salah satu isu yang dibangkitkan oleh musuh Yesus terhadapnya dan para pengikutnya. Hukum Musa menjelaskan apa yang menajiskan seseorang seperti lelehan, penyakit kusta, dan cara mengendalikan mayat atau bangkai. Hukum itu juga memberikan arahan tentang upacara penyucian seperti korban, pencucian, atau perenjisan.​—Im., bab 11-15; Bil., bab 19.

Rabbi atau guru agama Yahudi menetapkan peraturan tambahan berdasarkan hukum-hukum ini. Satu sumber menyatakan bahawa para rabbi menetapkan peraturan yang terperinci tentang apa yang menyebabkan seseorang menjadi najis dan cara dia boleh menyebabkan orang lain menjadi najis. Mereka juga menetapkan peraturan tentang perkakas dan objek yang boleh menjadi najis dan upacara penyucian yang diperlukan.

Musuh Yesus menanya dia, “Mengapakah murid-muridmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita dan makan dengan tangan yang kotor?” (Mrk. 7:5) Mereka bukannya berkata bahawa tangan yang kotor boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Menurut upacara keagamaan, para rabbi menetapkan peraturan bahawa air harus dituangkan pada tangan sebelum makan. Sumber yang disebutkan tadi menyatakan bahawa terdapat perdebatan mengenai “bekas mana yang harus digunakan untuk menuang air, jenis air yang sesuai, siapa yang harus menuang air, dan bahagian tangan mana yang kena air.”

Apakah reaksi Yesus terhadap peraturan tambahan yang dibuat oleh manusia? Dia memberitahu pemimpin agama Yahudi, “Hai orang yang bermuka dua! Betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu semasa dia menulis, ‘Umat ini menghormati Aku [Yehuwa] dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’ Kamu mengabaikan hukum Tuhan tetapi berpegang erat pada adat istiadat manusia.”​—Mrk. 7:6-8.